Monday, January 18, 2010

Dusta - Dosa Besar


SYARAT BAI'AT KEDUA

Akan sentiasa menghindarkan diri dari segala perbuatan dusta, zina, pandangan berahi terhadap bukan muhrim, perbuatan fasiq dan kejahatan, zalim, khianat, mengadakan huru-hara, memberontak, serta tidak akan dikalahkan oleh hawa nafsunya meskipun bagaimana juga dorongan terhadapnya.

Dalam syarat yang kedua ini ada sembilan jenis keburukan yang dijelaskan. Setiap orang yang telah bai'at, yang mendakwakan diri mereka sebagai anggota Jemaat Hazrat Masih Mau'ud(as), mereka hendaklah berusaha menjauhi keburukan-keburukan ini.

Dusta -Dosa Yang Paling Besar

Sebenarnya, dusta adalah dosa yang paling besar. Sebab itu, apabila seorang sahabat datang meminta nasihat daripada Rasulullah(saw), dia berkata: "Berilah aku nasihat yang mana nasihat itu boleh aku amalkan kerana dalam diriku begitu banyak keburukan, dan aku tidak mampu meninggalkan kesemuanya".Baginda(saw) menjawab: "Berjanjilah bahawa engkau tidak akan berkata dusta dan akan sentiasa berkata yang benar".

Dengan cara itu, semua keburukannya menghilang satu demi satu kerana setiap kali timbul di fikiran untuk membuat kejahatan, selalu dia ingat bahawa apabila kedapatan, dia tidak boleh lagi berdusta kerana sudah berjanji tidak akan berdusta di hadapan Rasulullah(saw), tetapi jika bercakap benar pula, pasti mendapat malu. Jadi, untuk mengelakkan hal itu, dia telah melepaskan dan meninggalkan semua keburukan-keburukan yang telah dia lakukan. Dari penjelasan ini, jelas bahawa dusta adalah akar segala keburukan.


Allah Ta'ala berfirman dalam Al-Qur'an:-



Ertinya;- "Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Dan telah dihalalkan bagi kamu semua binatang ternak, terkecuali yang diterangkan kepadamu keharamannya, maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta". (Al-Hajj:31)

Di sini diterangkan tentang syirik bersama-sama dengan dusta. Kemudian berfirman lagi:-









Ertinya: "Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar". (Az-Zumar:4)

Terdapat satu hadis dalam Sahih Muslim, "Abdullah bin Amar bin Al-As meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) pernah bersabda bahawa jika ada pada sesiapa empat perkara ini, maka dia adalah munafik. Dan jika dia mempunyai satu sifat munafik, maka dia dikatakan mempunyai satu ciri-ciri munafik sehinggalah dia tinggalkan, iaitu:-

1. Apabila bercakap, dia berdusta
2. Apabila ada ikatan perjanjian, dia akan melanggar mengkhianatinya
3. Apabila dia berjanji, dia akan memungkiri janjinya
4. Apabila bertengkar, dia akan melampaui batas
Semua ini berkaitan dengan dusta.

Kemudian dalam satu hadis yang lain, Hazrat Imam Malik meriwayatkan bahawa saya mendengar hal ini iaitu Abdullah bin Mas'ud selalu mengatakannya. "Kamu hendaklah selalu berlaku benar kerana berlaku benar itu memandu ke arah kebaikan, dan kebaikan itu akan memandu ke syurga. Hindari dusta kerana dusta menggalakkan ke arah keingkaran, dan keingkaran itu membawa ke neraka. Tidakkah kamu tahu, adalah dikatakan bahawa orang yang berkata benar telah patuh dan orang yang berkata dusta telah bergelumang dengan kekejian. (Muatta Imam Malik, Bab Maa Jaa'a Fis Shidqi Wal Kizb)

Kemudian ada satu hadis dalam Masnad Ahmad Bin Hambal. Hazrat Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Orang yang memanggil anak kecil, kemari nak! aku hendak beri sesuatu, kemudian dia tidak berikan apa-apa, ini juga termasuk dalam dusta". (Masnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 2 halaman 349, cetakan Beirut)

Ini amat penting untuk Tarbiyat. Dalam bergurau senda dengan anak-anak kecil pun hendaklah menghindari perbuatan seumpama ini. Sebabnya ia secara tidak langsung menggalakkan anak-anak kecil untuk melakukan tindakan yang sama iaitu menipu dalam gurauan sehingga menjadi satu kebiasaan. Dan akhirnya perbuatan bercakap dusta itu tidak dianggap satu amalan yang tidak baik.

Bersambung....


Thursday, January 14, 2010

Monday, January 11, 2010

Syirik

SYARAT BAI'AT PERTAMA

"Pada masa akan datang hingga masuk ke dalam kubur, akan sentiasa menjauhi syirik".

Allah Tidak Mengampunkan Syirik

Dalam surah An-Nisa ayat 49, Allah Ta'ala berfirman:-






Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".

Dalam hal ini, Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata: "Tuhan berfirman di dalam Al-Qur'an Wayaghfiru Maa Duuna Dzaalika... ... yakni setiap dosa ada keampunan dari Allah Ta'ala, tetapi syirik tidak akan diampunkan. Oleh sebab itu jangan cuba untuk mendekati syirik, dan anggaplah ia sebagai pohon terlarang".
(Dhamimah Tohfah Goleriah, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 323-324, nota kaki)

Kemudian berkata: "Syirik di sini tidak hanya bermaksud menyembah batu dan sebagainya, malah salah satu syirik juga adalah memuja benda-benda serta kecenderungan begitu kuat ke arah keduniaan, ia juga termasuk dalam syirik". (Al-Hakam Jilid 7, Nombor 24, Tarikh 30 Jun 1903, halaman 11)

Kemudian di dalam Al-Qur'an, Allah Ta'ala berfirman:-






(Luqman:14)

Terjemahannya ialah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".

Rasulullah(saw) risau tentang umatnya terhadap syirik. Dalam satu hadis dikatakan bahawa Ubadah memberitahu kepada kami tentang Syadad Bin Aus yang sedang menangis. Dia ditanya; "kenapa tuan menangis?" Dia menjawab; "Aku teringat satu perkara yang telah kudengar dari Rasulullah(saw), sehingga menyebabkan aku menangis. Aku mendengar Rasulullah(saw) bersabda bahawa "aku risau atas umatku tentang syirik dan keinginan-keinginan nafsu yang tersembunyi". Perawi mengatakan; "saya bertanya, ya Rasulullah(saw)! Adakah umatmu akan melakukan syirik selepas tuan pergi?" Maka Rasulullah(saw) menjawab: "Ya! Memang umatku tidak akan memuja matahari dan bulan, batu dan patung-patung, tetapi mereka riak dalam amalan mereka dan tenggelam dalam keinginan-keinginan yang tersembunyi. Dan jika ada di antara mereka yang berpuasa pun, kemudian ada pula keinginan-keinginan mereka yang ingin ditunaikan, maka mereka akan meningggalkan puasa untuk menyempurnakan keinginan-keinginan nafsu mereka". (Masnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 4, halaman 124, cetakan Beirut)


Jenis-jenis Syirik

Dari hadis di atas jelas bahawa, walaupun syirik yang zahir itu tidak berlaku seperti pemujaan berhala, batu, bulan dan sebagainya, namun riak dan mengikuti nafsu juga termasuk dalam kategori syirik. Jika ada seorang pekerja terlalu memuja-muja pegawai atasannya dan mengikutinya kerana beranggapan bahawa pegawai itulah yang memberi rezeki kepadanya, maka ini juga termasuk dalam syirik.

Dan juga, jika ada ibu bapa yang terlalu yakin kepada anak-anaknya bahawa suatu hari nanti, anak-anaknya akan membesar, akan menjaga kami, kami boleh berehat, keluarga lain tidak dapat menandingi kami. Maksudnya, mereka meletakkan sepenuhnya harapan atas anak-anak, padahal anak-anak tidak dapat dijangkakan tahap kemampuan mereka, atau akan mengalami kemalangan, kematian dan sebagainya.

Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata: "Tauhid bukan hanya setakat melafazkan di mulut kalimah Laa Ilaaha Illallaah sedangkan hati itu penuh dengan ribuan berhala. Orang yang mengagungkan rencana, penipuan dan rancangannya, atau bergantung kepada seseorang insan, yang mana sepatutnya dia bergantung kepada Allah Ta'ala, atau terlalu yakin dengan diri sendiri yang mana sepatutnya mengagungkan Allah Ta'ala, dalam keadaan-keadaan seperti itu, ia juga termasuk memuja berhala. Berhala tidak semestinya diperbuat daripada emas, perak, gangsa atau batu lalu disembah, tetapi suatu ucapan atau perbuatan yang diagungkan yang menjadi hak Tuhan, pada pandangan Allah itu semua adalah berhala. ... ... ...

Ingatlah bahawa tauhid hakiki yang dikehendaki oleh Tuhan untuk kita ikrarkan, yang mana dengan ikrar itu ada hubungannya dengan keselamatan, ketauhidan itu ialah menganggap suci kepada Zat Allah Ta'ala berbanding dengan sekutu-Nya samada berhala, insan, matahari, bulan, nafsu, atau kepandaian sendiri. Juga hendaklah yakin bahawa tidak ada yang boleh menandingi-Nya. Tidak ada Pemberi Rezeki selain daripada-Nya. Tidak lagi memikirkan Mu'iz dan Muzil yang lain. Tidak ada Nasir selain daripada-Nya. Kemudian, kecintaan yang istimewa juga hendaklah dijalinkan dengan-Nya, ibadat juga harus istimewa, kerendahan hati, harapan dan juga ketakutan hendaklah dibuat secara khusus atas-Nya.

Jadi, tauhid tidak akan sempurna tanpa tiga peringkat ini. Pertama, tauhid dari segi zat, selain daripada zat-Nya, semuanya harus dianggap batil dan akan mengalami kehancuran. Kedua, tauhid dari segi sifat, yakni tidak harus meletakkan sifat Rububiyat dan Uluhiyat pada yang lain selain Allah. Semua yang ada di dunia ini adalah hasil ciptaan Tuhan. Ketiga, tauhid dari segi kecintaan, kebenaran dan kesucian, yakni kecintaan dan sebagainya dalam memperhambakan diri, jangan pernah tunduk kepada sekutu Allah dan tenggelam di dalamnya". (Sirajuddin Isai Ke Car Sawalun Ka Jawab, Rohani Khazain jili 12, halaman 349-350)

Hazrat Khalifatul Masih Awal(ra) berkata mengenai hal ini:-

"Selain Allah Ta'ala, melibatkan sekutu-Nya dalam suatu nama, amalan, dan ibadat adalah syirik. Semua perbuatan yang dilakukan semata-mata mendapatkan keredhaan Allah Ta'ala disebut sebagai ibadat. Orang ramai mengakui bahawa tidak ada Pencipta selain dari Allah Ta'ala. Juga mengakui bahawa hidup dan mati adalah di tangan Tuhan, di dalam genggaman Tuhan yakni Allah berkuasa memberi perintah. Namun, dengan mengakui hal itu pun, insan masih lagi berani sujud kepada benda lain, berdusta dan berjalan mengelilingi benda lain. Insan meninggalkan zikir Ilahi dan pergi menyembah yang lain. Insan meninggalkan puasa Tuhan tetapi menunaikan puasa yang lain, dan tidak peduli terhadap solat kepada Tuhan tetapi taat pada solat terhadap benda lain, dan juga membayar zakat kepada benda itu. Bagi menjauhkan hal-hal seperti inilah Allah Ta'ala telah mengutus Rasulullah(saw)". (Khutbah Nur, halaman 807)

Wednesday, January 6, 2010

Orang Yang Paling Malang

Hazrat Khalifatul Masih Awal berkata:-
Ada tiga kelompok orang yang bernasib malang, dan kita seharusnya berdoa kepada Allah agar dihindari daripada kelompok itu.

Pertama:-
Orang itu adalah yang paling malang sekali ialah mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya.

Kedua:-
Orang itu menganggap bahawa semua keburukan dan kejahatan yang dia lakukan adalah satu kebaikan.

Ketiga:-
Orang itu mengikuti keinginan-keinginan yang dapat menggelincirkannya.

(Al-Hakam, 17 Julai 1903, halaman 3)

Sunday, January 3, 2010

Isu Nama 'ALLAH'


PENGGUNAAN ISTILAH ‘ALLAH’ DALAM AGAMA LAIN
Sejauh yang berkenaan dengan istilah agama Islam, semuanya adalah datang daripada Allah Ta’ala, bukannya ciptaan mana-mana ulama atau pemimpin. Dan Allah Ta’ala tidak menetapkan kepada mana-mana kelompok dengan suatu istilah khas. Allah adalah Rabbul Alamin, iaitu Tuhan sekalian alam. Dan tidak ada persoalan bahawa suatu kaum itu boleh menggunakan suatu istilah dari Allah Ta’ala dan kaum yang lain dilarang keras untuk menggunakannya.
Ajaran Islam adalah ajaran untuk semua kaum, namun tidak semua umat Islam mengetahuinya. Allah Ta’ala berfirman dalam Al-Qur’an:-



Yakni “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Al-Anbiya:108)
Rasulullah(saw) menyebarkan ajaran yang dibawanya iaitu menyeru ke arah ketakwaan, dan setiap orang bukan sahaja diberikan kebenaran untuk beramal, malah mereka juga dijemput untuk berbuat seperti itu. Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an;-



Ertinya; Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu. (Ali-Imran:65)
Di sini tidak istilah tiru-meniru, agar tidak ada perselisihan faham, ada kerjasama antara satu dengan yang lain. Inilah maksud daripada Rahmatul Lil Alamin, iaitu menyebarluaskan rahmat ke seluruh dunia. Rahmat Tuhan meliputi setiap lapisan.
Jika isu penggunaan kalimah atau istilah ini berterusan, yang mana harus ada kebenaran dari jabatan agama sebelum menggunakannya, maka orang Yahudi akan menyatakan bahawa Nabi Ibrahim adalah pengasas kepercayaan kami, dan Al-Qur’an menegaskan kebenarannya iaitu istilah ‘Islam’ telah digunakan oleh Nabi Ibrahim buat pertama kalinya. Begitu juga dengan istilah ‘Muslim’. Di dalam Al-Qur’an dinyatakan bahawa:-



Ertinya; Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus (Haneef) lagi berserah diri (Muslim) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik. (Ali-Imran:68)
Jadi, tidak boleh orang Kristian menyatakan diri mereka Muslim dan orang Islam juga tidak boleh mengatakan diri mereka Muslim. Mereka harus minta kebenaran orang Yahudi untuk mengatakan diri mereka sebagai Muslim.
Persoalan yang timbul pula, kenapa kita harus meminta izin daripada orang Yahudi? Inilah soalan yang asas.
Semua istilah ini adalah kepunyaan Tuhan, dan Allah yang Maha Agung memberitahu kita bahawa setiap perkara yang baik boleh dilakukan tanpa halangan. Tidak ada larangan atas seiapa untuk meniru sesuatu yang baik.
Kemudian Allah Ta’ala juga berfirman:-



Ertinya; Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh (Muslim) kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh (Muslim) kepada Engkau. (Al-Baqarah:129)
Sebenarnya keimanan kita adalah pada masa Nabi Muhammad(saw). Namun, semua keturunan nabi Ibrahim, termasuk orang yang hidup sebelum zaman Rasulullah(saw), mereka adalah Muslim berdasarkan Al-Qur’an.
Allah Ta’ala berfirman lagi:-



Ertinya; (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim. (Al-Hajj:79)
Maksudnya, sesiapa pun yang menghubungkan dirinya kepada nabi Ibrahim berhak menamakan diri mereka sebagai Muslim dan tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang patut melarangnya.
Kemudian, Allah Ta’ala berfirman lagi:-



Ertinya: Berkata ia (Balqis): "Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. (An-Naml:30)



Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman dan sesungguhnya (isi)nya: "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (An-Naml:31)
Di sini juga adalah satu perkara yang harus diberi perhatian. Orang Yahudi akan menyatakan bahawa sebenarnya kami adalah Muslim dan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahiim adalah milik kami.
Dan, akhir sekali Allah berfirman:-



Yakni; Bahwa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri (Muslim)". (An-Naml:32)
Kemudian, Allah Ta’ala berfirman lagi:-


Yakni; Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: "Sesungguhnya kami akan mendirikan sebuah rumah peribadatan (masjid) di atas nama mereka". (Al-Kahfi:22)
Ayat ini menjadi bukti bahawa istilah masjid telah digunakan oleh orang Kristian dan itu menandakan istilah masjid adalah milik orang Krsitian. Jadi, jikalau lafaz masjid milik orang Kristian dan lafaz Muslim serta bismillah adalah milik orang Yahudi, orang Islam harus berhenti menggunakan istilah itu.
Demikian jugalah dalam isu penggunaan lafaz Allah dalam agama lain. Saya secara peribadi tidak keberatan jika orang Kristian menggunakan perkataan Allah. Sebab saya tidak akan terpengaruh dengan hanya panggilan nama Tuhan Allah. Dan saya sendiri telah dan sedang mempelajari Al-Kitab, dan di dalamnya banyak lafaz Allah digunakan, tetapi tidak juga menggugat keimanan saya untuk mengikuti ajaran Kristian, malah semakin ghairah untuk membetulkan kesalahfahan mengenai konsep ketuhanan dalam Kristian.
Sebenarnya, dalam soal ini saya tidak jumpa alasan apa yang digunakan orang Islam sehingga melarang penggunaan istilah oleh penganut agama lain. Bagi saya, istilah hanya sebutan di mulut sahaja. Kalau penggunaan istilah Allah oleh agama lain itu dikatakan menghina Islam, saya tidak setuju selagi pengguna itu sendiri yang menyatakannya demikian sebab tidak semua ajaran Kristian percaya kepada konsep Triniti. Ada juga kelompok Kristian yang percaya kepada konsep keesaan Tuhan.
Jadi, sebagai orang Islam, jangan kita terlalu ghairah sehingga membuat berbagai-bagai kenyataan yang boleh mengundang kekacauan. Islam agama perdamaian.
Sebenarnya, dalam tidak sedar, ramai umat Islam yang telah menghina Tuhan sendiri. Tidak kiralah orang Islam itu berpangkat datuk, datin, menteri, orang awam atau bangsawan, ringkasnya, amalan yang tidak berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah, mereka boleh dikategorikan sebagai menghina Allah.
Gambaran Allah dalam beberapa penganut Islam sendiri banyak yang silap. Contoh yang terdekat dan sehari-hari yang dilakukan ialah dalam lafaz niat ketika mendirikan solat. Ada beberapa orang imam yang saya jumpa menyatakan bahawa, jika tidak baca lafaz USALLI dalam solat, tidak sah, sebab ibarat kita pergi jumpa kawan mahu punjam barang, kalau kita tidak cakap, kawan itu tidak tahu apa yang kita mahu. Sebab itu solat pun demikian, kita mesti nyatakan tujuan kita berdiri, nak solat apa, berapa rakaat, mengadap kemana, dll. Saya jawab: tuan imam jangan silap, tuan tidak boleh samakan Tuhan dengan manusia. Tuhan Maha Mengetahui.
Banyak lagi yang hendak saya terangkan, tapi cukuplah untuk kali ini, sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit pengetahuan kepada orang Islam yang ingin mencari kebenaran.
Pesanan saya, janganlah dibesar-besarkan isu seperti ini. Jangan merasa kecewa dengan keputusan hakim. Sebagai orang Islam, kita harus berpegang pada Al-Qur’an, hayati surah Al-Ikhlas. Serahkan kepada Allah, kalau memang mereka mahu guna perkataan Allah itu, biarkanlah. Mudah-mudahan dengan berkat kata Zat ALLAH itu, hati mereka terbuka untuk menerima Islam.
Tuhan Allah itu adalah Tuhan semua manusia, Tuhan Nabi Muhannad, Tuhan Nabi Isa, Tuhan Nabi Musa dan Tuhan setiap makhluk di seluruh alam. Cuma ada manusia yang tidak atau belum dapat menerima hakikat. Tuhan Allah bukan hanya milik orang Islam sahaja. Tetapi itulah Tuhan yang kekal abadi. Jadi, jangan cuba untuk monopoli.
Kepada penganut Kristian pula, jangan terlalu berbangga dengan keputusan hakim. Jika Tuhan kita memang sama, Allah yang Maha Esa, kamu semua harus menerima Islam, sebab itu yang diinginkan oleh nabi Isa. Sesungguhnya sang penghibur itu sudah datang. Dan banyak yang dikatakan kepada kamu apa-apa yang belum disampaikan kepada kamu selama nabi Isa hidup. Nabi Isa sudah wafat. Jangan pergi terlalu jauh, sebab jika kamu semakin jauh dari ajaran agama yang benar, suatu masa nanti jangan sampai merasa seperti yang pernah dirasakan oleh Nabi Isa dahulu; Eli Eli, lama sabakhtani, Tuhanku, kenapa Engkau meninggalkan aku.
Blog;
Wassalam.