Thursday, February 18, 2010

Fasik dan Kejahatan


Tidak Melakukan Perbuatan Fasik dan Kejahatan

Dalam syarat bai'at yang kedua juga ada menyatakan tentang larangan agar menghindari atau menjauhi perbuatan fasik dan jahat. Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Qur'an:

Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalangan kamu ada Rasul Allah. Jika dia menuruti kehendak kebanyakan orang-orang di antara kamu, maka benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan. tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan, dan menjadikan iman itu indah dalam hati kamu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah yang mengikuti jalan yang lurus. (Al-Hujurat:8)
Ada satu hadis, Aswad meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: "Apabila ada di antara kamu yang berpuasa, janganlah mengatakan perkara yang keji, jauhi perkataan fasik dan hindari kejahilan. Dan jika ada yang berbuat sesuatu yang jahil terhadapnya, katakanlah maafkan saya, saya sedang berpuasa. (Musnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 2, halaman 356, cetakan Beirut)

Rasulullah(saw) bersabda: Mencaci maki orang Mukmin adalah fasik dan memeranginya adalah kufur.

Abdurrahman Bin Syabal meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: Seorang peniaga adalah berdosa. Rawi bertanya: Ya Rasulullah! Tidakkah Allah telah menghalalkan perniagaan? Rasulullah(saw) bersabda: Kenapa tidak! Tetapi apabila berurusniaga, mereka berdusta dan bersumpah-sumpah untuk meninggikan harga.

Rawi mengatakan lagi bahawa Rasulullah(saw) bersabda: Orang yang fasik adalah ahli neraka. Ditanya lag: Ya Rasulullah! Orang fasik itu siapa? Rasulullah(saw) bersabda: Wanita-wanita juga ada yang fasik. Seseorang bertanya: Ya Rasulullah! Tidakkah mereka itu adalah ibu, saudara perempuan atau isteri-isteri kita? Rasulullah(saw) bersabda: Memang! Tetapi apabila mereka itu diberikan sesuatu mereka tidak bersyukur, dan apabila mereka diuji, mereka tidak bersabar. (Musnad Ahmad Bin Hambal, jilid 3, halaman 428, cetakan Beirut)

Dan ini juga yang harus difikirkan oleh para peniaga yakni mereka hendaklah berniaga dengan jalan yang bersih dan suci. Ini juga adalah salah satu di antara syarat bai'at.

Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata: Telah terbukti dari Al-Qur'an bahawa orang yang fasik akan dihukum terlebih dahulu sebelum orang kafir. ... ... Ini adalah cara Allah Ta'ala, apabila suatu kaum sudah fasik dan berdosa, maka suatu kaum yang lain akan mengatasi mereka. (Malfoozaat Jilid 2, halaman 653, edidi baru)

Kemudian berkata lagi: Apabila fasik dan dosa ini sudah melampaui batasan serta menolak hukum Tuhan dan membenci tanda-tanda kemuliaan Allah sudah bermaharajalela, kemudian mereka tenggelam dalam kemewahan serta keseronokan duniawi, maka Allah Ta'ala akan memperlakukan mereka seperti Hulaku, Canggez Khan dan lain-lain. Ada tertulis bahawa pada waktu itu nanti akan kedengaran suara dari langit, Aiyuhal Kuffar, Uqtulul Fujjar. Jadi, orang yang fasik dan fujjar ini lebih hina daripada orang kafir dan patut dibenci. (Malfoozaat Jilid 3, halaman 108, edisi baru)

Kemudian berkata lagi: Doa orang yang fasik lagi zalim tidak akan diterima kerana mereka tidak ambil peduli terhadap Allah Ta'ala, lalu Allah Ta'ala pun tidak lagi melihat mereka. Apabila seorang anak sudah tidak lagi peduli kepada ayahnya, malah menentangnya, maka ayahnya juga tidak akan peduli lagi, demikian juga Tuhan. (Tafsir Hazrat Masih Mau'ud(as), Jilid 3, halaman 611, edisi baru)


Saturday, February 13, 2010

Menjauhi Pandangan Berahi


Dalam syarat bai'at yang kedua ini, ia juga ada menyatakan tentang menjauhi pandangan berahi terhadap yang bukan muhrim. Ia juga dipanggil sebagai ghadhe bashar.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Raihana, dia mengatakan bahawa dia pernah bersama Rasulullah(saw) dalam suatu peperangan. Pada satu malam, beliau mendengar Rasulullah(saw) bersabda: "Api haram atas mata yang sentiasa jaga pada jalan Allah Ta'ala. Dan api juga haram atas  mata yang menangis kerana takut kepada Allah Ta'ala".

Abu Syarih berkata, saya mendengar seorang perawi mengatakan bahawa Rasulullah(saw) juga ada bersabda: "Api juga haram atas mata yang tunduk daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Dan api itu juga haram atas mata yang dizahirkan pada jalan Allah Ta'ala". (Sunan Darmi, Kitabul Jihad, Bab Fil Lazi Yasharu Fi Sabilillahi Harsan)

Kemudian dalam satu hadis lain, Ubadah Bin Samit(ra) meriwayatkan bahawa Nabi(saw) bersabda: "Aku berikan khabar gembira bahawa kamu akan masuk syurga jika kamu beri jaminan kepada saya tentang enam perkara. Apabila kamu berkata hendaklah yang benar, apabila kamu berjanji hendaklah ditunaikan, apabila kamu diletakkan suatu amanah hendaklah berikan sesuai dengannya, hendaklah kamu menjaga kemaluan kamu, jalankan ghadhe bashar, dan jangan biarkan tangan kamu melakukan kezaliman". (Masnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 5, halaman 323, cetakan Beirut)

Hazrat Abu Said Khudri(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: "Hindari dari mengadakan majlis di jalan-jalan". Mereka berkata: "Ya Rasulullah! Kami tidak ada cara selain membuat majlis di jalan-jalan". Rasulullah(saw) menjawab: "Jika begitu, sempurnakan hak jalan-jalan". Mereka bertanya lagi: "Apakah hak jalan-jalan itu?" Baginda(saw) menjawab: "Kamu hendaklah menjawab salam orang yang lalu-lalang, lakukan ghadhe bashar, tunjukkan jalan kepada orang yang bertanya, ajaklah melakukan kebaikan dan hindari dari melakukan kejahatan." (Masnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 3, halaman 16, cetakan Beirut)
Hazrat Aqdas Masih Mau'ud(as) berkata: "Al-Qur'an telah mengajarkan satu jalan yang terbaik sesuai dengan tuntutan dan kelemahan fitrat seorang insan. Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, hendaklah mereka itu menundukkan pandangan dan memelihara faraj-faraj, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka (An-Nuur:31) Faraj-faraj di sini bukan hanya merujuk kepada kemaluan, malah ia termasuklah setiap lubang seperti telinga dan sebagainya, dan juga termasuk menghindari diri dari mendengar pesta-pesta wanita yang bukan muhrim. Kemudian, dari beribu-ribu pengalaman telah terbukti bahawa apa yang telah Allah larang, akhirnya insan sendiri yang meninggalkannya." (Malfoozaat Jilid 7, halaman 135)

Kemudian beliau berkata lagi: "Islam telah mewajibkan batasan-batasan antara wanita dan lelaki. Pardah yang diperintahkan untuk wanita, juga ia dikenakan kepada kaum lelaki iaitu ghadhe bashar. Solat, puasa, zakat, haji, beza antara halal dan haram, meninggalkan amalan yang bertentangan dengan perintah Allah, semua itu merupakan pintu-pintu Islam yang sempit, yang mana tidak semua insan dapat melaluinya." (Malfoozaat Jilid 5, halaman 614, edisi baru)

Dengan itu, lelaki juga diharapkan agar mendapat pelajaran bahawa mereka harus menundukkan pandangan, malu itu tidak hanya untuk wanita sahaja, tetapi kaum lelaki juga harus mengamalkannya.

Kemudian beliau berkata lagi: "Untuk mencapai iffat, Tuhan bukan sahaja telah memberikan ajaran yang terbaik, malah insan juga diajarkan lima cara untuk memastikan hidup yang suci. Menghindari dari melihat yang bukan muhrim, tidak mendengar suara yang bukan muhrim, tidak mendengar kisah-kisah mengenai yang bukan muhrim, dan juga menghindari semua majlis-majlis yang boleh menggalakkan perbuatan yang buruk. Jika tidak mampu bernikah, hendaklah berpuasa dan sebagainya."

Beliau(as) berkata lagi: "Di sini kita dengan bangga mengatakan bahawa ajaran yang terbaik bersama dengan semua tadbir-tadbirnya yang dijelaskan oleh Al-Qur'an, ia hanya merupakan keistimewaan  yang dimiliki oleh Islam. Dan di sini ada satu perkara yang perlu diingat bahawa oleh kerana insan secara tabi'inya dipengaruhi oleh syahwat, dan tanpa suatu perubahan, insan tidak boleh terhindar daripadanya, dia tidak boleh hidup dengan diliputi semangat syahwat seperti itu, atau boleh dikatakan bahawa dia  sentiasa berada dalam bahaya. Sebab itu Tuhan tidak mengajarkan bahawa jangan melihat wanita yang bukan muhrim, merenung kecantikannya dan menonton gaya tarian mereka dengan cara berpura-pura, tetapi boleh melihat mereka dengan pandangan yang bersih. Dan juga kita tidak diajarkan supaya jangan mendengar nyanyian wanita-wanita muda yang bukan muhrim, mendengar cerita-cerita kecantikan mereka dengan fikiran yang kotor tetapi haruslah dengan fikiran yang bersih. Kita tidak diajarkan seperti itu, malah apa yang diperintahkan dan ditegaskan ialah jangan sama sekali melihat kecantikan wanita yang bukan muhrim, tidak kira samada dengan pandangan bersih atau kotor. Dan juga jangan mendengar keindahan suara dan kisah-kisah kecantikan mereka, tidak kira samada dengan fikiran yang bersih atau kotor. Seharusnya kita menyimpan perasaan benci atas perbuatan tersebut. Sebab, dengan pandangan yang bersih pun ada masa-masanya boleh tergelincir. Jadi, oleh kerana Tuhan berkehendak supaya mata dan hati kita bebas daripada bahaya-bahaya itu, sebab itu Tuhan mengajarkan kita ajaran yang terbaik ini. Tidak diragui bahawa jika tidak dihalang-halang, maka suatu kejadian yang tidak diingini boleh sahaja terjadi. Jika kita letakkan roti yang lembut di hadapan seekor anjing yang lapar dengan harapan bahawa tidak akan timbul dalam hati anjing itu untuk memakan roti tersebut, maka kita sebenarnya melakukan kesilapan. Jadi, Tuhan berkehendak agar keinginan nafsu itu langsung tidak diberi peluang supaya kita bebas daripada bahaya." (Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain, Jilid 10, halaman 343-344)

Saturday, February 6, 2010

Menghindari Zina


Dalam syarat bai'at yang kedua juga ada dijelaskan mengenai larangan menjauhi zina. Dalam hal ini Allah Ta'ala berfirman:-

 
(Surah Bani Israil:33)
 yakni, janganlah cuba mendekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang buruk.

Dalam satu hadis, Muhammad Bin Sirin meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) memberi nasihat yang agak panjang, dan antaranya ialah berkenaan dengan iffat yakni kesucian dan kebenaran lebih baik daripada berzina dan berdusta. (Sunan Darul Qutni, Kitabul Wasaya, Bab Maa Yastahibbu Bil Wasaya Minat Tasyahud Wal Kalami)

Di sini zina dan dusta diterangkan bersama-sama, dari situ juga dapat diketahui betapa besarnya dosa bagi berdusta.
Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata:-
"Janganlah mendekati zina, yakni jauhilah majlis-majlis yang menyebabkan fikiran terarah kepadanya. Dan janganlah ikuti jalan-jalan yang boleh menyebabkan dosa ini. Orang yang berzina telah menjadikan kejahatannya sampai ke puncak. Jalan zina amat buruk sekali kerana ia boleh menghalang tujuan yang hendak kita capai, dan ia juga amat berbahaya dalam melaksanakan kewajipan akhirat kita. Mereka yang tidak ada kemampuan berkahwin, mereka hendaklah menjaga kesucian dengan cara yang lain, umpamanya berpuasa atau mengurangkan makan, ataupun banyak melakukan pekerjaan yang dapat mengurangkan tenaga."
(Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 342)

Beliau mengatakan bahawa jauhilah benda-benda yang memungkinkan timbul keinginan untuk melakukan zina dalam hati. Kadang-kadang anak muda selalu lupa dan tidak sedar, bahawa mereka biasa menonton filem-filem yang adakalanya filem yang tidak patut ditonton. Itu semua akan menjatuhkan akhlak yang murni, perkara itu hendaklah dijauhi sebab ini juga merupakan salah satu jenis zina.


Monday, February 1, 2010

Dusta - Dosa Besar (2)


Masih lagi berkenaan dengan syarat bai'at yang kedua.
Hazrat Ibnu Mas’ud(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: “Kebenaran membawa ke arah kebaikan, dan kebaikan menuju ke arah syurga. Jika insan selalu berkata benar, mereka akan ditulis sebagai siddiq. Manakala dusta membawa ke arah dosa, kejahatan dan kekejian, dan kejahatan dan kekejian itu menuju ke neraka. Jika insan selalu berkata dusta, mereka akan ditulis sebagai kazzab”. (Bukhari, Kitabul Adab, Bab Qoulul Laahu Ittaqullaah Wa Kunu Ma’as Shoodiqiin)
Hazrat Abdullah(ra) bin Umar bin ‘As(ra) meriwayatkan bahawa seseorang datang berjumpa Rasulullah(saw) dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah amalan syurga”? Rasulullah(saw) menjawab: “Berkata benar, apabila seorang hamba berkata benar, dia akan menjadi patuh, apabila sudah patuh, dia akan menjadi mukmin yang hakiki. Setelah menjadi mukmin yang hakiki, maka dia akan mendapat syurga sebagai ganjarannya”. Kemudian orang itu bertanya lagi: “Ya Rasulullah! Apakah amalan yang boleh membawa seseorang masuk ke dalam neraka”? Rasulullah(saw) menjawab: “Dusta, seseorang yang berkata dusta, dia menjadi ingkar, apabila sudah ingkar dia menjadi kufur. Sekiranya dia tetap dalam kekufuran, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka”. (Musnad Ahmad bin Hambal, Jilid 2, halaman 176, cetakan Beirut)
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata:-
“Al-Qur’an juga menyatakan dusta sebagai najis atau rijs sebagaimana yang terdapat dalam ayat Faztanibur Rijsa Minal Autsaani Waj Tanibuu Qoulaz Zuur, di sini diletakkan dusta seiring dengan berhala-berhala. Dan pada hakikatnya dusta juga adalah sejenis berhala. Sebabnya, kenapa meninggalkan kebenaran dan beralih kepada dusta? Sebagaimana di sebalik berhala-berhala itu tidak ada suatu hakikat kebenaran, demikian juga dusta, ia tidak mengandungi apa-apa. Keyakinan orang-orang yang berkata dusta akan berkurangan sehingga sekiranya dia berkata benar, timbul dalam hati jangan sampai ada campuran dusta di dalamnya. Jika orang yang berdusta mahu agar pendustaan mereka berkurangan, ia tidak berlaku dengan segera. Ia mengambil masa sehinggalah adat berkata benar menjadi kebiasaan mereka.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 350)
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata lagi:-
“Dari semua fitrat setiap insan, ada fitrat yang istimewa iaitu kebenaran. Jika insan tidak digerakkan oleh sesuatu keinginan nafsu, dia tidak ingin berkata dusta. Memilih untuk berdusta amat dibenci dalam hatinya. Inilah sebabnya apabila seseorang telah dapat dibuktikan pendustaannya, dia merasa tidak senang dan dipandang hina. Tetapi, keadaan tabi’i seperti ini belum termasuk dalam akhlak sebab anak-anak dan orang gila juga boleh berbuat seperti itu. Hakikatnya ialah, selagi insan belum terpisah dari keinginan-keinginan nafsu sendiri yang boleh menghalang kebenaran, selagi itulah kebenaran tidak akan bertahan. Ini kerana jika insan hanya berkata sesuatu yang benar ketika tidak berlaku apa-apa, tetapi apabila melibatkan soal kejatuhan maruah atau harta benda maka mereka berdusta dan mengelak dari mengatakan kebenaran, apa kelebihan yang dia miliki berbanding anak-anak dan orang gila? Tidakkah orang gila atau anak-anak pun boleh mengatakan kebenaran yang seperti itu? Di dunia ini, tidak ada seorang pun yang sengaja mahu berdusta tanpa dipengaruhi atau digerakkan oleh sesuatu. Jadi, orang yang meninggalkan kebenaran dalam masa-masa kritikal tidak boleh dikategorikan sebagai orang berakhlak. Memang berat untuk mengatakan kebenaran ketika nyawa, harta dan maruah dalam pertaruhan. Dalam hal ini, Tuhan mengajarkan di dalam Al-Qur’an:-
Terjemahannya:-
1.      Jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta (Al-Hajj:31)
2.      Dan janganlah saksi-saksi itu enggan memberi keterangan apabila mereka dipanggil (Al-Baqarah:283)
3.      Dan janganlah kamu menyembunyikan persaksian, barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya (Al-Baqarah:284)
1.      Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil kendatipun dia adalah kerabatmu (Al-An’am:153)
2.      Jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu (An-Nisa:136)
3.      Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil (Al-Maidah:9)
4.      Laki-laki dan perempuan yang benar (Al-Ahzab:36)
5.      Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran (Al-Ashr:3)
6.      Tidak memberikan persaksian palsu (Al-Furqan:73)
(Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 360-361)