Monday, October 25, 2010

Lembaran Tarbiyat 08



ORANG YANG MEMANDANG AKHIRAT SELALU BERBERKAT

“Saya melihat, walaupun musibat demi musibat yang datang, dan dari setiap arah kelihatan berbahaya, orang tetap berdegil dan tidak meninggalkan kesombongan mereka. Tidak berpaling dari perbuatan jahat mereka dan tidak berdamai dengan Allah Ta’ala. Saya telah melihat dan merenungkan sedalam-dalamnya, dalam zaman kemarau, orang tidak perasan bahawa musibat kemarau sedang berlaku. Pusat minum arak tetap dikunjungi ramai, pusat-pusat maksiat tetap sahaja panas. Pada zaman awal,  jika ada suatu fatwa datang dari Mekah atau Madinah, orang ramai menjadi takut dan masjid-masjid akan penuh. Tetapi, zaman sekarang ini kejahatan sudah melampaui batas, Tuhan sahaja yang boleh memperbaikinya”.

“Orang yang bijak akan berfikir sebelum datang suatu azab, dan orang yang berakal akan berfikir bagaimana terselamat sebelum suatu musibat itu muncul”.

“Lazim bagi seorang insan untuk cenderung ke arah akhirat dan bertaubat daripada keburukan kerana kegembiraan yang sebenar dan ketenangan yang sejati ada di situ. Ini adalah satu perkara yang pasti bahawa kejahatan dan keburukan tidak memberi kegembiraan yang sebenar walaupun hanya sebentar”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 157)

UJIAN MEMBAWA RAHMAT

“Sebenarnya ujian boleh membawa rahmat yang besar. Dari satu arah seorang hamba menanggung kesusahan dan memutuskan hubungan dari empat penjuru lalu cenderung ke arah yang Satu, dan dari satu arah yang lain dengan kurnia-Nya, Ilahi datang membawa ketenangan. Aku selalu melihat hal ini berlaku dalam sunnah para nabi-nabi dan juga sunnatullah.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 382)

NAMA JEMAAT AHMADIYAH

Nama Jemaat Ahmadiyah telah dikritik dengan alasan bahawa ia adalah nama baru. Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata: “Orang ramai yang menamakan diri mereka sebagai Hanafi, Syafi’i dan sebagainya, itu adalah bid’ah. Rasulullah s.a.w hanya mempunyai dua nama, Muhammad dan Ahmad. Nama agung Rasulullah adalah Muhammad. Sebagaimana nama Tuhan yang agung ialah Allah, selain itu ada juga nama-nama Allah yang lain seperti HAIYU, QAIYUM, RAHMAN, RAHIM dan sebagainya. Rasulullah s.a.w dinamakan sebagai Ahmad. Ini disentuh oleh Nabi Isa: YA’TII MIM BA’DIS MUHUU AHMAD (As-Shaff:7). Lafaz MIM BA’DI menzahirkan bahawa nabi itu akan datang selepas aku, yakni di antara aku dan dia, tidak ada nabi yang datang. Nabi Musa a.s tidak mengatakan seperti ini, beliau a.s mengatakan: MUHAMMADUR RASUULULLAAHI WALLAZIINA AAMANUU MA’AHUU ASYIDDAA’U (Surah Al-Fath:30), ayat ini merujuk kepada kehidupan Rasulullah s.a.w semasa di Madinah. Apabila sudah ramai orang-orang Mukmin yang menyertai perang melawan kuffar, sebab itu nabi Musa a.s menyebut baginda s.a.w sebagai Muhammad kerana nabi Musa a.s sendiri penzahirannya adalah JALAL yakni kegagahan. Sedangkan Isa a.s menamakannya Ahmad sebab penzahirannya selalu dalam bentuk JAMAL. Oleh kerana jemaat kita juga selalu dalam bentuk JAMAL, sebab itu kita meletakkan nama Ahmad.”

“Firqah-firqah Islam juga adalah keliru, ada yang menyebut baginda s.a.w sebagai Hanafi, Maliki, Syiah dan Sunni, sedangkan Rasulullah s.a.w hanya ada dua nama, Muhammad dan Ahmad. Jadi, umat Islah seharusnya hanya ada dua firqah sahaja iaitu Muhammadi atau Ahmadi.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 443)

Sunday, October 24, 2010

Lembaran Tarbiyat 07


MUSLIM YANG SEBENAR

“Orang Islam ialah mereka yang membenarkan ayat ASLAMA WAJHAHUU LILLAAHI. Maksud WAJHAH ialah wajah, namun ia juga berkaitan dengan zat dan diri seseorang. Jadi, orang yang meletakkan segala kekuatannya kepada Allah, mereka itulah yang layak dikatakan sebagai Muslim yang sebenar. Saya teringat ada seorang Muslim menjemput seorang Yahudi untuk menerima Islam. Dan orang Muslim itu seorang yang tenggelam dalam kejahatan dan keburukan. Orang Yahudi itu berkata kepada orang Muslim fasik itu; Pertama sekali lihatlah diri kamu sendiri, jangan merasa bangga kerana dikatakan sebagai Muslim. Tuhan mahukan maksud daripada Islam, bukannya nama atau sebutan. Orang Yahudi itu menceritakan kisahnya: Saya telah meletakkan nama anak saya Khalid, tetapi keesokan harinya saya terpaksa menggali kubur untuknya. Jika nama itu ada berkat, kenapa anaknya mati. Jika ada orang Islam ditanya: Adakah kamu Islam? Maka jawablah: Alhamdulillah.”

“Jadi, ingatlah bahawa sebutan dan pengakuan tidak memberi makna apa-apa selagi amalan belum dilakukan. Hanya ucapan sahaja tidak ada nilainya di sisi Allah. Firman-Nya: KABURA MAQTAN ‘INDALLAAHI AN TAQUULUU MAA LAA TAF’ALUUN (As-Shaff:4).” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 48) yakni Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan.

KHIDMATI ISLAM

“Jika kamu hendak membantu dan mengkhidmati Islam, pertama sekali jadikanlah diri kamu bertakwa dan suci, yang mana dengan itu kamu akan datang dalam perlindungan Tuhan. Kemudian kamu akan mendapat hak untuk berkhidmat. Kamu melihat bahawa kekuatan luaran umat Islam sudah lemah, kaum lain melihat dengan pandangan benci dan hina. Jadi, jika kekuatan dalaman dan hati kamu pun turut lemah, anggaplah bahawa segala-galanya sudah berakhir.”

“Jangan jadikan akhlak dan cara hidup kamu mengotorkan Islam. Kejahatan orang Islam dan tidak beramal pada ajaran Al-Qur’an boleh mengotorkan Islam.”

“Ada orang Islam yang minum arak, kemudian muntah di sana-sini, orang Hindu dan Kristian mentertawakan mereka. Mereka bukan merugikan diri sendiri tetapi menjadikan Islam jadi bahan tertawaan.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 48)

FIKIRKANLAH TENTANG AKHIRAT

“Malang sekali, secara amnya kelihatan bahawa disebabkan suatu musibah yang datang, rasa sombong dalam diri manusia belum hilang. Saya berkata dengan benar, selagi kedegilan manusia belum jauh, rasa riak ini tidak hilang. Saya melihat manusia tidak bersedia untuk melakukan perdamaian dengan Tuhan. Dalam musim kemarau pun manusia tidak merasainya. Pada zaman awal, orang ramai merasa takut jika ada suatu fatwa dari Mekah dan Madinah, tetapi orang zaman sekarang tidak takut walaupun melihat musibah mendatang. Pada pendapat saya, selagi seseorang tidak rujuk dengan sempurna, takdir tidak akan berubah. LAA YUGHAIYIRU MAA BI QOUMIN HATTA YUGHAIYIRUU MAA BI ANFUSIHIM (Ar-Ra’ad:12) (Malfoozaat Jilid 1, halaman 96)

Saturday, October 16, 2010

Lembaran Tarbiyat 06




PERSEDIAAN MENUJU AKHIRAT

“Oleh kerana hidup manusia tidak boleh dijangka, sebab itu, tuan-tuan yang berkumpul pada hari ini, mungkin pada masa akan datang tidak akan dapat berkumpul lagi.”

“Setiap orang hendaklah membuat persediaan untuk akhirat. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa saya tidak diberitahu nama-nama orang yang berkenaan, tetapi saya tahu dengan benar bahawa qada’ dan qadar menyatakan, satu masa nanti akan meninggalkan dunia yang fana ini. Sebab itu saya merasa amat perlu untuk menyatakan hal ini bahawa setiap orang dan setiap sahabat yang ada pada hari ini, jangan menganggap ringan tentang apa yang saya katakan, tetapi ini adalah nasihat dari sisi Allah dan utusan daripada Allah”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 33)

BERIMAN KEPADA KEWUJUDAN ALLAH

“Jadi, aku beritahu kepada sahabat-sabahatku, ingatlah dengan sebaik-baiknya dan dengarlah dari hati, berilah tempat di hati. Sebagaimana yang Allah Ta’ala telah buktikan dalam Al-Qur’an tentang kewujudan dan ketauhidan-Nya dengan dalil-dalil yang kuat dan mudah, ketahuilah dengan benar, amat malang sekali mereka yang melihat kudrat dan keajaiban wujud yang Maha Perkasa ini, tetapi mereka masih syak dan menzahirkan keraguan. Berkenaan dengan orang-orang seperti ini, Allah Ta’ala jelas berfirman AFILLAAHI SYAKKUN FAATIRIS SAMAAWAATI WAL ARDHI (Ibrahim:11), adakah mungkin dalam kewujudan Allah yang telah menciptakan langit dan bumi itu sesuatu yang meragukan?”

“Kebutaan ada dua jenis, buta mata dan juga buta hati. Buta mata tidak memberi kesan kepada keimanan, tetapi buta hati mempunyai pengaruh ke atas keimanan. Sebab itu perlu dan amat perlu bagi setiap orang untuk berdoa kepada Allah dengan penuh rendah diri agar mereka dikurniakan penglihatan untuk mengetahui makrifat dan hakikat yang sebenar serta terselamat daripada waswas syaitan.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 34)

KEIMANAN KEPADA HARI AKHIRAT

“Waswas syaitan ada banyak jenis. Dan yang paling bahaya yang ditanamkan dalam hati manusia ialah KHASIRAD DUNYA WAL AAKHIRAH. Berkenaan dengan akhirat, oleh kerana selain semua sarana kebaikan-kebaikan dan ketakwaan yang berat juga ialah beriman kepada akhirat, dan apabila insan menganggap akhirat sebagai satu cerita hikayat atau rekaan, maka ingatlah mereka telah tertolak dan rugi di kedua-dua alam. Sebab itu, ketakutan kepada akhirat juga boleh mengarahkan insan ke arah sumber makrifat yang sebenar. Dan tanpa makrifat yang sebenar, ketakutan kepada Allah secara hakiki tidak akan muncul. Jadi, ingatlah bahawa rasa waswas terhadap akhirat boleh meletakkan iman dalam keadaan bahaya dan merosakkan khatimah bil khair”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 34)

CARA HIDUP ORANG SOLEH

“Orang yang menghidupkan malam dengan berdiri dan sujud sehingga Subuh, adakah kamu fikir mereka itu mempunyai kekuatan jasmani yang hebat, atau adakah mereka itu terkenal sebagai seorang pahlawan yang handal? Tidak!, ingatlah dengan sebaik-baiknya, pekerjaan itu tidak akan terlaksana hanya dengan kekuatan dan kehandalan jasmani yang ada, tetapi hanya orang yang mempunyai kekuatan rohani dapat melakukannya. Mungkin ramai orang yang telah kamu lihat makan sehingga empat lima kali sehari dengan makanan yang lazat dan berkhasiat. Tetapi apa yang terjadi? Mereka diselimuti dengan mengantuk sehingga Subuh, dan Isyak pun begitu sukar untuk menunaikannya.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 34)

Monday, October 11, 2010

Lembaran Tarbiyat 05


TIGA PERINGKAT ILMU

“Terdapat tiga peringkat ilmu, iaitu ilmul yaqin, ainul yaqin, dan haqqul yaqin. Sebagai contoh, apabila melihat asap dari jauh, timbul di fikiran bahawa ada api, itu dinamakan ilmul yaqin. Apabila melihat sendiri dengan mata, maka keyakinan bahawa ia adalah api menjadi lebih jelas, ini dikatakan ainul yaqin. Kemudian, apabila meletakkan tangan di atas api tersebut dan terasa terasa panas, maka telah yakin sepenuhnya bahawa api memang wujud, ini dikatakan haqqul yaqin. Betapa malangnya insan yang tidak mendapat tempat di antara ketiga-tiga tingkat ilmu tadi”.

“Allah Ta’ala berfirman dalam Al-Qur’an WALLAZIINA JAAHADU FIINAA LANAHDIYAN NAHUM SUBULANA (Al-Ankabut:70) yakni ‘mereka yang bermujahadah pada jalan Kami, maka Kami akan menunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka’. Ini adalah janji Allah, dan dari sudut yang lain ada pula doa diajarkan iaitu IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM (Al-Fatihah:6). Jadi, setiap insan harus memberi perhatian dalam solat masing-masing terhadap doa-doa ini.”

“Jangan sampai terjadi kita dibangkitkan dari alam ini dalam keadaan buta. Firman Allah Ta’ala: MAN KAANA FII HAAZIHII A’MAA FAHUWA FIL AAKHIRATI A’MAA (Bani Israil:73) yakni ‘sesiapa yang buta di dunia ini, maka di akhirat pun dia juga buta’.  (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

SIAPA YANG BUTA?

“Maksud buta ialah mereka yang kosong daripada pengetahuan tentang makrifat dan kelazatan rohani. Seseorang yang kebetulan lahir di rumah orang Islam, maka dia dikatakan Muslim. Seseorang yang lahir dalam keluarga Kristian, maka dia dikatakan Kristian. Inilah sebabnya orang-orang seperti itu tidak menghormati Tuhan, Rasul dan Al-Qur’an. Kecintaannya kepada agama juga boleh dipertikaikan. Kehidupannya dilalui dengan penghinaan terhadap Tuhan dan Rasul. Sebabnya ialah orang-orang seperti itu tidak mempunyai mata rohani, tidak ada kecintaan terhadap agama.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

MUTTAKI

“Dalam permulaan surah Al-Baqarah ada ayat HUDALLIL MUTTAQIIN (Al-Baqarah:3), seolah-olah Tuhan telah membuat persediaan untuk memberi, yakni kitab ini dijanjikan boleh menyampaikan insan ke tahap kesempurnaan. Maksudnya, Kitab ini bermanfaat bagi mereka yang bertakwa dan yang  bersedia untuk mendengar nasihat.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

UJIAN ITU PERLU

“Lihatlah keadaan para nabi-nabi, adalah silap jika mengatakan bahawa dengan pergi kepada seorang wali, maka orang itu akan menjadi wali dengan tiba-tiba. Allah Ta’ala berfirman: AHASIBAN NAASU AIYUT RAKUU AIYAQUULUU AAMANNAA WAHUM LAA YUFTANUUN (Al-Ankabut:3). Selagi insan tidak diuji, tidak diletakkan dalam fitnah, bagaimana mungkin dia boleh menjadi wali”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 14)

Thursday, October 7, 2010

Lembaran Tarbiyat 04


BERKAT TAKWA

“Jadi, kita hendaklah selalu lihat bahawa setakat mana kemajuan yang boleh dicapai melalui takwa dan kesucian? Ukurannya adalah Al-Qur’an. Allah Ta’ala telah meletakkan tanda-tanda seorang muttaki yang antaranya ialah Allah Ta’ala akan membebaskan orang muttaki dari perkara-perkara dibenci, dan pekerjaannya sendiri sudah mencukupi. Sebagaimana firman-Nya WAMAIYAT TAQILLAAHA YAJ ‘ALLAHUU MAKHRAJAN. WA YARZUQHU MIN HAITSU LAA YAHTASIB (At-Talaq:3-4), yakni ‘orang yang takut kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari segala musibat, dan juga akan memberikannya rezeki yang dia sendiri tidak pernah sangka-sangka’. Inilah antara tanda seorang muttaki, iaitu Allah Ta’ala tidak akan membiarkan seorang muttaki itu menggunakan cara yang tidak betul. Sebagai contoh, seorang pekedai beranggapan bahawa tanpa menggunakan tipu muslihat, perniagaannya tidak dapat berjalan, sebab itu dia tidak berpaling dari muslihatnya dan menzahirkan bahawa dia terpaksa berkata dusta, sedangkan itu adalah cara yang tidak betul. Tuhan sendiri yang akan menjadi penjaganya, dan akan memeliharanya daripada melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kebenaran. Ingatlah bahawa apabila seseorang telah meninggalkan Tuhan, maka Tuhan pun akan meninggalkannya. Apabila Rahman sudah meninggalkan seseorang, maka syaitan akan membuat hubungan dengannya.”

“Jangan beranggapan bahawa Tuhan itu lemah. Tuhan Maha Kuat. Jika kamu yakin atas-Nya dalam suatu perkara, Dia akan menolong kamu. WA MAI YATAWAKKAL ‘ALALLAAHI FAHUWA HASBUHU (At-Talaq:4), tetapi orang yang dimaksudkan sebelum ayat ini ialah mereka yang ahli agama, iaitu segala dasar berfikir mereka adalah dalam urusan agama, dan juga urusan duniawi didasarkan kepada Tuhan. Sebab itu Tuhan memberi ketenangan kepada mereka bahawa ‘Aku bersama-sama dengan kamu’. Jadi, satu di antara berkat takwa itu ialah Allah Ta’ala akan mengeluarkan orang-orang muttaki dari musibat-musibat yang terkeluar dari urusan agama”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 8)

AKHLAK YANG SEMPURNA

“Rasulullah s.a.w pernah dibaling batu di Thaif, juga satu kumpulan yang besar berusaha untuk mencederakan jasmani Rasulullah s.a.w, namun tidak ada perubahan pada diri Rasulullah s.a.w. Apabila kaum melihat bahawa musibah dan kesulitan yang diberikan oleh mereka tidak memberi kesan, mereka berkumpul dan menawarkan pangkat kerajaan, sanggup menjadikan baginda s.a.w sebagai ketua mereka, dan segala kesenangan dijanjikan oleh mereka, malah wanita-wanita juga jadi tawaran, yang penting bagi mereka ialah Rasulullah s.a.w berhenti dari memperkatakan tentang patung-patung mereka. Tetapi, sebagaimana peristiwa di Thaif tidak memberi kesan pada baginda s.a.w, demikian juga semua tawaran itu ditolak dan lebih rela mendapat kesusahan. Jadi, selagi kelazatan tidak dirasai, untuk apa meninggalkan kesenangan-kesenangan dan sanggup berada dalam kesusahan”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 11)