Monday, November 22, 2010

Pengorbanan Anak Muda Menegakkan Tauhid

Antara Isi Kandungan Khutbah kali ini:-

Ijtima Khuddamul Ahmadiyah UK mengingatkan saya tentang ijtima zaman kanak-kanak, dan juga mengingatkan saya terhadap mereka yang telah dizalimi, dimana undang-undang juga telah menyekat anggota Jemaat dari melaksanakan program untuk kebaikan diri, tarbiyat dan majlis-majlis untuk mengingati Allah dan rasul-Nya.

Sejak 28 tahun pengikut Masih Muhammadi ini sentiasa melindungi janji mereka dengan memperlihatkan pelbagai jenis pengorbanan.

Jika di beberapa buah negara lain, Ahmadiyah dizalimi dari segi hak dan kebebasan, namun di Australia, Afrika, Amerika dan pulau-pulau, orang Ahmadi hidup dengan kebebasan. Untuk mereka itu terbuka banyak jalan pertablighan. Jadi, saya menyeru kepada orang Ahmadi yang tinggal di negara-negara seperti itu, jadikanlah kebebasan, kemudahan, dan keterbukaan ini sebagai sarana untuk mencapai matlamat hidup.

Di Pakistan dan beberapa negara yang lain, mereka memohon kepada Allah agar diberikan kesabaran, istiqomah dan hidayat.

Di mana ada peluang untuk meninggikan nilai ibadat dan ketakwaan, di sana juga kamu harus berusaha dengan keras untuk menyampaikan amanat Ahmadiyah di setiap tempat. Gunakan semua cara yang ada untuk menyampaikan tabligh.

Berbagai website banyak memuatkan kritikan-kritikan, jawab dengan kebenaran setiap tuduhan itu. Kamu hendaklah sediakan satu kumpulan bagi menjawab dalam website-website tersebut. Jika kekurangan ilmu, dapatkan bantuan daripada orang tua dan para muballigh.


KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
24 SEPTEMBER 2010 / 24 TABUK 1389HS
16 Syawwal 1431HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Tasyahud, Ta’awuz dan Al-Fatihah.

Bulan September dan Oktober adalah bulan-bulan di mana kebanyakan badan-badan organisasi Jemaat mengadakan ijtima masing-masing. InsyaAllah, hari ini adalah hari permulaan Ijtima Khuddamul Ahmadiyah, dan Jumaat depan pula, Ijtima Lajnah dan Anshar akan bermula.

Lebih kurang sejak 27 atau 28 tahun yang lepas, penglibatan Khalifah Waqt dalam ijtima-ijtima di UK telah menjadi satu kebiasaan. Sebelum Khalifah Waqt berhijrah dari Rabwah, Pakistan, Khalifah Waqt selalu bersama-sama mengadakan ijtima-ijtima, dan dari Pakistan, semua badan-badan yang berkenaan menghantar wakil-wakil ijtima sehingga suasana Rabwah menjadi lebih seronok. Ini terutama sekali Khuddam dan Athfal, pada zaman itu mereka begitu seronok dan selalu menantikan saat-saat ijtima datang. Setiap majlis membawa kelengkapan masing-masing untuk membuat khemah. Dahulu tidak ada khemah yang teratur seperti yang boleh didapati di sini, tetapi mereka membuat khemah dari kain-kain yang mereka bawa sendiri. Mereka membuat khemah masing-masing sehingga keadaan menjadi berwarna-warni. Bulan Oktober di Pakistan cuacanya sangat sesuai, hujan tidak turun, sebab itu program dapat dijalankan dengan teratur.

Apapun, Ijtima Khuddamul Ahmadiyah UK mengingatkan saya tentang ijtima zaman kanak-kanak, dan juga mengingatkan saya terhadap mereka yang telah dizalimi, dimana undang-undang juga telah menyekat anggota Jemaat dari melaksanakan program untuk kebaikan diri, tarbiyat dan majlis-majlis untuk mengingati Allah dan rasul-Nya. Apapun, saya dan tuan-tuan juga tetap atas keyakinan bahawa semua ini tidak akan berpanjangan. InsyaAllah, suatu hari nanti kezaliman dan orang yang zalim ini akan terpadam. Semoga Allah Ta’ala sentiasa memberikan kita semua taufik untuk bersabar, istiqomah dan terus berdoa.

Berkenaan dengan ijtima, seharusnya ia diperkatakan apabila ijtima berlangsung. Tetapi kali ini saya berfikir, Jumaat kali ini biarlah saya sampaikan mengenai hal ini. Sebabnya yang pertama ialah, dalam ijtima markaz Pakistan, ucapan pembukaan dan penutupan dilakukan oleh Khalifah Waqt, sebab yang kedua ialah ucapan penutupan Ijtima tidak disiarkan secara langsung dari MTA, hanya selepas beberapa hari sahaja baru dapat disiarkan, dan kemungkinan tidak ramai yang akan dapat menyaksikannya. Sebab yang ketiga, di mana pun badan-badan melaksanakan ijtima, mereka boleh menganggap bahawa khutbah saya ini adalah satu amanat untuk mereka juga, dan berusaha untuk mengamalkannya, dan juga doakanlah orang-orang Ahmadi yang dizalimi di Pakistan. Sebab yang keempat, di mana sahaja ada majlis-majlis yang baru ditubuhkan, mereka boleh mengambil manfaat daripada khutbah saya ini.

Di dalam Al-Qur’an, untuk mengkhidmati agama, mengadakan perbaikan dan menegakkan ketauhidan bagi golongan muda ada terdapat dalam surah Al-Kahfi. Pemuda-pemuda itu adalah pengikut Masih Musawi (nabi Isa) yang hidup menghadapi kekerasan dan kezaliman selama tiga ratus tahun. Kekerasan yang dilakukan terhadap mereka menyebabkan mereka tinggal di dalam gua untuk tempoh yang lama. Walaupun demikian, pemerintah waktu itu tetap berusaha untuk menjejaki mereka bagi tujuan menghapuskan mereka semua. Tetapi, untuk menegakkan ketauhidan dan agama, mereka sanggup menghadapi semua kekerasan itu. Kadang-kadang, apabila keadaan sedikit aman, mereka keluar dari tempat persembunyian. Apapun, mereka tetap melalui kehidupan seperti itu. Semangat mereka untuk memelihara keimanan dan menegakkan ketauhidan begitu tinggi sehingga ia tercatat di dalam Al-Qur’an.

Allah berfirman dalam Al-Qur’an IZ AWAL FITYATU ILAL KAHFI FAQOOLUU ROBBANAA AATINAA MIL LADUNKA RAHMATAU WAHAIYI’ LANAA MIN AMRINA RASYADA (Al-Kahfi:11), ingatlah tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini”.

Kemudian selepas meninggalkan dua ayat berikutnya, ada ayat NAHNU NAQUSSU ‘ALAIKA NABAA AHUM BIL HAQQI, INNAHUM FITYATUN AAMANUU BIROBBIHIM WAZIDNAAHUM HUDA (Al-Kahfi:14), kami ceritakan kisah mereka kepadamu dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.

Kemudian, dalam ayat berikutnya, WAROBATHNAA ‘ALAA QULUUBIHIM IZ QOOMUU FAQOOLUU ROBBUNAA ROBBUS SAMAAWAATI WAL ARDHI LAN NAD’UWA MIN DUUNIHII ILAAHAL LAQOD QULNAA IZAN SYATHOTHO (Al-Kahfi:15) dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang jauh daripada kebenaran”.

Jadi, mereka telah berusaha untuk menegakkan tauhid. Hidup penuh dengan kezaliman dan meminta pertolongan daripada Allah agar terus mendapat hidayat dan kekal atas petunjuk.

Ayat-ayat sebelumnya menjelaskan bahawa oang-orang Kristian telah meninggalkan ajaran tauhid lalu mengambil seoang manusia sebagai anak Tuhan padahal perkara itu sama sekali dusta dan ajaran yang salah, dan tidak ada hubungannya dengan ajaran Kristian yang asli. Ini adalah satu perkara yang berbahaya yang sesungguhnya boleh mengundang azab Tuhan atas mereka. Ajaran sebenar yang mana orang-orang Kristian dahulu sedia berkorban bukanlah ajaran Triniti, malah ia adalah ajaran tauhid. Dan Allah Ta’ala menjelaskan bahawa disebabkan keyakinan mereka kepada ajaran tauhid, Allah Ta’ala telah mengekalkan mereka atas hidayat dan menguatkan hati mereka. Mereka mengumumkan untuk menyembah dan beribadat kepada Tuhan yang Esa. Mereka begitu tidak senang hati apabila mendengar bahawa Tuhan ada sekutu-Nya. Tetapi, disebabkan perubahan zaman dan pengaruh pemerintah, akhirnya Kristian secara perlahan-lahan mulai mengamalkan ajaran Triniti sehingga mereka tersesat. Pada tangan orang yang salah, apabila zaman Kristian mulai goyang, maka gambaran Triniti sudah lahir dan keduniaan telah merampas agama mereka sehingga Tuhan memperingatkan kepada orang-orang yang berbuat syirik dengan api.

Apapun, tujuan menjelaskan ayat-ayat ini ialah selagi umat Kristian kekal atas keaslian ajarannya seperti yang telah dipelihara oleh pemuda-pemuda tersebut dan mereka memelihara keimanan mereka, disebabkan keimanan mereka, disebabkan mereka telah memelihara keimanan dalam zaman pemerintah yang zalim dan juga disebabkan mereka hanya menyembah Tuhan yang Esa, maka Allah Ta’ala telah memberikan mereka hidayat. Mereka tidak terpengaruh oleh nikmat-nikmat duniawi, malah mereka hanya mengutamakan redha Ilahi. Allah Ta’ala berfirman bahawa bagaimana Kami memperlakukan beberapa orang pemuda ini disebabkan keimanan mereka? WAZIDNAAHUM HUDA, yakni Kami menambahkan hidayat atas mereka. WAROBATHNAA ‘ALAA QULUUBIHIM, dan Kami telah memperkuatkan hati mereka. Dan disebabkan dengan kemajuan dalam hidayat serta kekuatan dalam hati mereka, akhirnya mereka dengan penuh keberanian menzahirkan di hadapan sultan yang kejam LAN NAD’UWA MIN DUUNIHII ILAAHA, bahawa kami tidak akan menyembah kepada makhluk selain Allah Ta’ala. Kami sanggup korbankan nyawa kami, kami boleh korbankan hak kami, kami sanggup korbankan orang-orang yang kami sayangi, nyawa kami dan harta kami, namun kami tetap tidak akan meninggalkan tauhid yang kami pegang.

Jadi, ini menjadi contoh kepada kita dalam soal keimaman, yang mana mereka belum mendapat contoh keimanan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Dan contoh yang tinggi nilainya itu menuntut daripada kita, bahawa dalam menegakkan dan mengukuhkan ketauhidan dan berjalan di atas jalan-jalan hidayat, kita dituntut untuk sentiasa bersedia mengorbankan nyawa, harta, waktu dan kehormatan. Jangan hendaknya ada musibah atau ketamakan duniawi yang dapat menghalang kita daripada menyempurnakan apa yang telah kita janjikan.

Apabila kita hendak mengambil contoh Jemaat Ilahi yang melalui ujian-ujian, maka perhatian kita akan terarah kepada orang-orang Ahmadi di Pakistan, kemudian beberapa negara di mana Ahmadi menghadapi penentangan yang keras. Orang-orang Amadi di Pakistan hari ini, mereka bukan sahaja menghadapi ujian dalam bentuk jasmani dan fikiran, mereka juga memperlihatkan pengorbanan nyawa dan harta benda.

Demikian juga Ahmadi di negara-negara Arab, yang mana jumlah mereka sekarang semakin bertambah. Kebelakangan ini, setiap hari ada sahaja surat pernyataan bai’at dari sana. Mereka di sana juga menghadapi kesusahan dan cara hidup mereka sama seperti Ashabul Kahfi. Pakistan itu Jemaat lama dan tidak ada rasa takut dalam menzahirkan keimanan mereka. Tidak ada yang sembunyikan keimanan bahawa mereka Ahmadi. Tetapi, bagi Ahmadi yang baru, untuk menzahirkan keimanan seperti Ahmadi di Pakistan bukanlah satu perkara yang mudah. Kebanyakan dalam orang yang bai’at, ada di antara mereka yang bersemangat, ada yang meningkat dalam keimanan dan ada juga yang lemah. Secara besar-besaran mereka dihalang dari melakukan solat berjemaah di suatu tempat atau dilarang melakukan solat Jumaat. Dan kemudian, untuk mengukuhkan Jemaat, kadang-kadang pihak pengurusan mengambil langkah bagi melindungi orang Ahmadi. Kadang-kadang orang Ahmadi dari negara Arab menulis surat kepada saya dengan menyatakan; sampai bila kami harus hidup dalam keadaan seperti ini? Saya selalu menasihati mereka agar bersabar dengan menceritakan kisah Ashabul Kahfi. Keadaan ini insyaAllah akan berubah, dan Sejarah para nabi memberitahu bahawa keadaan seperti ini pasti akan beruabh suatu hari nanti, insyaAllah. Jadi, orang-orang Ahmadi yang tinggal di negara-negara Islam yang hidup dalam tekanan, sehingga meluahkan kata-kata; sampai bila kita harus menjalankan program secara sembunyi-sembunyi, solat Jumaat pun sembunyi-sembunyi. Saya katakan kepada mereka bahawa kamu sekarang ini belum merasai kelazatannya sebagaimana orang-orang Ahmadi Pakistan yang pernah merasai kewujudan ijtima dan jalsah di tempat mereka. Tetapi, dalam keadaan itu pun, sejak 28 tahun pengikut Masih Muhammadi ini sentiasa melindungi janji mereka dengan memperlihatkan pelbagai jenis pengorbanan. Tempoh sekatan dan penganiayaan itu bukan perkara biasa. Tetapi lelaki, wanita, tua dan muda, mereka semua tetap sabar dalam menghadapinya dan sentiasa menunjukkan semangat pengorbanan yang tidak pernah kurang. Tetapi, pengorbanan ini bukanlah bersifat kekal, ia tidak akan kekal sehingga melebihi 300 tahun. Pengorbanan ini telah memperlihatkan bahawa kita semakin dekat dengan kemenangan.

Usaha untuk mencapai tujuan penubuhan Jemaat Ahmadiyah tidak terpadam dengan kekerasan yang dilakukan di beberapa negara-negara di dunia. Pekerjaan Jemaat Ahmadiyah ialah menyampaikan amanat Rasulullah s.a.w di dunia dan menegakkan tauhid. Dengan penentangan, permusuhan dan sekatan ini, saban hari Jemaat Ahmadiyah semakin menunjukkan kemajuan.

Beberapa hari yang lepas saya telah meletakkan batu asas pembinaan masjid di Ireland. Negara ini amat rapat hubungannya dengan Kristian yang kebanyakannya dari golongan Katolik. Kebanyakkan negara-negara di Eropah sudah tidak ada hubungan dengan Kristian. Sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam khutbah yang lepas bahawa negara ini juga adalah salah satu penjuru dunia, di sana ada perletakan batu asas dan juga acara sambutan di sebuah hotel yang dihadiri oleh lebih daripada 100 orang terpelajar. Di kalangan mereka ada anggota Parlimen, pegawai-pegawai kerajaan, profesor dan guru-guru. Mereka datang dari pelbagai jabatan. Mayor bandar Galway juga turut hadir. Paderi yang terkenal juga ada. Saya mendapat taufik untuk menyampaikan amanat Hazrat Masih Mau’ud a.s di hadapan semua orang, di mana TV Nasional dan pelbagai media membuat liputan dengan memberangsangkan. Semua itu telah menyebabkan ajaran Islam yang cantik telah sampai kepada jutaan manusia. Jadi, jika dari satu arah Jemaat cuba ditekan, dari arah yang lain Jemaat dapat menyampaikan tabligh dengan begitu meluas.
Di Ireland, dari segi jumlah memang Jemaat yang kecil. Kebanyakan dari mereka adalah orang muda dan dengan kurnia Allah Ta’ala mereka jemaat yang aktif. Disebabkan keaktifan mereka menyebabkan hubungan dengan masyarakat sangat baik. Dan dengan acara ini, peluang pertablighan menjadi lebih luas lagi. Jika mereka mengekalkan semangat ini, dan mengambil faedah daripada hubungan yang baik ini, maka beberapa hamba Masih Muhammadi ini akan membawa balik orang-orang dari Masih Musawi yang telah jauh dari ketauhidan kembali kepada Tuhan yang Esa. InsyaAllah.

Jadi, dari satu arah mereka risau mengenai Ashabul Kahfi dan pada arah yang lain mereka diberi ketenangan oleh Allah tentang KATABALLOOHU LA AGHLIBANNA ANAA WA RUSULII (Al-Mujadalah:22), yakni Aku dan utusan-Ku pasti akan menang. Selepas zaman Ashabul Kahfi Masih Musawi berlalu, mereka telah tenggelam dalam kesyirikan. Tetapi, bagi pengikut-pengikut Masih Muhammadi akan mendapat kemenangan sebelum 300 tahun berlalu. Dan kemenangan ini akan menjadi sarana penghapusan syirik sehingga ke akarnya. InsyaAllah. Jadi, jangan merasa kecewa.

Hari ini, dengan kurnia Allah, Ahmadiyah semakin tersebar di seluruh dunia. Jika di beberapa buah negara lain, Ahmadiyah dizalimi dari segi hak dan kebebasan, namun di Australia, Afrika, Amerika dan pulau-pulau, orang Ahmadi hidup dengan kebebasan. Untuk mereka itu terbuka banyak jalan pertablighan. Jadi, saya menyeru kepada orang Ahmadi yang tinggal di negara-negara seperti itu, jadikanlah kebebasan, kemudahan, dan keterbukaan ini sebagai sarana untuk mencapai matlamat hidup. Allah Ta’ala menjelaskan WAZIDNAAHUM HUDA itu bukan hanya untuk pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sahaja, tetapi ia untuk sesiapa sahaja yang memelihara iman mereka, yang berusaha kekal atas agama mereka, di mana Allah Ta’ala akan memberi mereka hidayat demi hidayat dan mengalami peningkatan dalam keimanan.

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam surah Al-Anfal, INNAMAL MU’MINUUNAL LAZIINA IZAA ZUKIRALLAAHU WA JILAT QULUU BUHUM, WA IZAA TULIYAT ‘ALAIHIM AAYAATUHUU ZAADATHUM IIMAANAU WA ‘ALAA ROBBIHIM YATAWAKKALUN (Al-Anfal:3) yakni, orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disentuh mengenai ayat-ayat Allah maka hati mereka menjadi takut, dan apabila ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka maka iman mereka akan meningkat, dan mereka juga bertawakkal kepada Allah.

Kemudian berfirman ALLAZIINA YUQIIMUUNAS SHOLAATA WA MIMMA ROZAQNAAHUM YUNFIQUUN (Al-Anfal:4) yakni mereka yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan apa sahaja yang telah Kami rezekikan kepada mereka.

Seterusnya Allah berfirman ULAA’IKA HUMUL MU’MINUUNA HAQQAN, LAHUM DARAJAATUN ‘INDA ROBBIHIM WA MAGHFIROTI WA RIZQUN KARIIM, (Al-Anfal:5) yakni mereka inilah Mukmin yang sejati. Darjat mereka di sisi Tuhan amat besar, keampunan dan rezeki yang baik ada untuk mereka.

Di sini Allah Ta’ala menjelaskan tentang ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang Mukmin yang hakiki. Mereka yang mendakwakan diri seorang yang beriman, ia tidak akan menjadi Mukmin yang hakiki jika hanya dakwaan melalui lidah sahaja. Mereka juga hendaklah menjaga keimanan ketika menghadapi suatu musibah atau ketika berada dalam kesenangan. Jika ini ada, maka dia akan termasuk dalam golongan yang dijanjikan oleh Allah, yakni dakwaan iaitu beriman kepada Allah, qoul dan fi’ilnya juga semata-mata kerana mendapatkan keredhaan Allah. Nama Allah bukan hanya pada mulut atau lidah sahaja malah hati juga hendaklah ada rasa takut kepada Allah. Firman-Nya IZAA ZUKIRAULLAAHU WAJILAT QULUUBUHUM, yakni apabila diperingatkan tentang Allah, hatinya menjadi takut. Dan untuk seorang Mukmin, Allah Ta’ala harus menjadi wujud yang paling dicintai di mana keredhaan-Nya hendaklah diutamakan setiap masa. Tetapi, bagaimana pula hendak mendapatkan keredhaan itu? Caranya ialah dengan mengamalkan segala perintah-Nya. Jelasnya, iman itu bukan hanya lafaz lidah semata-mata tetapi ia harus dizahirkan melalui amalan secara berterusan.

Kemudian, satu ciri ialah iman mereka bertambah melalui ayat-ayat. Tidak timbul alasan bahawa ini susah diamalkan, atau perintah ini aku buat dan yang itu aku tidak buat, atau juga alasan aku tidak mampu lakukan. Malah ciri asas ialah apapun perintah, telinga hendaklah dipasang untuk mendengarnya dan mengamalkan. Mendengar lalu mengamalkannnya adalah ciri asas seorang Mukmin.

Hal ini juga telah dinyatakan oleh Allah di tempat lain iaitu ayat WALLAZIINA IZAA ZUKIRUU BI’AAYAATI ROBBIHIM LAM YAKHIRRUU ‘ALAIHA SHUMMAU WA UMYAANA surah Al-Furqan:74, yakni, bagi mereka yang mempunyai iman yang hakiki, mereka tidak berbuat seperti orang buta dan pekak apabila diperingatkan tentang ayat-ayat Tuhan. Jadi, dakwaan mulut bahawa aku yakin dengan tauhid, ia tidak menjadi asas kepada peningkatan iman selagi tidak berusaha untuk mengamalkan perintah-perintah Allah. Jadi, usaha untuk menegakkan ketauhidan hanya akan berjaya apabila insan mengorbankan jiwanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala, dan juga apabila bertawakkal kepada Allah atas setiap urusan.

Kemudian, ayat yang telah saya tilawatkan tadi, Allah Ta’ala berfirman bahawa ciri seorang Mukmin yang hakiki ialah tegak dalam menunaikan solat. Jadi, setiap khadim dalam ijtima ini, kemudian selepas ini harus mengambil perhatian di dalamnya. Dalam ijtima, solat didirikan secara berjemaah, selepas ini juga, kebiasaan solat berjemaah hendaklah dikekalkan dan menurut waktu yang telah ditetapkan. Demikian juga khuddam yang bertugas dan yang terlibat dalam ijtima ini, mereka hendaklah mengambil perhatian dalam hal ini. Jangan sia-siakan solat kamu dengan alasan bertugas. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa bukan hanya teratur dalam ijtima ini, malah dalam hari-hari yang lain juga harus dilaksanakan dengan teratur. Jika kejayaan dan kemenangan kita berhubungan dengan doa-doa yang mana Hazrat Masih Mau’ud a.s berkali-kali menegaskannya, maka doa yang terbaik ialah melalui solat, sebab itu kita harus cenderung ke arahnya. Usaha untuk menegakkan tauhid dan mengakui Allah sebagai sembahan yang hakiki adalah tujuan seorang Muslim. Menegakkan tauhid dan mengakui Allah sebagai sembahan yang hakiki tidak mungkin akan terlaksana tanpa menunaikan solat. Hanya dengan solat lima waktu inilah banyak berhala-berhala yang akan musnah. Berhala dalam diri kita juga akan dipatahkan. Berhala di sekeliling kita juga akan dihancurkan. Jadi, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa satu-satunya jalan untuk menegakkan tauhid ialah melalui solat yang didirikan.

Kemudian berfirman WAMIMMAA ROZAQNAAHUM YUNFIQUUN. Dan apa sahaja yang telah Kami kurniakan, mereka akan belanjakan. Allah Ta’ala akan meningkatkan keimanan orang-orang yang berbelanja untuk penyebaran agama dan menegakkan ketauhidan. Jadi, pengorbanan harta yang ada dalam Jemaat, itu juga merupakan satu daripada ciri ini.

Kemudian, dalam ayat terakhir yang saya tilawatkan, Allah Ta’ala berfirman dalam dua ayat pertama mengenai ciri-ciri yang pada pandangan Allah mereka Mukmin yang hakiki. Dan sekiranya seseorang itu dipandang oleh Allah sebagai Mukmin yang hakiki, maka mereka akan menjadi pewaris kurnia-kurnia. Dan kurnia itu ialah DARAJAATUN ‘INDA ROBBIHIM yakni di sisi Tuhan mereka ada darjat yang tinggi. WAMAGHFOROTIN, dosa-dosa mereka diampunkan dan WARIZQUN KARIIM, yakni rezeki yang baik. Dalam rezeki ini termasuklah rezeki duniawi dan juga akhirat. Jadi, memperbanyakkan iman dan memperbanyakkan hidayat akan membolehkan seseorang itu menjadi pewaris kurnia. Dan tugas seorang Mukmin ialah setiap waktu berusaha untuk memperbanyakkan iman dan hidayat bagi mendapatkan keredhaan Allah. Dan inilah takwa sebenar yang diperolehi oleh orang yang mendapatkan keredhaan Allah. Maksudnya, dengan ketakwaan yang ada, ia akan mendorong seseorang untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengan mendapat keredhaan Allah, ketakwaan akan meningkat.

Allah Ta’ala berfirman di suatu tempat WALLAZIINAH TADAU ZAADAHUM HUDAU WA AATAAHUM TAQWAAHUM (Muhammad:18) yakni, dan mereka yang telah mendapat hidayat, Dia akan menambahkan lagi hidayat atas mereka dan mengurniakan mereka ketakwaan.

Jadi, WA AATAAHUM TAQWAAHUM yakni mereka dikurniakan taqwa. Maksudnya, di samping keredhaan Allah, ketakwaan mereka juga semakin bertambah. Untuk orang-orang yang sentiasa mencari keredhaan Allah dan cenderung menuju kepada-Nya, maka Allah Ta’ala akan mengajarkan jalan-jalan baru bagaimana untuk mendapatkan nilai ketakwaan yang lebih tinggi lagi. Kemudian, mereka akan bernaung di bawah perlindungan Allah dan menjadi pewaris kurnia-kurnia lebih baik berbanding yang dahulu. Pengorbanan mereka juga akan diterima di sisi Allah. Usaha-usaha para musuh untuk menakut-nakutkan mereka tidak akan berhasil malah menjadi sarana untuk menuju ke arah takwa yang lebih baik yakni semakin dekat dengan Allah Ta’ala. NAHNU AULIYAA’UKUM FIL HAYAATID DUNYAA WA FIL AAKHIROTI (Ha Mim Sajadah:32) yakni, Kami akan bersama kamu di dunia ini, dan juga Kami akan bersama kamu di akhirat nanti. Mereka sangat meyakini akan hal ini. Mereka memang yakin atas Zat Allah Ta’ala bahawa murid-murid Masih Muhammadi akan sedia untuk berkorban. Janji Allah Ta’ala lebih daripada itu. Jadi, tidak ada alasan kita harus menzahirkan ketidaksetiaan atau kadang-kadang timbul fikiran untuk malas dalam beribadat, dan juga malas berusaha untuk menegakkan tauhid Ilahi.

Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa di Pakistan dan beberapa negara yang lain, mereka memohon kepada Allah agar diberikan kesabaran, istiqomah dan hidayat. Dengan kurnia Allah Ta’ala mereka mendapat kemajuan dalam keimanan dan keyakinan. Allah Ta’ala juga mendengar doa-doa mereka ini. Kekuatan iman dan tidak takut dengan serangan syaitan membuktikan bahawa Allah telah mendengar doa-doa mereka dengan memberi kekuatan dalam hati mereka. Mereka yang sedang menjalani zaman muda sekarang ini dan mereka yang akan melangkah masuk zaman muda di Pakistan telah menunjukkan semangat itu dengan berkhidmat tanpa ada rasa takut. Beberapa orang tua menulis kepada saya; kami amat hairan melihat semangat yang ditunjukkan oleh golongan muda Jemaat.

Di Pakistan hari ini, masjid-masjid Jemaat telah dinyatakan sebagai antara kawasan berbahaya oleh pihak pengurusan dan juga oleh pihak polis. Tetapi, di sana ada khuddam-khuddam kita yang sentiasa berkhidmat. Penulis menyatakan; jika atas suatu sebab seorang khadim tidak dapat hadir, di sana sudah ada sukarela yang menyatakan; ambil kami sebagai ganti mereka. Mereka memberitahu orang di rumah mereka; jika kami balik Alhamdulillah, jika kami tidak dapat balik, maka Allah akan menyempurnakan janji-Nya atas kami. Inilah keimanan yang sedang mengisi hati mereka. Mereka memperlihatkan satu semangat yang luar biasa sebagai hamba Masih Muhammadi. Semoga Allah sentiasa menghidupkan dan menjaga semangat mereka selamanya. 

Hari ini, golongan muda yang menjadi pengikut Masih Muhammadi sedang melakarkan sejarah yang agung. Mereka ini jugalah pemuda yang disiplin dalam janji mereka dan tidak ketinggalan dari sesiapa dalam soal menegakkan ketauhidan Ilahi. Pada hakikatnya, mereka inilah yang sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawa, harta, waktu dan kehormatan mereka. Sesungguhnya mereka inilah yang akan meraih keredhaan Tuhan. Jadi, mereka yang berusaha meningkatkan ketakwaan dan nilai ibadat, mereka itulah yang akan mendapat keredhaan Ilahi.

Hari ini adalah Ijtima Khuddamul Ahmadiyah. Jadi, kamu yang duduk di hadapan saya sekarang ini, atau yang berada di Ijtima Gah atau di mana sahaja berada dan mendengar ucapan saya, yang telah mendapat kebebasan untuk mengadakan Ijtima tanpa sekatan, dan juga bebas untuk mengadakan tabligh, kamu hendaklah memahami tanggungjawab kamu. Jangan jadikan perubahan itu hanya berlangsung selama tiga hari sahaja, tetapi berusahalah agar perubahan ini kekal selamanya. Tingkatkan nilai ketakwaan. Tingkatkan nilai ibadat. Jangan biarkan tarikan budaya Barat itu dapat mempengaruhi kamu. Jadikan sentiasa pengorbanan saudara-saudara kamu sebagai inspirasi, kerana mereka telah mempertahankan keimanan semata-mata mengibarkan bendera Islam dan Jemaat, dan yang telah menyempurnakan kesetiaan dan janji mereka.

Jadi, sebagai tanda kamu bersyukur atas kebebasan ini, di mana ada peluang untuk meninggikan nilai ibadat dan ketakwaan, di sana juga kamu harus berusaha dengan keras untuk menyampaikan amanat Ahmadiyah di setiap tempat. Gunakan semua cara yang ada untuk menyampaikan tabligh. Golongan pemuda juga boleh menggunakan sarana-sarana terbaru. Golongan muda zaman sekarang berhadapan dengan dua cabaran, yakni cabaran dari luar ada dua jenis. Mengislahkan diri yang merupakan cabaran dalaman itu memang ada, selain itu ada dua cabaran luaran yang harus ditempuhi. Pertama, mengambil bahagian dalam mempertahankan Islam dan yang kedua ialah mempertahankan Jemaat dari serangan musuh. Berbagai website banyak memuatkan kritikan-kritikan, jawab dengan kebenaran setiap tuduhan itu. Kamu hendaklah sediakan satu kumpulan bagi menjawab dalam website-website tersebut. Jika kekurangan ilmu, dapatkan bantuan daripada orang tua dan para muballigh. Setiap khadim yang tinggal di dunia ini perlu mengambil bahagian dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu. Dengan cara itu kamu termasuk dalam orang yang menegakkan ketauhidan Allah. Pemuda-pemuda Masih Musawi melaksanakan tugas mereka dalam tempat yang terhad, tetapi khadim Masih Muhammadi boleh melahirkan kejayaan di seluruh dunia dengan menggunakan pelbagai sarana. Jadi, beri perhatian dalam hal ini, mudah-mudahan Allah memberikan kamu semua taufik untuk itu.

Akhir sekali, saya akan sampaikan satu petikan daripada Hazrat Masih Mau’ud a.s, beliau berkata:-

“Wahai anggota Jemaatku! Tuhan bersama-sama dengan kamu, Tuhan yang Maha Qadir dan Karim akan mempersiapkan kamu perjalanan akhirat sebagaimana yang telah dipersiapkan oleh-Nya kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Ingatlah dengan sebaik-baiknya bahawa dunia ini tidak ada apa-apanya. Hidup itu terlaknat sekiranya dunia menjadi tumpuan utama, amat malang juga hidup apabila semua kesedihannya untuk dunia. Jika ada orang seperti itu dalam Jemaatku, maka dia masuk tanpa memberi apa-apa faedah kerana dia umpama ranting kering yang tidak memberikan buah.

Wahai orang-orang yang bertakwa! Masuklah kamu ke dalam ajaran ini dengan bersungguh-sungguh, ajaran yang diberikan kepadaku untuk keselamatan kamu. Fahamilah bahawa Tuhan itu Esa dan tidak ada sekutu-Nya, jangan sekali-kali sekutukan Dia dengan suatu apapun, tidak di langit dan tidak di bumi. Tuhan tidak melarang kamu menggunakan benda-benda dunia, tetapi barangsiapa yang meninggalkan Tuhan lalu yakin sepenuhnya akan benda-benda itu, mereka adalah musyrik. Tuhan telah berkata sejak dahulu lagi bahawa tidak ada keselamatan tanpa berusaha menjadi suci. Jadi, usahakanlah agar hati kamu suci dan jauhkan diri daripada dengki dan marah. Banyak kekotoran ketika insan dalam nafsu ammarah, tetapi yang paling banyak ialah sikap takbur. Jika tidak ada takbur, sudah pasti tidak ada insan yang ingkar. Sebab itu, jalanilah cara hidup miskin, banyak berperikemanusiaan kepada sesama makhluk. Apabila kamu memberi nasihat tentang syurga, bagaimana mungkin ia satu amalan yang betul jika di dunia kamu berbuat kejahatan. Lakukanlah amalan yang diwajibkan oleh Tuhan dengan hati yang takut bahawa kamu nanti akan ditanya. Banyakkan doa dalam solat agar kamu tertarik ke arah Tuhan dan hati kamu menjadi bersih, ini perlu kerana insan itu lemah, dan setiap keburukan yang menjadi jauh dari seseorang, ia adalah kurnia dari Tuhan. Selagi insan tidak mendapat kekuatan dari Tuhan, maka insan tidak akan mampu untuk menjauhi sebarang keburukan. Islam bukanlah seperti kebiasaan mengucapkan kalimah, malah hakikat Islam ialah ruh kamu rebah di istana Ilahi. Tuhan dan perintah-Nya hendaklah kamu utamakan dari dunia kamu. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain Jilid 20 halaman 63)

Semoga kita semua mendapat taufik untuk mengamalkan segala apa yang Hazrat Masih Mau’ud a.s serukan.


Diterjemahkan oleh

Saladdin Syed Ali,
Lingkungan, Sabah
21-11-2010

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...