Wednesday, December 15, 2010

Lembaran Tarbiyat 15



MENJAWAB TULISAN PARA PENENTANG

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Penentang yang mencaci kita dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kotor, kita jangan pernah menjawabnya dengan caci-maki. Kita tidak perlu menggunakan kata-kata yang kesat kerana dengan kata-kata yang kesat itu boleh mengurangkan berkat. Sebab itu kita tidak mahu berkat menjadi kurang. Untuk berhadapan dengan mereka juga tidak perlu. Mereka ini yang patut dikasihani. Mengeluarkan kata-kata yang sia-sia untuk menjawab kritikan bagi menjelaskan kepada orang awam agar tidak tertipu, juga tidak sesuai sekiranya kita mengeluarkan kata-kata kesat dalam menghadapi mereka. Itu hanya akan merendahkan maruah kita. Tetapi jika kata-kata keras digunakan, ia adalah untuk mempertahankan kebenaran yang bertindak sebagai penawar atau ubat, dan gambarannya atau keadaannya sama seperti yang terdapat dalam Injil dan kata-kata para nabi. Membalas atau mengikut cara musuh bukanlah pekerjaan nabi. Nama itu adalah seperti yang telah ditentukan di atas langit. Kezaliman dan ucapan kafir tidak membawa erti apa-apa. Sebutan di bumi ini akan berakhir dan sebutan di atas langit yang akan kekal. Jadi, untuk apa peduli dengan gelaran-gelaran ulat-ulat dunia. Hargailah nama yang telah ditentukan di atas langit.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 161)

SETIAP HARI YANG BARU MENDEKATKAN INSAN KEPADA MAUT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Semakin manusia meningkat tua, mereka semakin lalai dalam agama. Adalah satu penipuan jiwa dan kesalahan berat jika mengatakan mereka semakin jauh dari kematian. Maut itu satu perkara yang pasti dan tidak ada jalan untuk menghindarinya, dan ia semakin dekat. Setiap hari yang baru muncul semakin mendekatkan diri kita kepada maut. Saya pernah melihat beberapa orang, ketika umur muda mereka mempunyai hati yang lembut, tetapi di akhir umur mereka, semuanya berubah menjadi keras hati. Kenapa ia boleh terjadi? Mereka tertipu oleh jiwa mereka sendiri dengan beranggapan umur mereka masih panjang, sedangkan mereka begitu dekat dengan maut. Anggaplah maut itu semakin hampir, dengan itu kamu akan terhindar dari dosa-dosa.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 222)

RASUAH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Jangan sesekali memberi rasuah. Ini adalah dosa yang besar. Saya menafsirkan rasuah sebagai sesuatu yang boleh merampas hak kerajaan atau orang lain. Saya sangat melarang perbuatan ini. Tetapi jika ada sesuatu yang diberikan, dan tidak merugikan hak orang lain, malah dengan tujuan untuk menghindari diri daripada musibah atau kejahatan, itu tidak dilarang. Saya tidak menganggapnya sebagai rasuah. Untuk menyelamatkan seseorang daripada kezaliman tidak dilarang dalam syariat. LAA TULQUU BI AIDIIKUM ILAT TAHLUQATI (Al-Baqarah:196)”. (Malfoozaat Jilid 2, halaman 243)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...