Monday, January 31, 2011

Lembaran Tarbiyat 02_2011



NASIHAT UNTUK ANGGOTA JEMAAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Saya sentiasa berdoa, tetapi kamu juga harus sama berdoa, menunaikan solat dan bertaubat. Apabila keadaan ini muncul, maka Allah Ta’ala akan memelihara kamu. ...... Allah Ta’ala akan cenderung kepada orang yang beriman dan akan memelihara mereka. MAN KAANA LILLAAHI KAANAL LAAHU LAHUU. Ramai orang mengikrarkan di mulut kalimah Laa Ilaaha Illallah, mendakwakan dirinya sebagai orang Islam dan beriman, tetapi mereka itu tidak menanggung sebarang kesusahan untuk Allah. Jika berlaku kesulitan, kesusahan atau menjalani perbicaraan, maka dengan segera mereka akan melupakan Tuhan dan mengingkari-Nya. Untuk orang seperti itu, Tuhan tidak akan mempedulikan mereka. Tetapi bagi orang yang mempunyai keimaman yang istimewa dan sentiasa bersama Allah walau dalam apa keadaan sekalipun, juga sentiasa bersedia menanggung kesusahan, maka Tuhan akan mengangkat kesusahan mereka.

Hati seorang insan menjadi cermin bagi dirinya, di dalamnya dia boleh melihat segalanya. Jadi, cara sebenar untuk menjauhkan kesedihan ialah dengan mengharapkan keampunan sepenuh hati atas dosa-dosa dan memperlihatkan hubungan yang setia dan ikhlas. Dan bai’at yang telah kamu ambil hendaklah diutamakan dari segala perkara kerana kamu akan ditanya nanti. Sekiranya kamu mempunyai keikhlasan yang sempurna, Allah tidak akan mensia-siakan kamu. Orang seperti itu akan diselamatkan oleh Allah bersama seluruh ahli keluarganya. Inilah hakikatnya dan jangan pernah lupa. Hanya melafazkan di mulut bahawa akan melakukan banyak perkara belum tentu ada berkat. Berkat yang sepatutnya ialah di dalam hati, dan itulah akar segala berkat. Dengan lidah, jutaan mengatakan mereka orang Islam. Jika dalam hati seseorang kuat hubungannya dengan Tuhan dan memperlihatkan kesetiaan, maka Tuhan juga datang kepadanya dengan penuh setia.

Jika saya mendoakan seseorang, dan hubungan mereka dengan Tuhan tidak bersih, tidak membuat hubungan dengan cara yang sebenar, maka bagaimana doa saya boleh memberi faedah? Tetapi jika hati mereka bersih dan tidak ada kotoran di dalamnya, maka doa saya untuknya menjadi cahaya di atas cahaya.

Kelihatan pada diri seorang tuan tanah, mereka sanggup meninggalkan Tuhan semata-mata untuk mendapatkan beberapa sen. Mereka tidak tahu bahawa Tuhan inginkan keadilan dan perikemanusiaan dan Dia mahu orang berpaling dari perlakuan jahat dan buruk serta yang memalukan. Orang yang dapat berbuat seperti itu, maka malaikat Tuhan akan bersama mereka. Tetapi, jika di dalam hati tidak ada ketakwaan dan ada bahagian syaitan di dalamnya, maka Tuhan tidak suka ada sekutu sehingga semua bahagian menjadi bahagian syaitan. Jadi, mereka yang hendak terselamat perlu menjadikan dirinya bahagian Tuhan, MAN KAANA LILLAAHI KAANAL LAAHU LAHUU. Tuhan tidak pernah meninggalkan orang-orang yang sodiq. Walaupun seluruh dunia menjadi musuhnya dan hendak menyerangnya, maka semua itu tidak akan dapat mengapa-apakannya. Tuhan Maha Kuat dan Berkuasa, dan insan dengan kekuatan imannya datang bernaung di bawah perlindungan-Nya, serta melihat keajaiban Kudrat dan Kekuatan Tuhan, dia juga tidak akan dapat dihinakan. Ingatlah bahawa Tuhan lebih hebat dari segala apa yang hebat, malah unggul dalam setiap perkara. Jadi, dirikanlah solat dengan hati yang tulus, giatkan diri dalam berdoa dan ajarkan ini kepada setiap ahli keluarga kamu. Jika datang kepada Tuhan dengan sempurna, maka tidak akan menanggung kerugian. Akar kerugian yang sebenar ialah dosa.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 63)

Saturday, January 29, 2011

Lembaran Tarbiyat 01_2011



HUBUNGAN DENGAN ALLAH MESTI BENAR

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Anggota jemaat kita hendaklah menjalinkan hubungan dengan Allah secara hakiki. Mereka harus bersyukur kerana Allah tidak meninggalkan mereka, malah memperlihatkan ribuan tanda-tanda kudrat-Nya. Adakah sesiapa di antara kamu yang tidak pernah melihat tanda-tanda? Saya mengatakan dengan benar bahawa setiap orang yang ada peluang untuk bersama-sama dengan kami, tidak ada di antara mereka yang tidak berpeluang untuk melihat dengan mata sendiri suatu tanda yang nyata.

Anggota jemaat kita amatlah perlu memikirkan tentang peningkatan iman. Juga perlu melahirkan keyakinan dan makrifat yang sempurna kepada Tuhan. Tidak malas dan lalai dalam melakukan amal soleh. Ini kerana, sekiranya malas maka untuk mengambil wudhu pun dirasakan satu musibat baginya, apalagi untuk mengerjakan tahajjud. Jika tidak lahir kekuatan untuk melakukan amal soleh dan tidak ada semangat untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, maka tidak ada faedahnya mereka menjalinkan hubungan dengan kita.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 710)

BERAMAL SESUAI DENGAN AJARAN

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Orang yang dikira termasuk dalam jemaat kita ialah mereka yang menjadikan ajaran kita sebagai pedoman dan berusaha mengamalkannya sesuai dengan keberanian dan kekuatannya. Tetapi mereka yang hanya meletakkan nama lalu tidak beramal sesuai dengan ajaran, mereka hendaklah ingat bahawa Tuhan telah beriradah untuk menjadikan jemaat ini satu jemaat yang istimewa, dan tidak ada orang yang hanya menuliskan namanya boleh berada dalam jemaat ini. Pasti ada waktunya mereka sendiri akan terpisah dari jemaat ini. Sebab itu, amalkan ajaran ini semampu yang kamu boleh.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 711)

HAKIKAT ILMU

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Ilmu  tidaklah bermaksud mantik atau falsafah, malah ilmu yang haiki ialah yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Ilmu seperti ini boleh menjadi sarana makrifat mengenai Allah dan juga boleh mendatangkan perasaan takut terhadap Allah. Seperti yang telah difirmankan Allah di dalam Al-Qur’an INNAMAA YAKHSYALLAAHA MIN ‘IBAADIHIL ‘ULAMAA’U (Fatir:29). Jika dengan ilmu yang ada tidak mendatangkan perasaan takut kepada Allah, ingatlah bahawa ilmu itu tidak menjadi sarana kemajuan pengetahuan.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 7)

TUJUAN PENUBUHAN JEMAAT AHMADIYAH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Aku diutus supaya dapat mendirikan kembali keagungan Rasulullah s.a.w yang telah hilang, dan juga aku dapat memperlihatkan kepada dunia tentang kebenaran Al-Qur’an, dan pekerjaan itu sedang berjalan. Tetapi, bagi mereka yang matanya ditutup, mereka tidak akan dapat melihat sedangkan sekarang ini jemaat telah menjadi terang seperti matahari dan ramai orang yang menjadi saksi akan tanda-tandanya.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 9)

Wednesday, January 26, 2011

Lembaran Tarbiyat 19



BUAT PERUBAHAN SUCI

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Anggota jemaat kita wajib mengamalkan ketakwaan dan berusaha menjadi aulia. Waktu ini sarana duniawi tidak berguna, demikian juga perancangan dan perdebatan. Untuk apa cenderung kepada dunia dan apa yang kita boleh harapkan daripadanya. Perkara yang bermanfaat bagi kita ialah menjalinkan hubungan dengan Tuhan dan sekarang inilah waktunya. Seharusnya inilah yang mereka harus ambil manfaat iaitu menjalinkan hubungan baik dengan Tuhan. ...... Bangunlah pada waktu malam, banyakkan berdoa, berehatlah. Mereka yang malas dan lalai telah melakukan kezaliman atas keluarga dan anak-anak mereka kerana mereka itu ibarat akar dan anggota keluarganya adalah dahan-dahannya.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 581)

PENGGUNAAN PEDANG ADALAH SEBAGAI PERTAHANAN

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Pedang digunakan sekiranya Islam diserang dengan pedang. Sekarang ini adalah waktunya untuk menakluk hati dan hal ini tidak dapat dilaksanakan dengan kekerasan. Kritikan yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w yang memulakan penggunaan pedang adalah salah sama sekali. 13 tahun Rasulullah s.a.w dan para sahabat hidup dalam kesabaran, kemudian walaupun sudah menundukkan para musuh, namun tetap menginginkan kedamaian yakni jangan sampai terjadi peperangan. Dan jika orang musyrik inginkan perdamaian dan keamanan, mereka harus diberikan kedamaian. Islam menginginkan agar tidak berlaku sebarang peperangan. Dasar peperangan telah dijelaskan oleh Tuhan sendiri kerana melihat orang Islam sangat dizalimi dan disusahkan dari setiap arah, sebab itu Allah Ta’ala mengizinkan perang semata-mata untuk menghadapi mereka. Jika tidak, sudah pasti ada perintah agar berperang dalam menyebarkan ajaran agama, tetapi, apa yang kelihatan ialah perintah LAA IKRAAHA FID DIINI (Al-Baqarah:257) yakni tidak ada paksaan dalam agama, kemudian apabila kekerasan dan kezaliman sudah melampaui batasan, maka barulah muncul perintah untuk menghadapi mereka.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 588)

HAKIKAT KETAKWAAN

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Untuk menjadi muttaki, selepas benar-benar meinggalkan perkara-perkara berat iaitu akhlak razilah seperti zina, mencuri, merampas hak, riak, sombong, memandang hina dan kedekut, maka perlu baginya menuju ke arah akhlak fadilah. Mempersembahkan sifat periang, perikemanusiaan dan kasih sayang kepada orang lain. Memperlihatkan kesetiaan dan kejujuran sebenar kepada Allah. Mencari kedudukan khidmat yang tertinggi. Dengan perkara-perkara ini, seseorang insan itu layak digelar muttaki, dan sekiranya seseorang itu mempunyai segala sifat-sifat yang dinyatakan, maka itulah ketakwaan yang sebenar. Dan untuk mereka ialah LAA KHAUFUN ‘ALAIHIM WALAA HUM YAHZANUUN (Al-Baqarah:62). Apalagi yang mereka mahukan selain itu? Allah Ta’ala akan menjadi mutawalli kepada mereka sebagaimana firman-Nya WAHUA YATAWALLAS SHOOLIHIIN (Al-A’raaf:197). Di dalam hadis ada dinyatakan bahawa Tuhan akan menjadi tangannya dengan itu dia memegang, menjadi matanya dengan itu dia melihat, menjadi telinganya dengan itu dia mendengar, dan menjadi kakinya dengan itu dia berjalan. Dan di dalam hadis yang lain Allah Ta’ala berfirman, orang yang memusuhi wali-Ku, Aku mengatakan kepadanya bersedialah untuk berperang dengan-Ku.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 680)


Lembaran Tarbiyat 18



TIGA NASIHAT UNTUK SETIAP AHMADI

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Banyakkan membaca kitab-kitab kita agar dapat mendalami pengetahuan, sentiasa beramal atas ajaran dalam Kisyti Nuh dan sentiasa mengirimkan surat.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 502)

JADIKAN PERSEKITARAN SATU TEMBOK RAHMAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Bangunlah menangis pada waktu malam, banyakkan berdoa dan dengan ini jadikan persekitaran satu tembok rahmat, Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan mematikan hamba-Nya yang khas dalam keadaan hina. ...... Jadi, kamu seharusnya membuat perubahan dalam diri, saya yakin bahawa mereka yang benar-benar jujur dan hati mereka sudah begitu jauh dari kejahatan, maka Tuhan akan menyelamatkan mereka. Bertaubatlah, bertaubatlah, saya teringat tentang satu ilham AAG SE HAMEIN MAT DARAU, AAG HAMARI GHULAAM HE, BALKEH GHULAAMOON KE GHULAAM HE (Jangan takutkan kami dengan api, api itu adalah hamba kami malah hamba segala hamba-hamba)” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 522)

RENUNGKAN SELALU KISYTI NUH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Saya telah berkali-kali menyatakan kepada anggota jemaatku agar jangan merasa cukup dengan penyataan bai’at secara lisan. Selagi kamu belum mencapai dasar hakikatnya belum tentu kamu selamat. Apabila seorang tabib memberikan resepi kepada seseorang, dan orang itu meletakkan di suatu sudut, pasti tidak akan bermanfaat kerana manfaat hanya dapat diperolehi melalui amalan dari apa yang dituliskan. Mereka yang ketinggalan, renungkanlah berkali-kali ajaran dalam Kisyti Nuh dan jadikan ia sebagai pedoman dalam kehidupan. Terdapat ribuan pencuri, penzina, penjahat dan pemabuk yang mendakwakan diri sebagai umat Muhammad s.a.w, namun adakah hakikatnya seperti itu? Sudah pasti tidak. Orang itu hanya tergolong dalam ummati sekiranya dia mengerjakan ajaran baginda.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 541)

SABAR JUGA SATU IBADAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Apabila masuk dalam jemaat ini ajarannya juga hendaklah diamalkan. Jika kesulitan tidak dirasai bagaimana hendak mendapat pahala. Rasulullah s.a.w menanggung kesulitan selama 13 tahun di Mekah, kamu tidak tahu bagaimana bentuk kesulitan yang mereka alami dahulu dan ia tidak akan menimpa kamu, tetapi Rasulullah s.a.w mengajarkan kesabaran kepada mereka. Akhirnya, semua musuh telah musnah. Satu masa nanti kamu juga akan melihat bahawa penjahat-penjahat ini tidak akan kelihatan lagi. Allah Ta’ala telah beriradah untuk menyebarkan jemaat suci ini di seluruh dunia. Waktu ini mereka melihat kamu sedikit lalu memberi kesusahan atas kamu, tetapi apabila jemaat sudah besar, mereka semua akan berdiam diri. Jika Allah berkehendak, orang-orang ini tidak akan memberi kesusahan, ataupun penjahat ini tidak lahir ke dunia, tetapi Tuhan hendak mengajarkan kesabaran melalui mereka. Dengan bersabar sedikit, tiba masanya kamu akan melihat bahawa langsung tidak ada apa-apa, dan orang-orang yang memberi kesusahan itu, sama ada mereka itu bertaubat atau akan dihancurkan.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 543)

Monday, January 24, 2011

Lembaran Tarbiyat 17



DOA SELEPAS SOLAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Sebenarnya kami tidak melarang untuk berdoa kerana kami sendiri pun berdoa, dan solat itu sendiri merupakan doa. Perkara yang sebenarnya ialah saya menasihatkan kepada anggota jemaatku bahawa di India ada bid’ah yang sedang berleluasa di mana mereka mendirikan solat bukan dengan cara yang sepatutnya. Kelihatan bagi mereka solat itu ibarat tax (cukai) yang mana dianggap sebagai satu beban dan harus ditunaikan. Padahal solat it merupakan satu ibadat yang boleh mendatangkan ketenangan dan keasyikan. Namun, cara mereka menunaikan solat itu tidak memungkinkan hati mereka turut hadir, tidak mendatangkan keseronokan dan ketenangan. Saya menasihati anggota jemaatku agar jangan menunaikan solat yang tidak mendatangkan rasa seronok tetapi berusahalah agar hati turut hadir ketika mengerjakan solat, timbul rasa seronok dan tenang. Jangan menjadi seperti orang yang menamatkan solat dengan tergesa-gesa kemudian baru memanjatkan doa dengan panjang-panjang.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 345)

KEADAAN DALAMAN ISLAM

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Keadaan dalaman agama Islam sudah berubah, bukan lagi tauhid yang sebenar muncul tetapi banyak bid’ah-bid’ah dan syirik yang mengambil tempatnya. Adat-adat resam yang buruk juga telah mengambil tempat amal-amal soleh. Memuja kubur dan memuja orang-orang soleh sudah melebihi batasannya.”

“Ribuan jenis bid’ah-bid’ah muncul dalam setiap firqah atau kumpulan. Taqwa dan kesucian yang merupakan asas agama sehingga Rasulullah s.a.w sanggup menahan penderitaan yang mana jika bukan hati seorang nabi sudah pasti tidak dapat bertahan, hal itu telah hilang. Cuba lihat di penjara, golongan mana yang paling banyak bersalah dalam soal perniagaan? Zina, arak, merampas hak orang dan kesalahan-kesalahan lain dilakukan dengan begitu banyak seolah-olah tidak menganggap bahawa Tuhan itu wujud. ..... Amalan yang amat perlu bagi menzahirkan perbezaan umat Islam dengan umat yang lain telah begitu lemah dan rosak.  ” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 356)

BEZA ANTARA SUNNAH DAN BID’AH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Waktu ini ramai orang yang tidak tahu membezakan antara sunnah dan bid’ah, sehingga mereka tertipu lalu meninggalkan uswah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan amalan yang mereka cipta sendiri. Dan mereka menganggap hal itu cukup dalam menjalani kehidupan mereka sedangkan hal itu boleh membawa mereka ke arah kesesatan. Apabila orang sudah boleh membezakan bid’ah dan sunnah lalu mereka mengamalkan sunnah, mereka boleh terselamat dari bahaya. Tetapi bagi orang yang tidak dapat membezakan sunnah dan bid’ah, malah mereka mencampuradukkannya, akibatnya adalah amat buruk.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 389)