Tuesday, March 29, 2011

Lembaran Tarbiyat 3 / 2011



NASIHAT UNTUK ANGGOTA JEMAAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Semua kemuliaan itu ada di tangan Allah. Banyak sudah orang-orang soleh yang berlalu dari dunia ini. Mereka itu bukan orang-orang dunia, cara hidup mereka begitu sederhana sehingga tidak ada yang bertanya kepada mereka, tetapi mereka semata-mata untuk Tuhan dan Tuhan menarik seluruh dunia ke arah mereka. Yakinlah sepenuhnya kepada Allah dan jangan berburuk sangka. Apabila mereka berburuk sangka kepada Tuhan, maka solat mereka tidak akan lurus, tidak juga puasa dan zakat mereka akan lurus. Buruk sangka akan menghilangkan kecantikan pohon iman, sepatutnya pohon iman itu berkembang disebabkan keyakinan.

Sebab itu saya berkali-kali menasihatkan anggota jemaatku bahawa sekarang ini adalah zaman kematian. Jika kamu menjalani kehidupan maut ini dengan hati yang bersih, maka kamu akan hidup dari kematian itu dan akan diselamatkan dari kematian yang hina.

Setiap mukmin akan mengalami keadaan bahawa jika dia ikhlas dan setia kepada Tuhan, maka Tuhan akan menjadi wali baginya. Tetapi jika tembok keimanan itu lemah, ia berhadapan dengan bahaya. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang. Isi dalam dada hanya Tuhan yang tahu. Tetapi, insan akan terperangkap dengan pengkhianatannya. Jika urusan dengan Tuhan tidak bersih, maka bai’at tidak memberi manfaat langsung kepadanya. Tetapi, jika kamu memang benar-benar kepunyaan Tuhan, maka Tuhan akan memeliharanya. Walaupun Dia adalah Tuhan bagi semua, namun bagi orang yang memberikan perhatian yang istimewa, maka Tuhan juga akan menunjukkan tajalli-Nya yang khas. ..... Saya berkali-kali juga menasihatkan kepada anggota jemaatku agar jangan merasa puas setelah bai’at sekiranya hati belum suci. Meletakkan tangan atas tangan apa manfaatnya sekiranya hati begitu jauh, demikian juga jika hati tidak selari dengan lidah, maka ikrarnya adalah munafik, orang seperti ini hendaklah ingat bahawa ada dua azab yang akan menimpanya. Tetapi, orang yang berikrar dengan betul, maka dosa-dosanya akan diampunkan, dan akan mendapat kehidupan yang baru.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 64)

NASIHAT KHAS UNTUK ANGGOTA JEMAAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Zaman sekarang ini kelihatan sangat rosak. Banyak perkara syirik, bid’ah dan kerosakan lain telah muncul. Janji yang dibuat semasa bai’at iaitu “saya akan mengutamakan agama di atas dunia”, janji itu adalah janji di hadapan Tuhan. Jadi, peliharalah ia sehingga mati atau kamu tidak melafazkan janji bai’at itu. Tetapi, jika ia kekal maka Allah Ta’ala akan memberikan berkat atas agama dan dunia kamu. Bertakwalah dengan sempurna menurut kehendak Allah Ta’ala. Zaman ini sangat sukar sekali. Kemurkaan Tuhan sedang kelihatan. Mereka yang beramal sesuai dengan keinginan Allah Ta’ala, dia sebenarnya telah berlaku ihsan atas diri, keluarga dan anak-anaknya.

Lihat insan yang makan roti. Jika dia tidak makan mengikut ukuran yang sepatutnya, dia akan tetap merasa lapar. Adakah dia akan merasa kenyang jika hanya makan secubit roti? Sudah pasti tidak. Dan jika dia menitiskan setitis air ke lehernya, dia belum pasti selamat malah, dengan titisan air itu dia mungkin mati. Untuk menyelamatkan diri, dia perlu mengambil makanan yang secukupnya dan minum air mengikut kuantiti yang dikehendaki oleh tubuh. Demikian jugalah keadaan iman seseorang. Jika amalannya tidak mencapai tingkat yang sepatutnya, dia belum tentu selamat. Keimanan, ketakwaan dan mentaati perintah Tuhan haruslah dilakukan dengan cara yang sepatutnya sebagaimana seseorang yang mengambil makanan dan minuman untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 68)

Tuesday, March 15, 2011

Berkat -berkat Pengorbanan & Waqfe Jadid


KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
07 JANUARI 2011 / 07 SULH 1390HS
02 Safar 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Tasyahud, Ta’awudz, Al-Fatihah dan Al-Baqarah ayat 266

Dan, misal orang-orang yang membelanjakan harta mereka demi mencari keredhaan Allah dan memperteguh jiwa mereka adalah semisal sebidang kebun yang terletak di tempat tinggi. Hujan lebat menimpanya dan ia menghasilkan buahnya dua kali lipat. Dan, jika hujan tidak menimpanya, maka gerimis pun memadai. Dan, Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.

Hari ini, di mana pun seorang Ahmadi berada dan memahami Jemaat Ahmadiyah, mereka itu kekal atas keyakinan bahawa Ahmadiyah yakin atas kitab syariat yang terakhir iaitu Al-Qur’an yang turun ke atas Rasulullah s.a.w, dan setiap hukum di dalamnya itu harus dilaksanakan. Dengan melaksanakan setiap perintahnya, ia akan menjadikan seorang mukmin sebagai mukmin yang hakiki. Dan berbelanja di jalan Allah adalah salah satu daripada hukum atau perintahnya sebagaimana yang dinyatakan dalam permulaan surah Al-Baqarah bahawa Al-Qur’an itu menjadi sumber petunjuk bagi orang-orang bertakwa. Allah Ta’ala berfirman ALLADZIINA YU’MINUUNA BIL GHAIB (Al-Baqarah:4) yakni mereka yang beriman kepada ghaib, WAYUQIIMUUNAS SHOLAATA (Al-Baqarah:4) dan tetap mendirikan solat, WAMIMMAA ROZAQNAAHUM YUNFIQUUN (Al-Baqarah:4) dan dari apa yang Kami rezekikan kepada mereka, mereka membelanjakan.

Jadi, tiga perkara ini menjadi asas kepada ketakwaan dan mendapat petunjuk dari Al-Qur’an, di antaranya adalah memberikan pengorbanan di jalan Allah. Kemudian, di dalam surah Al-Baqarah itu banyak menerangkan tentang ayat-ayat pengorbanan dari mula sehingga akhir. Dan juga di dalam surah-surah yang lain pun banyak menyentuh tentang pengorbanan harta. Oleh kerana itu seorang Ahmadi Muslim telah memahami hal ini dengan cara yang sepatutnya. Dan apabila mereka mengamalkan perintah itu dengan mempersembahkan pengorbanan semata-mata mendapatkan keredhaan Allah, maka keimanan dan keyakinan atas pengorbanan harta, keyakinan atas kewujudan Allah Ta’ala, keyakinan atas kebenaran Islam dan keyakinan atas kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud a.s akan bertambah kuat dan teguh.

Ayat yang saya tilawatkan tadi, ia juga menyentuh tentang membelanjakan harta di jalan Allah Ta’ala. Orang-orang yang berbelanja di jalan Allah itu mereka tidak berniat menzahirkan harta bendanya, membelanjakan harta itu bukan sebagai ihsan atas sesiapa, mereka tidak mengharapkan apa-apa imbuhan setelah berbelanja di jalan Allah, mereka hanya mencari keredhaan Allah semata-mata. Mereka berbelanja untuk menguatkan orang-orang yang lemah di kalangan mereka, mereka berbelanja untuk memperkuatkan jemaat, mereka berbelanja untuk memperkuatkan keimanan mereka, mereka inginkan keredhaan Allah, mereka ingin menguatkan diri dan orang-orang mereka, dan ini semua hanya akan terjadi sekiranya mereka berfitrat suci.

Orang-orang yang berfitrat jahat tidak mempunyai keinginan seperti ini. Hanya orang yang tenggelam dalam zatnya sahaja mempunyai keinginan seperti ini. Jadi sekiranya mereka menguasai zat sendiri dan keinginan mereka itu adalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, maka perbelanjaan harta yang mereka buat bukan untuk menunjuk-nunjuk, bukan juga sebagai ihsan atau mengharapkan suatu ihsan. Dan dalam berbelanja dengan cara seperti itu bukan hanya pada diri orang kaya, malah orang miskin juga terlibat sama. Orang miskin juga mempunyai keinginan untuk mendapatkan keredhaan Allah, dan biasanya orang miskin lebih banyak mengharapkan keredhaan Allah.

Apabila jemaat para nabi-nabi terbentuk, kebanyakan di kalangan mereka adalah orang-orang miskin. Walaubagaimanapun, dalam keadaan miskin yang dialami, ia tidak menghalang mereka untuk melakukan khidmat terhadap saudara-saudara mereka yang lain. Dan mereka juga berusaha sedaya upaya untuk mengkhidmati jemaat. Secara peribadi, semangat saling membantu di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w kelihatan sewaktu hijrah ke Madinah. Orang Anshar telah membantu kaum Muhajirin dengan pelbagai cara. Kemudian secara jemaat juga kelihatan dalam diri para sahabat. Apabila Rasulullah s.a.w mengumumkan bahawa candah diperlukan untuk suatu perkara, maka apa sahaja yang ada, mereka sanggup belanjakan bahagian yang terbaik pada jalan Allah Ta’ala.
Dalam ayat ini, seruan untuk berbelanja pada jalan Allah ditujukan kepada orang kaya dan juga orang miskin. Kedua-dua golongan ini diseru: “Jika kamu berbelanja pada jalan Allah, maka apa sahaja yang dibelanjakan menurut kemampuan masing-masing, pengorbanan itu akan digandakan dua kali lipat oleh Allah Ta’ala. Orang miskin juga diberi ketenangan, bahawa jika perbelanjaan dibuat dengan ikhlas dan semata-mata mencari keredhaan Allah, maka Tuhan akan memberi ganjarannya, yang mana di dalam Al-Qur’an juga ada dinyatakan bahawa akan digandakan sehingga 700 kali ganda dan mungkin boleh lebih daripada itu. Di sini tidak bersyarat sama ada besar atau kecil jumlah yang dibelanjakan, malah ruh pengorbanan sebenar yang akan diterima. Setiap amalan bergantung kepada niat, sama ada Tuhan layak mengabulkannya? Kadangkala kelihatan pengorbanan yang kecil lebih banyak ganjarannya berbanding dengan pengorbanan dalam jumlah yang besar.

Dalam satu hadis ada dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hari ini satu dirham telah mengatasi 100 ribu dirham.” Para sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi demikian?” Baginda menjawab: “Ada pada seseorang sebanyak dua dirham, satu dirham telah dia korbankan. Pada seorang yang lain pula ada harta yang begitu banyak dan dia mengorbankan 100 ribu dirham daripadanya.” (Sunan Nasai, Kitabuz Zakat, Bab Jahdul Muqil hadis nombor 2527), maknanya 100 ribu dirham itu amat sedikit jika dibandingkan dengan hartanya yang begitu melimpah ruah.

Jadi, yang dinilai di sisi Allah ialah semangat pengorbanan dan bukan jumlah pengorbanan. Dalam ayat ini juga Allah Ta’ala memberi ketenangan kepada orang-orang miskin, bahawa sebagaimana sebuah kebun yang disirami hujan yang sedikit tetapi dapat mengeluarkan buah yang banyak. Begitu juga halnya, bahawa pengorbanan kecil yang dilakukan menurut kemampuan dan dengan niat yang ikhlas, Allah Ta’ala menjadikannya sama taraf dengan pengorbanan yang besar, malah kadang-kadang lebih tinggi nilainya daripada pengorbanan yang besar seperti dalam contoh yang telah saya jelaskan tadi.

Kemudian Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat ini iaitu WALLAAHU BIMAA TA’MALUUNA BASHIIR Dan, Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan. Dengan menyatakan hal ini maka jelas bahawa Allah Ta’ala mengetahui keadaan hati manusia. Dia mengetahui semangat yang kamu miliki, Dia mengetahui ruh dalam pengorbanan yang kamu lakukan. Oleh sebab itu, apabila mendapat ganjaran daripada Allah, ia adalah berdasarkan kepada hati dan niat kamu. Allah mengetahui setakat mana kekuatan kewangan kamu. Maka, pengorbanan yang kamu lakukan akan diberikan mengikut nilai pengorbanan kamu. Oleh sebab itu, darjat pengorbanan yang diterima juga bergantung kepada niat dan amalan.

Pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s juga, apabila beliau mengumumkan tentang suatu gerakan pengorbanan harta, maka orang-orang kaya dan miskin sama-sama melakukan pengorbanan sesuai dengan kemampuan masing-masing. Dan pengikut beliau yang paling ramai pun adalah dari golongan orang-orang miskin, disebabkan inilah jumlah pengorbanan agak terhad, tetapi sebagaimana dinyatakan bahawa jika tidak hujan lebat, gerimis pun berguna, dan buahnya sedang dinikmati oleh generasi penerus mereka. Ini juga merupakan kewajipan keturunan mereka kerana sekarang ini keadaan sudah semakin berubah, dari segi harta juga sudah ada peningkatan. Jadi, seharusnya pengorbanan mereka bukan lagi bersifat gerimis tetapi ibarat hujan yang lebat. Hal ini hendaklah dilaksanakan supaya pokok amalan mereka dan keturunan mereka sentiasa lebat. Hazrat Maseeh Mau’ud a.s juga menyatakan dalam buku-buku beliau tentang orang-orang yang mengorbankan harta mereka walaupun nilainya satu Rupee dan jumlah yang agak kecil tetapi mewajibkan atas diri mereka untuk membayar setiap bulan. Dari sini pun kita dapat melihat bagaimana semangat para sahabat beliau dalam melakukan pengorbanan di jalan Allah Ta’ala. Di sini saya berikan satu contoh mengenainya.

Coudhry Abdul Aziz Sahib Ahmadi Ujalwi adalah seorang Patwari (penyimpan rekod sesebuah kampung). Berkenaan dengannya, Qazi Muhammad Yusuf Sahib Peshawari berkata: Di Gurdaspur, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s telah melancarkan satu gerakan pengorbanan harta. Coudhry Abdul Aziz Sahib itu datang berjumpa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dan memberikan satu Rupee, dia menjelaskan bahawa hanya ini sahaja yang saya miliki waktu ini. Qazi Sahib berkata: Saya sangat hairan dengan semangat pengorbanan Patwari itu. Bagaimana dia mengeluarkan wang sebanyak satu Rupee sedangkan gaji Patwari pada waktu itu hanyalah enam Rupee sebulan. Kemudian Qazi Sahib menulis: Tuhan telah memberikan kurnia yang besar atas keikhlasannya.

Di sini juga saya hendak jelaskan bahawa ketakwaan yang dimiliki oleh para sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s itu begitu luar biasa. Ketakwaan dalam diri Coudhry itu sangat tinggi. Dia tidak seperti Patwari yang lain. Di negara kita mahsyur mengenai hal ini bahawa memang gaji seorang Patwari itu kecil, tetapi pendapatan mereka dari pelbagai sumber sangat banyak, ada dari tuan tanah dan sebagainya. Apabila mereka pencen, mereka memiliki banyak harta, mereka memiliki tanah yang luas sehingga beratus-ratus ekar.

Saya teringat ketika zaman kanak-kanak di sekolah, ada seorang pelajar anak kepada Patwari, tetapi cara hidup dan cara berpakaian yang dia tampilkan melebihi cara anak-anak orang yang mempunyai gaji beribu-ribu. Dia sendiri mengatakan bahawa: gaji ayah saya hanya 45 Rupee sahaja sebulan, tapi ini semua kurnia Tuhan. Cara yang tidak halal itu dirasakan sebagai kurnia Allah dan gaji yang halal itu dari kerajaan. Bagi kita sebagai Ahmadi, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s datang untuk menjelaskan tentang kurnia Allah Ta’ala yang sebenar.
Ramai orang berkata: kami tidak perlu mana-mana Mahdi, kami tidak perlukan Al-Maseeh, dan tidak juga memerlukan Muslih. Jika sanggup menerima hakikat bahawa kewujudannya itu memang benar-benar diperlukan dan orang yang menerima telah mengikutinya, maka barulah dapat mengetahui kurnia Allah yang sebenar itu bagaimana bentuknya dan apa sebenarnya kurnia? Orang Ahmadi yang tahu bagaimana untuk berkorban semata-mata kerana Allah dan bagaimana bentuk kurnia Allah yang sebenar. Tidak kira sama ada WAABILUN atau THOLLUN, tidak kira hujan lebat atau gerimis, tidak kira pengorbanan kecil atau besar, tidak kira miskin atau kaya, setiap pengorbanan yang dilakukan untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala akan diberikan ganjaran. Sebagaimana kisah Hazrat Coudhry Abdul Aziz Sahib yang ditulis oleh Hazrat Qazi Muhammad Yusof Sahib, keikhlasan beliau dalam berkorban di jalan Allah telah diberikan ganjaran yang sepatutnya. Mungkin selain gaji yang diterima, beliau ada mempunyai tanah yang sedikit. Patwari biasanya tinggal di desa, pasti mempunyai sedikit tanah yang menjana pendapatan. Disebabkan itu, beliau telah datang dan menyerahkan pengorbanannya kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s.

Hendaklah selalu kita ingat bahawa Tuhan tidak memerlukan sebarang wang dari hamba-hamba-Nya. Apabila Allah Ta’ala menyeru hamba-Nya untuk membuat pengorbanan, itu bertujuan untuk memberi ganjaran kepada mereka. dan inilah yang selalu berlaku kepada para nabi-nabi Allah. Mereka tidak merasa risau bagaimana keperluan jemaat itu dapat dipenuhi? Apabila Allah memulakan sesuatu pekerjaan, apabila mengutus seseorang, pasti bersama-samanya ada sarana yang tersedia. Gerakan-gerakan secara zahir memang dibuat oleh para nabi-nabi, dan juga para khalifah-khalifah, namun sarana yang diperlukan akan sempurna sesuai dengan janji-Nya. Janji ini juga diberitahu kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, sebab itu beliau telah menjelaskan berkenaan dengan hal ini bahawa: Allah Ta’ala telah berjanji kepadaku tentang darimana datangnya sarana perbelanjaan. Beliau mengatakan: Akan datang dengan begitu banyak sekali, tetapi jangan kamu menjadi orang dunia apabila melihatnya. Yakni, secara peribadi juga anggota jemaat diberikan khabar gembira bahawa: kamu akan diberikan kemewahan dan jemaat juga dijanjikan kemewahan. Jadi, jemaat yang diberikan kemewahan itu, orang yang memegang perbelanjaan hendaklah ingat sentiasa akan hal ini iaitu jangan berbelanja pada jalan yang tidak perlu. Pelihara wang yang ada dan belanjakan dengan cara yang sepatutnya. Orang miskin berkorban dan orang kaya juga melakukan pengorbanan, jadi pengorbanan mereka itu harus dibelanjakan dengan penuh berhati-hati agar sentiasa mendapat keredhaan Allah Ta’ala.

Ruh pengorbanan yang telah dilahirkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dalam jemaatnya, dengan kurnia Allah ia telah menjadi sarana kemajuan jemaat. Pengorbanan para sahabat juga telah menjadi teladan bagi orang-orang yang baru bergabung. Tidak kira di mana-mana tempat, jemaat yang begitu jauh sekalipun, walaupun mereka hidup miskin, tetapi mereka tidak ketinggalan dalam membuat pengorbanan. Pengorbanan dalam bentuk gerimis pun ada kelihatan dan dalam bentuk WAABILUN (hujan lebat) pun kita dapat lihat. Dan dengan kurnia Allah, Allah Ta’ala telah mengurniakan mereka dengan hasil pekerjaan yang berganda-ganda. Di sini saya hendak memberikan beberapa contoh untuk kita jadikan renungan.

Di India, Nazim Waqfe Jadid menulis bahawa pada tahun 2010, dia membuat lawatan ke Gujrat. Di sana ada sebuah tempat disebut Gandhi Dham, apabila dia pergi kepada kawannya untuk mengambil bayaran candah Waqfe Jadid, waktu itu candahnya sebanyak 13,000 Rupee. Beliau memberitahu bahawa: saya tahu kemampuan kewangannya. Saya menjelaskan kepadanya bahawa Tuhan banyak memberi kurnia kepadanya, cubalah berjanji sebanyak 50,000 Rupee. Pada waktu itu juga dia menyerahkan cek sebanyak 55,000 Rupee dan berkata; doakan saya, ada satu perniagaan di mana bahagian saya sebanyak 2,100,000 Rupee telah tersekat dan tidak ada harapan untuk keluar. Dengan kurnia Allah, dalam masa seminggu itu rakan-rakannya sendiri datang membawa duitnya yang tersekat itu.

Demikian juga Inspektor Waqfe Jadid kita, dia mengatakan di sebuah tempat di Tamil Nadu, ada seorang mukhlis Ahmadi yang telah bai’at 10 tahun lepas. Apabila dia diberitahu mengenai kepentingan Waqfe Jadid dan disarankan agar membuat perjanjian sebanyak 30,000 Rupee kerana pendapatannya cukup banyak, dia mengatakan: Tuan Maulvi! Saya telah dengar ucapan tuan, saya tidak mahu 30,000 tetapi saya berjanji 50,000 Rupee. saya berkata kepadanya: Mungkin ini di luar kemampuan tuan? Dia menjawab: Jika semata-mata kerana Allah, tuan tidak perlu bimbang. Saya tahu kemampuan saya dan bagaimana Tuhan membalasnya. Dalam bulan Ramadhan, dia telah melunaskan perjanjiannya dan berkata: Pendapatan saya begitu melimpah sekarang. Dalam tahun itu, dia telah berjanji untuk Tahrik Jadid 100,000 Rupee dan Waqfe Jadid juga 100,000 Rupee.

Kemudian di wilayah Banggal, Inspektor Waqfe Jadid ialah Syeikh Muhammad Dawud. Dia mengatakan bahawa ada seorang Ahmadi baru yang sedang belajar di Madrasah. Kemudian dia mengambil kos latihan Mualllim dan membayar candah sebanyak 500 Rupee. kemudian Allah Ta’ala telah memberikan kurnia kepadanya. Sekarang candahnya 5,000 Rupee. Dia berkata: Ketika saya masih ghair Ahmadi saya pergi ke rumah-rumah orang untuk makan. Dan sekarang selepas bai’at dan berkat daripada candah, orang ramai makan atas hidangan saya. Dulu tidak ada harta, sekarang ini sudah memiliki harta.

Kemudian di Tamil Nadu, satu daerah yang kebanyakannya Ahmadi yang masih baru dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun bai’at. Dengan kurnia Allah, 50% daripada mereka yang berpendapatan telah menjadi Musi. Beberapa tahun sebelumnya ada seseorang telah bai’at dan dengan kurnia Allah dia juga meningkat dalam pembayaran candah. Dan dia juga berkata: disebabkan candah itulah perniagaan saya bertambah maju, manakala keluarga saya yang bukan Ahmadi menjadi hairan darimana datangnya harta yang saya miliki? Saya beritahu kepada mereka bahawa apapun yang ada, semuanya adalah berkat kurnia Allah dan berkat Ahmadiyah.

Semua ini adalah kisah di India.

Sekarang, mari kita lihat bagaimana pula semangat pengorbanan yang dimiliki oleh anggota jemaat kita di Afrika. Tuan Amir Gambia menulis bahawa ada seorang saudara kita yang miskin bernama Fodayba Colley. Apabila dia diminta untuk membayar canda Waqfe Jadid, dia menjelaskan bahawa mereka begitu susah sehingga berlapar. Selepas tiga hari, dia datang dan membawa 50 dalasi dan mengatakan: Saya mahu nama saya juga termasuk dalam senarai orang-orang yang ingin mendapat berkat. Walaupun hidup dalam keadaan yang begitu susah, namun mereka tidak mahu ketinggalan dalam pembayaran candah. Ini satu semangat yang sangat luar biasa.

Kemudian ada lagi orang lain, dia mengatakan bahawa saya hidup sangat susah, saya orang yang memerlukan, saya orang miskin, tidak ada apa-apa yang ada pada saya. Tetapi, orang itu telah memberikan 100 dalasi.

Tuan Amir Jemaat Benin menulis bahawa ada seorang mubaiyin baru dan merupakan Sekretari Am di Awrakame, Latifo Lomedi Sahib. Dia risau kerana sudah lama menganggur. Dia juga telah pergi ke Nigeria untuk mencari pekerjaan lalu balik dengan tangan kosong. Waktu itu dua bulan terakhir tahu Waqfe Jadid iaitu November dan Disember, dan dia ada banyak tunggakan. Apabila dia diminta untuk membayar perjanjian Waqfe Jadid dan dijelaskan bahawa Allah Ta’ala juga memberi kurnia khas atas orang-orang yang berbelanja pada jalan Allah dalam keadaan susah, maka keesokan harinya dia datang dan membawa jumlah tunggakan yang harus dibayar lalu berkata: kalau untuk keperluan rumah saya makan dengan berhutang, kenapa pada jalan Allah Ta’ala ini saya tidak sanggup untuk berhutang? Mungkin dengan cara itu Tuhan memperhatikan kami. Dengan kurnia Allah, hari ketiga selepas dia membayar candahnya, dia telah mendapat pekerjaan yang sangat baik dengan pendapatan lumayan. Dalam masa dua bulan sahaja dia telah dapat melangsaikan keseluruhan hutangnya, dia juga terus membeli sebuah motosikal, ke mana sahaja dia pergi, dia selalu mengatakan semua ini adalah berkat saya membayar candah.

Jemaat Awrakame di Benin seperti yang telah saya sebutkan tadi, di sana seorang Muallim pergi mengutip canda. Orang-orang yang tinggal di sana banyak berhutang kepada Presiden jemaat sehingga menjadi jumlah yang begitu banyak. Oleh kerana tidak dapat dibayar dalam masa yang cepat, Tuan Presiden dan beberapa anggota keluarganya tidak dapat melunaskan perjanjian Waqfe Jadid mereka. Tuan Muallim telah memberi kefahaman kepada Tuan Presiden dan ahli keluarganya yang lain bahawa: janji adalah ibarat hutang. Jika kamu teragak-agak untuk membayar hutang kepada Tuhan, maka orang lain pun akan teragak-agak membayar hutang kepada kamu. Akhirnya mereka faham dan dengan segera mereka melunaskan semua baki perjanjian yang ada. Tuan! Sekarang saya membayar hutang kami kepada Tuhan. Allah Ta’ala telah menurunkan kurnianya di mana dalam minggu itu juga orang-orang yang sepatutnya membayar, semua datang dan menyerahkan kembali wang yang telah dipinjam. Mereka telah membeli satu ekar tanah dan separuh daripadanya diserahkan kepada jemaat untuk tapak masjid.

Muballigh Nigeria menjelaskan bahawa ada seorang wanita di jemaat Lokojah bernama Aswat Habib memberitahu: Saya menjalankan perniagaan pakaian dan kain di rumah, tetapi sekarang ini suami saya membuka satu sekolah yang menyebabkan banyak masa saya di sekolah. Tambahan pula sekolah itu jauh dari rumah hingga menyebabkan pendapatan menjadi kurang dari perniagaan saya. Hal ini merisaukan saya. Pada suatu hari Tuan Murabbi datang dan menyeru kepada perjanjian Waqfe Jadid dan setakat yang saya mampu, saya telah berikan kepadanya. Dalam hari itu juga, apabila saya membuka kedai perniagaan pakaian saya, beberapa jam kemudian, saya menyedari bahawa banyak pakaian yang siap terjahit berbanding minggu sebelumnya. Ini semua adalah berkat candah yang saya berikan.

Muballigh daerah Widgow menulis bahawa Tuan Diallo Seko adalah orang tempatan di situ. Dia telah bai’at pada tahun lepas. Selepas bai’at, dengan segera dia mula membayar candah. Dan berkat candahnya, Allah Ta’ala telah memberikan kurnia atas Ahmadi yang mukhlis itu di mana hasil tuaiannya tahun itu menjadi dua kali lipat ganda berbanding tahun sebelumnya. Dan sekarang dia akan membayar candah Waqfe Jadid dalam tuaian berikutnya.

Tuan Amir Burkina Faso menulis bahawa Presiden Jemaat Gava Region iaitu Hema Yousaf Sahib memberitahu bahawa pada suatu hari di dalam poketnya hanya 3000 franc. Isterinya mengatakan bahawa di rumah tidak ada apa-apa untuk dimasak, pergilah beli. Pada waktu itu saya membawa wang itu dan pergi ke rumah misi. Di sana Tuan Murabbi mengingatkan bahawa ada tunggakan candah Waqfe Jadid. Dia berfikir bahawa sekarang ini adalah ujian bagiku. Saya membuat keputusan untuk mendahulukan pembayaran candah dan terus menyerahkan semua 3000 franc, dan Allah sangat menyukai perngorbanan saya. Pada hari itu juga datang seseorang atas urusan kerja dengan membawa sebanyak 300,000 franc sebagai advance, selebihnya akan diberikan apabila kerja selesai. Yousaf Sahib berkata: Bermula hari itu, tawakkal saya kepada Tuhan semakin bertambah terutama sekali apabila masalah kewangan telah selesai.

Muballigh Daerah Banfora menulis bahawa ada seorang kawan yang baru empat tahun bai’at bernama Sawadogo. Secara perlahan-lahan, dia mulai menjadi mukhlis dan membayar candah. Dia memberitahu pada suatu hari, pertama sekali libatkan diri dalam pembayaran candah kerana di dalamnya banyak berkat, dan buktinya terjadi pada saya sendiri, sebelum masuk Ahmadiyah dan sebelum mulai membayar candah, saya selalu berhutang dengan orang lain. Tetapi, sekarang ini Tuhan telah memberi kurnia atas saya, dengan berkat membayar candah, saya sudah mampu memberi pinjam kepada orang lain. Dahulu orang selalu datang mengutip hutang daripada saya, tetapi sejak menjadi pengikut Imam Mahdi, orang datang kepada saya untuk meminta pertolongan.

Nigeria adalah negara miskin. Orang terbiasa menerima dan tidak biasa untuk memberi. Tetapi, dengan kurnia Allah, di mana pun tabligh terjadi, di sana juga diberitahu mengenai nizam pengorbanan harta. Ini menjadikan orang ramai cenderung untuk melakukan pengorbanan. Orang-orang yang begitu terpencil pun, sekali mereka ditabligh, pada hari itu juga mereka memberikan sesuatu sebagai candah.

Muballigh menulis bahawa di Nigeria, 100% anggota jemaat tahun ini telah mengambil bahagian dalam perjanjian Waqfe Jadid. Dalam tahun lepas, jumlah anggota yang mengambil bahagian dalam Waqfe Jadid ialah 1,478 orang. Pada tahun ini, jumlah meningkat menjadi 17,706. Ini menyatakan bahawa mubaiyin baru yang mengambil bahagian ialah seramai 16,228 orang.

Di Afrika, anggota jemaat bukan hanya membayar candah, mereka juga cenderung melakukan pengorbanan harta yang lain.
Di Legos, ada seorang Ahmadi yang mukhlis, Alhaji Ibrahim Alhasan. Dia telah membuat sebuah rumah baru, bersebelahan dengannya dia membina sebuah masjid dan tiga buah flat. Niatnya berkenaan dengan masjid itu ialah hendak diberikan kepada jemaat. Dia mengatakan: sebelum berpindah ke rumah baru, suatu malam saya bermimpi Hazrat Khalifatul Maseeh Awwal datang ke rumah baru saya, selepas itu menyusul Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani, Khalifatul Maseeh Tsalis, Khalifatul Maseeh Rabi’ dan Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis. Akhir sekali Hazrat Maseeh Mau’ud a.s datang. Kemudian beliau a.s bersabda: Ini adalah majlis pembukaan rumah ini, dan tidak ada majlis lain yang patut diadakan. Dan tiga flat yang dibina berdekatan masjid, salah satu daripadanya beliau a.s datangi dan bersabda: Bangunan ini juga hendaklah diberikan kepada jemaat bersama-sama dengan masjid. Selepas itu mata saya terbuka dan berniat untuk memberikan kepada jemaat bangunan itu bersama-sama dengan masjid. Dan keseluruhan masjid dan bangunan sebagai rumah misi itu bernilai 90,000 Pound.

Muballigh Togo menulis sebuah kampung di wilayah Nauce, di mana Ahmadiyah baru bertapak di sana, permulaan candah berlaku secara luar biasa. Para penentang membawa pelbagai barang-barang dan wang untuk diberikan kepada anggota jemaat agar mereka meninggalkan Ahmadiyah. Ini adalah kampung yang miskin dan kebanyakan mereka adalah petani. Para penentang berkata: “Kami ada membawa wang untuk kamu sedangkan Ahmadi mengambil candah daripada kamu lalu dikumpul untuk mereka menjalankan perniagaan”. Orang kampung menjawab: “Kamu memang penipu! Kamu membawa wang untuk kami agar kami meninggalkan keimanan kami, sedangkan Ahmadi meminta candah daripada kami untuk menguatkan keimanan kami, mereka memberitahu ajaran Al-Qur’an bahawa setiap Muslim hendaklah memberikan sesuatu pada jalan Tuhan, dan kami tahu Ahmadi mengambil candah dari kami adalah untuk mengkhidmati Islam, bukan untuk makan minum atau menjalankan perniagaan. Walaupun kami ini orang miskin dan wang kamu dapat menyempurnakan keperluan kami, namun jumlah wang sedikit yang ada, kami merasa senang sekali memberikannya pada jalan Tuhan”. Begitulah mereka melibatkan diri dalam pengurusan candah, dan dengan kurnia Allah Ta’ala, sehingga sekarang mereka masih mengamalkannya.

Jadi, inilah orang-orang yang berkorban semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Tidak kira sama ada pengorbanan yang kecil atau besar, janji Allah untuk menggandakan rezeki mereka pasti akan sempurna. Satu ruh pengorbanan harta seperti yang kita lihat dalam jemaat bukan sahaja berdiri malah ia semakin meningkat. Orang-orang yang baru masuk Jemaat Ahmadiyah juga tidak ketinggalan dalam perkara ini.

Pemungutan Candah Wakfe Jadid pada mulanya dirancang hanya untuk orang Pakistan sahaja, yakni pembayarnya khusus untuk orang Pakistan sahaja. Namun, Khalifah Keempat telah menyebarkannya ke seluruh pelusuk dunia. Mengambil candah Wakfe Jadid dari negara-negara kaya yakni negara-negara Barat atau negara-negara sedang membangun adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan di India dan negara-negara di Afrika di mana perbelanjaan mereka semakin meningkat dan banyak di antara mereka orang-orang yang baru bai’at. Dengan candah ini, segala keperluan mereka dapat dipenuhi termasuk pembangunan masjid-masjid dan lain-lain. Tetapi, tuan-tuan dapat melihat bahawa dalam peristiwa yang saya telah jelaskan, orang-orang baru bai’at pun begitu bersemangat dalam melakukan pengorbanan. Dan seiring dengan semangat mereka itu, rumah-rumah misi yang baru juga terus dibuka. Sebab itu candah Wakfe Jadid yang diambil dari negara-negara kaya dan negara-negara Barat, itu bertujuan untuk menyempurnakan kegunaan-kegunaan lain seperti pembinaan masjid-masjid, rumah misi dan menerbitkan risalah-risalah. Pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang Ahmadi di negara-negara Barat ini, sejauh mana mereka maju dalam pelbagai projek-projek jemaat, negara-negara miskin juga tidak ketinggalan dalam memajukan jemaat mereka. pengorbanan orang-orang Ahmadi di negara-negara kaya yang luar biasa itu, kemudian pengorbanan peribadi yang luar biasa atas nama jemaat, pengorbanan mereka mendapat hasil laksana hujan yang lebat. Semoga Allah sentiasa mengabulkan pengorbanan mereka.

Sebagaimana yang semua tahu bahawa permulaan tahun baru Waqfe Jadid ialah pada awal Januari, dan contoh-contoh yang telah saya berikan kebanyakannya adalah mengenai Waqfe Jadid. Jelas bahawa dalam khutbah hari ini akan diumumkan permulaan tahun baru Waqfe Jadid dan akan dijelaskan kemajuan sepanjang tahun lepas. Dengan kurnia Allah tahun ke-53 Waqfe Jadid telah berakhir pada 31 Disember yang lepas. Alhamdulillah, dalam tahun ini kutipan Waqfe Jadid jemaat melebihi 4,183,000 Pound, yakni lebih 664,000 Pound berbanding tahun sebelumnya. Dan sebagaimana kebiasaannya, Pakistan di tempat Pertama, kemudian Amerika, menyusul UK kemudian Jerman. UK juga telah meningkat lebih 100,000 Pound berbanding tahun sebelumnya. Manakala Jerman telah berusaha untuk mengatasi UK pada tahun ini dengan peningkatan melebihi 200,000 Euro, namun kedudukan masih tetap seperti tahun sebelumnya. Seterusnya Kanada, menyusul India dan Australia. Australia meningkat satu anak tangga. Kemudian Indonesia, Belgium dan tempat ke-10 adalah Switzerland.

Dan berdasarkan kepada matawang tempatan, jemaat yang paling banyak mendapat kutipan ada lima jemaat iaitu tempat Pertama ialah Jerman yang mengalami peningkatan sebanyak 33%. Kemudian menyusul Bharat, lalu Amerika, kemudian Australia dan terakhir Belgium.

Dari segi kutipan perorang pula, Amerika tempat pertama iaitu melebihi 81 Pound. Kemudian menyusul Switzerland 48 Pound, Ireland, UK dan Jepun. Perancis, Kanada, Sepanyol dan lain-lain juga telah berusaha. Di Afrika, lima urutan tertinggi dalam kutipan Waqfe Jadid, pertama ialah Ghana, kemudian Nigeria, Mauritius, Burkina Faso dan terakhir Benin.

Pertambahan pembayar Waqfe Jadid bagi tahun ini ialah 25 ribu orang, dengan itu jumlah pembayar keseluruhan melebihi 600,000 orang. Tetapi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa kali ini Nigeria telah berusaha keras, sedangkan ia merupakan jemaat kecil dan masih baru, namun ia mengalami pertambahan sebanyak 16 ribu orang. Jika negara-negara Afrika yang lain juga berusaha keras, mungkin pertambahan jumlah ini akan menjadi lebih banyak. Saya telah mengatakan kepada Ghana dan Nigeria bahawa untuk tahun akan datang, letakkan sasaran sebanyak 50 ribu orang, dan peluang mereka ada. Semua ini akan terlaksana dengan kurnia Allah Ta’ala.

Berkenaan Pakistan, tempat pertama adalah Lahore, kemudian Karachi dan Rabwah. Rabwah dan Karachi amat sedikit perbezaan, mungkin jika Rabwah mengetahuinya lebih awal, ada seseorang yang akan membayar lebih. Bezanya cuma empat hingga lima ribu rupee sahaja.

10 daerah di Bulghan. Sialkot, Rawalpindi, Faisalabad, Islamabad, Seikhopura, Gujranwalah, Sargodha, Multan, Gujrat dan Umarkot.

Dalam Atfal, Lahore di tempat pertama, tempat kedua Karachi, kemudian Rabwah. 10 daerah bagi Atfal ialah Sialkot, Rawalpindi, Islamabad, Seikhopura, Faisalabad, Gujranwalah, Narrow Wall, Gujrat, Umarkot, dan tempat ke sepuluh Hyderabad.

Lima Jemaat Amerika yang teratas ialah Los Angeles, Inland Empire, Silicon Valley, Detroit, Chicago West dan Boston.
10 Jemaat teratas di England, Voster Park, Masjid Fazal, Rens Park, Birmingham West, West Hill, Bradford North, Beksle Inn Greenwich, Chimp,  Masjid West dan Volour Himpton.

Berdasarkan kepada jumlah kutipan di wilayah England, pertama Middle Land Region, South Region, London Region, Middle Siks Region, dan Islamabad Region.

Lima teratas Jemaat Jerman, Hamburg, Frankfurt, Gross Geraw, Wizbadin dan Dar Masted.

Dari segi jumlah kutipan di Jerman, kedudukan adalah seperti berikut: Roader mark, Noe East, Brohsal, Morfilden (orang Jerman harus membetulkan sebutan nama-nama tempat ini), Roads Hyme, Mahdi Abad, Breman, Neder Roaden, Wall Dorf, Wain Garten.

Di Kanada, daftar Atfal dan dewasa telah diasingkan. Di negara-negara yang nizamnya sudah teratur, saya juga sudah nyatakan kepada mereka agar melakukannya, namun Jerman, Amerika dan England tidak dapat berusaha ke arah ini, yakni senarai khuddam dan atfal diasingkan. Tetapi Kanada telah melaksanakannya, ini menjadikan Kanada menyimpan rekod seperti ini selepas Pakistan. Dalam candah orang dewasa, Markham, Pesolej South, Westen Izlengthen, Calgary South, Vo Bridge. Daftar Atfal di Kanada, Western South, Western North West, Westen Izlengthen, Markham dan Pesolej South.

Kedudukan jemaat-jemaat di India ialah Kerala tempat pertama, Jammu Kashmir, Tamil Nadu, Andhra Pradesh, West Banggal, Karnataka, Orissa, Punjab, Uttar Pradesh, Rajasthan, dan Delhi.

Saya telah menjelaskan berkenaan peringkat bahagian, sekarang kedudukan bagi jemaat-jemaat ialah paling awal Kalikat, Kina Nur Town, Hyderabad, Qadian, Chennai, Kolkata, Keralai, Bangalore, Panj Ghari, Kambtur, dan Asnur.

Mudah-mudahan dalam tahun baru ini pun Allah Ta’ala akan meningkatkan lagi jumlah orang-orang yang berkorban. Mereka yang telah melakukan pengorbanan pada tahun lepas, semoga Allah menambahkan lagi rezeki mereka, dan pada masa akan datang, kita akan sentiasa melihat jemaat ini terus maju ke hadapan. InsyaAllah.

Ada satu khabar yang menyedihkan. Mukarram Hidayatullah Hubsch Sahib telah meninggal dunia pada 4 Januari bersamaan hari Selasa. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Beliau dilahirkan pada tahun 1946, dengan ini beliau berumur 64 atau 65 tahun. Beliau mendapat pendidikan di Frankfurt. Dalam tahun 1974, beliau berkahwin dengan wanita dari Mauritius dan mempunyai seorang anak perempuan. Isteri beliau meninggal dunia dalam tahun 1989. Kemudian, beliau berkahwin lagi dengan wanita dari Qadian, anak kepada Sa’id Ahmad Darwisy Mahar Sahib dan mendapat tiga orang anak. Seorang Ahmadi yang sangat mukhlis dan giat berkorban.

Dalam menceritakan pengalamannya bagaimana memeluk Islam dia berkata: Suatu hari saya duduk di rumah ibu saya, saya melihat ada satu cahaya putih dari atas keluar dan memancar tepat ke sebuah almari di mana di dalamnya banyak buku tersusun rapi. Cahaya itu memancar dan berhenti atas sebuah buku. Apabila saya mengambil buku itu, saya dapati buku itu adalah Al-Qur’an terjemahan Jerman. Saya membaca Al-Qur’an itu di atas tangan dan dengan membaca beberapa bahagian dari Al-Qur’an itu, timbul keyakinan bahawa Allah Ta’ala sedang berkata-kata melalui kitab itu. “Kitab ini benar dan saya telah menerimanya”.

Akhirnya beliau memeluk Islam. Mulai dari hari itu, beliau mula mencari masjid dan mendapat alamat Masjid Nur. Dengan cara itu beliau mula berhubung dengan jemaat melalui Muballigh jemaat Mukarram Mas’ud Jehlumi Sahib Marhum. Beliau ini menjelaskan tentang Islam dan jemaat kepadanya dengan begitu baik. Akhirnya beliau bai’at dalam tahun 1970. Khalifatul Maseeh III meletakkan namanya sebagai Hidayatullah. Apabila Hazrat Khalifatul Maseeh III berkunjung ke Frankfurt dalam tahun 1970, beliau berpeluang bertemu dengan Huzur. Amir Sahib Jerman juga bai’at melalui beliau kerana beliau memang giat bertabligh. Oleh kerana mencari kebenaran, beliau datang ke Qadian. Di Qadian waktu itu ada orang Jerman, mereka telah membawa beliau mengelilingi Qadian dan bertabligh. Beliau selalu bertugas sebagai penterjemah para khalifah. Beliau seorang yang sangat mukhlis dan amat baik. Sifat tawakkalnya kepada Allah sangat tinggi. Walaupun beliau orang baru, namun tawakkal dan keimanannya, keyakinan dan kesetiaan, kecintaan dan keikhlasannya banyak melebihi yang lain. Beliau sangat asyik dengan Khilafat Ahmadiyah dan sangat setia, yakni dalam apa perkara sekalipun beliau tidak mahu menentang. Jika dalam MTA ada khutbah atau ada program khalifah semasa, beliau dengan segera akan mendiamkan anak-anak di samping beliau sendiri mendengar program tersebut. Tenggelam dalam solat, rajin mendirikan Tahajjud dan nawafil. Saya masih ingat, tahun lepas saya di Jerman dan memanggil beliau dalam satu syura. Di sana ada satu risalah dari pihak jemaat dalam bahasa Jerman, tetapi di dalamnya ada ruangan yang menyebabkan orang merasa perlu ada teguran. Hal itu telah dibahaskan di dalamnya dan saya sendiri merasakan bahawa teguran itu benar, manakala Hidayatullah Sahib sangat berperanan di dalamnya, keinginan beliau ialah supaya beberapa anak-anak perempuan juga menulis di dalamnya. Beberapa orang menyatakan bahawa kandungan di dalamnya perlu diadili. Tetapi Hidayatullah Sahib berdiri dan ucapan pertama beliau ialah: “Kesilapan yang telah dikenalpasti itu memang benar, dan saya memohon maaf atas kesilapan itu, apa yang terbaik ialah memperhatikannya”. Beliau tidak beralasan apa-apa, dengan penuh merendah diri menyatakan bahawa “kami telah melakukan kesilapan dan kami memohon maaf”. Inilah ruh yang ada dalam diri beliau. Dalam setahun itu saya menyambut Hari Raya Korban di sana, beliau berharap sangat saya dapat datang ke rumahnya. Ketika di rumahnya, beliau menunjukkan saya setiap bilik, kemudian perpustakaannya, semua keadaan di rumah sangat menarik yang menyebabkan beliau mengatasi beberapa orang yang lain. Beliau juga mendapat taufik untuk mengkhidmati agama. Beliau banyak menulis buku mengenai Islam dalam bahasa Jerman. Beliau berhubung dengan media, dan melalui media, banyak majlis-majlis dan sesi soal jawab diadakan dengan jayanya. Beliau pernah menjawat Press Secretary Jerman dalam tempoh yang lama. Beliau kaya dengan ilmu, dan ciri apa yang kita rasakan perlu bagi seorang Mukmin, beliau memilikinya. Beliau juga anggota dalam MTA Jerman Studio dan dianggap sebagai asas dalam program-program Jeman. Khazanah risalah Tabligh dan Tarbiyat dalam bahasa Jerman telah beliau tinggalkan untuk Jemaat Jerman.

Beliau juga banyak memberikan penjelasan berkenaan dengan Islam dan Ahmadiyah di akhbar-akhbar Jerman dan pelbagai siaran TV. Bersama-sama dengan bahasa Jerman, beliau juga mahir dalam bahawa Inggeris. Beliau menulis nazam dalam bahasa Jerman dan Inggeris. Di dalam Jamiah Ahmadiyah, beliau bekas pengajar dalam bahasa Jerman dengan begitu sempurna. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa beliau menulis nazam, beliau seorang penyair yang baik. Buku-buku syairnya juga ada diterbitkan. Selalu berceramah dalam jalsah-jalsah. Beliau sangat mencintai Al-Qur’an dan yakin sepenuhnya kepada zat Allah. Setiap keadaan yang sulit, hanya satu jawapannya iaitu “berdoalah”. Selain teratur dalam solat lima waktu dan Tahajjud, nawafil juga giat dilakukan oleh beliau. Sangat giat dalam membuat pengorbanan harta. Anak perempuannya ada menulis surat kepada saya: “Beberapa kali masalah timbul, jawapan pertama yang beliau berikan ialah tulis surat kepada khalifah semasa dan sendiri tenggelam dalam berdoa.
Karya beliau yang tidak menyangkut jemaat adalah berkenaan dengan ajaran Rasulullah s.a.w sebanyak dua jilid dalam bahasa Jerman. Berkenaan dengan Islam, ada 99 persoalan dan jawapan, dan buku ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Kemudian buku yang ketiga adalah kedudukan wanita dalam Islam, mengandungi beberapa persoalan dan jawapan. Begitu juga dengan buku Gambaran Syurga dan Neraka dalam Islam. Hampir 12 buah buku beliau terbitkan dan disebarkan di luar lingkungan Ahmadiyah. Dan buku-buku mengenai kejemaatan yang beliau tulis lebih kurang empat buah. Selain itu beliau menulis di majalah-majalah. Ada buku Qadian Darul Aman dan Peranan Wanita. Kemudian kumpulan-kumpulan Nazam dalam Islam. Beliau menulis secara teratur dalam majalah-majalah jemaat. Banyak juga buku-buku kecil dan brochure yang berjumlah hampir 120 buah. Melibatkan diri dalam acara-acara di TV dan Talk Shows. Ada satu program Yahudi yang terkenal di Jerman yang tajuknya “Sejauhmana Islam Berbahaya?”, beliau mengambil bahagian dalam program itu untuk mempertahankan Islam. Ringkasnya, beliau banyak terlibat dalam program-program TV. Beliau juga berhubung dengan orang politik di peringkat negara dan antarabangsa, begitu juga golongan cendekiawan dan penulis-penulis. Dalam satu akhbar harian Jerman Die Welt, artikel beliau selalu diterbitkan.

Kewafatan beliau telah dikhabarkan oleh 16 surat khabar yang di antaranya adalah surat khabar nasional. Banyak artikel yang menyatakan beliau seorang Muslim yang masyhur. Beliau dikatakan orang yang mengamalkan ajaran Islam dengan betul. Frankfurt News Press menulis beliau seorang penyair dan muballigh. Beliau adalah antara penulis-penulis terkenal yang layak menerima noble prize di Gunter Grass dalam tahun 1960. Nazam terakhir yang beliau tulis mengandungi ucapan hormat dan terima kasih kepada Rasulullah s.a.w kerana disebabkan baginda, dia telah menerima agama yang benar dan suci, serta dapat berjalan di landasan Sirat Mustaqim. Semoga Allah meninggikan lagi darjat beliau.

Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa beliau meninggalkan seorang isteri dan lapan orang anak. Mudah-mudahan Allah Ta’ala melindungi mereka, sentiasa berada dalam keamanan. Semoga Allah Ta’ala menjadikan anak-anak beliau ikut jejak langkahnya. Dua orang anak perempuannya sedang mengkhidmati jemaat. Semoga anak-anak beliau menjadi pengkhidmat jemaat sesuai dengan keinginan mereka. dan juga mudah-mudahan kesetiaan beliau terhadap jemaat dan khilafat akan tertanam dalam diri anak-anak beliau.

Begitu juga saya katakan kepada orang Ahmadi di Jerman, anak-anak muda di Jerman bahawa beliau telah menunaikan haknya sebagai Ahmadi Muslim Jerman, kamu semua hendaklah berusaha mengikuti jejak langkah beliau. Di Jerman dan di Eropah, di mana sahaja tempat Islam perlu dipertahankan, majukanlah diri, tuntutlah ilmu, pelajari dan jelaskan dalam bahasa-bahasa mereka, bukan sahaja untuk mempertahankan Islam, malah keindahan Islam juga hendaklah dipersembahkan kepada mereka dan juga buktikan kepada mereka bahawa Islam itu lebih baik daripada agama-agama lain.

Saya juga hendak menjelaskan satu perkara di sini. Hidayatullah Sahib sebagaimana yang telah saya katakan bahawa beliau mempunyai banyak kelebihan. Tetapi, kadang-kadang kedudukan seseorang dizahirkan oleh beberapa orang sehingga menimbulkan tanda tanya di fikiran orang lain. Ada berita yang diterima dari beberapa tempat bahawa gerhana matahari yang berlaku pada hari Selasa lepas mungkin ada kaitan dengan kewafatan beliau kerana jatuh pada hari yang sama. Perkara seperti ini tidak ada dalam Islam.

Dalam satu hadis ada dinyatakan bahawa “Hazrat Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan, pada zaman Rasulullah s.a.w, ketika putera baginda Ibrahim wafat, waktu itu berlaku gerhana matahari. Orang ramai mula menyatakan bahawa gerhana matahari itu berlaku atas kewafatan Hazrat Ibrahim. Atas perkara itu Rasulullah s.a.w bersabda: Gerhana matahari dan bulan tidak berlaku disebabkan kewafatan atau kehidupan seseorang. Apabila kamu melihat gerhana, maka dirikanlah solat gerhana dan berdoalah. (Bukhari Kitabul Kusyuf bab As-Solaata Fil Kusyufis Syams)

Hanya inilah tugas kamu. Jadi, sekiranya melihat suatu gerhana, cara yang sepatutnya dilakukan ialah mendirikan solat Kusyuf dan Khusyuf sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w iaitu mendirikan solat gerhana.

Di dunia hari ini mungkin ramai yang meninggal dunia, mungkin ramai yang baru lahir, dan juga mungkin ada orang yang memberikan kedudukan kepada orang lain. Kemudian setiap keluarga yang terdekat, yang tersayang, mereka akan menyatakan bahawa gerhana bulan dan gerhana matahari ini terjadi sebab kematian orang berkenaan atau kerana kelahiran orang berkenaan. Di dalam hal ini telah muncul bid’ah yang silap. Sebab itu Ahmadi hendaklah selalu menghindarinya. Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Selain itu saya juga menyeru untuk banyak berdoa di mana semalam di Murdan, penentang Ahmadiyah telah menembak beberapa orang Ahmadi yang telah menyebabkan seorang anak muda Miyan Wajiah Ahmad Nu’man anak kepada Miyan Basyir Ahmad Sahib Murdan terkena tembakan. Umurnya baru 25 tahun, dia cedera dan dimasukkan ke dalam hospital. Semoga Allah memberikan kesembuhan yang sempurna untuknya.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali,
Lingkungan, Sabah

15 MAC 2011