Tuesday, August 9, 2011

Malfoozaat Jilid 1_05


MALFOOZAAT

HAZRAT MASEEH MAU’UD ALAIHISSALAM

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

KEHIDUPAN AKAN DATANG DIPERLIHATKAN KEPADA ORANG MUTTAQI DI DUNIA

Jadi, ini adalah satu nikmat bahawa wali-wali dapat melihat malaikat Tuhan. Kehidupan akan datang itu bukan hanya diimani, tetapi seorang muttaqi dapat melihat kehidupan akan datang di sini. Mereka dapat bertemu dengan Tuhan dalam kehidupan ini, dapat melihat dan dapat berkata-kata. Jadi, jika keadaan seperti ini tidak diperolehi oleh sesiapa pun, maka kematiannya dan pemergiannya dari sini sangat rosak. Ucapan seorang wali ada benarnya bahawa jika tidak memperolehi satu mimpi yang benar sepanjang hayat, kesudahannya adalah bahaya. Al-Qur’an menjelaskan hal ini sebagai tanda bagi seorang mukmin. Dengarlah bahawa jika tanda ini tidak ada, bererti takwa tidak ada. Oleh itu, kita semua hendaklah berdoa agar syarat ini sempurna, dengan harapan datang ilham, mimpi, dan kasyaf dari Tuhan kerana ini adalah ciri khas seorang mukmin. Ini seharusnya ada.

Banyak lagi berkat-berkat yang diperolehi oleh orang muttaqi. Sebagai contoh dalam surah Al-Fatihah yang datang di permulaan Al-Qur’an, Allah Ta’ala memberi hidayat kepada orang mukmin kerana dia berdoa; IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM, SHIROOTAL LADZIINA AN’AMTA ‘ALAIHIM GHOIRIL MAGHDHUUBI ‘ALAIHIM WALADH DHOOLLIIN (Al-Fatihah:6-7) yakni tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau telah berikan nikmat atas mereka. Tujuan doa ini diajarkan ialah insan menjadi berani lalu memahami bahawa daripadanya merupakan keinginan Khaliq. Dan perkara itu ialah jangan sampai umat ini menjalani kehidupan sama seperti binatang ternakan, malah segala perkara tersembunyi akan menjadi terbuka. Sebagaimana akidah orang-orang Syiah menyatakan bahawa kewalian telah berakhir selepas 12 imam berlalu. Sebaliknya, dari doa ini zahir bahawa Tuhan telah beriradah sejak dahulu lagi supaya orang yang muttaqi dan mereka yang menurut kehendak Tuhan, mereka boleh mencapai darjat yang telah dicapai oleh para anbiya (nabi-nabi) dan asfiya (orang-orang suci). Daripada itu juga hal ini boleh didapati bahawa insan mendapat kekuatan yang banyak. Mereka yang hendak mencapai perkembangan hendaklah melakukan lebih banyak kemajuan. Ya, oleh kerana kambing itu bukan insan, dia tidak boleh meningkatkan kemajuannya. Keberanian insan apabila mendengar keadaan para rasul-rasul dan nabi-nabi, bahawa jemaat suci yang mendapat nikmat, ia bukan hanya nikmat malah secara berperingkat mereka akan mendapat nikmat ilmul yaqin, ainul yaqin, dan haqqul yaqin.

TIGA PERINGKAT ILMU

Terdapat tiga peringkat ilmu, iaitu ilmul yaqin, ainul yaqin, dan haqqul yaqin. Sebagai contoh, apabila melihat asap dari jauh, timbul di fikiran bahawa ada api, itu dinamakan ilmul yaqin. Tetapi, apabila melihat sendiri api dengan mata, maka itu dikatakan ainul yaqin. Kemudian, tingkat yang lebih tinggi ialah haqqul yaqin, yakni apabila meletakkan tangan di atas api tersebut dan terasa panas, maka telah yakin sepenuhnya bahawa api memang wujud. Jadi, sungguh malang sekali insan yang tidak mendapat tempat di antara ketiga-tiga tingkat ilmu tadi. Menurut ayat ini, mereka yang tidak mendapat kurnia Allah Ta’ala, mereka terperangkap dalam kebutaan. Allah Ta’ala berfirman WALLADZIINA JAAHADU FIINAA LANAHDIYAN NAHUM SUBULANA (Al-Ankabut:70) yakni ‘mereka yang bermujahadah pada jalan Kami, maka Kami akan menunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka’. Ini adalah janji Allah, dan dari sudut yang lain ada pula doa diajarkan iaitu IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM (Al-Fatihah:6). Jadi, setiap insan harus memberi perhatian dalam solat masing-masing terhadap doa-doa ini dan tanamkan dalam diri agar mereka juga terdiri dari kalangan orang yang telah mendapat kurnia dalam kemajuan dan bashirat (penglihatan). Jangan sampai terjadi kita dibangkitkan dari alam ini tanpa bashirat dan dalam keadaan buta. Firman Allah Ta’ala: MAN KAANA FII HAAZIHII A’MAA FAHUWA FIL AAKHIRATI A’MAA (Bani Israil:73) yakni ‘sesiapa yang buta di dunia ini, maka di akhirat pun dia juga buta’. Tujuannya ialah untuk menyaksikan akhirat, di dunia inilah kita harus lihat. Untuk merasai akhirat, persediaannya bermula dari dunia ini. Jadi, adakah dapat diakui bahawa Allah Ta’ala hanya berjanji lalu tidak ditepati?

SIAPA YANG BUTA?

Maksud buta ialah mereka yang kosong daripada pengetahuan rohani dan kelazatan rohani. Seseorang yang secara membuta tuli dianggap sebagai orang Islam kerana lahir di rumah orang Islam. Demikian juga seorang yang lahir di kalangan Kristian, maka dia adalah Kristian. Inilah sebabnya orang-orang seperti itu tidak menghormati Tuhan, Rasul dan Al-Qur’an. Kecintaannya kepada agama juga boleh dipertikaikan. Mereka hidup di kalangan orang yang membuat penghinaan terhadap Tuhan dan Rasul. Sebabnya ialah orang-orang seperti itu tidak mempunyai mata rohani, tidak ada kecintaan terhadap agama. Jika tidak begitu, mustahil seorang pencinta akan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang dicintainya? Jadi, Allah Ta’ala telah mengajarkan bahawa Aku sedia memberi jika kamu sedia menerima. Oleh itu, dengan doa inilah persediaan untuk mendapatkan hidayat.

MUTTAKI

Selepas doa ini, di permulaan surah Al-Baqarah ada ayat HUDALLIL MUTTAQIIN (Al-Baqarah:3), seolah-olah Tuhan telah bersedia untuk memberi, yakni kitab ini dijanjikan boleh menyampaikan insan ke tahap kesempurnaan. Maksudnya, Kitab ini bermanfaat bagi mereka yang bertakwa dan mereka yang  bersedia untuk mendengar nasihat. Tingkat seorang muttaqi pada tahap ini ialah mereka meninggalkan adat kebiasaan lalu bersedia untuk mendengar perkara kebenaran. Sebagai contoh, apabila ada seorang muslim, maka dia menjadi muttaqi, dan apabila ada penganut agama lain mempunyai hari baik, maka dalam dirinya akan ada ketakwaan. Sombong, bongkak menjadi jauh. Semua halangan-halangan telah menjadi jauh. Disebabkan semuanya telah jauh, maka jendela rumah yang gelap menjadi terbuka luas lalu menyebabkan sinaran cahaya masuk ke dalam.

Apa yang dikatakan di sini iaitu Kitab ini menjadi petunjuk bagi orang muttaqin, yakni HUDALLIL MUTTAQIIN, maka ittiqa yang tergolong dalam bab ifti’al, dan bab ini muncul sebagai menanggung beban, yakni di dalamnya ada isyarat bahawa sejauh mana kita menginginkan ketakwaan di sini, ia tidak bebas daripada menanggung suatu kesusahan, untuk melindunginya ada petunjuk dalam Kitab ini. Seolah-olah, seorang muttaqi harus melalui kesusahan dalam melakukan kebaikan.

HAMBA YANG SOLEH

Apabila hal ini dilalui, maka akan menjadi hamba yang soleh. Seolah-olah bentuk kesusahan itu sudah jauh. Dan orang soleh akan mula melakukan kebaikan secara fitrat. Dia sudah berada dalam Darul Aman (rumah yang aman) yang tidak ada lagi bahaya. Waktu ini perang menentang emosi nafsunya sudah berakhir dan beralih kepada kehidupan yang aman, suci dari sebarang perkara yang berbahaya. Ke arah inilah hadi kamil (penunjuk sempurna) sallallaahi alaihi wasallam hendak isyaratkan kepada kita. Bersabda bahawa dalam diri setiap orang ada syaitan, tetapi syaitan saya telah menjadi muslim. Jadi, setiap muttaqi sentiasa berperang menentang syaitan, tetapi apabila sudah menjadi soleh, maka segala peperangan itu telah berakhir. Sebagai contoh riak, dia berperang setiap saat. Muttaqi berada di medan seperti itu di mana setiap saat ada peperangan. Tangan kurnia Tuhan ada bersamanya, maka dia boleh berjaya. Perjalanan riak itu seperti semut, kebanyakannya insan tidak sedar, tetapi dia akan memberikan peluang kepada riak dalam hatinya jika ada peluang. Misalnya seseorang telah kehilangan pisau dan bertanya kepada orang lain, maka dalam kesempatan itu seorang muttaqi akan mula berperang dengan syaitan, yang mengajarkan kepadanya bahawa bertanya dengan cara begini satu perbuatan yang tidak hormat, dikhuatiri akan rasa terbakar, dan mungkin akan terjadi pergaduhan. Dalam kesempatan ini, seroang muttaqi berperang dengan keinginan jahatnya. Jika dalam diri orang berkenaan ada keimanan kepada Allah, kenapa harus merasa marah, kerana keimanan yang semakin disembunyikan, maka ia semakin baik. Misalnya pedagang permata terserempak dengan pencuri di jalanan, dan para pencuri membuat penilaian mengenainya, ada mengatakan dia sangat kaya, ada mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa. Sekarang, sudah pasti pedagang itu lebih suka jika dia dianggap sebagai orang yang tidak mempunyai apa-apa.  

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 12-14)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(09.08.2011)


Friday, August 5, 2011

Khilafat Dan Mujaddid



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
10 JUN 2011 / 10 IHSAN 1390HS
23 JamadiS Tsaani 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:

Dalam khutbah pada 27 Mei yang lepas, saya telah menjelaskan berkenaan dengan khilafat berpandukan Al-Qur’an, khabar ghaib Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan sabda-sabda Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Pada waktu itu saya juga hendak menjelaskan dari sudut pandang para mujaddid, oleh kerana hendak mendapatkan lebih banyak maklumat terperinci, sebab itu saya tidak jelaskan dalam khutbah tersebut, namun hari ini saya akan perdengarkan.

Beberapa lama sebelum ini ada seorang anak bertanya di dalam Kelas Waqfe Nou, adakah mujaddid akan datang pada masa hadapan? Dari situ saya terfikir, soalan ini mungkin timbul di beberapa rumah kerana soalan seperti ini tidak mungkin boleh terfikir oleh seorang anak kecil. Juga mungkin ada beberapa orang yang hendak menimbulkan keraguan dan kerisauan dalam diri anak-anak jemaat dengan bertanyakan soalan ini, bahawa menurut hadis Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, baginda bersabda bahawa mujaddid akan datang pada setiap permulaan abad. Dan soalan ini selalu timbul dalam jemaat waktu demi waktu. Walaubagaimanapun, soalan ini tidak timbul dari anggota jemaat yang mukhlis, malah ia muncul dari orang-orang yang hendak menimbulkan kekacauan dalam jemaat.

Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani radiallahu anhu juga selalu menjelaskan hal ini dalam berbagai kesempatan. Kemudian dalam zaman Hazrat Khalifatul Maseeh Tsalis, hal ini timbul dengan sangat keras, beliau banyak menjelaskan hal ini dalam khutbah dan pelbagai peluang yang ada. Kemudian, Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi’ juga disoal tentang perkara ini. Ringkasnya, hal ini selalu ditimbulkan. Orang-orang munafiq itu selalu menimbulkan keresahan di dalam jemaat dengan pelbagai persoalan misalnya, apa perbezaan di antara khilafat dan mujaddid? Mereka memberi alasan hendak memperdalamkan pengetahuan, tetapi ada sesuatu di sebalik niat mereka. Hal ini sangat ketara dalam era Khilafat Tsalisah di mana ada fitnah yang tersembunyi. Namun, janji Allah Ta’ala kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa Dia akan menunjukkan Tangan Kudrat yang berkuasa untuk khilafat selepas beliau. (Dipetik dari Risalah Al-Wasiyat, Rohani Khazain Jilid 20 halaman 304)

Sebab itu, setiap kali fitnah seperti ini muncul, kurnia Allah Ta’ala akan menghapuskannya kerana majoriti jemaat tidak berpihak kepada mereka. Walaupun fitnah hari ini tidak sama kesulitannya dengan keadaan pada zaman Khilafat Ketiga, namun, oleh kerana ia timbul, maka saya merasa perlu untuk memberi sedikit penjelasan.

Memang tidak diragukan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pernah bersabda mengenai kedatangan mujaddid di setiap permulaan abad (Sunan Abu Daud, Kitabul Malahim, bab Maa Yuzkara Fi Qarnil Mi’ah hadis 4291) dan perkataan di situ tidak hanya tunggal, malah ia juga boleh jamak. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga menjelaskan hal itu bagi membuktikan kebenaran dakwaannya. Waktu ini saya hendak menyampaikan di hadapan tuan-tuan dengan rujukan daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Berkenaan dengan ini terdapat banyak ucapan dan tulisan yang tidak mungkin dapat disampaikan semuanya, namun ada beberapa petikan yang hendak saya sampaikan. Dan jika ia direnungkan sedalam-dalamnya, maka perkara mengenai mujaddid akan menjadi jelas. Beliau berkata:-

“Tuhan tidak memperlakukan sedemikian rupa terhadap Islam, dan oleh kerana Dia berkeinginan agar kebun ini sentiasa menghijau, sebab itu dalam setiap permulaan abad, Dia telah menyirami kebun ini dalam siri yang baru dan menghindarkannya daripada kekeringan. Walaupun dalam setiap permulaan abad itu akan berdiri seseorang hamba Tuhan untuk melakukan perbaikan, namun orang jahil akan terus-menerus melakukan penentangan, dan mereka sangat susah hati melihat suatu kesalahan itu diperbaiki kerana ia telah menjadi adat kebiasaan di kalangan mereka”. Orang yang membuat bising ini telah membuat bising sejak dahulu lagi, kemudian mereka juga melakukan penentangan. Walaubagaimanapun, beliau bersabda “tetapi Tuhan tidak meninggalkan sunnah-Nya sehingga peperangan antara hidayat dan kegelapan yang berlaku pada akhir zaman, pada abad ke-14 dan pada permulaan ribuan yang terakhir, kerana mendapati orang Islam dalam keadaan lalai, Tuhan telah ingat akan janji-Nya, agama Islam telah diperbaharui. Bagi agama-agama lain, selepas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, ia tidak lagi mengalami pembaharuan. Sebab itu agama lain telah mati. Tidak ada lagi kerohanian dalam agama mereka dan banyak kesalahan-kesalahan yang terpendam dalam ajaran mereka sepertimana pakaian yang sudah dipakai dan tidak pernah dicuci, maka banyak kotoran yang melekat di dalamnya sehingga tidak lagi boleh dibersihkan. Dan seseorang insan yang tidak ada sedikitpun kerohanian dan yang mana nafsu ammarah mereka belum bersih daripada kekotoran hidup yang hina, mereka sesuka hati sahaja campur tangan dalam agama sehingga rosak dan sekarang bentuknya sudah menjadi lain”. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain jilid 20, halaman 203-204)

Jadi, beliau sangat jelas menyatakan bahawa dalam Islam, Allah Ta’ala telah melahirkan berbagai aulia dan mujaddid dalam pelbagai masa bertujuan untuk mendirikan kembali cahaya yang telah dibawa oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang akan menyebarkan agama dalam ruang lingkup mereka masing-masing. Ini kerana Allah Ta’ala hendak mengekalkan agama ini sedangkan pada agama-agama lain tidak ada jaminan seperti ini. Puncanya ialah di dalam agama-agama itu telah dimasukkan kotoran-kotoran sehingga menyebabkan agama menjadi rosak.

Kemudian beliau bersabda lagi:
“Ini yang berlaku dalam semua zaman, di setiap tempat perlu perbaikan. Sebab itu Tuhan telah mengutus mujaddid pada zaman ini yang disebut Maseeh Mau’ud. Dan dia telah ditunggu-tunggu sejak lama dahulu, dan semua nabi-nabi telah memberi khabar mengenai kedatangannya, dan orang-orang mulia zaman sebelumnya berkeinginan agar mereka dapat hidup pada waktunya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 82, edisi 2003)

Sekarang, mujaddid yang dikatakan oleh beliau di sini adalah Maseeh Mau’ud yang telah ditunggu sejak sekian lama. Tidak ada mujaddid lain yang dikhabarkan seperti ini selain daripada Maseeh Mau’ud. Nabi-nabi yang terdahulu juga telah memberikan khabar ghaib berkenaan dengannya kerana zamannya adalah akhir zaman yang mana agama harus diterbitkan dan nama Allah Ta’ala harus disebarkan, amanat juga harus disebarkan.

Kemudian beliau bersabda:
“Apabila Tuhan melihat keadaan semasa zaman, dan bumi sarat dengan pelbagai jenis perbuatan fasiq dan maksiat dan kegelapan, maka aku diperintahkan untuk tabligh yang sebenar dan perbaikan”. Cuba perhatikan dan renungkan ucapan ini; diperintahkan untuk tabligh yang sebenar dan perbaikan. “Dan zaman sekarang ini juga sama ...... orang-orang di dunia ini telah mengakhiri abad ke-13 Hijrah dan sampai pada permulaan abad ke-14. Justeru itu, atas perintah ini saya mula mengumumkan perkara ini kepada orang ramai melalui tulisan, isytihar dan ceramah, bahawa orang yang sepatutnya datang pada permulaan abad ini untuk tajdid agama adalah saya sendiri, supaya iman yang telah diangkat dari bumi ini dapat saya dirikan kembali”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain jilid 20, halaman 3)

Inilah pekerjaan mujaddid, tabligh sebenar dan perbaikan telah dinyatakan sebelumya. Iman yang telah diangkat akan didirikan kembali. Dan berkenaan dengan iman yang diangkat ada terdapat dalam khabar ghaib Rasulullah  sallallaahu alaihi wasallam, yakni jika iman pergi ke bintang Tsuraiya sekalipun, maka seorang dari Farsi akan lahir untuk membawanya kembali.

Kemudian beliau bersabda lagi:
“Dan dengan mendapat kekuatan dari Tuhan aku akan menarik dunia ke arah islah, takwa dan kejujuran, dan akan menjauhkan kesalahan iktikad dan amalan mereka. Dan kemudian apabila beberapa tahun berlalu maka dibukakan dengan begitu jelas kepadaku melalui wahyu Ilahi bahawa Maseeh yang telah dijanjikan sejak dahulu untuk umat ini, dan Mahdi terakhir yang tetapkan dalam takdir Ilahi mendapat hidayat dari Tuhan dalam zaman keruntuhan Islam dan penyebaran kegelapan ini, lalu mempersembahkan hidangan langit yang baru di hadapan manusia yang mana khabar mengenainya telah diberitahu oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sejak 13 abad yang lalu, orang berkenaan adalah aku”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain jilid 20, halaman 3-4)

Jadi, kedudukan beliau ini bukan hanya seorang mujaddid, malah Mahdi dan juga Maseeh, sebab itu beliau mendapat pangkat kenabian.

Kemudian beliau bersabda lagi:
“Dalam hal ini kepada siapa yang boleh dikatakan bahawa zaman Mahdi adalah zaman tajdid dan gerhana bulan dan matahari menjadi tanda yang mendokongnya? Jadi, tanda itu telah zahir, siapa yang hendak menerimanya, silakan”. (Hujjatullah, Rohani Khazain Jilid 12, halaman 160)

Dan tanda gerhana bulan dan gerhana matahari ini, sesuai dengan sabda Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam iaitu tidak pernah terjadi untuk menjadi tanda kepada sesiapa sejak langit dan bumi ini diciptakan. (Sunan Daru Qutni Juzu 2, halaman 51, kitabul ‘Idein bab Sifatus Sholaatal Khusuuf wal Kusuuf Wa Hai’atihima hadis nombor 1778, Darul Kutubul Ilmiah Beirut 2003)

Ini hanya sebagai tanda bagi Mahdi kita, Mahdi yang sangat tinggi kedudukannya. Bukan hanya berpangkat sebagai mujaddid malah lebih daripada itu. Hal ini perlu diperjelaskan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bukan hanya mujaddid untuk abad ke-14, bahkan juga sebagai Maseeh dan Mahdi. Walaupun beliau dihantar untuk tajdid agama dan untuk hidayat, tetapi kedudukan beliau sangat tinggi, lebih tinggi dari kedudukan mujaddid. Walaupun beliau membuat pengakuan bahawa ‘aku adalah mujaddid abad ke-14’, tetapi sebagaimana yang telah saya katakan bahawa disebabkan kedudukan itu beliau mendapat darjat kenabian.

Kemudian beliau berkata lagi:
“Hendaklah diketahui, walaupun hadis dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ini telah terbukti benar bahawa Allah Ta’ala akan terus membangkitkan mujaddid untuk memperbaiki umat ini yang akan memperbaharui agama, tetapi untuk abad ke-14, yakni berkenaan dengan khabar suka ini iaitu akan muncul Mahdi yang agung pada abad ke-14, ia banyak mengandungi isyarat kenabian yang tidak mungkin dapat diingkari oleh seorang yang berhajat”. (Nisyaane Asmaani, Rohani Khazain jilid 4, halaman 378)

Kemudian berkata lagi:
“Tuhan telah mengutus rasul ini yakni mujaddid yang sempurna supaya pada zaman ini Tuhan dapat membuktikan bahawa semua agama dan semua ajaran tidak setanding dengan Islam”. (Tiryaqul Quluub, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 266)

Jadi, satu kedudukan beliau ialah seorang mujaddid yang agung dan sempurna. Di tempat lain beliau alaihissalam berkata bahawa khilafat atau mujaddidiyat Hazrat Musa berakhir pada zaman Hazrat Isa. Tetapi, untuk memastikan ajaran Islam sentiasa segar, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam telah mengkhabarkan tentang kedatangan mujaddid dalam setiap abad dengan tujuan bid’ah-bid’ah yang masuk dalam agama dalam tempoh 100 tahun, atau keburukan yang muncul, keperluan untuk memperbaiki agama, semuanya dapat diatasi. Kelemahan yang timbul juga dapat dijauhi. Dan Sejarah Islam menjadi saksi bahawa di dalam Islam, untuk meneruskan ajaran yang cantik ini dan untuk memastikannya tetap dalam keadaan asli, maka mujaddid-mujaddid di utus. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mendakwakan hal ini bahawa ‘jika abad-abad sebelumnya ada mujaddid, mengapa abad ini tidak ada? Dalam abad ini seharusnya mujaddid datang’. Beliau juga menjelaskan bahawa ‘selain aku tidak ada mendakwakan hal ini bahawa aku adalah mujaddid abad ini dan menurut khabar suka Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga aku adalah Maseeh Mau’ud, dan oleh kerana Maseeh Mau’ud mendapat darjat nabi, sebab itu aku adalah mujaddid yang sempurna. Dan dengan kelayakan sebagai mujaddid abad ke-14, dengan kelayakan sebagai Maseeh dan Mahdi, beliau adalah mujaddid yang agung di mana telah dikhabarkan oleh para nabi terdahulu. Hal ini beliau ucapkan sebagai membuktikan kepada para penentang yang mengkritik bahawa dakwaan beliau adalah dusta. Jadi, inilah keagungan beliau, dan dengan rujukan ini kita hendaklah membaca keseluruhannya. Sekarang, jika diletakkan keagungan beliau di hadapan kita dan dipersembahkan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengenai khilafat, maka persoalan tentang mujaddid akan datang dapat diselesaikan. Malah, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga telah mendakwakan dengan begitu jelas di dalam Lecture Sialkot bahawa “imam ini yang mendapat gelaran Maseeh Mau’ud dari Tuhan, beliau adalah mujaddid abad ini dan juga mujaddid Alaf Akhir (ribuan yang terakhir)”. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain jilid 20, halaman 208)

Alaf akhir bermaksud ribuan tahun yang terakhir. Penjelasan telah beliau berikan bahawa zaman Adam kita adalah tujuh ribu tahun dan kita sedang menjalani ribuan yang ketujuh. Dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pernah bersabda mengenai zaman kegelapan yang berlangsung selama 1000 tahun sebelum kedatangan Maseeh dan Mahdi pada abad ke-14, dan seiring dengan itu jugalah Islam mendapat kehidupan kali kedua. Dalam seribu tahun yang berlalu itu ramai mujaddid yang datang di berbagai tempat. Tetapi kelayakan mereka sama seperti lampu-lampu kecil yang hanya menerangi daerah masing-masing dan pada abad mereka sahaja. Malah adakalanya dalam satu-satu masa beberapa mujaddid yang wujud. Tetapi kemuliaan ini hanya diberikan kepada mujaddid yang agung ini sehingga dikatakan sebagai mujaddid ribuan yang terakhir. Kemuliaan beliau bukan hanya sebagai mujaddid untuk satu abad malah sebagai mujaddid ribuan yang terakhir kerana dalam kehidupan dunia ini, sekarang merupakan ribuan yang terakhir. Maka beliau bersabda di satu tempat bahawa “oleh kerana sekarang ini adalah ribuan yang terakhir, maka perlu imam akhir zaman muncul pada permulaannya, dan selepas itu tidak ada imam dan tidak ada Maseeh kecuali menjadi bayangan kepadanya”. (Lecture Sialkot Rohani Khazain jilid 20, halaman 208)

Yakni mereka itu akan mengikutinya. Jadi, tidak diragukan lagi bahawa sesuai dengan sabda Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa mujaddid akan datang dalam setiap abad dan pada masa akan datang juga boleh datang, tetapi sebagai bayangan kepada beliau. Dan bayangan yang beliau jelaskan adalah begitu terang dan menurut hadis Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Hadisnya ialah “Hazrat Huzaifah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda: Nubuat (kewujudan Nabi) akan tetap bersama kamu selama yang dikehendaki Allah, kemudian akan diangkat oleh Allah, selepas itu khilafat yang berlandaskan kenabian akan terjadi dan ia berlangsung selama ia dikehendaki Allah, kemudian nikmat itu akan diangkat kembali, kemudian akan muncul zaman raja-raja yang zalim yang akan berlanjutan selama ia dikehendaki Allah, selepas itu ia akan diangkat oleh Allah, selepas itu muncul zaman pemerintahan hasil rampasan kuasa dan akan berlanjutan selama dikehendaki Allah dan akan berakhir, kemudian bangkit kembali nikmat zaman khilafat yang berlandaskan kenabian, kemudian baginda berdiam diri”. (Musnad Ahmad bin Hambal Jilid 6, Musnad Nu’man bin Basyir halaman 285 hadis nombor 18596, Alimul Kutub Beirut 1998)

Jadi, khilafat yang berlandaskan kenabian akan wujud dan akan melakukan tugas tajdid agama. Ini kerana sabda Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam “aku muncul dalam satu bentuk kudrat dari Tuhan dan aku adalah satu kudrat Tuhan yang berjasad. Dan selepas aku akan ada beberapa wujud yang muncul sebagai kudrat yang kedua”. (Al-Wasiyat Rohani Khazain jilid 20, halaman 306)

Dan misal kudrat kedua yang beliau berikan ialah Hazrat Abu Bakar yang telah didirikan selepas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sebagai penzahiran kudrat kedua. Jadi, oleh kerana beliau sebagai seorang mujaddid ribuan tahun yang terakhir, maka hadis yang menyatakan bahawa akan berdiri khilafat yang berlandaskan kenabian akan sempurna melalui beliau. Oleh sebab itu, khilafat yang akan meneruskan pekerjaannya yang juga merupakan pekerjaan seorang mujaddid. Dan tidak diragukan lagi bahawa tarbiyat, islah dan tabligh adalah melalui khilafat, hal ini telah kita lihat sejak 1300 tahun dahulu. Mungkin pada abad-abad yang akan datang, sesuai dengan hadis dan juga seperti yang telah dikatakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, akan ada mujaddid yang mendakwakan diri, tetapi syaratnya ialah mesti mengikuti Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan juga sebagai penzahiran kudrat kedua seperti pengumuman yang dibuat oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Jadi, jika Allah berkehendak, boleh sahaja kedudukan mujaddid itu diberikan kepada mana-mana khalifah dalam suatu abad. Allah Ta’ala boleh sahaja membuat pengumuman melalui khalifah semasa. Ini kerana ada mujaddid yang lahir di kalangan umat, selepas kewafatannya, maka orang akan mengatakannya sebagai mujaddid. Jadi, mujaddid tidak semestinya membuat pengakuan. Tetapi, jika Allah Ta’ala ingin, boleh saja pengumuman dibuat melalui khailfah semasa bahawa ‘saya adalah mujaddid’. Tetapi, hal ini juga jelas bahawa setiap khalifah adalah mujaddid dalam masanya kerana dia meneruskan pekerjaan nabi, iaitu pekerjaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, sama ada dia membuat pengumuman sebagai mujaddid atau tidak kerana dengan pengakuan sebagai mujadddid itu, khilafat tidak terpisah, malah kedudukan khalifah itu lebih dahulu, dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa khalifah adalah mujaddid pada zaman masing-masing. Maksud mujaddid sebagaimana yang telah Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan iaitu menghapuskan segala bid’ah, meneruskan ajaran yang asal, berusaha membuat perubahan, dan membuat program tabligh Islam untuk mengembangkannya. Jadi, semua pekerjaan ini sedang dilakukan oleh Khilafat Ahmadiyah, malah bersandarkan kepada Nizam Khilafat, selain para muballigh, ramai juga Ahmadi yang melakukan tugas ini. Seolah-olah, untuk tajdid agama, lampu-lampu kecil ini sedang menyala di setiap tempat. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata bahawa dalam Bani Israil, untuk tajdid agama itu dalam satu-satu masa ramai nabi-nabi dan mujaddid yang datang. Dan nabi itu jugalah yang dikatakan sebagai khalifah dan juga mujaddid. (Dipetik daripada Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 123)

Kenapa tidak boleh ribuan mujaddid dalam umat Islam? Memang dari perkataan saya sendiri tetapi maksud itu adalah lebih kurang sahaja. Dan persoalan yang timbul ini adalah mengenai mujaddid dalam setiap abad, dan sebelum Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah berlalu 12 abad dan 12 mujaddid. Dan abad ke-14 ini beliau adalah mujaddid yang ke-13. Dan hal ini terbukti dalam Sejarah Islam bahawa dalam setiap tempat boleh lahir beberapa mujaddid dalam satu-satu masa. Untuk memperbaiki agama, di mana sahaja perlu, Allah Ta’ala akan melantik seseorang. Kemudian persoalan yang timbul ialah ada dalam risalah Jemaat Ahmadiyah dan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga ada menulis bahawa kenapa kita mengira 12 orang mujaddid? Di negara-negara Arab tidak mengakui tentang 12 orang mujaddid terutama sekali apabila memasukkan mujaddid dari negara India. Kebanyakan umat Islam tidak mengakui hal ini. Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani mempunyai jawapan yang sangat cantik. Beliau berkata:

“Berkenaan dengan mujaddid ada kesalahfahaman bahawa seorang mujaddid dibangkitkan untuk seluruh dunia. Hal ini adalah salah sama sekali. Sebenarnya dalam setiap negara dan daerah, Allah Ta’ala membangkitkan mujaddid, tetapi walaupun dia hanya untuk kaum atau negara tertentu, orang ramai menganggap mujaddid yang hanya untuk kaum atau negara mereka sendiri sebagai mujaddid untuk seluruh dunia. Sedangkan apabila Islam adalah untuk seluruh dunia maka perlu dalam setiap pelbagai daerah atau pelbagai negara itu berdiri seorang mujaddid. Hazrat Syed Ahmad Sahib Brelwi memang seorang mujaddid, tetapi bukan untuk seluruh dunia, malah hanya di sekitar India sahaja. Jika dikatakan bahawa beliau adalah mujaddid untuk seluruh dunia maka persoalan yang timbul ialah apa yang beliau telah berikan petunjuk kepada orang Arab? Apa yang beliau berikan untuk Mesir? Apa yang beliau berikan kepada Iran? Apa yang beliau berikan kepada Afghanistan? Beliau tidak memberikan apa-apa nasihat untuk negara-negara tersebut, dan jika Sejarah negara berkenaan dilihat maka ada kelihatan beberapa orang yang mendapat wahyu atau ilham untuk memberikan petunjuk kepada negara masing-masing. Jadi, mereka itu adalah mujaddid pada masa mereka masing-masing.” Tidak kiralah sama ada mereka membuat pengumuman atau tidak, sama ada mereka memberitahu kepada sesiapa mengenai mereka atau tidak, mereka telah melakukan kewajipan untuk agama dan untuk perbaikan, sebab itu mereka adalah mujaddid pada tempat mereka masing-masing. “Dan dia juga adalah mujaddid untuk tempatnya sendiri” yakni untuk orang India. “Beza hanyalah ada mujaddid yang besar dan ada kecil. Kepentingan mujaddid yang datang di India ialah di negara itu di mana Maseeh Mau’ud seharusnya datang dan dengan itu wujudnya ialah sebagai irhas kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam”. Yakni orang yang datang sebelum beliau, yang akan memberitahu bahawa Maseeh Mau’ud akan datang, mujaddid abad ke-14 akan datang. Berkata: “Jika tidak, kami tidaklah bermaksud bahawa hanya ini sahaja mujaddid, tempat lain kosong dari mujaddid. Setiap orang yang melakukan tajdid agama berdasarkan ilham, dia adalah mujaddid rohani. Setiap orang yang melakukan tajdid untuk Islam dan umat Islam, dia adalah mujaddid walaupun dia bukan mujaddid rohani. Sebagaimana yang telah saya berikan beberapa contoh bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pernah mengatakan Aurangzeb adalah mujaddid padahal Aurangzeb sendiri tidak menyatakan dia ada menerima ilham”. (Tafseer Kabiir jilid 7, halaman 199)

Jadi, inilah hakikat tentang mujaddid, dalam satu-satu masa telah wujud beberapa orang mujaddid malah boleh mencapai ribuan mujaddid. Tetapi, khalifah waqt (semasa) hanya seorang sahaja. Jadi, mana satu yang lebih besar, seorang dalam satu masa atau beberapa orang dalam masa yang sama? Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga telah memberikan kedudukan kepada khalifah iaitu Khilafat ‘Alaa Min Haajin Nubuwwah’. Mujaddid tidak diberikan kedudukan yang khas.

Dan hadis yang menyentuh tentang kedatangan mujaddid adalah “Hazrat Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda; Allah Ta’ala akan mengutus mujaddid pada setiap permulaan abad yang akan memperbaharui agama untuk umat ini”. (Sunan Abu Daud, Kitabul Malahim, bab Maa Yuzkara Fi Qarnil Mi’ah hadis 4291)

Terjemahan yang digunakan di sini ialah wahid (tunggal), tetapi di sini boleh bererti jamak atau ramai. Ini kerana pakar bahasa Arab mengatakan bahawa dalam MAIYUJADDIDU LAHAA DIINAHAA, lafaz MAN di sini boleh juga digunakan untuk jamak. Jadi, mereka itu yang akan memperbaharui agama umat yakni kerosakan yang berlaku di kalangan umat akan diperbaiki olehnya dan kecenderungan kepada agama dan berkorban untuknya akan ditingkatkan. Sekarang, setiap permulaan abad dikatakan sebagai kedatangan mujaddid, atau dalam setiap abad disebut mujaddid, maka jika ia dibaca bersama dengan hadis Khilafat Ala Min Haajin Nubuwwah, maka pertama sekali adalah nubuwwah kemudian baru menyusul khilafat ala minhaajin nubuwwah. Kemudian, apabila nikmat ini diangkat maka akan ada kerajaan-kerajaan yang zalim. Selama Khilafat Ala Minhaajin Nubuwwah masih wujud, kemudian para sahabat masih hidup, para taba’ tabi’in masih hidup, satu abad telah berlalu, agama belum begitu mengalami kerosakan. Sehingga waktu itu belum dikatakan mengenai mujaddid. Hanya selepas satu abad berlalu, barulah mujaddid dikatakan akan lahir kerana dalam abad pertama mujaddid belum diperlukan. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam memberikan khabar bahawa kedatangan mujaddid adalah selepas berlalu seabad, seolah-olah memberi khabar bahawa selepas era khilafat berlalu dan juga tentang bid’ah-bid’ah yang dimasukkan ke dalam Islam dengan begitu banyak, dan banyak firkah-firkah yang akan terjadi. Seolah-olah bid’ah itu suatu perkara yang menyebabkan mujaddid diutus dan mujaddid ini akan mula memperbaikinya. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga menulis bahawa sejarah membuktikan, dalam satu-satu masa ada beberapa mujaddid yang lahir. Tetapi apabila Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dalam hadis ini memberi khabar suka mengenai kedatangan Maseeh Mau’ud dan mujaddid yang agung dan juga mujaddid ribuan tahun yang terakhir, baginda juga memberi khabar suka mengenai kedatangan Khilafat Alaa Min Haajin Nubuwwah untuk kali kedua. Kemudian baginda berdiam diri. Jadi, keperluan mujaddid setelah mendapat hidayat daripada Allah untuk mereka memperbaharui agama di tempat masing-masing berlangsung selagi Maseeh Mau’ud belum muncul. Apabila Maseeh Mau’ud alaihissalam sudah datang sebagai mujaddid abad ke-14 dan juga sebagai mujaddid ribuan tahun yang terakhir, maka nizam yang berjalan ialah Nizam Khilafat Alaa Min Haajin Nubuwwah. Dan sebagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam katakan bahawa ia adalah satu kudrat yang agung.

Allah Ta’ala telah memimpin jiwa-jiwa ke arah kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Orang-orang yang tidak ada hubungan dengan jemaat dan juga pelbagai penganut agama, mereka diperlihatkan dalam rukya tentang khulafa untuk menyokong hal ini bahawa sekarang, Nizam Khilafat adalah nizam yang sebenar, menghubungkan diri dengannya akan dapat melakukan tajdid agama. Tidak ada di dalam Al-Qur’an atau di dalam hadis yang menyentuh tentang mujaddid-mujaddid, tetapi berkenaan dengan khilafat ada didapati dan saya telah sampaikan dalam khutbah pada 27 Mei dengan menyentuh tentang ayat istikhlaf.

Jadi, selepas kemunculan khatamul khulafa dan mujaddid ribuan tahun yang terakhir maka mujaddid sekarang ini akan menjadi zilli atau bayangan kepadanya. Dan zilli yang hakiki ialah Nizam Khilafat. Dan itulah yang sedang melakukan tajdid agama dan akan terus melaksanakannya, insyaAllah Ta’ala.

Jadi, sebagai ganti berbahas mengenai perkara ini “bila akan datang mujaddid abad seterusnya, akan datangkah atau tidak”, adalah lebih baik kita yakin sepenuhnya atas dakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lalu berusaha mengembangkan misi beliau. Kita juga harus cenderung ke arah memperbaiki keadaan diri kita sendiri dan memperbaiki keadaan anak keturunan kita. Kita juga perlu untuk menjunjung tinggi ajaran Islam yang sebenar dan menyebarkannya. Zaman sekarang ini, penyebaran melalui pelbagai cara, ada yang dalam bentuk buku atau risalah, ada melalui program TV, sebab itu semua ini menjadi kewajipan kita. Bid’ah dan ajaran salah yang telah masuk dalam ajaran Islam sekarang ini telah dijauhi oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan sekarang ini diteruskan oleh para Khalifah Ahmadiyah. Jadi, setiap Ahmadi juga harus mengambil perhatian tentang hal ini. Kemarin atau kemarin dulu saya membaca satu surat dari Arab, dia menulis: “perbuatan mullah-mullah dan pelbagai jenis bid’ah dan ajaran dan gambaran yang silap menyebabkan saya merasa sangat susah hati, secara kebetulan saya mendapat channel MTA, saya melihat ajaran Islam yang hakiki, dapat mengetahui kedudukan nabi Isa bahawa beliau telah wafat dan bukannya duduk di atas langit, dan pelbagai perkara saya dapati sehingga hati menjadi tenteram. Memang sejak dari dulu hati saya tidak dapat menerima seseorang boleh hidup sehingga dua ribu tahun di atas langit. Akhirnya saya bergabung dalam jemaat”.

Perkara inilah yang telah diketahui oleh dunia melalui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Selepas 100 tahun berlalu, tidak perlu seorang mujaddid, kerana sehingga satu ribu tahun Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam adalah mujaddid sebagaimana yang beliau katakan sendiri. Tanggungjawab kita ialah menyokong sepenuhnya supaya ajaran Islam yang sebenar dapat disampaikan ke seluruh dunia. Imam zaman ini dan Maseeh wa Mahdi dan Mujaddid Alaf Akhir telah diberikan sarana oleh Allah. Kita hanya perlu meneruskan untuk mentarbiyat dunia. Sebab itu, setiap orang yang berusaha menjunjung tinggi ajaran yang cantik ini dalam dirinya dan juga memberi perhatian dalam menyebarkannya, mereka itu menjadi penolong-penolong terhadap beliau dan para khalifah beliau, dan akan melakukan tajdid agama. Jadi, kita hendaklah memberi tumpuan ke arah ini, berusaha menyebarkan ajaran ini dan berharap dapat melihat kemenangan Islam, semoga Allah memberi taufik kepada setiap Ahmadi.

Waktu ini ada berita yang menyedihkan. Selepas Jumaat ini saya akan memimpin solat jenazah. Mukarram Khairuddin Barus Sahib dari Indonesia. Beliau dilahirkan di Medan Indonesia pada tahun 1947, bai’at dalam tahun 1971. Beliau menuntut di Jami’ah Rabwah dalam tahun 1973. Beliau masuk kelas Fashli Khas. Kemudian belajar bahasa Urdu. Dengan usaha keras beliau, akhirnya dalam tahun 1982 beliau berjaya mendapat Ijazah syahid dari jami’ah. Beliau pertama sekali ditempatkan di Indonesia sebagai muballigh pada Jun 1982, di Abai, Medan. Kemudian dihantar ke Malaysia selama empat bulan dalam tahun 1983 di mana beliau terlibat dalam pembinaan masjid di Kuala Lumpur. Selepas balik dari Malaysia dalam tahun 1993, beliau bertugas di Indonesia sebagai muballigh di pelbagai tempat. Dari tahun 1993 sehingga 1998, beliau menjadi Missionary Incharge Filipina. Sejak 1998, beliau ditugaskan di Papua New Guinea sebagai Muballigh Incharge sehinggalah kewafatan beliau. 6 Jun 2011 beliau meninggal dunia. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.

Khairuddin Barus Sahib seorang mukhlis, sangat itaat, setia dan berkhidmat sebagai muballigh dalam ruh wakaf yang sebenar. Sangat giat bertabligh. Banyak jemaat-jemaat yang berdiri melalui beliau. Masjid-masjid juga berdiri melalui beliau. Apa sahaja tugasan dari jemaat, beliau lakukan dengan penuh dedikasi. Beliau seorang Musi. Dengan kurnia Allah beliau banyak berkahwin dan kini beliau meninggalkan tiga orang isteri. Semua anak-anaknya seramai 14 orang, lapan orang lelaki dan enam orang perempuan. Semoga semua yang ditinggalkan dapat bersabar dan darjat Barus Sahib ditinggikan. Semoga keturunan beliau menjadi anak yang soleh dan menjadi pengkhidmat agama.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
05.08.2011
barahin.ahmadi@gmail.com

Thursday, August 4, 2011

Malfoozaat Jilid 1_04


MALFOOZAAT

HAZRAT MASEEH MAU’UD ALAIHISSALAM

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

AMALAN HARUS MENURUT KEHENDAK ILAHI

Perkara yang sebenarnya ialah apabila insan telah suci daripada kehendak nafsu, kemudian meninggalkan nafsu lalu berjalan di atas kehendak Tuhan, maka tidak ada amalannya yang tidak betul malah setiap amalannya adalah menurut kehendak Ilahi. Di mana orang berada dalam kesulitan, di sana selalunya yang terjadi ialah amalannya tidak mengikut keinginan Ilahi atau bertentangan dengan keredhaan Ilahi. Orang seperti itu berada di bawah kawalan emosinya. Sebagai contoh, ketika marah, dia akan melakukan sesuatu yang boleh mengundang perbicaraan dan dihadapkan ke mahkamah. Tetapi jika keinginan seseorang akan merujuk kepada Kitabullah dalam gerak dan diamnya, dan dalam setiap perkara dia akan menurut Kitabullah, maka sudah pasti Kitabullah akan memberi penerangan. Misalnya berfirman: WALAA ROTHBIW WALAA YAABISIN ILLAA FII KITAABIM MUBIIN (Al-An’am:60), jadi kalau kita beriradah bahawa kita akan mengambil pendapat dari Kitabullah, maka kita akan mendapat penerangan. Tetapi bagi mereka yang mengikut emosi, sudah pasti mereka akan berada dalam kebinasaan. Kebanyakan waktu, mereka berada di tempat ini. Jadi, sebagai gantinya, Allah Ta’ala telah berfirman bahawa wali yang bercakap, berjalan dan bekerja bersama saya, seolah-olah mereka tenggelam di dalamnya. Oleh itu, semakin kurang mereka tenggelam, maka mereka akan semakin jauh dari Tuhan. Dan jika penghayatan mereka sama seperti yang dikatakan oleh Tuhan, maka imannya tidak dapat diukur. Firman Allah Ta’ala mengenai pertolongan atas mereka: MAN ‘AADA LII WALIYAN FAQOD AADZANTUHUU BIL HARBI (Al-Hadis) yakni sesiapa yang bermusuhan dengan wali-Ku, Aku akan bermusuhan dengannya. Cuba lihat bagaimana tingginya keagungan orang Muttaqi dan betapa tinggi untuk mendapatkannya. Jika demikian dekatnya kepada Tuhan maka, mempersendakan mereka bererti mempersendakan Tuhan, lalu bagaimana agaknya Tuhan membantu atau menolongnya.

ORANG YANG DATANG KEPADA MUTTAQI JUGA AKAN DISELAMATKAN

Ramai orang yang terjerat dalam musibah-musibah, tetapi orang Muttaqi terhindar daripadanya, malah orang yang datang kepada mereka juga akan diselamatkan. Musibah-musibah tidak ada hadnya. Dalaman seorang insan banyak mengandungi musibat-musibat sehingga tidak dapat dianggarkan. Cuba lihat penyakit-penyakit, ia cukup melahirkan ribuan jenis musibah-musibah. Tetapi mereka yang berada dalam tembok ketakwaan akan terselamat daripadanya, tetapi mereka yang berada di luar, mereka berada di suatu hutan yang penuh dengan binatang buas.

ORANG MUTTAQI MENDAPAT BASYARAT DI DUNIA INI

Untuk orang Muttaqi juga ada satu lagi janji: LAHUMUL BUSYRAA FIL HAYAATID DUNYAA WA FIL AAKHIRAT (Yunus:65) yakni orang Muttaqi mendapat basyarat (khabar gembira) di dunia ini melalui mimpi yang benar, malah boleh lebih daripada itu, iaitu layak melihat kasyaf, layak berkata-kata dengan Allah. Mereka juga dapat melihat malaikat dalam pakaian basyariyat sebagaimana dikatakan INNAL LADZIINA QOOLUU ROBBUNAL LAAHU TSUMMAS TAQOOMUU TATANAZ ZALU ‘ALAIHIMUL MALAA’IKATU (Haa Miim Sajadah:31) yakni orang yang berkata Rab kami adalah Allah dan memperlihatkan istiqomah, yakni pada masa ujian, seorang insan memperlihatkan bahawa ‘saya telah melafazkan janji di mulut, sekarang saya menyempurnakan melalui amalan’.

UJIAN ITU PERLU

Ujian itu memang perlu sebagaimana diisyaratkan dalam ayat ini: AHASIBAN NAASU AIYUTRAKUU AIYAQUULUU AAMANNAA WAHUM LAAYUFTANUUN (Al-Ankabut:3) Allah Ta’ala berfirman bahawa orang yang berkata Rab kami adalah Allah dan mereka istiqomah, malaikat akan turun atas mereka. Adalah kesalahan para mufassir jika mengatakan malaikat turun ketika sedang nazak. Ini adalah salah sama sekali. Maksudnya di sini ialah orang yang mensucikan hatinya, dan menjauhi najis dan kotoran yang boleh menjauhkan dirinya daripada Allah, maka untuk silsilah ilham akan lahir. Silsilah ilham akan bermula. Kemudian dalam tanda seorang Muttaqi ada dijelaskan lagi di tempat lain: ALAA INNA AULIYAA’ALLAAHI LAA KHOUFUN ‘ALAIHIM WALAAHUM YAHZANUUN (Yunus:63) yakni orang yang menjadi wali Allah, maka tidak ada kesedihan atas mereka. Tidak ada kesulitan atas mereka jika Tuhan menjamin mereka. Penentang tidak akan dapat memberi kesusahan atas mereka jika menjadi wali kepada Allah. Kemudian berkata lagi: WA ABSYIRUU BIL JANNATIL LATII KUNTUM TUU’ADUUN (Haa Miim Sajadah:31) yakni kamu dikhabarkan berita gembira dengan syurga ini yang telah dijanjikan kepada kamu.

Dapat diambil daripada ajaran Al-Qur’an bahawa ada dua syurga bagi insan. Orang yang cinta kepada Tuhan, adakah mereka boleh tinggal dalam kehidupan yang membara? Jika di dunia ini kawan kepada hakim dalam hubungan duniawi boleh berada dalam satu jenis kehidupan syurgawi, maka kenapa kawan kepada Allah tidak dibuka untuknya pintu syurga? Walaupun dunia ini penuh dengan kesusahan dan musibah, tetapi siapa yang tahu bahawa dia sangat senang di dalamnya? Jika dia bersedih, maka setengah jam menanggung kesusahan pun tidak mungkin, sedangkan sepanjang hayatnya menanngung kesusahan. Satu zaman dia diberikan kesultanan supaya menghentikan pekerjaannya, maka adakah dia akan mendengarnya? Begitu juga jika segunung musibat pun yang menimpa, dia tidak akan meninggalkan iradahnya.

CONTOH AKHLAK YANG SEMPURNA

Dua perkara ini perlu dilihat dalam diri pemberi hidayat kita yang sempurna. Pernah sekali dibaling batu di Thaif, juga satu kumpulan yang besar berusaha untuk mencederakan tubuh jasmani, namun tidak ada perubahan dalam kecekalan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Apabila kaum melihat bahawa musibah dan kesulitan yang diberikan oleh mereka tidak memberi kesan, mereka berkumpul dan menawarkan pangkat kerajaan, sanggup menjadikannya sebagai ketua mereka, dan segala kesenangan dijanjikan oleh mereka, malah wanita-wanita yang cantik juga jadi tawaran, yang penting bagi mereka ialah baginda berhenti dari menghina patung-patung mereka. Tetapi, sebagaimana peristiwa di Thaif tidak memberi kesan, demikian juga baginda tidak mempedulikan tawaran kerajaan itu dan lebih rela menerima kesusahan. Jadi, selagi kelazatan tidak dirasai, untuk apa meninggalkan kesenangan-kesenangan dan sanggup berada dalam kesusahan?

Peluang ini tidak diperolehi oleh mana-mana nabi selain daripada Rasul alaihis salatu wattahiyyat, yakni diseru agar meninggalkan kenabian dengan suatu janji. Al-Maseeh juga tidak mendapat kedudukan ini. Di dalam Sejarah dunia, hal ini hanya berlaku kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa baginda ditawarkan kerajaan jika sanggup meninggalkan pekerjaannya. Jadi, kemuliaan ini hanya khas untuk nabi kita (sallallahu alaihi wasallam). Begitu juga pemberi hidayat kita yang sempurna mendapat nasib hidup dalam kedua-dua keadaan iaitu susah dan beroleh kejayaan, supaya dapat memperlihatkan contoh akhlak yang sempurna dalam kedua-dua keadaan itu.

Allah Ta’ala menginginkan daripada orang muttaqi supaya mendapatkan kelazatan dalam dua keadaan. Kadang-kadang dalam bentuk kelazatan dunia, kesenangan dan kesucian. Kadang-kadang dalam keadaan susah. Ini bertujuan supaya dapat memperlihatkan akhlak yang sempurna dalam kedua-dua keadaan. Kadang-kadang akhlak muncul ketika kuat dan kadang-kadang terbuka dalam keadaan musibat. Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam mendapat kedua-dua keadaan ini. Sejauh mana kita dapat mempersembahkan akhlak baginda, tidak ada mana-mana kaum yang boleh mempersembahkan akhlak nabi mereka seperti kita. Al-Maseeh hanya menzahirkan kesabaran walaupun terus-menerus menerima pukulan, tetapi kita tidak nampak bahawa beliau mendapat kekuatan. Memang beliau seorang nabi yang benar, namun tidak semua akhlak dapat beliau buktikan. Oleh kerana beliau disentuh dalam Al-Qur’an, sebab itu kita mengakui kenabiannya. Tetapi akhlak seperti itu tidak terdapat di dalam Injil sebagaimana yang menjadi ciri-ciri nabi-nabi ulul azmi. Demikian juga sekiranya penunjuk hidayat kita yang sempurna wafat dalam kehidupan yang penuh musibah 13 tahun permulaan, maka sudah tentu akan sama seperti Al-Maseeh iaitu tidak dapat membuktikan akhlak fadilah yang lebih tinggi. Tetapi, apabila zaman kedua iaitu mendapat kejayaan, pesalah dibawa ke hadapan baginda, maka sifat penyayang dan pemaaf yang sempurna terbukti sangat menyerlah. Ini juga menzahirkan bahawa pekerjaan baginda bukanlah dengan jalan kekerasan. Tidak ada paksaan, malah segala perkara terjadi secara normal. Dengan cara itu banyak akhlak baginda sallallaahu alaihi wasallam menjadi terserlah. Jadi, Allah Ta’ala yang berfirman: NAHNU AULIYAA UKUM FIL HAYAATID DUNYAA WA FIL AAKHIRAT (Haa Miim Sajadah:32) yakni Kami menjadi wali bagi Muttaqi di dunia ini dan juga masa akan datang. Jadi, adalah satu kebodohan mereka jika mendustakan ayat ini, atau jika mereka mengingkari turunnya malaikat dalam kehidupan ini. Sekiranya malaikat hanya turun ketika nazak, bagaimana menjadi wali Allah dalam kehidupan dunia ini?

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 9-12)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(01.08.2011)