Monday, September 19, 2011

Khidmat Kemanusiaan Maseeh Mau'ud


Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an berkenaan dengan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam: WA INNAKA LA’ALAA KHULUQIN AZIIM (Al-Qalam:5), dan sesungguhnya engkau benar-benar memiliki akhlak yang agung. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sendiri menyatakan tentang tujuan kebangkitan baginda dengan sabdanya BU’ISTU LI’UTAMMIMA MAKAARIMAL AKHLAAQI yakni tujuan aku dibangkitkan ialah untuk menyempurnakan akhlak yang tertinggi.

Semua di antara kita memang sudah sedia maklum bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam memang diakui oleh dunia memiliki akhlak atau perilaku yang sangat mulia, tidak kira terhadap kawan atau lawan, muda atau tua, lelaki atau wanita, pendeknya, dengan sesiapapun Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam pasti akan memperlihatkan kemuliaan baginda. Betapa sungguh mengkagumkan. Sebenarnya nabi-nabi datang untuk mengkhidmati dunia, mereka menjadi contoh kepada dunia supaya orang dapat mengikuti jejak langkah mereka.

Al-Qur’an juga menyatakan bahawa: “Katakanlah, jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, kemudian Allah akan mencintaimu dan akan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Ali Imran:32)

Oleh sebab itu, disebabkan pemahaman terhadap ayat ini, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah berusaha mencontohi langkah-langkah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bagi menarik kurnia-kurnia daripada Allah Ta’ala. Pada kesempatan kali ini, saya akan menyampaikan ceramah yang memuatkan kisah-kisah kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dalam mengkhidmati manusia, yang mana semua itu adalah hasil penghayatan beliau terhadap uswah hasanah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Kemuliaan Rasulullah pada pandangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat tinggi sehingga ada riwayat daripada Maulvi Abdul Karim Sahib; satu kali saya masuk ke dalam Masjid Mubarak, pada waktu itu saya mendengar Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sedang mengulang-ulangi syair Hazrat Hassan Bin Tsabit sambil berjalan-jalan. Tuan-tuan tahu tak syairnya?

KUNTAS SAWAADA LINAAZIRII FA’AMIYA ALAIKAN NAAZIRU
MAN SYAA’A BA’DAKA FAL YAMUT FA ALAIKA KUNTU UHAADZIRU

Engkau adalah anak mata hitamku, tetapi setelah kematianmu aku menjadi buta, sesiapa yang hendak mati selepas ini, saya tidak peduli kerana saya hanya risau tentang kematian engkau.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala satu hati yang penuh dengan semangat kecintaan dan kesetiaan. Beliau ini termasuk dalam golongan orang-orang yang membina tembok kecintaan dan tidak akan pernah meruntuhkannya. Tidak kira dengan siapa pun beliau berhadapan, kecintaan dalam mengkhidmati mereka itu tidak pernah luput dari dalam diri beliau. Ini termasuklah mengkhidmati kawan ataupun lawan, sabahat ataupun musuh beliau. Dalam apa keadaan sekalipun, kecintaan terhadap mereka tidak pernah padam.

Khidmat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terhadap kawan

Maulvi Muhammad Hussin Sahib Batalwi adalah kawan pada zaman kanak-kanak dan merupakan rakan seperjuangan beliau, tetapi apabila muncul dakwaan mengenai Kristian, maka dia bukan hanya telah memutuskan persahabatan malah menjadi penentang yang sangat keras terhadap Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Dan dia adalah orang yang pertama sekali menjatuhkan fatwa kafir atas beliau alaihissalam. Namun, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tetap sahaja menganggapnya sebagai kawan sehingga akhir hayat. Ini jelas kelihatan dalam sebuah syair beliau alaihissalam, dalam ucapan kepada Maulvi Muhammad Hussin Batalwi Sahib beliau berkata; engkau telah memotong pokok percintaan yang telah kita berdua tanam sejak zaman kanak-kanak lagi, namun dalam urusan kecintaan, hati saya tidak lalai. (Barahin Ahmadiyah bahagian 5, tahun 1905) cuba bayangkan bagaimana kerendahan hati beliau.
Dalam zaman-zaman awal, cara beliau ialah selalu makan di bahagian lelaki dalam rumahnya bersama-sama dengan tetamu dan sahabat-sahabat, lalu berbual-bual secara tidak rasmi mengenai jemaat, seolah-olah selain daripada makanan jasmani yang tersedia, ada juga santapan rohani yang dihidangkan oleh beliau kepada tetamunya. Dalam kesempatan itu juga, beliau memastikan layanan yang sempurna kepada tetamu yang ada dan semua yang diperlukan ada di hadapan tetamu. Beliau akan memastikan orang-orang yang terbiasa minum susu atau cae, keperluan mereka dilengkapi, atau dihidangkan dengan minuman lain yang sesuai dengan kehendak mereka. Dan jika ada sahabat beliau yang khas hendak bertolak meninggalkan Qadian, beliau biasanya akan menghantar mereka sehingga beberapa km sebelum berpatah balik ke Qadian. Keadaan ini bukan mudah untuk diamalkan jika bukan atas dasar kecintaan mengkhidmati manusia.

Kemudian, keinginan beliau juga ialah sabahat yang datang ke Qadian diusahakan agar dapat tinggal berdekatan beliau di rumahnya dan selalu berkata bahawa hidup ini tidak dapat dijangka, sebanyak mana peluang yang dapat dimanfaatkan bersama, itu satu kurnia atau nasib yang sangat baik. Dengan amalan demikian, rumah beliau menjadi rumah tumpangan yang kekal dan tetamu tinggal di dalam bilik-bilik di rumah beliau. Semuanya dilakukan hanyalah kerana hendak mengkhidmati mereka bukan sekadar layanan jasmani, tetapi di samping itu dapat meluangkan masa lebih banyak bercerita mengenai soal-soal keagamaan.

Di Qadian, ada sebuah kebun ayah beliau yang penuh dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Amalan atau kebiasaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ialah apabila musim buah-buahan tiba, maka beliau akan membawa kawan-kawan dan tetamu beliau ke kebun tersebut dan makan bersama-sama; seolah-olah pada waktu itu beliau menjadi seorang ayah yang sedang menjamu anak-anaknya. Dalam kesempatan itu, beliau tidak pernah meninggalkan perbualan mengenai keagamaan, malah kebanyakan waktu dilalui dengan mempersembahkan ajaran-ajaran agama dengan susasana yang penuh kecintaan.

Kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dalam mengkhidmati manusia adalah berdasarkan usul atau asas ini iaitu ALHUBBU FILLAAHI WAL BUGHDHU FILLAAHI, yakni dasar persahabatan dan permusuhan adalah semata-mata kerana Allah dan bukan kerana peribadi atau untuk duniawi. Sebab itu, kita dapat melihat bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjalinkan persahabatan yang sangat erat dengan sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, miskin atau kaya dan peringkat umur.

Jika kita pelajari latar belakang hidup Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, maka dapat diketahui bahawa beliau sangat memperhatikan keperluan tetamu.

Hazrat Mufti Muhammad Sadiq Sahib menulis bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat memuliakan tetamunya. Jika tetamu hanya sedikit, maka beliau sendiri yang akan menguruskan tempat penginapan dan makanan mereka. Jika tetamu yang datang agak ramai maka beliau akan memberi penekanan kepada khuddam seperti Hafiz Hamid Ali Sahib, Miyan Najmuddin Sahib dan yang lain dengan berkata; “jangan mendatangkan sebarang kesusahan apapun kepada para tetamu. Perhatikan segala keperluan mereka, makanan, tempat tinggal dan sebagainya agar sentiasa dalam keadaan baik. Ada yang kamu kenal dan ada yang tidak, jadi adalah perlu untuk menghormati kesemuanya”. Dalam musim sejuk beliau selalu berkata; “Berikan atau hidangkan tetamu minum cae, khidmati mereka semua dengan sempurna, jika ada yang hendak bilik atau tempat yang berasingan, usahakan agar memperolehinya. Jika ada yang tidak tahan dengan sejuk, pastikan ada unggun api untuk mereka”.

Hazrat Mufti Muhammad Sadiq Sahib meriwayatkan; pada suatu malam ada beberapa tetamu datang dan Hazrat Ummul Mukminin menjadi risau di mana hendak menempatkan mereka; ini kerana tempat sebelumnya dalam keadaan penuh seperti perahu. Pada waktu itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menceritakan kepada Hazrat Bibi Sahibah mengenai kisah burung dalam mengkhidmati tetamu mereka. Oleh kerana saya tinggal di bilik yang sangat dekat, jadi suara dari ruang utama sangat jelas kedengaran. Sebab itu saya dengar semua kisah yang diceritakan.

Beliau berkata: Lihat, suatu malam di sebuah hutan, ada seorang pengembara yang kemalaman (maksudnya dia ni berjalan terus sehingga tanpa disedari malam sudah menjelma dan destinasi yang dituju belum dijumpai). Malam itu sangat gelap. Hampir tidak ada tempat yang kelihatan. Akhirnya dia duduk berehat di bawah sebuah pokok. Di atas pokok itu ada sarang burung. Burung itu berkata kepada pasangannya; lihat! Pengembara yang datang di bawah pokok kita malam ini adalah tetamu kita. Menjadi kewajipan bagi kita untuk memberi layanan. Pasangannya bersetuju. Mereka berdua sepakat bahawa malam itu sejuk dan tetamu kita memerlukan api untuk memanaskan badan. Dan kita tidak ada apa-apa selain merobohkan dan menjatuhkan rumah (sarang) kita supaya dia boleh nyalakan api pada ranting kayu itu. Mereka berdua sepakat menjatuhkan rumput kering sarang mereka sedikit demi sedikit ke bawah. Pengembara itu merasa bernasib baik lalu mengumpulkan rumput kering itu lalu menyalakan api. Kemudian mereka berbincang lagi; kita telah berikan keselesaan kepada tetamu kita untuk menginap. Sekarang kita perlu berikan sesuatu untuk makanannya. Dan kita tidak mempunyai apa-apa, tidak ada cara lain lagi selain kita jatuhkan diri dalam api itu supaya pengembara dapat memanggang daging kita untuk dia makan. Akhirnya burung itu telah menunaikan hak dalam mengkhidmati tetamu mereka.

Hazrat Doktor Muhammad Mufti Sadiq Sahib meriwayatkan; Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat mengkhidmati sahabat-sahabatnya. Satu kali saya berkunjung ke Qadian untuk berjumpa beliau. Saya berjumpa dengan beliau di Masjid Mubarak dan berbual-bual. Tidak lama selepas itu, beliau berkata; Mufti Sahib mungkin sudah lapar, saya akan bawakan makanan untuk tuan. Saya menyangka ada orang yang beliau suruh untuk menghantarkan makanan dari dalam. Huzur selalu keluar masuk dari sebuah jendela di tepi masjid itu. Beberapa minit kemudian tingkap terbuka dan apa yang saya lihat ialah Huzur sendiri yang membawakan talam yang di dalamnya ada roti dan kuah, dengan tidak semena-mena mengalir air mata saya. Melihat itu, Huzur berkata; kenapa menangis, kami mengkhidmati sahabat kami supaya mereka juga dapat mengkhidmati sahabat mereka, dan kami ini datang untuk memberi khidmat. Kenapa tuan harus merasa risau? Saya berkata: “Lihatlah! Seorang Maseeh yang suci dari Tuhan sedang mengkhidmati hamba Allah yang sangat hina ini.” Betapa sungguh mengkagumkan. Sebenarnya nabi-nabi datang untuk mengkhidmati dunia, mereka menjadi contoh kepada dunia supaya orang lain dapat mengikuti jejak langkah mereka.

Khidmat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terhadap musuh-musuh

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an WALAA YAJRIMANNAKUM SYANA AANU QOUMIN ‘ALAA TA’DILUU I’DILUU HUWA AQRABU LIT TAQWA (Al-Maidah:9) yakni wahai orang beriman! Janganlah kebencian sesuatu kaum mendorong kamu bertindak tidak adil. Berlakulah adil; itu lebih dekat kepada takwa.

Satu dunia tahu bahawa wujud suci yang telah mempraktikkan amalan ini adalah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, terutama sekali dalam peristiwa Fatah Mekah. Orang-orang yang telah mengambil nyawa beberapa orang yang baginda kasihi, selepas Fatah Mekah, semuanya diampunkan dengan begitu sahaja tanpa ada pampasan. Maksudnya, dalam masyarakat sekarang ini kalau ada yang terlanggar atau terambil nyawa orang-orang yang mereka sangat kasihi, jika tidak membalas dendam pun, sekurang-kurangnya ada bayaran pampasan yang dikenakan. Tetapi tidak pada Rasulullah, puterinya, pakciknya yang mati, baginda relakan sahaja walaupun baginda ada kuasa untuk bertindak.

Dalam zaman ini, ajaran Al-Qur’an ini sangat ketara dapat kita lihat dalam kehidupan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Beliau banyak kali menyatakan bahawa; kami tidak bermusuhan dengan peribadi seseorang, kami hanya bermusuhan dengan pendustaan dan fikiran jahat mereka. Atas dasar inilah beliau sangat lembut hati dalam memperlakukan para musuh. Kesusahan yang dialami oleh musuh ketat pun menjadikan beliau tidak tenteram.

Terdapat satu peristiwa di mana beberapa bapa saudara beliau yang merupakan musuh ketat telah merobohkan sebuah tembok sehingga memberi kesusahan yang besar ke atas beliau dan tetamu beliau. Akhir sekali, beliau telah menang dalam perbicaraan kes itu sehingga menyebabkan musuh beliau sendiri yang harus merobohkan tembok itu. Tanpa mendapatkan kebenaran beliau, peguam telah meletakkan suatu jumlah untuk dibayar oleh pihak musuh hingga musuh sangat susah, dan satu surat untuk meminta belas kasihan beliau telah dihantar oleh mereka. Maka, beliau bukan sahaja meminta agar tuntutan bayaran itu dihentikan malah memohon maaf kepada mereka kerana itu di luar pengetahuan beliau, peguam itu juga telah ditegur kerana bertindak tanpa berunding dengan beliau terlebih dahulu.

Cuba bayangkan jika orang lain yang berada di tempat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, pasti tidak akan berhenti dari terus meletakkan kesusahan demi kesusahan kepada musuh mereka.

Sebab itu dikatakan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak bermusuhan dengan mana-mana peribadi seseorang, tetapi hanya memusuhi perbuatan mereka yang mendustakan beliau.

Demikian juga ketika tuduhan membunuh yang diletakkan atas beliau dan Maulvi Muhammad Hussin Batalwi Sahib sebagai saksi bagi menentang beliau. Bagi melemahkan kesaksian Maulvi tersebut, peguam beliau hendak mengaitkan beberapa perkara melibatkan peribadi dan keluarga Maulvi Sahib. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat marah dan menghentikan tindakan peguam beliau dan berkata; apapun yang terjadi, saya tidak mengizinkan soalan-soalan serangan seperti itu. Jadi, ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa beliau tetap memelihara kehormatan musuhnya walaupun berhadapan dengan bahaya.

Demikian juga apabila Pandit Lekhram yang mati di Lahore sesuai dengan khabar ghaib Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, setelah menerima khabar itu beliau mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala atas kesempurnaan khabar ghaib itu, tetapi seiring dengan itu juga atas dasar belas kasihan beliau kepada manusia, beliau menzahirkan rasa sedih atas kematian Lekhram dan berkali-kali menyatakan bahawa ‘kami sangat sedih sekali kerana Pandit tidak menerima kenyataan kami lalu memilih cara yang tidak betul mengenai Tuhan dan Rasul-Nya, kemudian melangkah dalam medan mubahalah yang akhirnya menjadi malapetaka bagi dirinya.

Di Qadian, beberapa orang Arya Samaj sangat memusuhi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan banyak propaganda kotor yang dibuat terhadap beliau. Setiap kali mereka dalam kesusahan atau mengidap suatu penyakit lalu datang kepada beliau, dengan senang hati beliau berusaha membantu meringankan kesusahan mereka. Buddha Mal di Qadian sangat memusuhi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Ketika pembangunan Minaratul Maseeh di Qadian hendak dimulakan, mereka telah membuat aduan ke pejabat pentadbiran dengan alasan bahawa rumah-rumah mereka tidak lagi terlindung, tidak ada lagi pardah. Sebab itu pembangunan menara itu harus dihentikan. Selepas itu pegawai kerajaan tempatan datang bersama dengan Lalah Buddha Mal, beberapa orang Hindu dan ghair Ahmadi berjumpa dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam cuba menjelaskan kepada pegawai itu bahawa aduan ini adalah disebabkan oleh permusuhan kami, tidak ada timbul persoalan bahawa rumah-rumah mereka tidak lagi terlindung. Jika memang benar akan terjadi demikian, maka bukan hanya rumah mereka, rumah-rumah kami juga menerima nasib yang sama. Kami hanya bertujuan untuk agama, kami tidak hendak mengeluarkan wang ringgit untuk tujuan-tujuan yang buruk seperti tuduhan itu. Dalam perbualan itu, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata kepada pegawai itu; ‘ini Lalah Buddha Mal Sahib, tanyakan kepada dia, adakah dia pernah meninggalkan suatu peluang tanpa berbuat apa-apa sekiranya peluang itu boleh mendatangkan kesusahan kepada saya? Dan tanyakan juga kepada dia, adakah suatu kesempatan yang saya dapat untuk berbuat baik kepada mereka lalu kesempatan itu saya lepaskan?’ Lalah Buddha Mal Sahib hanya menundukkan kepala ketika Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata-kata tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Hazrat Sahibzada Mirza Basyir Ahmad Sahib menulis bahawa Rasul Bibi Sahibah janda Hafiz Hamid Ali Sahib menjelaskan kepada saya melalui Maulvi Abdurrahman Sahib Jat Maulvi Fazil bahawa kadang-kadang Mirza Nizamuddin menetapkan orang jahat untuk menghina Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, ini adalah bapa saudara beliau yang juga merupakan musuh Islam. Sebab itu beberapa kali orang itu akan mengeluarkan caci maki sepanjang malam di luar rumah Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dengan mengeluarkan kata-kata kotor dengan cara menjerit-jerit. Apabila waktu makan sahur, beliau mengatakan kepada neneknya, “berikan dia sedikit makanan, mungkin dia sudah penat mengeluarkan makian sepanjang malam, mungkin lehernya sudah kering”. Dia mengatakan bahawa saya berkata kepada Hazrat Sahib “kenapa hendak memberi kepada orang yang jahat itu?. Beliau menjawab; jika kita berbuat jahat Tuhan akan melihat, dan kita tidak seharusnya memperlihatkan apa-apa. (Siratul Mahdi jilid 2, bahagian 4, riwayat nombor 1130, halaman 20, edisi baru, cetakan Rabwah)

Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib menulis. Saya menyatakan bahawa dalam zaman Hazrat Sahib terutama sekali hari-hari permulaan, orang-orang Qadian banyak menyakiti anggota jemaat. Mirza Imam Din Sahib, Mirza Nizam Din Sahib dan sebagainya banyak memberi kesusahan kepada orang awam Qadian. Mereka mengapi-apikan orang-orang Sikh agar menyusahkan orang-orang Ahmadi khasnya dan orang-orang yang datang berjumpa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s umumnya. Mereka bukan sahaja menyakiti melalui ucapan malah mereka juga turut menyusahkan secara fizikal sehingga ke tahap memukul. Jika ada Ahmadi muhajir yang terlupa lalu membuang air di tanah orang Sikh kerana pada waktu itu belum ada pengurusan tandas yang baik, maka mereka akan memaksa Ahmadi itu untuk memungut kembali najis dengan tangan dan ada juga beberapa kali orang Ahmadi yang dipukul. Jika ada Ahmadi yang mengambil tanah dari sebuah tasik, maka mereka akan merampas bakul dan mengeluarkan buruh itu dari situ. Jika ada Ahmadi yang bercakap di hadapan, maka selain mengeluarkan ucapan-ucapan yang mencaci, mereka juga bersedia untuk mencederakan.

Oleh itu, setiap hari ada sahaja aduan yang sampai kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tetapi beliau selalu mengatakan agar bersabar. Beliau sentiasa memberi nasihat bahawa dengarkan saja cacian mereka, mereka mungkin memukul, tetapi bersabarlah. Beberapa Ahmadi yang beremosi datang kepada Hazrat Sahib dan menyatakan bahawa Huzur, cukup dengan memberi izin kepada kami untuk menghadapi mereka, kami akan meluruskan mereka. Huzur mengatakan; jangan, bersabarlah. Seorang muhajir yang baru dari Kabul, Syed Ahmad cuba menzahirkan kesulitannya dan meminta izin untuk membalas, dia seorang pemarah. Hazrat Sahib berkata: Cuba lihat; jika hendak hidup dengan aman dan sabar maka tinggallah di sini, tetapi jika hendak bergaduh dan tidak boleh bersabar, pergilah ke Kabul. Dan disebabkan ajaran itulah beberapa orang Ahmadi terhormat yang tidak dapat bersabar atas perkara-perkara kecil, mereka terpaksa menghadapi kesulitan di tangan orang-orang yang hina.

Tetapi, satu kejadian yang berlaku secara kebetulan ketika seorang Ahmadi yang miskin sedang mengambil lumpur dari sebuah tasik untuk rumahnya, maka orang Sikh telah datang serombongan dengan membawa kayu lalu merobohkan rumahnya. Pada mulanya orang Ahmadi itu cuma menghindarkan diri, tetapi apabila kumpulan itu bertindak memukul orang yang tidak bersalah dan menghancurkan rumah-rumah, maka beberapa Ahmadi telah bertindak melawan sehingga pihak lawan ramai yang cedera dan akhirnya penceroboh itu melarikan diri. Itulah kejadian pertama yang menzahirkan kepada orang ghair Ahmadi di Qadian bahawa orang-orang Ahmadi tidak takut kepada mereka tetapi hanya takut kepada imamnya. Kemudian, polis telah membuat penyiasatan dan mendapati bahawa Ahmadi telah dizalimi dalam kejadian itu kerana orang ghair Ahmadi telah membuat kumpulan yang membawa kayu untuk menghancurkan rumah-rumah Ahmadi. Walaupun pihak lawan, tetapi pihak polis terpaksa melaksanakan undang-undang. Apabila orang-orang itu melihat bahawa tidak ada lagi cara lain, maka orang mereka pergi mendapatkan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan berkata; kami telah bersalah, tolong maafkan kami. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah memaafkan mereka. (Petikan dari Siratul Mahdi bahagian 1, Jilid Awal riwayat nombor 140, halaman 129-131 cetakan Rabwah)

Ringkasnya, kewujudan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam satu rahmat. Rahmat untuk Islam dan rahmat untuk amanat yang beliau bawa. Rahmat untuk tempat di mana beliau dilahirkan, yakni Qadian, rahmat untuk dunia dengan tujuan beliau diutus. Rahmat untuk keluarga, rahmat untuk kawan-kawan, rahmat untuk musuh. Rahmat ini tersebar ke seluruh penjuru dunia. Tetapi, malang sekali atas mereka di mana benih ini turun lalu mereka bertindak sama seperti tanah yang tidak tahu apa-apa telah menolaknya dan tidak mahu menumbuhkannya.

Jadi, inilah antara kisah hidup Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkenaan dengan khidmat beliau kepada manusia. Dalam kita berbangga atau merasa kagum dengan kisah hidup beliau, ada juga manusia-manusia di luar sana yang sanggup melemparkan tuduhan-tuduhan dusta atas peribadi beliau.

Tidak pernah dapat kita bayangkan orang yang begitu baik dengan sahabat-sahabatnya dianggap sebagai orang gila, tidak tahu membezakan garam dan gula.

Tidak tercapai oleh akal kita bawah orang yang begitu baik khidmatnya terhadap tetamu dianggap sebagai bodoh, tidak tahu membezakan sepatu kanan dan kiri.

Juga perkara yang sangat ganjil bahawa orang yang sangat baik dengan musuh-musuhnya boleh dianggap sebagai orang yang tidak siuman sehingga terpaksa dimusuhi dan dijatuhkan hukuman bunuh dan pengikutnya di susahkan di mana-mana?

Sangat sayang sekali kenapa manusia tidak mahu memahami dan mengkaji siapa diri Hazrat Mirza Ghulam Ahmad yang sebenar. Kebanyakan umat Islam hanya mendengar ceramah-ceramah fitnah atas diri beliau dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas seperti • Menghalalkan arak dan judi yang menjadi kegemaran Ghulam Ahmad dan beberapa pemimpin ajaran Qadiani.

Siapa yang mendengar kisah-kisah beliau ini, bukalah mata hati, terimalah dengan dada yang terbuka bahawa orang yang paling banyak mengikuti uswah Rasulullah zaman ini adalah Hazrat Mirza Ghulam Ahmad.

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...