Tuesday, March 27, 2012

Nasihat Huzur kepada Anak-anak Waqifaate nou Jerman


Nasihat Huzur Kepada Anak-anak Waqfe Nou Wanita di Jerman - 8 Oktober 2011

Huzur berkata:-

Beberapa anak Waqfe Nou minat dalam bidang perubatan. Selepas belajar, kamu akan mempersembahkan diri kepada jemaat. Kemudian, akan dihantar ke Afrika, Rabwah atau Qadian. Adakah kamu sedia? Jangan pula disebabkan takut, kamu tinggalkan bidang perubatan.

Huzur berkata:-

Adakah di antara kamu yang minat bidang pendidikan, Sains, Kewartawanan atau Bahasa? Jadi, apapun bidang yang kamu ambil, yang penting ialah kamu belajar dengan bersungguh-sungguh, selepas tamat, persembahkan diri kepada jemaat.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah sentiasa ingat bahawa harus lebih unggul berbanding yang lain, dan dalam setiap segi kamu harus lebih baik. Perhatikan cara duduk bangun kamu, cara bercakap, peribadi kamu, dan pardah kamu harus sentiasa dijaga. Solat juga hendaklah diperhatikan, tilawat Al-Qur’an juga hendaklah dilakukan, dan jadikanlah diri kamu sebagai contoh kepada anak-anak atau Lajnah yang lain. Mereka yang kurang menjaga pardah, tegur mereka dengan menjadikan diri sebagai teladan.

Huzur berkata:-

Beramallah pada ajaran Al-Qur’an, apa yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ajarkan juga hendaklah kamu lakukan. Jika kamu sudah beriradah bahawa ‘kami hendak membuat perbaikan di persekitaran kami, menjadikan diri kami sebagai contoh’, maka banyak keburukan yang boleh dihindari. Sebab itu, mulai hari ini kamu hendaklah menganggap diri kamu sebagai guru dan tanamkan dalam diri hendak mengubati orang lain.

Huzur berkata:-

Untuk menjadikan diri sebagai seorang contoh, maka ilmu agama juga hendaklah dikuasai, cenderung menunaikan solat, setiap hari menilawatkan Al-Qur’an dan menjaga pardah setiap masa.

Huzur berkata:-

Beri perhatian terhadap berdoa. Melalui doa, semua kesulitan akan dapat diatasi. Ahmadiyah akan kekal. Jemaat Ahmadiyah akan berkembang secara perlahan-lahan dan akan mencapai kemenangan. Para musuh berusaha untuk menghancurkannya, Tuhan memberikan negara yang baru. Ratusan ribu yang bai’at. Kemenangan tidak semestinya kita menguasai pemerintahan dan itu bukan juga keinginan atau tujuan kita.

Huzur berkata:-

Azab boleh dihindari melalui doa-doa Ahmadi. Peperangan besar juga adalah azab, ia boleh dihindari melalui doa dengan disertai syarat bahawa dunia juga harus berusaha menghindari perang tersebut.

Huzur berkata:-

Ulama yang berfitrat jahat hendak menghancurkan orang-orang Ahmadi. Mereka banyak menghamburkan fitnah. Allah Ta’ala boleh sahaja menghancurkan mereka dalam sekelip mata. Mungkin saja dengan kehancuran mereka, orang lain boleh selamat.

Huzur berkata:-

Saya telah belajar tentang pertanian, sebab itu saya telah bekerja sebagai petani. Saya telah melihat bahawa di Ghana, air, tanah dan musim sama dengan di Nigeria, dan jika di Nigeria boleh tumbuh gandum, kenapa di Ghana tidak boleh? Akhirnya saya membawa benih dari Nigeria untuk di tanam di Ghana. Tahun pertama hasilnya sangat baik, tahun kedua juga baik. Saya makan dari tepung gandum di sana. Namun, selepas itu kerajaan tidak meneruskan usaha itu. Tetapi, sudah terbukti bahawa gandum boleh tumbuh di sana.

Huzur berkata:-

Pardah bukan hanya untuk orang Afghan atau orang Iran. Pardah adalah perintah Al-Qur’an dan untuk semua orang Islam. Kita Ahmadi, dan kita telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai orang yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Baginda telah memberikan tanda-tanda kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang antaranya ciptaan tunggangan yang baru, sekarang ini unta dan kuda sudah digantikan dengan kereta, kapal, bas dan sebagainya. Kemudian tanda gerhana, dan ia telah terjadi tepat pada waktunya. Jadi, kita hendaklah beramal pada perintah Tuhan. Kalau ada yang mengatakan kepada kamu sebagai Irani atau Afghani, biarkan mereka mengatakannya. Kita mengetahui bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam datang untuk mengajarkan Islam yang sebenar dan kita berusaha untuk mengamalkan ajaran itu.

Menjawab persoalan mengenai Facebook, Huzur berkata:-

Saya tidak mengatakan bahawa kalau tidak tinggalkan Facebook maka kamu berdosa. Tetapi saya mengatakan bahawa keburukannya lebih banyak daripada kebaikan. Kebelakangan ini, anak-anak lelaki dan wanita yang ada Facebook, mereka sudah menjelajah ke tempat-tempat yang boleh mengundang keburukan. Anak-anak lelaki membuat hubungan, beberapa anak wanita yang terperangkap dengan meletakkan gambar mereka yang tidak berpardah, mereka menghantar gambar-gambar mereka di rumah dan tempat-tempat biasa kepada kawan-kawan. Kemudian, dari Hamburg, ia keluar sehingga New York, Autralia dan sebagainya sehingga bermula lagi hubungan yang baru. Kemudian ada groups dicipta, gambar lelaki dan wanita diolah/dirosakkan sehingga terjadi blackmail (ugutan). Dengan itu muncul banyak keburukan. Sebab itu, adalah lebih baik jangan pergi ke tempat yang merosakkan.

Pekerjaan saya hanyalah memberi nasihat. Al-Qur’an menyatakan ‘beri nasihat’. Mereka yang tidak mahu ikut nasihat, mereka sendiri yang menanggung dosanya.

Jika hendak bertabligh di Facebook, silakan. Di website Alislam ada Facebook, kamu boleh ambil manfaat daripadanya.

Huzur berkata:-

Wanita terlalu cepat diperbodohkan. Jika ada yang memuji kamu, maka kamu akan mengatakan “tidak ada yang lebih baik berbanding anda”. Jika ibu bapa menasihati kamu, maka kamu mengatakan “kami ini orang terpelajar, kamu itu bangkit dari kampung sahaja”.

Huzur berkata:-

Setiap perkara yang baik, darimana pun asalnya, kamu hendaklah ambil. Tidak semua apa yang mereka cipta itu membawa kebaikan.

Huzur berkata:-

Ada yang tidak mendengar cakap, akhirnya mereka menulis surat kepada saya sambil menangis-nangis berkata “kami sudah melakukan kesalahan, kami sudah terperangkap di suatu tempat”.

Huzur berkata:-

Orang yang mencipta Facebook ini, dia sendiri mengatakan bahawa tujuan saya menciptanya adalah supaya keadaan semua orang menjadi terbuka dan dipersembahkan kepada dunia. Adakah wanita Ahmadi hendak diperbuat seperti itu? Mereka yang tidak mahu ikut, jangan ikut.

Soalan mengenai kehidupan di Ghana, Huzur berkata:-

Saya seorang Waqaf Zindegi dan tinggal di sebuah kampung di Ghana selama dua tahun yang semuanya orang Afrika. Tidak ada seorang pun Ahmadi dari kalangan orang Afrika. Kami menjaga seorang anak lelaki Afrika dan memasukkannya ke sekolah. Kehidupan di sana waktu itu banyak kesusahan yang harus dihadapi. Masak makanan sendiri, belajar dari seorang Murabbi Sahib cara memasak roti yang jauhnya 70 batu. Menyimpan makanan tin Sardine. Di sana juga tidak ada elektrik, saya hanya mempunyai lampu yang dipasang hanya pada waktu malam. Tidak ada TV, tidak ada kemudahan. Pada waktu malam, mendengar berita di radio lalu tidur. Berhampiran dengan kami ada Mission Katolik. Di sana ada TV, ada kereta dan sebagainya. Seorang Waqaf Zindegi harus tahu bahawa mereka mesti berkorban.

Huzur berkata:-

Seorang Waqaf Zindegi juga harus bersabar jika kekurangan makanan. Isteri juga harus bersabar. Jika kamu berkahwin dengan seorang Waqaf Zindegi, maka kesusahan dan kesulitan harus dihadapi dengan tenang dan jangan membuat bising. Tuhan tidak akan membiarkan terus berada dalam kesusahan. Jika suatu benda habis, maka Allah Ta’ala akan mengaturkannya.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah berusaha mencari jalan pertablighan dan ciptakan peluang untuk pertablighan. Jika kamu pandai dalam belajar, watak dan akhlak kamu baik, cara pemakaian tudung kamu baik, amalan pardah kamu baik, dan tidak cenderung untuk berkawan, maka anak-anak gadis lain akan tertarik kepada kamu dan akan bertanya ‘siapa kamu?’. Jadi, jelaskan kepada mereka bahawa kamu Ahmadi. Kemudian beritahu bahawa kamu telah menerima Imam Mahdi, dan seterusnya, dengan ini akan membuka jalan tabligh.

Atas soalan umur perkahwinan, Huzur berkata:-

Tidak ada syarat dalam umur perkahwinan. Ketika Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkahwin dengan Hazrat Khadijah, maka umurnya 15 tahun lebih tua berbanding Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Kemudian Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga telah mengahwini wanita yang 20 tahun lebih muda daripada baginda.

Huzur berkata:-

Sebenarnya umur bukan pengukur. Yang penting ialah pemikiran. Jika seorang di kalangan suami isteri belum dewasa maka akan muncul pertengkaran dan kerosakan. Untuk menyelamatkan keturunan, pengorbanan harus dilakukan.

Huzur berkata:-

Daerah Gilgit banyak didiami oleh golongan Ismaili. Di sana juga mereka membuka sekolah. Di sana lelaki tidak berapa berpelajaran. Di sana wanita lulusan M.A berkahwin dengan lelaki cuma lulusan Matrikulasi. Alasan yang mereka berikan ialah hendak menjaga keturunan Ismaili ini supaya firqah Ismaili tetap terpelihara. Jadi, jika dalam firqah Ismaili ini begitu tinggi pengorbanan mereka sedangkan nama Islam sudah tidak ada dalam kalangan mereka, seharusnya seorang wanita Ahmadi juga harus berkorban demi menyelamatkan keturunan mereka.

Huzur berkata:-

Apabila sudah ada pemikiran dan kesepadanan, maka tidak ada lagi timbul soal perbezaan umur. Apapun, wanita lebih cepat matang.

Huzur berkata:-

Pada hujung minggu, belajarlah memasak. Jika kamu sedang belajar dan bercadang cepat berkahwin, maka sebelum berkahwin, letakkan syarat bahawa selepas berkahwin nanti, pelajaran hendaklah diteruskan dan disempurnakan. Hubungi dan tulis surat secara teratur kepada suami. Jika ada wanita, di samping belajar, tetap juga melaksanakan tanggungjawab rumahtangga, maka ada masa-masa tertentu dia harus pergi mengikuti kursus luar. Ikutilah kursus sesuai dengan kemudahan kamu. Dengan itu, kamu juga akan dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Pada hujung minggu kamu hendaklah bekerja keras untuk belajar memasak supaya apabila kamu sudah bebas, atau pergi ke rumah yang lain, maka kamu juga akan dapat menguruskan rumah sendiri. Tidak semestinya harus tinggal bersama dengan mentua.

Huzur berkata:-

Zaman dahulu, gadis yang berumur 14 ke 15 tahun sudah berkahwin. Memang ada kesilapan dilakukan oleh wanita, tetapi mereka akan cepat menutupinya. Kemudian, dia akan dapat mengurus rumah secara menyeluruh.

Huzur berkata:-

Perkahwinan Hazrat Amma Jaan juga pada usia yang muda. Beliau mengurus rumah, belajar tentang semua perkara, kemudian mengajarkan kepada orang lain, memberi tarbiyat kepada orang lain. Maknanya, jika memang ada keinginan, semuanya akan tercapai.

Jika ada anak gadis yang mendapat kebenaran daripada orang tua untuk belajar di tempat lain, maka mereka harus berfikir hendak tinggal di mana, jika tinggal di asrama, ia haruslah terpisah dengan lelaki. Kemudian, semasa di sana, jaga kesucian dan kebersihan.

Huzur berkata:-

Apabila anak-anak gadis Rabwah hendak melanjutkan pelajaran ke luar, mereka akan meminta kebenaran daripada saya melalui Nazarat Ta’lim. Dalam bentuk Co-education (pendidikan campuran antara lelaki dan perempuan) juga mereka meminta kebenaran daripada saya. Kemudian, mereka menulis akan belajar dengan menjaga pardah.

Huzur berkata:-

Jika ibu bapa keberatan, maka adalah lebih baik belajar di tempat sendiri sahaja.

Seorang anak kecil bertanya mengenai ilham Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam “Wahai bumi Kabul! Engkau tidak akan pernah aman”. Huzur berkata:-

Ini bukan ilham tetapi Hazrat Maseeh Mau’u alaihissalam sendiri yang mengucapkannya. Dan sehingga sekarang di sana tidak pernah aman. Ini jugalah keadaan Pakistan sekarang. Ia berada dalam cengkaman para mullah. Tuhan akan memberikan ganjaran ke atas darah-darah orang yang syahid.

Dalam menjawab satu soalan, Huzur berkata:-

Apabila jemaat sudah tersebar ke seluruh dunia, jumlah anggota Ahmadi semakin banyak, pemerintahan di tangan Ahmadi, ahli politik Ahmadi, maka pada waktu itu wanita boleh memberi pendapat dalam syura. Tetapi, mengenai terjun dan menjadi ahli politik bersama-sama dengan kaum lelaki, mengadakan acara bersama kaum lelaki. Dalam hal ini keputusan adalah di tangan khalifah semasa. Huzur berkata: Pertama sekali jadikan dahulu mana-mana negara sebagai Ahmadi, kemudian minta keputusan.

Seorang anak kecil bertanya:- Ada sesetengah wanita yang memakai pakaian yang mahal, memakai banyak barang kemas, adakah ini satu amalan yang betul?

Huzur berkata:-

Jika wanita seperti itu seorang yang bagus dalam soal ibadat, tingkat pengorbanan juga tinggi, maka tidak ada salahnya jika dia memakai pakaian atau barang kemas yang mahal. Tetapi, jika mutu ibadat dan pengorbanan sangat rendah, maka hal itu adalah salah.

Huzur berkata:-

Di Frankfurt ada wanita yang kaya dan candah juga dia berikan kepada jemaat, pengorbanan juga sangat tinggi. Maka jika wanita itu memakai pakaian yang mahal dan memakai barang kemas yang banyak pun tidak menjadi kesalahan dan tidak harus dikritik.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga ada masanya memakai pakaian yang bagus. Beberapa orang mulia juga memakai pakaian yang bagus-bagus. Tetapi, takwa mereka, kerendahan hati mereka, kemuliaan mereka tidak berubah. Mereka juga giat dalam berkorban.

Huzur berkata:-

Jika sudah ada ikatan, maka kesabaran dalam perkara-perkara kecil harus diamalkan. Berusaha menyelesaikan permasalahan. Jika timbul masalah besar, jika timbul masalah syariat, atau terjadi perbuatan yang bertentangan dengan akhlak, maka jika berpisah adalah lebih baik, maka silakan.

Huzur berkata:-

Di London, kadang-kadang saya panggil untuk diberi nasihat. Sebelum datang ke sini pun, saya baru sahaja menyatukan satu keluarga. Tiga tahun mereka berpisah. Saya yang nikahkan mereka sebelum datang ke sini. Jadi, jika terjadi hal yang besar, terjadi perkara yang bertentangan dengan akhlak, yang melibatkan agama dan mazhab, maka adalah perlu untuk berpisah.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Dipetik dan diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Sumber: Al-Fazal International 06 Januari 2012 – 12 Januari 2012

Sunday, March 25, 2012

Malfoozaat Jilid 1_16


  MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

DARI SATU KEBAIKAN MUNCUL KEBAIKAN YANG LAIN

Perkara yang sebenarnya ialah akibat daripada perbuatan buruk adalah perbuatan buruk juga. Undang-undang kudrat Tuhan untuk Islam ialah dari satu kebaikan muncul kebaikan yang lain. Saya teringat, di dalam Tazkiratul Aulia saya pernah terbaca bahawa ada seorang tua penyembah api yang berumur 90 tahun. Kebetulan hujan turun dengan lebat tanpa berhenti-henti menyebabkan dia memberikan biji-bijian kepada burung-burung. Ada seseorang mulia terlihat dan berkata: wahai orang tua! Apa yang kamu buat? Dia menjawab: Saudara! Sudah enam tujuh hari hujan turun tidak berhenti, saya berikan makanan kepada burung-burung ini. Orang itu berkata lagi: Kamu buat perkara yang sia-sia, engkau tu kafir, tidak akan dapat pahala. Orang tua itu menjawab: Saya yakin akan dapat ganjarannya. Orang mulia itu berkata: Saya pergi menunaikan Haji, dari jauh saya melihat bahawa orang tua berkenaan sedang melakukan tawaf. Saya hairan melihatnya. Apabila saya maju ke hadapan, dia terus berkata: Adakah usaha saya memberikan bijian menjadi sia-sia atau mendapat ganjarannya?

GANJARAN KEBAIKAN TIDAK SIA-SIA

Sekarang harus difikirkan bahawa kebaikan seorang kafir tidak akan disia-siakan. Jadi, adakah kebaikan seorang Islam akan disia-siakan? Saya teringat kisah seorang sahabat. Dia berkata: Wahai Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam! Saya telah banyak bersedekah sewaktu masih kafir. Adakah saya boleh memperolehi ganjarannya? Baginda menjawab: Sedekah itulah yang menyebabkan engkau memeluk Islam.

APA ITU KEBAIKAN?

Kebaikan itu satu tangga menuju kepada Islam dan Tuhan. Tetapi ingatlah bahawa apa itu kebaikan? Dalam setiap jalan, syaitan sentiasa berusaha memesongkan manusia dari jalan yang hakiki. Sebagai contoh, pada waktu malam roti terlebih masak dan pada waktu pagi ia menjadi rosak. Tepat pada waktu makan, di hadapannya diletakkan roti yang bagus-bagus. Belum sempat membuat satu suapan, ada pengemis mengetuk pintu meminta roti. Maka, dia mengatakan: Berikan roti yang rosak kepada peminta sedekah itu. Jadi, adakah ini boleh dikatakan sebagai satu kebaikan? Roti yang rosak dibiarkan terus, dan kenapa dia makan makanan yang disukainya.

Allah Ta’ala berfirman: WAYUTH ‘IMUUNAT THO’AAMA ‘ALAA HUBBIHII MISKIINAU WAYATIIMAU WA ASIIRA (Ad-Dahar:9) Ini juga jelas bahawa apa yang dimaksudkan dengan THO’AM itu adalah makanan yang disukai. THO’AM tidak dirujuk kepada makanan yang rosak atau basi. Ringkasnya, dalam dulang yang berisi makanan yang lazat dan disukai, belum sempat mula makan, atas suara orang miskin makanan itu diberikan, inilah yang dikatakan kebaikan.

Membelanjakan barang yang rosak dan tidak berguna tidak boleh dianggap sebagai satu kebaikan. Pintu kebaikan itu sangat sempit. Jadi, ingatlah perkara ini bahawa dengan membelanjakan benda-benda yang tidak bagus, seseorang belum masuk dalam lapangan kebaikan. Ini jelas melalui firman Allah Ta’ala: LANTANAALUL BIRRA HATTAA TUNFIQUU MIMMAA TUHIBBUUNA (Ali Imran:93) selagi belum membelanjakan sebaik-baik benda, selama itu belum mendapat darjat kebaikan yang hakiki. Jika tidak mahu menanggung kesusahan, dan tidak mahu membuat kebaikan yang sebenar, bagaimana mungkin boleh mencapai kejayaan. Adakah para sahabat telah mencapai darjat ini secara percuma? Untuk mencapai gelaran duniawi, banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan dan menanggung berbagai kesulitan, barulah mendapat suatu gelaran yang belum tentu memuaskan dan mententeramkan hati. Kemudian, cuba bayangkan gelaran Radiallaahu Anhum yang sangat memberi ketenteraman hati dan sebagai tanda keredhaan Tuhan, adakah ia begitu mudah diperolehi?

Maknanya, keredhaan Tuhan yang merupakan kegembiraan yang sebenar tidak dapat diperolehi selagi tidak menanggung suatu kesusahan sementara. Mubarak atas mereka yang tidak peduli dengan sebarang kesusahan demi mencapai keredhaan Ilahi kerana kegembiraan yang abadi dan cahaya ketenangan yang kekal dapat dicapai oleh orang mukmin selepas kesusahan yang bersifat sementara.

SIAPA MUSLIM YANG SEBENAR?

Saya menyatakan dengan lantangnya bahawa selagi Allah Ta’ala tidak diutamakan dalam setiap perkara, dan dengan melihat ke lubuk hati, mereka tidak nampak bahawa ‘ini saya punya’, maka selagi itu tidak boleh dikatakan sebagai mukmin yang sebenar. Orang seperti itu secara zahir memang mukmin atau muslim, sebagaimana tukang kasut juga dianggap sebagai mushalli atau mukmin. Muslim itu ialah mereka yang membenarkan ayat ASLAMA WAJHAHUU LILLAAH. Maksud WAJHAH di sini ialah muka, tetapi ia juga merangkumi seluruh zat dan wujudnya. Jadi, mereka yang meletakkan seluruh kekuatan mereka di hadapan Allah Ta’ala, mereka itu layak dikatakan sebagai Muslim yang sejati. Saya teringat bahawa seorang Muslim telah menyeru kepada seseorang Yahudi: Masuklah engkau ke dalam Islam. Muslim itu sendiri seorang fasik dan jahat. Maka Yahudi itu berkata kepada Muslim yang fasik itu: Lihat keadaan diri kamu dahulu dan jangan merasa bangga kerana dikatakan sebagai Muslim. Tuhan mahu pemahaman dari maksud Islam itu, bukannya nama atau lafaz. Yahudi menceritakan kisahnya: Saya telah meletakkan nama anak saya Khalid, tetapi keesokan harinya saya menggali kubur untuknya. Jika dengan nama itu ada berkat, kenapa dia meninggal? Jika ada seseorang yang bertanya dari seorang Muslim: Adakah engkau Muslim? Maka dia menjawab: Alhamdulillah.

Jadi, ingat perkara ini bahawa lafaz atau sebutan tidak menjanjikan apa-apa selagi tidak beramal. Hanya setakat sebutan tidak memberi apa-apa kesan di sisi Allah. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman: KABURA MAQTAN ‘INDALLAAHI AN TAQUULUU MAA LAATAF’ALUUN (As-Shaf:4)

CARA UNTUK MENCAPAI KEMULIAAN MENGKHIDMATI ISLAM

Sekarang saya hendak kembali kepada tujuan saya yang asal yakni SHOOBIRUU WA ROOBITHUU (Ali Imran:201) sebagaimana kuda-kuda perbatasan sangat perlu untuk menghadapi musuh supaya musuh tidak melintasi sempadan, demikian juga kamu hendaklah selalu bersedia. Jangan sampai musuh dapat melintasi sempadan dan menewaskan Islam. Saya juga telah jelaskan sebelumnya bahawa jika kamu hendak menolong dan mengkhidmati Islam, maka pertama sekali jadilah kamu orang bertakwa dan suci, dengan itu kamu sendiri akan berada dalam perlindungan Tuhan. Kemudian kamu akan mendapat kemuliaan untuk melakukan pengkhidmatan. Kamu lihat bahawa keadaan luaran umat Islam sangat lemah, bangsa melihat mereka dengan pandangan yang sangat benci dan rendah. Jadi, jika kekuatan dalaman dan hati kamu juga lemah dan tidak berdaya, maka fahamilah bahawa ia akan berakhir. Kamu hendaklah mensucikan jiwa kamu sehingga ada kuat qudsiah dalam diri kamu dan akan menjadi seperti kuda-kuda perbatasan yang kuat dan menjadi pemelihara. Kurnia Allah Ta’ala selalu bersama-sama dengan orang-orang yang Muttaqi. Jangan jadikan akhlak dan cara kamu boleh menyebabkan ada bintik kotor pada Islam. Orang-orang Islam yang jahat dan orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam akan memberikan bintik kotoran pada Islam. Ada orang Islam yang minum arak dan ada yang muntah di sana sini. Pagri (serban) di lilit di leher dan berjalan di lorong-lorong yang kotor, mendapat pukulan dari kasut pihak polis. Orang Hindu dan Kristian ketawa melihat mereka. Perlakuan mereka yang bertentangan dengan syariat itu sebenarnya bukan menjadikan mereka diketawakan tetapi ia sampai ke dasar Islam. Saya sangat sedih apabila mendapat berita atau membaca laporan dari penjara. Apabila saya melihat begitu ramai orang Islam yang berperangai buruk, timbul kemarahan, hati menjadi gementar kerana mereka yang mempunyai siratal mustaqim, disebabkan perlakuan mereka bukan sahaja merugikan diri sendiri malah menjadikan Islam sebagai bahan tertawaan. Inilah sebabnya semasa banci penduduk yang lalu, Mr. Albertson Sahib menulis banyak pekara dalam laporannya. Maksud saya ialah orang Muslim yang dikatakan sebagai Muslim, mereka itu tenggelam dalam perkara yang dilarang dan ditegah, yang bukan hanya kepada mereka, malah ia menyebabkan timbul keraguan terhadap Islam. Jadi, buatlah amalan dan cara hidup kamu sebegitu rupa sehingga orang kafir tidak ada peluang untuk membuat kritikan atas kamu (yang sebenarnya adalah atas Islam).

SYUKUR YANG SEBENAR ADALAH TAKWA DAN KESUCIAN

Kesyukuran kamu yang sebenar adalah takwa dan kesucian. Atas soalan orang Islam, mengucapkan Alhamdulillah bukan kesyukuran yang sebenar. Jika kamu benar-benar telah mengamalkan jalan-jalan kesucian dan ketakwaan, maka saya memberi khabar gembira kepada kamu bahawa tidak ada yang dapat mengalahkan kamu seandainya kamu berdiri di atas perbatasan. Saya teringat bahawa ada seorang kerani utama Hindu yang namanya Jagan Nath, dan seorang yang taksub dengan Hindu memberitahu bahawa di Amritsar atau suatu tempat, dia pernah menjadi kerani utama di mana ada seorang ahli jawatankuasa Hindu mendirikan solat secara sembunyi-sembunyi walaupun dia seorang Hindu. Saya dan orang Hindu yang lain menganggapnya jahat dan kami semua ahli jawatankuasa bermuafakat untuk menghentikannya. Perkara yang paling jahat ada dalam hati saya. Saya telah berkali-kali membuat aduan bahawa dia bersalah dan melakukan suatu perbuatan yang bertentangan, namun dia tetap sahaja tidak mengambil peduli. Tetapi kami telah beriradah untuk menghentikannya, dan untuk menjayakan rancangan kami, banyak pelan-pelan yang telah dibuat. Dan waktu demi waktu keburukan ini dipersembahkan kepada orang yang berani itu. Walaupun dia sangat marah, namun boleh dipanggil, dan apabila datang ke hadapan, kemarahannya padam laksana api yang disiram air. Dengan penuh sopan dia berkata-kata seolah-olah tidak ada suatu kesalahan yang dia buat.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 46-49)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(25.03.2012)

Sunday, March 18, 2012

Nasihat Untuk Anak-anak Waqf-e-Nou


Nasihat Huzur Kepada Anak-anak Waqfe Nou Lelaki di Jerman - 8 Oktober 2011

Huzur berkata:-

Anak-anak yang tidak pergi ke Jamiah Ahmadiyah, selepas tamat belajar, mereka hendaklah menulis surat “kami telah selesai belajar, apa perintah untuk kami selanjutnya?”. Maka jemaat akan membuat keputusan tentang apa yang akan kamu lakukan seterusnya, atau akan mengatakan “kamu bekerja dahulu untuk beberapa tahun atau lanjutkan pelajaran, apabila jemaat memerlukan kamu, maka jemaat akan panggil”. Sebab itu, kamu hendaklah selalu ingat bahawa kamu itu tidak bebas. Maksud waqaf ialah selepas kamu belajar, maka kamu akan mempersembahkan diri untuk berkhidmat dalam jemaat. Selanjutnya jemaat yang menentukan sama ada kamu bertugas di Jerman, di Amerika Selatan, di Eropah, atau di Afrika. Mereka yang menjadi Jurutera harus pergi ke Amerika Selatan, membina masjid-masjid. Pergi ke pulau-pulau yang kurang Ahmadi, di sana buka sekolah, bina hospital. Doktor-doktor juga boleh dihantar ke sana.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah disiplin dalam menunaikan solat, disiplin dalam membaca Al-Qur’an, tilawat hendaklah dilakukan setiap hari.

Huzur berkata:-

Beri perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran supaya mendapat kerja yang baik.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah ada perbezaan dengan orang lain semasa berjalan di bandar-bandar. Jangan menjadi seperti mereka yang berjalan terus tanpa bertegur sapa. Mungkin di sini bukan perkara buruk, tetapi dalam masyarakat Islam, ia suatu yang tidak disukai.

Huzur berkata:-

Kamu harus ada ruh pengorbanan dalam diri. Jangan pernah berfikir untuk menuntut hak kamu, tetapi kamu hendaklah selalu berfikir untuk memberikan hak orang lain. Jika ruh seperti ini ada dalam diri kamu, maka kamu adalah Waqfe Nou yang Berjaya.

Huzur berkata:-

Kamu tidak seharusnya setakat menambahkan bilangan jumlah Waqfe Nou, tetapi harus mendapai tingkat yang sebenar di dalamnya.

Huzur berkata:-

Jika minat dalam Biologi dan mendapat markah yang bagus, ambil jurusan perubatan. Mereka yang minat dengan Fizik, Kimia atau Sains, mereka hendaklah melanjutkan pelajaran sehingga Ph.D dan masuk dalam lapangan penyelidikan.

Huzur berkata:-

Jemaat tidak ada rancangan untuk menjadikan seseorang sebagai Diplomatic Service.

Huzur berkata:-

Tanamkan ketakutan kepada Tuhan dalam hati, bulatkan dalam hati bahawa ‘saya hendak menjadi orang yang merendah diri’. Sikap itu boleh tercapai atas usaha sendiri.

Huzur berkata:-

Jika melakukan suatu kerja dan mengharapkan orang memujinya, itu akan menimbulkan sikap sombong. Sebab itu doakan untuk itu dan dirikan solat dengan teratur. Hindari kebiasaan meminta pujian dan meninggi diri. Kemudian, usahakan untuk menjadi orang yang merendah diri kerana hal itu boleh tercapai dengan usaha yang keras.

Soalan: Bagaimana melahirkan perasaan cinta kepada Allah Ta’ala? Huzur berkata:-

Mohon pertolongan Allah Ta’ala dalam solat kamu, banyakkan membaca doa yang pernah diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam; ALLAAHUMMA INNII AS’ALUKA HUBBAKA WA HUBBA MAIYUHIBBUKA WAL ‘AMALAL LAZII YUBALLIGHUNII HUBBAKA, ALLAAHUMMAJ ‘ALHUBBAKA AHABBA ILAIYA MIN NAFSII WA AHLII WA MINAL MAA’IL BAARID.

Huzur berkata:-

Jika ada rasa takut kepada Allah, maka kecintaan pun akan muncul. Allah Ta’ala berfirman; jika kamu maju kepada-Ku satu langkah, maka Aku akan maju dua langkah kepada kamu. Jika ada yang berjalan menuju kepada-Ku, maka Aku akan berlari menuju kepadanya.

Huzur berkata:-

Jika kecenderungan kepada dunia bertambah, sibuk dengan drama TV dan internet, maka solat akan dilalaikan, kemudian kecintaan kepada Tuhan akan berkurangan. Untuk mencapai kecintaan itu hendaklah sanggup mengorbankan keinginan-keinginan peribadi.

Huzur berkata:-

Untuk belajar bahasa Arab, di Mesir atau Syria yang bagus. Tetapi lihat keadaan semasa terlebih dahulu sebelum bertolak.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Dipetik dan diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Sumber: Al-Fazal International 06 Januari 2012 – 12 Januari 2012