Wednesday, March 14, 2012

Allah Bersama-sama Orang Bertakwa dan Berbuat Kebaikan



TERJEMAHAN
KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
03 FEBRUARI 2012 / 03 TABLIGH 1391HS
11 Rabiul Awal 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur meneruskan khutbah seperti berikut:-

INNAL LAAHA MA’AL LAZIINAT TAQAU WAL LAZIINA HUM MUHSINUUM (An-Nahal:129)

Terjemahan ayat ini ialah “sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Dalam Al-Qur’an, semua peraturan sangat menekankan soal ketakwaan dan memelihara diri”. (Aiyames Sulh, Rohani Khazain Jilid 14, halaman 342)

Jadi, takwa inilah asas yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Dalam ayat yang saya tilawatkan tadi seperti yang tuan-tuan dengar, terjemahannya juga telah saya bacakan, Allah Ta’ala berfirman INNAL LAAHA MA’AL LAZIINAT TAQAU (An-Nahal:129) sesungguhnya Allah Ta’ala bersama-sama dengan orang yang bertakwa. Pertama sekali dijelaskan bahawa Allah Ta’ala bersama-sama dengan mereka yang berjalan atas landasan yang benar, yang memandu mereka ke arah ketakwaan. Jadi, dengan ini jelas bahawa di dunia ini ada dua jenis insan. Pertama ialah mereka yang berjalan atas landasan takwa dan berbuat kebaikan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Mereka juga sentiasa berusaha untuk melakukan segala jenis kebaikan supaya mendapat keredhaan Allah Ta’ala, supaya mendapat kedekatan kepada Allah Ta’ala. Jenis insan yang kedua ialah walaupun mereka memperkatakan sesuatu yang baik dan melakukan sesuatu yang baik, tetapi Tuhan tidak ada di hadapan mereka, atau semasa melakukan suatu kebaikan, mereka itu tidak terfikir bahawa Tuhan sentiasa memerhatikan dan melihat mereka, menjaga mereka.

Dalam jenis yang kedua ini ada juga orang yang yakin kepada Tuhan atau sekurang-kurangnya mengakui bahawa Tuhan yang menciptakan langit dan bumi ini adalah satu. Tetapi, dalam melakukan sesuatu, mereka tidak terfikir mengenai Tuhan dan keredhaan Tuhan. Ada juga yang melakukan suatu kebaikan tetapi bukanlah tujuan mereka itu Allah redha atas mereka.

Dan yang kedua ialah mereka yang tidak pernah yakin kepada Tuhan sejak dari mula lagi, mereka tidak percaya akan kewujudan Allah Ta’ala. Mereka mengingkari kewujudan Allah Ta’ala. Berkenaan dengan dua jenis orang ini Allah Ta’ala menyatakan Aku tidak bersama mereka. Aku bersama dengan kelompok yang pertama, yang berjalan atas landasan ketakwaan.

Walaubagaimanapun, disebabkan sifat Rububiyat Allah Ta’ala, orang-orang yang tidak berjalan atas landasan ketakwaan juga diberikan beberapa nikmat sama seperti orang muttaqi, tetapi ia hanya nikmat duniawi sahaja. Misalnya cahaya matahari, udara. Berkenaan dengan ini, seorang muttaqi juga diberikan nikmat ini sebagaimana seorang yang tidak beragama. Demikian juga halnya bidang Sains dan hal-hal keduniaan yang lain seperti ilmu pengetahuan yang baru, rekaan baru dan sebagainya, mereka tetap akan berhasil jika memeras otak mereka untuk itu. Begitu juga para petani yang tidak beragama, mereka tetap mendapat hasil sekiranya berusaha seperti orang mukmin. Tidak kira muttaqi atau tidak, kedua-duanya akan tetap mendapat apa yang mereka usahakan.

Orang yang tidak berjalan pada landasan ketakwaan, orang yang tidak beriman kepada Tuhan, jika Allah Ta’ala tidak memberikan nikmat dari sifat Rububiyat dan Rahmaniyat-Nya, maka satu saat pun mereka tidak akan dapat hidup di dunia ini. Jadi, insan yang telah diciptakan oleh Allah di dunia ini, mereka diberikan dua jalan iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan. Tetapi, dalam beberapa urusan, orang yang melakukan kedua-duanya mendapat beberapa kurnia.

Apapun, hal ini jelas bahawa Allah Ta’ala meletakkan undang-undang kudrat pada setiap orang. Tetapi, saya juga hendak menjelaskan di sini bahawa untuk memperlihatkan penzahiran Kudrat Allah Ta’ala, dalam satu-satu keadaan ada kalanya beberapa kali, beberapa waktu usaha dari orang mukmin muttaqi lebih banyak berhasil daripada yang lain. Misalnya pengusaha tanah, walaupun tanaman itu kelihatan sama sahaja hasil tuaiannya, berkat doa menyebabkan mereka mendapat hasil yang lebih banyak.

Apabila Hazrat Muslih Mau’ud radiallaahu anhu membuka tanah di Sindh, untuk menjaganya beliau menghantar beberapa orang ke sana. Di kalangan mereka ada yang bernama Hazrat Maulvi Qudratullah Sahib. Satu kali, saya juga telah jelaskan bahawa satu kali Hazrat Muslih Mau’ud radiallaahu anhu membuat kunjungan. Melihat tanaman kapas, beliau bertanya kepada Hazrat Maulvi Sahib yang juga merupakan sahabi; berapa agaknya hasil yang boleh diperolehi daripadanya. Beliau memberitahu anggarannya, dan dia, Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib dan yang lain ada bersamanya, merasa anggaran itu salah. Perbualan berjalan sehingga dikatakan bahawa Hazrat Maulvi Sahib membuat anggaran yang agak tinggi. Hazrat Maulvi Sahib mendengar perbualan mereka, beliau berkata; Miya Sahib! Anggaran yang saya buat insyaAllah itu yang akan diperolehi kerana saya telah membuat nafal di setiap penjuru kebun. Saya sangat yakin bahawa dengan nafal saya, hasilnya akan lebih banyak. Akhirnya, anggaran itulah yang telah diperolehi. (Dipetik dari Sirat Ahmad, Hazrat Qudratullah Sahib Sanauri, halaman 2, cetakan Ziaul Islam Press Rabwah, 1962)

Inilah Allah Ta’ala yang menunjukkan bukti berkat daripada doa, hasil yang diperolehi lebih banyak daripada biasa walaupun cuaca yang sama, benih yang sama, proses dan sebagainya yang sama.

Dalam urusan duniawi juga, penyertaan Allah Ta’ala turut kelihatan. Tetapi, selain daripada dunia fizikal, mereka yang yakin kepada Allah Ta’ala, mereka yang beriman sepenuhnya kepada Allah, mereka ini juga mempunyai dunia rohani, yang mana kelazatan dan manfaatnya tidak dapat dilihat oleh orang dunia. Dasar berfikir mereka sangat tinggi, mereka berfikir menjangkaui dunia ini. Mereka beriman kepada yang ghaib. Mereka beriman kepada hari akhirat, mereka yakin sepenuhnya kepada janji Allah. Apabila mereka mengangkat tangan untuk berdoa, mereka akan melihat tanda-tanda pengabulannya. Pada zaman ini, cara untuk menghubungkan diri kepada Allah dengan cara yang betul telah diberikan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Ramai Ahmadi yang mempunyai pengalaman dalam berhubung dengan Allah Ta’ala, dalam mimpi, rukya, kasyaf dan sebagainya mereka diperlihatkan sesuatu oleh Allah Ta’ala. Kemudian, maksud kebersamaan dalam ayat ini juga ialah semua yang dijanjikan oleh Allah selepas mati, semuanya akan disempurnakan. Allah Ta’ala berfirman bahawa jika kamu kekal atas ketakwaan maka kamu akan dapat nikmat duniawi dan juga nikmat akhirat. Jadi, ini adalah janji Allah bahawa apabila ada seorang muttaqi melakukan sesuatu untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala, maka dia akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Sebagaimana yang telah saya katakan sebelumnya, muttaqi sentiasa melakukan amal soleh semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Perkara ini sangat perlu bahawa seorang yang beramal soleh semata-mata kerana Allah Ta’ala, mereka itulah yang berjalan atas landasan ketakwaan. Ada juga orang lain yang melakukan kebaikan, tetapi mereka melakukannya bukan kerana Allah. Mereka melakukannya bukan untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam memberi takrif tentang muttaqi yang antaranya perlu untuk menghindari setiap dosa besar mahupun kecil, bukan hanya perlu menghindarkan diri dari keburukan, malah amat perlu untuk memajukan diri dalam akhlak dan kebaikan-kebaikan. Kemudian perlu juga menjalinkan hubungan setia kepada Allah dengan cara yang sebenar-benarnya. Jika hal ini ada, maka orang berkenaan layak dianggap sebagai muttaqi. Apa yang dimaksudkan dengan kesetiaan yang sebenar? Maksudnya ialah berusaha menyempurnakan hak ibadat dengan sempurna, dan sedapat yang mungkin berusaha untuk mengamalkan segala perintah-perintah Allah, apabila hal ini wujud maka Allah Ta’ala menjelaskan lebih lanjut mengenai ketakwaan dalam ayat ini.

Firman-Nya: WALLAZIINA HUM MUHSINUUN. Maksud muhsin ialah memberi kurnia atas seseorang. Tanpa suatu usaha dilakukan, mereka diberikan kurnia atau berbuat baik dengan orang lain. Orang yang memberi kurnia seperti itu disebut muhsin. Kemudian, maksud muhsin juga adalah insan melakukan sesuatu pekerjaan dengan sesempurna yang mungkin, melakukan suatu tugas dengan sebaik-baiknya sama ada dari segi menuntut ilmu atau menyelesaikan suatu pekerjaan. Boleh dikatakan bahawa muhsin ini ada dua kategori. Satu daripadanya ialah mereka yang simpati kepada orang lain lalu mengkhidmati mereka setiap masa tanpa mengira agama atau firqah, tanpa peduli siapa atau orang mana. Dalam fikiran hanya ‘kami mengkhidmati manusia’. Dan kemudian, jika ada waktu mereka akan berusaha meringankan beban orang lain.

Jadi, kewajipan setiap Ahmadi ialah berdasarkan kepada semangat ini, mereka harus mengkhidmati manusia. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala, ramai Ahmadi yang sedang melakukan khidmat ini. Memang mereka itu muhsin, tetapi mereka bukan berniat untuk menginginkan kebaikan orang lain sebab itu bukan muhsin lagi namanya. Ini kerana, jika telah memenangi kebaikan orang lain, maka tidak akan muncul akhlak atau ketakwaan. Takwa hanya terjadi jika melakukan ihsan tanpa menginginkan ihsan orang lain.

Saya berikan contohnya. Kita ada ramai jurutera, ada ramai doktor atau kita ada pemuda-pemuda dari jabatan lain, apabila ada sukarela pergi ke Afrika yang mana banyak projek dimulakan di sana, mereka pergi ke sana. Sebagai contoh memasang handpump untuk orang-orang tempatan yang tidak ada kemudahan. Berusaha memasang kemudahan elektrik. Membina sekolah untuk mereka supaya mudah untuk mendapatkan ilmu. Membina hospital dan klinik untuk kemudahan rawatan. Kemudian, doktor dan guru-guru kita datang berkhidmat di sana beberapa tahun walaupun keadaan memang tidak sempurna. Ada juga beberapa tempat di mana tidak ada kemudahan elektrik, tidak ada air, tetapi tetap juga datang ke sana untuk berkhidmat. Inilah orang-orang yang tergolong dalam kategori muhsin, inilah khidmat dan amalan baik yang bukan atas menginginkan suatu ganjaran, malah mereka hanya semata-mata takwa dalam hati kepada Allah Ta’ala, dan semata-mata untuk khidmat insaniat.

Demikian juga di berbagai dunia yang dilanda gempa bumi dan taufan, doktor dan sukarela kita juga datang ke sana. Mereka berkhidmat di bawah Humanity First dan mereka pergi bukan kerana tamakkan suatu keuntungan tetapi mereka pergi hanya semata-mata mencari redha Allah Ta’ala. Memang ramai yang pergi ke sana tetapi bukan kerana Allah Ta’ala. Jadi, orang yang berkhidmat, yang berbuat kebaikan, yang menggunakan ilmu pengetahuan mereka untuk memberikan faedah kepada orang lain dan hanya semata-mata kerana redha Allah Ta’ala, mereka inilah muttaqi dan juga muhsin.

Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa saya telah sampaikan dalam satu khutbah, Jurutera Ahmadi di Burkina Faso telah membina satu Model Village di mana ada kemudahan air dan elektrik. Ada Foot Path, Street Light, dan Community Centre yang diperlukan oleh orang setempat. Demikian juga ada Green House yang kecil yang mana di dalamnya diusahakan sayur dan sebagainya yang membekalkan kepada orang setempat. Kemudian menyediakan air untuk saliran, dan hand pump di berbagai tempat. Apabila semua telah sempurna, maka kelihatan wajah-wajah orang kampung yang sangat gembira. Apabila gambar di bawah ke sini, nampak dengan jelas bahawa usaha mereka bukan kecil. Walaupun pada kita mungkin perkara biasa, tetapi bagi mereka ia satu perkara yang sangat luar biasa, itu jelas kelihatan pada wajah mereka. Selama ini anak-anak lapan sepuluh tahun berjalan menatang baldi di atas kepala sejauh 5 batu, ia satu nikmat untuk mereka, dapat juga minum air yang bersih di rumah. Semua pekerjaan ini bukan untuk meminta suatu ganjaran, malah pemuda dan jurutera kita kembali lalu mengucapkan rasa syukur kerana memberi peluang kepada mereka dan berjanji insyaAllah, mereka akan pergi lagi pada masa akan datang.

InsyaAllah tahun ini ada lima model village yang akan dibangun di berbagai negara. Sub organisasi di berbagai negara seperti Ansharullah di Amerika, UK dan lain-lain mengambil tanggungjawab untuk perbelanjaannya. Demikian juga Humanity First telah mengambil sedikit bahagian di dalamnya. Dari Jerman juga mengambil bahagian. Jadi, semua semangat berkhidmat seperti ini akan menjadikan mereka termasuk dalam orang-orang muhsin. Demikian juga mereka yang memberikan dana untuk khidmat ini juga termasuk dalam muhsin. Seorang Ahmadi yang telah beriman kepada imam zaman, yang telah berjanji untuk berjalan atas landasan takwa, dia juga akan berusaha sedapat yang mungkin untuk mencapai tingkat ketakwaan, dan berusaha termasuk dalam orang-orang muhsin, maka Allah Ta’ala berfirman ‘Aku bersama dengan orang-orang seperti itu dan sentiasa bersama-sama dengan mereka’.

Pemuda kita seperti yang saya katakan bahawa apabila mereka balik, mereka sendiri menjelaskan bahawa dalam pekerjaan kami ada beberapa waktu menghadapi kesulitan dan bagaimana Allah Ta’ala memperlihatkan penzahiran kudrat-Nya, tanpa diketahui kesulitan itu dapat selesai dengan sendirinya, dan berkata kami semakin yakin akan kewujudan Allah Ta’ala.

Sebagaimana yang telah saya katakan juga bahawa maksud daripada mushin ialah memikirkan keadaan diri dan berusaha melengkapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan, dan ini adalah ihsan atas diri sendiri. Amalan soleh dijadikan sebagai bahagian kehidupan dan kemudian memajukan diri di dalamnya. Dengan ilmu yang ada, diri sendiri mendapat faedah dan juga dapat memberi manfaat kepada orang lain. Semakin tinggi ilmu pengetahuan yang ada, maka usaha untuk memberikan manfaat kepada orang lain juga akan bertambah. Dengan itu dia akan mendapat satu lagi anak tangga untuk menjadi muhsin. Langkahnya akan semakin maju. Jalan-jalan baru akan muncul dan semakin meningkat dalam kerohanian dan akhlak. Dan apabila rohani dan akhlak ini semakin maju, maka jalan-jalan yang mana Allah akan bersama menjadi terbuka. Kedekatan kepada Allah Ta’ala semakin bertambah. Pengetahuan mengenai sifat Tuhan akan bertambah, ketakwaan akan bertambah.

Seolah-olah seperti satu roda, satu bulatan yang berpusing mengelilingi kebaikan-kebaikan, membawa sehingga mencapai darjat ketakwaan yang tinggi, sehingga sampai kepada Allah Ta’ala, kemudian akan mendapat hidayat menuju kepada Allah. Kemudian cenderung untuk melakukan lebih banyak kebaikan, dengan itu nanti akan lebih membuka makrifat mengenai hak-hak Allah dan hak-hak hamba. Jadi, inilah ihsan, inilah muhsin yang diinginkan oleh Allah dari hamba-Nya. Mereka yang menginginkan suatu kebaikan bukanlah muhsin, malah mereka itu sanggup berkorban untuk orang lain, sanggup menanggung kesusahan untuk orang lain, meninggalkan hak-hak sendiri, dan berjalan atas dasar ini iaitu jangan hanya cenderung memikirkan hak-hak peribadi malah beri perhatian dalam menyempurnakan hak-hak orang lain.

Kebanyakannya, di hadapan orang ghair, pemimpin mana pun saya jumpa, atau beberapa orang dunia yang mengkritik Islam, atau mereka yang tidak tahu dengan mendalam mengenai ajaran Islam, saya selalu mengatakan hal ini di hadapan mereka bahawa orang-orang dunia menekankan hal ini iaitu ‘sempurnakan hak-hak kami’, kemudian menyatakan tentang hak-hak mereka, dan apa sahaja yang perlu dilakukan untuk menegakkan hak-hak mereka, akan dilakukan. Akibatnya, orang yang menuntut hak-hak tidak akan berlaku adil dan takwa, dan tidak juga orang yang memberikan hak-hak mereka akan berlaku adil atau takwa. Di antara mereka ada juga orang Islam dan bukan Islam. Akibatnya ialah kerosakan berlaku. Sedangkan Islam mengajarkan dan orang Islam diperintahkan agar beramal atas dasar keadilan dan ketakwaan ini, dan jika mereka mengamalkannya, siapa pun yang memerintah, atau negara mana pun, sekurang-kurangnya tidak berlaku kerosakan di negara-negara Islam.

Islam mengajarkan agar menyempurnakan hak orang lain. Sebelum itu, sempurnakan dahulu hak orang yang menuntut, malah berbuat baiklah kepada mereka dan kekalkan perikemanusiaan, masuklah ke dalam golongan orang-orang muhsin. Berikan mereka lebih dari yang sepatutnya. Misalnya dalam pekerjaan, untuk orang bawahan dikatakan di dalam hadis ‘apa yang kamu pakai, pakaikan juga kepada orang bawahan kamu, apa yang kamu makan, berikan juga makanan itu kepada mereka”. (Bukhari Kitabul Atiq, Baab Qoulun Nabi sallallaahu alaihi wasallam Al’abiidu Ikhwaanikum Fa’at imuuhum Mimmaa Ta’kuluun, Hadis 2545)

Jika ajaran ini dilihat secara meluas di dunia ini, maka tidak akan wujud di kalangan orang awam yang hidup kebuluran. Hak-hak mereka tidak akan diabaikan. Mereka tidak akan kekurangan pakaian. Di dalam TV diperlihatkan kehidupan di negara-negara Afrika, anak-anak hidup dalam kebuluran. Disebabkan kekurangan makanan, mereka tidak mendapat zat makanan yang seimbang untuk hidup sihat. Mereka ‘malnourished’ (kekuarangan zat makanan). Ibu kelaparan sehingga tidak dapat memberikan susu kepada anaknya. Jika fikiran untuk merampas suatu sarana dibuang dan cenderung ke arah menyempurnakan hak-hak, mereka menjadi muhsin dan berusaha memberikan manfaat kepada orang lain, mengajarkan orang miskin agar dapat berdikari, maka masalah-masalah dunia sekarang ini akan hilang dengan sendirinya. Jika pemerintah negara-negara Islam cenderung ke arah ini, dan pemimpin memikirkan keperluan orang awam sebagai ganti mengumpul harta untuk diri sendiri, berusaha menjadi muhsin, berjalan atas landasan ketakwaan, maka dengan ajaran yang cantik ini, kerisauan dan kemiskinan di negara-negara Islam akan berakhir. Namun, amat malang sekali kerana yang paling banyak melakukan perkara ini ialah negara-negara Islam, manakala bangsa lain mengambil faedah dari mereka. Sebab itu, apabila saya berjumpa dengan orang-orang ini, selalu saya jelaskan bahawa jika kamu bekerja dengan jujur dan adil, masalah-masalah di dunia ini akan selesai dengan sendirinya. Kebanyakan mereka selalu mengatakan bahawa sebenarnya Islam adalah ajaran yang cantik. Tetapi, apabila mereka balik ke tempat atau majlis mereka, maka mereka hanya memikirkan untuk diri sendiri sahaja, yakni perlumbaan manfaat negara dan bangsa akan bermula. Manfaat dunia memang perlu jika mereka memang berdiri atas keadilan, tetapi tidak merampas hak orang lain, kemudian beramal di atasnya. Dan jelas bahawa insan pertama sekali akan melihat diri sendiri, demikian juga tanggungjawab negara, mereka akan menjaga diri sendiri, tetapi untuk merampas harta orang lain mengatasnamakan kepentingan negara sendiri adalah tidak betul. Merampas hak orang lain mengatasnamakan hak sendiri adalah usaha yang tidak betul. Semua ini memperlihatkan sikap mementingkan diri sendiri, atau sikap seperti inilah yang akan menimbulkan huru-hara dan kerosakan.

Apapun, pekerjaan setiap Ahmadi ialah berjalan atas landasan takwa, menjadi muhsin dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Berusaha agar Allah Ta’ala bersama mereka, inilah antara cara yang boleh memperbaiki diri dan juga mengurangkan kerosakan di dalam masyarakat. Kita hendaklah berusaha menjadi SIBGHATALLAH, iaitu berusaha menjadikan sifat-sifat Allah ada dalam diri. Sentiasa bersedia untuk menyempurnakan hak-hak hamba, maka segala nikmat-nikmat di dunia ini akan menjadi khadim bagi kita. Dalam kehidupan kita, benda-benda dunia ini akan berada di bawah dan kemudian, apabila kita melakukan semata-mata kerana Allah, ketakwaan akan meningkat. Jadi, dari sudut manapun kita lihat, keredhaan Allah Ta’ala hendaklah berada di sekitar kita. Allah Ta’ala berfirman BALAA – MAN ASLAMA WAJHAHUU LILLAAHI WAHUWA MUHSINUN FALAHUU AJRUHUU ‘INDA ROBBIHII WALAA KHOUFUN ‘ALAIHIM WALAAHUM YAHZANUUN (Al-Baqarah:113) Mengapa tidak, barangsiapa menyerahkan dirinya kepada Allah dan ia berbuat kebaikan, maka bagi dia ada ganjarannya di sisi Tuhan-nya. Dan, tak akan ada ketakutan menimpa mereka dan tidak pula mereka akan bersedih.

Jadi, Allah Ta’ala berfirman bahawa apabila zat-Ku menjadi tumpuan kamu, apabila kamu hanya berpusing di sekitar-Ku, maka kamu akan berhasil mendapat keredhaan-Ku. Secara keseluruhannya, apabila seorang mukmin atau muttaqi menyerahkan diri kepada Allah Ta’ala, maka Tuhan sendiri yang akan menjadi pelengkap baginya. Semua kesedihannya akan hilang. Segala ketakutan dan kerisauan tidak lagi bermakna untuknya. Apabila manusia menyerahkan segalanya kepada Allah dan tunduk dengan ikhlas, menjadi muhsin dan melakukan khidmat insaniat dengan sepenuh hatinya, apalagi kesedihan dan ketakutan yang ada padanya? Dua pekerjaan ini akan memandunya ke arah mengenal ketakwaan yang hakiki. Hamba akan datang ke pangkuan Tuhan.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Untuk menjadi muttaqi, selepas benar-benar menjauhi perkara-perkara yang besar seperti zina, mencuri, merampas hak, riak, sombong, memandang hina, bakhil dan sebagainya, maka dengan menjauhi akhlak razilah lalu maju dalam akhlak fadilah, cinta dengan orang, pengasih, dan berperikemanusiaan. Memperlihatkan kepada Allah Ta’ala kesetiaan dan siddiq yang sebenar. Berusaha mencapai maqaame mahmuud dalam berkhidmat. Dengan perkara ini insan layak disebut muttaqi. Dan orang yang mempunyai segala ciri-ciri ini adalah muttaqi yang sebenar (yakni jika hanya mempunyai salah satu ciri sahaja belum melayakkan dirinya disebut muttaqi). Orang-orang seperti inilah yang dikatakan oleh Allah Ta’ala LAA KHOUFUN ‘ALAIHIM WALAA HUM YAHZANUUN (Al-Baqarah:63), apa lagi yang dia perlukan selepas itu. Allah Ta’ala berfirman WAHUWA YATAWALLAS SHOOLIHIIN (Al-A’raf:197) yakni Allah Ta’ala menjadi wali kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.

Bersabda:-
“Di dalam hadis syarif ada dinyatakan bahawa Allah Ta’ala akan menjadi tangannya dengan itu dia memegang, menjadi matanya dengan itu dia melihat, menjadi telinganya dengan itu dia mendengar, menjadi kakinya dengan itu dia berjalan. Dan di dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa mereka yang menjadi musuh kepada wali-Ku, maka Aku berkata: bersedialah untuk berperang dengan-Ku. Di tempat lain dikatakan bahawa apabila ada yang menyerang wali Tuhan, maka Tuhan akan segera datang kepadanya laksana singa betina yang segera datang apabila mendapati anaknya hendak ditangkap”. (Malfoozaat Jilid 2, halaman 680-681, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Jadi, sangat beruntung mereka yang menjadi wali Allah. Dan mereka yang menjadi wali Allah Ta’ala, kesedihan dan ketakutan mereka akan hilang serta merta. Selepas itu, mereka akan cenderung untuk memberi perhatian terhadap amal soleh. Jika sebelumnya ada yang berperangai buruk, semuanya akan diampunkan. Insan seharusnya takut akan masa-masa mendatang. Misalnya di sini ramai yang Asylum Seekers. Disebabkan ketakutan, mereka berusaha mengurangkan berat badan berkilo-kilo. Di wajah mereka kelihatan sangat ketara. Ada yang risau tentang perniagaan mereka, para pelajar risau akan peperiksaan mereka. Ringkasnya, insan merasa risau tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang, dan hal ini tidak akan selesai selagi kerisauan mereka belum dapat dipastikan. Demikian juga tentang kesedihan, semakin banyak punca insan bersedih, maka kesedihannya itu semakin ketara. Orang-orang dunia merasa sedih akan kerugian dalam perniagaan mereka sehingga menjadi murung, ada orang yang bermasalah mental terus duduk terus-menerus, ada yang diserang sakit jantung sehingga lumpuh atau meninggal dunia. Namun, bagi seorang mukmin dan orang yang berbuat kebaikan, Allah Ta’ala berfirman bahawa mereka itu tidak akan ada kesedihan dan ketakutan. Seorang insan yang kuat agama, yang mengetahui dengan sebenar-benarnya akan sifat-sifat Allah Ta’ala dan berusaha untuk beramal sesuai dengannya, dia tidak akan pernah menjadikan kesedihan dunia sebagai sandaran. Memang ketakutan dan kesedihan akan dihadapi oleh orang-orang yang soleh, tetapi mereka tidak bersedih untuk dunia, mereka hanya bersedih kerana Allah Ta’ala. Jika takut, mereka hanya takut Allah Ta’ala murka atas mereka. Ini jelas sebagaimana dalam syair Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam: ISII FIKER MEIN REHTE HEIN ROOZOSYAB, KEH RAAZI WOH DILDAAR HOTA HE KAB (hanyut dalam memikirkan hal ini siang dan malam, bila agaknya Kekasih itu akan gembira) (Nisyaane Asmaani, Rohani Khazain, Jilid 4, halaman 410)

Jadi, sentiasa risau dan takut dalam menjadikan kekasihnya redha. Dan ketakutan ini menjadikannya cenderung untuk berdoa dan zikir Ilahi, dan suara ALAA BIZIKRIL LAAHI TATHMA’INNUL QULUUBU (Ar-Ra’ad:29) dapat memberi ketenteraman kepadanya. Hanya dengan zikir kepada Allah sahaja menjadi penawar kepadanya, yang juga dapat menjauhi kesedihannya dan menghilangkan rasa ketakutan pada masa akan datang. Ketakutan yang ada dalam diri orang bertakwa adalah ketakutan cinta. Maksud takwa di sini juga ialah suatu ketakutan atau ketidaktenteraman dalam usaha mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Jadi, ketidaktenteraman ini menjadikan hati semakin kuat, ia juga menjadikannya berhasil mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Ketidaktenteraman orang duniawi bertentangan dengan itu, ia boleh menyerang jantung. Orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala, orang yang termasuk dalam golongan muhsin, mereka yang cenderung menyempurnakan hak-hak Allah dan hamba, mereka yang menjaga amalan, akhir sekali mereka menjadi orang yang mendapat kurnia Allah Ta’ala. Jadi, inilah perbezaan antara orang dunia dan orang berpegang pada agama.

Jadi, setiap Ahmadi perlu membuat perubahan dalam diri yang boleh menjadikan kamu berjalan atas landasan ketakwaan dan dapat dimasukkan ke dalam golongan orang-orang muhsin, supaya mendapat kedekatan kepada Allah Ta’ala, yang menjauhkan kita dari ketakutan dunia dan akhirat. Jika memang ada kesedihan kita, ia seharusnya yang boleh menanamkan kecintaan dalam hati kepada Allah. Maka, dengan itu nanti kurnia Allah Ta’ala akan ditambahkan. Apabila kita menjadi orang berhasil menarik kecintaan Allah, maka sesungguhnya Dia akan bersama-sama dengan kita, dan apabila Allah Ta’ala melihat bahawa ‘hamba-Ku telah menjadi muhsin dan berusaha mengamalkan sifat-sifat-Ku semata-mata kerana Aku, kenapa Aku tidak hujani mereka dengan kurnia-kurnia’. Jika Allah Ta’ala hendak memberi, boleh sahaja berkali-kali ganda. Jadi, apabila Allah Ta’ala sudah memberi, maka bukan sahaja kerisauan dunia akan hilang malah untuk mengurus ihsan dan kurnia pula yang menjadi susah.

Dalam menegaskan ke arah ketakwaan terhadap mukmin yang hakiki, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Jahiliyat tidak dapat berkumpul bersama-sama dengan takwa yang hakiki. Takwa yang hakiki mempunyai nur yang tersendiri sebagaimana firman Allah Ta’ala YAA AIYUHAL LAZIINA AAMANUU INTATTAQUL LAAHA YAJ’AL LAKUM FURQAANAU WA YUKAFFIR ‘ANKUM SAIYI AATIKUM (Al-Anfal:30) WAYAJ’AL LAKUM NUURAN TAMSYUUNA BIHII (Al-Hadid:29)” yakni Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar ketakwaan, Dia akan mengadakan bagimu suatu pembeza di antara kamu dengan orang lain. Dan perbezaan itu ialah kamu akan diberikan nur yang dengannya kamu akan berjalan, yakni nur itu akan muncul dalam semua perbuatan, ucapan, kekuatan dan pemikiran kamu. Akal kamu juga akan ada nur. Dalam satu bahan fikiran kamu juga ada nur, dalam mata kamu juga akan ada nur. Di telinga kamu ada nur, di lidah kamu ada nur, di dalam ucapan kamu ada nur, dalam setiap gerak dan diam kamu ada nur. Dan di atas jalan yang kamu lalui, semuanya jalan-jalan itu manjadi nurani (bercahaya). Ringkasnya, semua jalan-jalan kamu, jalan kekuatan kamu, jalan pemikiran kamu, semuanya akan dipenuhi dengan nur, dan dari kepala sehingga kaki, hanya nur yang kelihatan”. (Ainah Kamalat Islam, Rohani Khazain, Jilid 5, halaman 177-178)

Jadi, apabila seorang hamba Allah datang dalam keadaan seperti itu atau berusaha untuk datang, maka Allah Ta’ala akan menangkap musuh-musuhnya. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kita kedudukan ini, dengan itu kita mendapat kurnia dan juga dapat menyampaikan kurnia ini, dan juga sentiasa terselamat dari para penentang. Semoga kejahatan musuh kembali menimpa mereka sendiri. Dan apabila keadaan ini sudah berlaku, di mana kita telah menjadi orang yang menarik kecintaan Allah Ta’ala, tenggelam dalam mengkhidmati insaniat, menjadi orang yang menyebarkan amanat Islam ke seluruh dunia, maka di sana insyaAllah kita akan melihat musuh-musuh Ahmadiyah akan dicengkam. Semoga Allah Ta’ala mengabulkan doa-doa kita dan memberi taufik untuk mencapai tingkatan ini.

Hari ini juga saya akan memimpin satu solat Jenazah Ghaib Mukarram Doktor Muhammad Amir Sahib Dispenser. Berasal dari Harnai, Baluchistan. Pada awal Disember 2011, apabila dia masuk klinik, ada orang yang tidak dikenali telah menembaknya sehingga syahid. Berita kesyahidan beliau sangat lewat diterima kerana jemaat di sana tidak ada. Isterinya bekerja di Hospital Harnai. Dia masuk dalam jemaat di Qaid Abad daerah Khusyab. Beliau sendiri jemaat dalam keluarganya. Dalam keluarga beliau ada satu pertubuhan yang sangat memusuhi jemaat dan mereka tidak sanggup melihat ada ahli keluarga mereka yang bai’at ke dalam Jemaat Ahmadiyah. Mungkin ini juga satu sebab kejadian itu. Keluarga ini berasal dari Muzaffar Garh. Pada tahun 1994 beliau telah bai’at. Pada tahun 1998 beliau berkahwin. Beliau meninggalkan dua orang anak yang masih kecil. Seorang yang berfitrat baik dan mukhlis. Semoga Allah memberi keampunan ke atas marhum, ditinggikan darjat dan dimasukkan ke dalam syurga keredhaan-Nya. Dan juga semoga yang ditinggalkan diberi kesabaran yang tinggi.


>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
14.03.2012

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...