Sunday, August 19, 2012

Menyambut Kegembiraan Yang Hakiki


(Dipetik dari khutbah Eidul Fitri 2011, Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis)

Tasyahud, Ta’awudz, Surah Al-Fatihah dan Surah Ha Mim Sajadah ayat 31 serta terjemahan seperti berikut:-

 Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka istiqamah, turun kepada mereka malaikat-malaikat, “janganlah kamu takut, dan jangan pula bersedih; dan berilah khabar suka tentang syurga yang telah dijanjikan kepadamu”.

Dalam kehidupan insan, masa kegembiraan dan berduka selalu datang silih berganti. Kegembiraan dan dukacita ini kadang-kadang berlaku secara peribadi. Di dalam rumah juga keadaan ini boleh berlaku. Dalam kehidupan keluarga juga hal ini datang dan pergi, di peringkat negara dan kaum juga pasti akan berhadapan dengan situasi ini.

Namun, gambaran kegembiraan dan kesedihan dalam kehidupan seorang mukmin adalah berlainan. Mereka akan gembira apabila meningkat dalam ketakwaan. Sebab-sebab mereka bergembira dan bersedih juga ada pelbagai. Pandangan mereka lebih tertumpu kepada soal kemajuan agama dan rohani serta keredhaan dan kemurkaan Allah Ta’ala. Punca kegembiraan dan kesedihan agama dan rohani mereka juga disebabkan oleh anak-anak, sekiranya anak-anak meningkat dalam kerohanian maka ibu bapa, keluarga terdekat dan khalifah waqt juga turut merasa bergembira. Tetapi, jika melihat kemerosotan dalam kerohanian, maka kesedihan jelas kelihatan dalam diri orang-orang berkenaan.

Ada surat kepada Huzur dari ibu bapa menzahirkan kesedihan mereka mengenai anak-anak. Ada juga suami isteri yang menulis surat kepada Huzur mengenai masalah mereka. Apabila dilihat bahawa mereka semakin lemah dalam soal kerohanian, ketidaksenangan harus dizahirkan dan kadang-kadang terpaksa mengumumkan supaya mereka dipulaukan. Tetapi, dalam penzahiran seperti itu memang jelas diselubungi rasa sedih yang amat sangat.

Apabila seorang Ahmadi diberikan hukuman seperti itu, maka mereka akan mula menyedari kesilapan sendiri. Setiap kali mata terbuka, mereka juga akan bersedih. Kemudian mereka menzahirkan rasa sedih mereka umpama ikan yang dikeluarkan dari air, begitu meronta-ronta sehingga mereka menulis surat mohon dimaafkan. Setiap Ahmadi harus mempunyai rasa takut demikian kepada Allah dalam hati masing-masing. Kemudian, apabila permohonan maaf mereka diterima, terpancar kegembiraan pada wajah mereka laksana kegembiraan hari raya.

Untuk orang dunia, kegembiraan mereka dizahirkan melalui berseronok dan bermain-main. Manakala seorang mukmin, mereka bergembira apabila ada perasaan takut dan menginginkan ganjaran daripada Allah. Dan kegembiraan ini akan menjadi sarana kemajuan dunia dan akhirat. Untuk seorang Ahmadi pula, kegembiraan mereka yang sebenar ialah dapat menghubungkan diri dengan Nizam Jemaat.

Walaubagaimanapun, bergabung dalam jemaat bukan hanya sekadar bai’at lalu nama mereka termasuk dalam senarai orang-orang Ahmadi. Untuk Eid yang hakiki, setiap hari akan menjadi Eid apabila meningkat dalam hubungan dengan agama dan Allah Ta’ala, serta cenderung ke arah taubat yaang hakiki. Jika taubat seperti itu muncul, maka dia akan mengalami kegembiraan yang kekal.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda bahawa kegembiraan sebenar dan hari Eid bagi seorang insan ialah hari di mana dia bertaubat. Banyak hari-hari dalam ajaran agama yang ditetapkan sebagai hari bergembira, sehingga diletakkan berbagai-bagai berkat pada hari berkenaan. Sebagai contoh hari Jumaat dan hari Eid. Tetapi, ada satu hari yang lebih baik daripada itu semua, ia tidak perlu ditunggu, tidak perlu dicari, dan tidak juga diceritakan tentang keistimewaannya.

Sangat berberkat dan sangat memberi kegembiraan, dan ia lebih besar dari hari Jumaat dan hari-hari Eid, dan hari itu ialah hari di mana seorang insan bertaubat. Ini kerana pada hari itu, buku amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Jahannam akan dihapuskan. Buku amalan itu akan dibersihkan dan insan akan dijauhkan dari Jahannam buat selamanya. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala dia akan diselamatkan dari Jahannam dan juga azab. Oleh sebab itu, orang itu sangat beruntung sekiranya mendapat hari yang dimaksudkan.

Bagaimana taubat ini seharusnya dilakukan? Taubat yang hendak dilakukan itu hendaklah dengan penuh keikhlasan. Maksud daripada taubat itu ialah rujuk atau kembali, dan hal ini bukan hanya sekadar di mulut sahaja, tetapi hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan disertai dengan amalan. Maksud daripada rujuk juga ialah seorang insan telah dipengaruhi oleh fikiran-fikiran syaitan sehingga jauh daripada Tuhan. Sekiranya insan mendapat keselamatan daripada gangguan syaitan lalu cenderung kepada Tuhan, di samping itu juga bertaubat secara berterusan, yakni merapatkan diri kepada Tuhan dan terselamat daripada syaitan, maka inilah yang dinamakan taubat yang hakiki. Maknanya, taubat itu ialah dia semakin dekat kepada Tuhan dan semakin jauh daripada syaitan. Dan taubat seperti inilah yang boleh membersihkan seseorang dari kotoran dan dosa-dosa.

Kemurkaan Tuhan adalah kesedihan yang sebenar, manakala keredhaan Tuhan adalah eid atau kegembiraan yang hakiki. Dan taubat yang hakiki sahaja yang boleh menjadikan insan dikasihi oleh Tuhan, akan dijauhkan dari dosa-dosa dan menjadi pewaris kebaikan-kebaikan. Untuk mendapatkan kecintaan Tuhan, insan perlu membenci amalan-amalan yang tidak disukai oleh Tuhan. Selepas itu insan perlu melakukan amalan-amalan yang disukai oleh Tuhan. Mereka sentiasa mencari apa yang diperintahkan untuk diamalkan, dan apa yang dilarang untuk dihindari supaya Tuhan tidak menjadi murka.

Kemudian, untuk menggandakan lagi kegembiraan ini adalah sangat perlu untuk terus melakukan kebaikan-kebaikan. Dan dengan pemahaman yang ada tentang Rabbunallah, maka ia hendaklah terus dilaungkan dan terus berusaha menjadi hamba yang hakiki. Maksudnya, diri hendaklah terus berada di atas landasan petunjuk, dan dia juga haruslah mengetahui bahawa jauh daripada Tuhan adalah satu kesedihan dan jangan hendaknya ada suatu benda yang memesongkan dirinya dari jalan Tuhan.

Jangan pernah memperlihatkan sifat lemah, akan tetapi berusahalah untuk terus berjalan pada landasan Allah Ta’ala. Dan teruskan berdoa agar sentiasa berada dalam lipatan selimut kasih sayang Allah Ta’ala.

Kita juga hendaklah mencari keredhaan Allah Ta’ala dalam qoul dan fi’il kita, dalam ucapan dan perbuatan kita. Segala kekuatan kita hendaklah merujuk kepada Allah Ta’ala. Setiap amalan kebaikan hendaklah dilakukan, dan setiap jenis keburukan hendaklah dihindari, kemudian beristighfar dari dasar lubuk hati yang paling dalam. Istighfar inilah yang merupakan Eid yang hakiki. Ini jugalah yang boleh mengekalkan hubungan dengan Tuhan. Kemudian laungan ini keluar dari mulut secara benar bahawa Tuhan kami adalah Allah, dengan laungan ini maka dalam hati harus ada perasaan benci terhadap dosa dan cenderung melakukan kebaikan-kebaikan. Inilah Eid yang hakiki, yakni kegembiraan yang sebenar.

Allah Ta’ala hendaklah diutamakan dengan bersungguh-sungguh. Lafaz Allah adalah nama yang agung (isim a’zam) dan harus tunduk kepada Tuhan dengan segenap kekuatan. Juga hendaklah berusaha mendapatkan keredhaan Tuhan, dan beramal atas perintah Tuhan adalah istiqomah seorang hamba, dan istiqomah ini juga adalah nama yang agung (isim a’zam). Dengan penyatuan kedua-dua isim a’zam ini, hubungan dengan Tuhan akan semakin kuat, dan selepas itu akan lahir kelazatan dan keseronokan dalam berdoa.

Dalam bulan Ramadhan Mubarak ini ramai orang yang telah mendapat kefahaman mengenai istilah Rabbunallah (Tuhan kami adalah Allah) dan mungkin juga mendapat nasib dalam khabar gembira dari lafaz Ud’uuni Astajib Lakum (mintalah, Aku akan memperkenankannya). Bulan ini berlalu dengan berkat-berkatnya. Sesiapa yang meminta, mereka telah mendapatkannya. Tetapi, ada juga yang ketinggalan disebabkan oleh kelemahan dan kesilapan mereka. Untuk mereka ini tidak perlu menzahirkan kekecewaan kerana pintu kurnia belum tertutup.

Rahmat Tuhan itu sangat luas meliputi segala-galanya. Pintu untuk mendapatkan kebaikan dari Tuhan tidak akan tertutup. Mereka yang mencari qurub (kedekatan) Tuhan melalui ibadat dan nawafil secara istiqomah, dan disertai dengan pengertian Rabbunallah yang benar, maka mereka hendaklah ingat bahawa Tuhan ada menyatakan: Mereka yang takut akan kedudukan Tuhan, ada dua jannat untuk mereka iaitu di dunia ini dan juga di akhirat nanti. Oleh sebab itu, untuk menjalinkan hubungan dengan Tuhan hendaklah menghindari kekecewaan atau putus asa, sebaliknya tanamkan dalam diri rasa takut kepada Tuhan.

Jadi, berusahalah menjalin hubungan dengan Tuhan melalui amalan menyempurnakan kewajipan-kewajipan, melakukan nawafil dan keitaatan kepada nizam Jemaat. Bulan Ramadhan memberi pelajaran kepada kita tentang perkara ini, tetapi berkatnya akan berlanjutan selepas ini. Di dalam hadis dikatakan bahawa hari Eid adalah hari perhitungan, yakni hari pengurniaan. Pada hari tersebut malaikat bersuara: Dari Tuhan yang maha Mulia memberi pengumuman bahawa mereka yang tunduk kepada Tuhan, mereka akan diberikan ganjaran yang banyak, akan diampunkan dari dosa-dosa, permintaan mereka akan dikabulkan, dan selepas solat Eid, mereka kembali dengan penuh pengharapan bahawa mereka telah diampunkan.

Mudah-mudahan kita semua mendapat taufik untuk menjadi seperti orang ini, yang balik dengan penuh harapan bahawa dosa-dosa kita telah diampunkan, menjadi pewaris kurnia-kurnia Allah dan Eid ini menjadi kegembiraan yang sebenar buat kita semua. Semoga hari ini hari Eid yang hakiki dan sarana pengampunan dosa-dosa kita.

Semoga Allah mendengar doa-doa kita semua dan memperlihatkan pemandangan kejayaan demi kejayaan buat kita semua. Amin.