Monday, February 4, 2013

KHAIRA UMMAH - UMMAT YANG TERBAIK



KHAIRA UMMAH – UMMAT YANG TERBAIK

---------------<<<<<>>>>>--------------

 Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an (Ali Imran:111)

Maksudnya, kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manfaat manusia, kamu menyeru berbuat kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan, dan kamu beriman kepada Allah Ta’ala. Kemudian Allah Ta’ala juga berfirman YUSAARI’UUNA FIL KHOIRAAT (Ali Imran:114) yakni berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain dalam melakukan kebaikan. Dan disebabkan perbuatan baik ini dan juga disebabkan menghindari keburukan, Allah Ta’ala berfirman: ULAA’IKA MINAS SHOOLIHIIN yakni dan mereka inilah orang-orang yang baik. Inilah orang-orang yang termasuk dalam golongan orang-orang soleh kerana berbuat kebaikan.

Ini adalah perintah untuk umat Islam. Jika kita buat penilaian, adakah hari ini kita melihat perkara ini wujud dalam diri umat Islam yang memungkinkan mereka layak digelar sebagai khaira ummah (umat terbaik)? Malang sekali kerana apa yang kita dapat saksikan hari ini, di dunia Barat, dalam media massa, mereka mengekori umat Islam dan menzahirkan segala kelemahan-kelemahan umat Islam. Jadi, siapa umat terbaik yang dicipta untuk manfaat manusia, yang mengajak ke arah kebaikan dan menghalang daripada melakukan keburukan?

Mereka itu adalah orang-orang yang telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud as, iaitu pencinta sejati Rasulullah saw dan juga berjanji bahawa “kami akan mengamalkan segala perintah Allah dan Rasulullah saw dan juga akan menghindari segala perkara yang dilarang oleh Allah Ta’ala dan juga Rasulullah saw. Dan juga akan saling memajukan diri dalam soal kebaikan”. Dengan ini, dalam diri sendiri akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam keluarga juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam persekitaran juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam masyarakat juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan. Dan akhir sekali, dalam negara di mana mereka tinggal juga mereka akan melengkapkannya dengan kebaikan-kebaikan. Dan seterusnya akan tersebar di seluruh dunia bahawa kita adalah golongan yang menyeru berbuat kebaikan dan melarang dari melakukan keburukan.

Lafaz umat yang digunakan di sini merangkumi kaum lelaki dan juga wanita. Maknanya, apa yang diperintahkan kepada kaum lelaki, itu juga yang diperintahkan untuk wanita. Tidak ada dikatakan bahawa wanita di luar daripada umat Rasulullah saw. Jadi, apa yang menjadi kewajipan lelaki, itu juga yang menjadi kewajipan seorang wanita. Dan apabila wanita tidak melaksanakan kewajipan mereka, mereka boleh terkeluar dari lafaz umat. Ini adalah antara satu ciri yang harus ada dalam diri seseorang supaya termasuk dalam golongan umat. Jadi, ingatlah dengan sebaik-baiknya perkara ini bahawa sebagaimana kaum lelaki diperintahkan untuk melakukan kebaikan, demikian juga wanita mendapat perintah untuk melaksanakan perkara yang sama, wanita yang tua atau masih kecil tetap diperintahkan untuk melakukan kebaikan-kebaikan, menghindari keburukan-keburukan, dan mengamalkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya. Dan sebagaimana kaum lelaki akan terkeluar dari lingkungan ini jika mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, demikian juga kaum wanita akan terkeluar dari lingkungan umat jika mereka melakukan perkara yang sama. Jadi, ingatlah sentiasa bahawa wanita juga termasuk dalam golongan umat terbaik ini. Namun, wanita yang bagaimana boleh digolongkan sebagai bahagian umat yang terbaik? Sudah pasti, wanita itu ialah mereka yang memahami bahawa: aku orang Islam dan akan melakukan perkara yang telah diperintahkan oleh Allah.

Di dalam Al-Qur’an ada menyebut tentang wanita yang berkata benar, wanita yang kekal atas kebaikan, wanita yang berpuasa dan wanita yang memelihara diri, semua ini perlu ada pada wanita sebagaimana ada pada kaum lelaki. Jadi, ingatlah hal ini dengan sebaik-baiknya. Kemudian, tidak pula bermakna bahawa setelah memiliki semua ini maka ia telah berakhir. Tidak seperti itu. Malah, apa yang dikatakan ialah kamu adalah orang yang dilahirkan semata-mata untuk memberi manfaat kepada manusia lain. Tidak harus terjadi bahawa dari seorang mukmin lelaki dan dari seorang mukmin wanita, ada pihak yang mengalami kerugian. Seorang mukminah, selama dia mengamalkan hak sebagai seorang mukminah, sama ada dia seorang anak kecil, seorang muda remaja atau yang sudah berumur, maka mereka hendaklah memastikan orang lain mendapat manfaat. Jika orang lain tidak mendapat manfaat, maka fikirkanlah sedalam-dalamnya, jangan sampai kamu tidak termasuk dalam golongan yang dikatakan oleh Allah sebagai khaira ummah, lebih-lebih lagi bai’at kepada imam zaman yang mana sekali lagi memperbaharui janji mereka untuk menghindari segala keburukan dan mengamalkan segala jenis kebaikan, serta akan melaksanakan segala perintah-perintah Allah.
Seorang mukminah yang hakiki tidak akan mahu melihat suatu keburukan pada diri orang lain. Dia harus berusaha supaya sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya akan mengatakan, saya tidak mendapat apa-apa daripadanya selain kebaikan dan kebaikan. Namun, untuk mencapai hal itu harus mempersiapkan diri lebih dahulu dengan kebaikan-kebaikan. Jika tidak, maka Allah Ta’ala berfirman bahawa LIMA TAQUULUUNA MAA LAATAF’ALUUN (As-Shaff:3) yakni kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Jadi, jelas bahawa suatu kebaikan yang hendak kamu persembahkan kepada orang lain, kebaikan itu harus dilakukan terlebih dahulu. Kamu hendaklah melaksanakan huquuqullah dan huquuqul ibad (hak-hak Allah dan hak-hak hamba).

Apa itu huquuqullah? Huquuqullah ialah solat, puasa, zakat dan haji jika mampu. Tetapi solat itu adalah fardu, kemudian menegakkan ketauhidan, berusaha menegakkan perintah Allah di dunia ini. Berhala dalam diri hendaklah dihapuskan supaya tauhid dapat didirikan dengan sempurna. Ada syirik yang tersembunyi yang selalu mengajak ke arah yang tidak betul. Tinggalkan solat, ada jemputan penting, ada majlis penting, ada keramaian di rumah kawan, lebih baik pergi ke sana. Jangan ambil wudhu’, nanti rosak solekan atau make-up kamu. Hal-hal kecil seperti ini adalah jenis syirik yang tersembunyi yang berada dalam diri manusia.

Huquuqul ibad. Antaranya ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam berbuat baik kepada ibu bapa ialah mendoakan mereka: kasihilah mereka ya Allah sebagaimana mereka mengasihi aku ketika aku masih kecil. Dan doa ini berlaku ketika mereka masih hidup dan juga setelah mereka meninggal dunia. Doa ini adalah berterusan. Jika setiap anak-anak, setiap remaja, setiap wanita membaca doa ini, mereka juga akan sedar. Bagi wanita yang sudah mempunyai anak, apabila mereka berdoa untuk ibu bapa, mereka akan menyedari bahawa; kita juga perlu mendapatkan doa ini, kita perlu kekal atas kebaikan-kebaikan supaya berhak mendapatkan doa ini. Jika doa ini dibaca dengan penuh perhatian, maka tidak akan timbul keinginan untuk membuat suatu keburukan. Segala permasalahan di antara ibu mertua dan menantu akan selesai, lebih-lebih lagi Hazrat Maseeh Mau’ud as mengatakan bahawa ikatan kekeluargaan yang lahir dari suami juga merupakan ibu dan bapa kamu. Untuk mereka juga akan lahir doa dari seorang menantu. Ya Allah, kasihilah juga ayah dan ibu suamiku. Apabila doa ini dibaca oleh seorang menantu yang mempunyai anak, dalam hatinya juga akan timbul perasaan dan harapan semoga anak-anaknya juga akan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Kemudian, perlu juga untuk berbuat baik sesama keluarga. Perkara ini sangat penting kerana melibatkan banyak pihak. Kadang-kadang kita melihat bahawa hanya disebabkan perkara kecil sahaja, sebuah rumah tangga itu menjadi hancur. Oleh itu, sekiranya dalam diri setiap ahli keluarga itu ada perasaan untuk berbuat kebaikan sesama mereka, sudah pasti rumah yang diidamkan setiap orang akan dapat dicapai.

Berbuat baik kepada jiran tetangga juga sangat perlu untuk menjadikan seorang wanita sebagai mukminah yang hakiki. Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata bahawa jiran kamu bukan sahaja mereka yang berdekatan rumah, malah orang yang tinggal jauh juga merupakan jiran kamu. Semua anggota jemaat juga adalah jiran kamu. Perlu diingat, amalan baik kepada jiran tetangga bukan hanya untuk sementara sahaja, malah ia adalah perbuatan yang berterusan. Amalan ini akan dapat melahirkan satu suasana yang cantik seperti yang diinginkan oleh ajaran Islam. Mereka akan saling bantu-membantu di antara satu dengan yang lain dan bukannya saling menjatuhkan. Islam tidak mengajarkan, tuntutlah hak kamu, tetapi apa yang Islam ajarkan ialah sempurnakan hak-hak hamba. Jika ini dapat dilaksanakan, maka suasana yang sangat indah akan menyerlah dalam masyarakat. Tidak akan ada dalam fikiran untuk menuntut suatu hak, berikan hak kami, berikan hak wanita.

Sebaliknya mereka akan berkorban untuk menyempurnakan hak orang lain seperti yang dituntut dalam ajaran Islam. Jadi, dasar berfikir seperti ini harus ada dalam diri setiap Ahmadi terutama sekali kaum wanita kerana mereka yang akan memastikan keturunan yang baik pada masa akan datang.

Memelihara amanah. Satu penyakit yang sering terjadi di kalangan kaum lelaki, tetapi kebanyakannya ada dalam diri kaum wanita. Kadang-kadang ada perbincangan tentang seseorang yang ada kelemahan dan kekurangan dalam majlis amilah atau perjumpaan umum. Di kalangan wanita ada yang menyebarkan cerita tersebut sehingga tersebar luas, itu menandakan orang tersebut tidak memelihara amanah. Dan jika mereka tidak boleh memelihara amanah, maka bagaimana mungkin mereka boleh tergolong dalam khaira ummah.

Kemudian memelihara janji. Satu janji ialah janji bai’at. Kemudian, dalam setiap pertemuan, ada lafaz janji Lajnah dan juga janji Nasirat. Anak perempuan yang berumur 10 tahun ke atas sudah dapat memahami apa yang dikatakan, apa yang harus dilakukan dan bagaimana hendak melaksanakannya. Jika janji yang dilafazkan ini tidak disempurnakan, maka itu juga merupakan satu kesalahan.

Menzahirkan kebenaran. Menzahirkan kebenaran tidaklah bermaksud bahawa apa yang ada dimulut, itu dikatakan dengan benar dalam mana-mana majlis. Kami berkata benar, ini kekurangan-kekurangan si fulan dan si fulan yang telah kami lihat. Jika memang ada kekurangan pun, kamu tidak ada hak untuk menzahirkannya. Ini bukan kebenaran namanya. Kebenaran itu ialah apabila kamu dipanggil untuk menjadi saksi, maka di sana kamu harus menzahirkan kebenaran. Selepas itu, adalah bukan pekerjaan kamu untuk keluar dan menyebarkan berita itu kepada semua orang bahawa dia begitu dan begini. Kemudian, kebenaran juga termasuklah menzahirkan kebenaran walaupun anak sendiri yang melakukan kesalahan. Jika pemimpin jemaat memanggil kamu bertanyakan tentang anak kamu, maka jika memang kamu tahu anak kamu berbuat kesalahan, tanggungjawab kamu ialah jujur berkata ya, anak saya telah melakukan kesalahan. Jika kamu menyembunyikan kesalahan anak-anak, maka kamu tidak dikatakan berbuat kebenaran.

Menunaikan amanah. Sebelum menunaikan amanah, pertama sekali hendaklah memelihara amanah. Dalam menunaikan amanah ini termasuklah para pemegang jawatan, tidak kira di peringkat nasional atau muqami. Segala tugas yang telah diamanahkan hendaklah dilaksanakan sesuai dengan tuntutannya.

Membuat pemilihan calon yang tepat. Dalam organisasi, selalu diadakan pemilihan. Jadi, pemilihan dilakukan hendaklah dengan jujur. Sebagai contoh, pardah adalah perkara yang sangat perlu, jika memilih pemegang jawatan yang tidak mengamalkan pardah dengan sempurna, itu adalah kesalahan kamu. Dan juga, jika sadr memilih anggota amilah seorang lajnah yang tidak mengamalkan pardah, maka itu juga satu kesalahan. Ringkasnya, menyempurnakan amanah itu berbagai jenis. Setiap perkara hendaklah diperhatikan dengan mendalam, dengan itu kamu boleh tergolong sebagai khaira ummat. Kemudian, harus bersedia berkorban untuk orang lain, jika ini ada dalam diri setiap Ahmadi, maka pasti Tuhan akan redha.

Memperlihatkan sikap merendah diri. Ini juga satu ciri yang sangat perlu untuk diamalkan. Jangan pernah ada perasaan bahawa saya ada wang yang lebih banyak daripadanya. Saya ada emas yang lebih banyak daripadanya, pendidikan saya lebih tinggi daripadanya, saya ada anak sedangkan dia tidak ada. Semua ini adalah penzahiran takbur yang tidak harus ada dalam diri seorang wanita Ahmadi. Hal ini sangat dibenci dalam Islam. Kemudian, dalam melakukan suatu khidmat pun hendaklah dilakukan dengan penuh kerendahan hati.

Bersangka baik. Berburuk sangka adalah akar segala keburukan dan menimbulkan fitnah serta kerosakan. Jika keburukan ini hilang, banyak masalah rumah tangga dan masalah masyarakat dapat dihapuskan.

Amalan bersyukur. Allah Ta’ala berfirman, jika kamu bersyukur, maka Aku akan berikan lebih banyak. Jadi, amalkanlah sikap bersyukur dan hidup dalam kecukupan. Lihat pada pendapatan suami, berbelanjalah menurut pendapatan yang ada dengan penuh kesyukuran. Terutama sekali pasangan yang baru berkahwin, masing-masing tuduh-menuduh. Suami menuduh isterinya banyak permintaan dan rungutan, dan memang banyak terjadi bahawa ada isteri yang berkata, keinginan kami tidak disempurnakan oleh suami, kami tidak dibawa ke pusat-pusat kecantikan, tidak seminggu dan tidak sebulan. Padahal, pergi ke pusat kecantikan bukan tujuan seorang Ahmadi, jika tidak berkemampuan, bagaimana untuk dibawa ke sana? Jadi, hiduplah dalam kecukupan untuk memastikan keluarga yang bahagia. Kesabaran dan ketabahan sangat penting untuk mencapai matlamat hidup berkeluarga.

Amalan memberi maaf. Hal ini sangat penting. Berlaku adil, apa itu adil? Adil itu ialah, walaupun hal itu tidak memihak keluarga kamu, tetapi jika kamu dipanggil untuk memberi kesaksian, maka kamu hendaklah nyatakan. Inilah keadilan yang harus ditegakkan. Jika keadilan ini tidak ada dalam jemaat Ahmadiyah, maka jemaat Ahmadiyah tidak ada makna apa-apa, ataupun keberadaan seseorang dalam jemaat Ahmadiyah tidak memberi makna apa-apa. Jika ketidakadilan ini terjadi disebabkan oleh pemegang jawatan, maka dia yang akan bertanggungjawab. Jika bukan Nizam Jemaat yang menghukumnya, namun Allah Ta’ala akan menangkapnya. Sebab itu, keadilan harus ada dalam diri kamu. Berusahalah untuk mencapainya.

Berbuat ihsan. Bukan hanya berlaku adil, malah dituntut juga untuk berbuat kebaikan, saling sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain. Jika ada yang memberi kesusahan terhadap kamu, maka tunjukkan kasih sayang, mungkin dengan cara itu dia sedar akan kesilapannya. Jika dia tidak sedar pun, sekurang-kurangnya kamu mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala.
Berakhlak mulia juga merupakan satu ciri yang sangat baik. Gembira bila berjumpa, senyum bila bertemu, bersalam ketika berjumpa. Kemudian, fikiran juga hendaklah bersih. Sejauh mana orang-orang Ahmadi ditegaskan untuk menjaga kebersihan, di sana juga ditegaskan untuk menjaga kebersihan rumah, persekitaran dan kebersihan minda, jangan sampai ada fikiran kotor masuk dalam minda masing-masing.

Menahan kemarahan. Ini juga satu perintah Allah Ta’ala untuk menahan kemarahan. Kemudian harus juga menahan diri dari keburukan-keburukan dan menghalang orang lain dari melakukan suatu keburukan.

Kedekut dan bakhil itu sangat buruk di sisi Allah. Namun, dengan kurnia Allah Ta’ala, ramai wanita Ahmadi yang giat berkorban, mereka sanggup mengosongkan poket mereka apabila disuruh untuk berkorban, malah mereka juga sanggup mengosongkan poket suami mereka yang mana kadang-kadang bertengkar dengan suami selepas itu. Walaubagaimanapun, ada juga wanita Ahmadi yang masih lagi lemah dalam soal ini, perbelanjaan rumah tangga boleh ditanggung, tetapi tidak berani untuk berkorban. Jangan sampai hal ini berlanjutan.

Membuat tuduhan palsu juga satu keburukan yang besar. Hal itu boleh menjadikan ikatan keluarga boleh terputus dan masyarakat yang harmoni akan musnah. Jadi, setiap orang hendaklah berusaha membersihkan diri dari perbuatan buruk ini.

Mempersendakan orang lain. Walaupun harus bergurau, namun ada had atau batasnya. Ia harus dilakukan dalam batas-batas akhlak. Ini terutama sekali wanita-wanita muda, 10 hingga 15 tahun, mereka selalu bergurau senda, kadang-kadang ada juga wanita yang sudah berumur, masih tetap bergurau sesama sendiri. Jadi, elakkan daripada perbuatan bergurau sehingga merendah-rendahkan orang lain.

Hasad juga perbuatan buruk yang harus dielakkan. Jika dapat mengelakkan hasad dengki, maka mereka boleh menyeru kepada orang lain agar dapat melakukan perkara yang sama.

Perkara laghu (sia-sia). Khasnya kepada anak-anak, perkara sia-sia ini bukan hanya perkara yang dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berumur, tetapi anak-anak wanita remaja yang berumur antara 10 hingga 15 tahun sehinggalah meningkat remaja, untuk mereka ini TV dan internet menjadi benda yang sia-sia pada zaman sekarang. Jika kamu menonton TV sepanjang hari, rancangan yang tidak memberi apa-apa tarbiyat, maka ini adalah sia-sia. Internet adalah satu halaman yang mana apabila kamu telah sampai ke suatu tempat di dalamnya, maka kamu tidak akan dapat keluar lagi sehingga menyebabkan keburukan tersebar luas, ini menyebabkan mereka terpaksa keluar dari rumah, kemudian meninggalkan nama buruk kepada keluarga dan juga jemaat. Sebab itu, amat perlu sekali untuk menghindari internet. Demikian juga di internet banyak program-program yang boleh meracuni fikiran anak-anak. Sama ada dalam TV atau internet, jika ibu bapa mendapati ada rancangan yang boleh meracuni fikiran sehingga menanamkan fikiran kotor dalam minda mereka, ibu bapa hendaklah menyekat rancangan tersebut secara berterusan. Apa yang diperbolehkan ialah menonton drama atau kartun yang bersih.

Kemudian, perlu juga menghindari kebiasaan mengatakan sesuatu yang tidak diketahui dengan mendalam. Kadang-kadang, apabila seseorang anggota telah dipilih memegang suatu jawatan, maka orang yang tidak suka kepadanya mula mengatakan sesuatu yang tidak benar, orang ini pernah berbuat kesalahan, telah melanggar nizam, dan sebagainya. Apabila diselidik, perkara itu telah berlaku beberapa tahun dahulu dan sudah pun mendapat pengampunan. Jadi, perkara seperti ini hendaklah diperhatikan dan jangan dijadikan kebiasaan mengungkit perkara-perkara yang telah lama berlalu.

Berkenaan dengan ghibat (mengumpat) juga diterangkan di dalam Al-Qur’an bahawa ia merupakan satu penyakit sehingga dikatakan mahukah kamu memakan bangkai saudara kamu? Jika kamu tidak mahu memakannya, maka kamu janganlah melakukan ghibat. Jangan berusaha mencari-cari dan menceritakan kesalahan orang lain. Jika ada yang melakukan keburukan ini, bererti dia sedang memakan bangkai saudaranya. Hazrat Khalifatul Maseeh Awal berkata mengenai perkara ini sampai ke tahap ini iaitu andaikanlah bahawa kamu sedang makan kebab yang dibuat dari bangkai saudara kamu, adakah kamu tidak merasa jijik? Sudah pasti, mendengar perkara ini ada yang akan mula merasa loya dan muntah. Tetapi, ketika sedang melakukan ghibat, dia merasa sangat seronok. Dan ghibat itu ialah jika ada keburukan pada diri seseorang, dia akan berusaha mengekori kesalahannya sehingga mendatangkan kesulitan pada orang tersebut. Rasulullah saw bersabda; jika tidak ada keburukan dalam diri seseorang dan kamu bercerita mengenainya, maka kamu sedang melakukan pembohongan. (Muslim) Oleh itu, menjauhi perbuatan ghibat adalah sangat perlu.

Dusta itu satu kesyirikan dan satu adat yang sangat buruk. Jadi, kita semua harus tahu bahawa tidak ada satu keburukan yang paling besar melainkan dusta. Dan dusta itu bukan hanya bermaksud kamu menyatakan sesuatu yang tidak benar dalam perkara yang besar sahaja. Perkara yang kecil pun jika ia disebarkan dengan cara yang tidak betul juga satu pendustaan. Membawa cerita-cerita dusta yang tersebar secara perlahan-lahan akan menjadikan kebiasaan sehingga besar. Dan apabila hal itu terjadi maka, dia tidak akan dapat mengatakan sesuatu yang lurus (qoulan sadiidaa). Perkara yang paling dikhuatiri ialah apabila anak-anak semakin meningkat dewasa, ia akan menjadi punca masalah dan kerosakan dalam masyarakat. Sebab itu Rasulullah saw pernah bersabda kepada seseorang supaya meninggalkan dusta kerana dengan meninggalkan dusta, keburukan-keburukan yang lain turut hilang dengan sendirinya. Sebab itu, setiap dari kita hendaklah berusaha meninggalkan sekecil-kecil perbuatan dusta ini.

Kemudian, kadang-kadang ada terjadi keluhan berkenaan dengan jemaat. Ini sama sekali harus dielakkan. Banyak janji-janji yang telah diberikan oleh Allah kepada Hazrat Maseeh Mau’ud as, dan sekarang ini ia sempurna satu persatu. Jadi, seorang wanita Ahmadi dan anak-anak remaja harus berhati-hati terutama sekali sekarang ini di internet banyak tersebar dalam website-website yang cuba merosakkan fikiran anak-anak agar mereka putus asa dengan jemaat ini. Usahakan agar kamu semua menjadi anak-anak atau wanita solehah sehingga menjadi hamba-hamba wanita Allah yang diredhai, yang akan melakukan perkara-perkara yang disukai Allah dan menghindari amalan-amalan yang dibenci oleh Allah.

Kemudian, ibu-ibu dinasihatkan agar jangan membunuh anak-anak. Siapa ibu yang sanggup membunuh anak-anak sendiri? Di sini bukanlah bermaksud membunuh secara zahir, tetapi perkara yang cuba dibangkitkan di sini ialah ibu-ibu yang tidak memberi didikan dan tarbiyat yang betul kepada anak-anak, menyebelahi atau membenarkan kesalahan yang dibuat oleh anak-anak, tidak mempedulikan pelajaran atau persekolahan anak-anak sama keadaannya seperti membunuh anak-anak itu sendiri.

Ada juga wanita-wanita yang menghantar anak-anak ke sekolah, jika suami mereka bekerja ke luar kawasan, maka di antara wanita-wanita yang tidak terbiasa mengamalkan pardah dengan sempurna akan menghantar anak-anak ke sekolah dengan hanya memakai selendang ringkas, kemudian berbual dengan jiran atau kawan-kawan dengan pardah yang tidak sepatutnya lalu balik ke rumah pada waktu petang. Anak-anak dibiarkan di rumah, dengan minum susu atau jus dan makan buah lalu tidur sendirian. Maknanya, ada juga wanita seperti itu.

Jadi, kesedaran harus bermula, jika tidak, ia juga termasuk dalam kategori membunuh anak-anak. Kemudian, anak-anak menjadi rosak dan mereka sendiri pun tidak cenderung terhadap tanggungjawab sendiri, apalagi kewajipan terhadap jemaat.

Anak-anak di sisi wanita juga merupakan amanat jemaat dan tanggungjawab ini harus ditanggung oleh ibu-ibu. Hal ini juga harus diberi perhatian. Jika kewajipan agama mereka tidak diperhatikan oleh ibu-ibu, sama juga halnya seperti membunuh anak. Ibu bapa harus peka sama ada anak-anak teratur dalam solat atau tidak. Anak-anak yang berumur 10 tahun hendaklah dibiasakan mendirikan solat secara berperingkat-peringkat. Selepas 10 tahun harus tegas sedikit, dan jika solat telah biasa dilakukan dalam peringkat umur ini, maka akan timbul fikiran dalam diri anak-anak lelaki atau wanita bahawa solat adalah perintah Allah dan sebagai hamba Allah harus teratur dalam mendirikannya. Kemudian, mereka juga harus diperhatikan dalam bacaan Al-Qur’an mereka.

Kemudian, rakan kepada anak-anak juga hendaklah diperhatikan. Anak perempuan tidak seharusnya berkawan rapat dengan anak lelaki. Perempuan hendaklah berkawan dengan perempuan juga. Dan kawan perempuan itu pun hendaklah kawan yang berakhlak baik. Jika berkawan dengan orang yang pandai dan berakhlak baik, itu sudah cukup memberi banyak manfaat. Jika tersalah memilih kawan untuk anak-anak sehingga menjadi rosak, itu juga dikira sebagai membunuh anak-anak.

Dalam masyarakat, terdapat juga keluarga yang suka bercerita sesuatu perkara yang menentang nizam jemaat dan pemegang suatu jawatan. Hal ini boleh memberi kesan buruk kepada fikiran anak-anak. Jika anak-anak sudah mula menaruh harapan yang tidak baik kepada jemaat, maka secara perlahan-lahan mereka akan semakin jauh daripada jemaat. Ini juga satu bentuk pembunuhan anak yang dilakukan oleh ibu bapa. Jadi, sekiranya kamu mendapat ada suatu kelemahan pada jemaat atau keburukan pada seseorang pemegang jawatan, biarkan hanya kamu yang mengetahuinya dan jangan sebar-sebarkan kepada orang lain. Jangan pernah berkata-kata yang bertentangan dengan jemaat di hadapan anak-anak. Maknanya, ini satu tanggungjawab yang sangat berat diletakkan di atas bahu seorang mukminah kerana mereka inilah yang boleh memastikan tarbiyat keturunan mereka dalam keadaan selamat. Dengan itu juga mereka boleh tergolong dalam khaira ummat.

Allah tidak hanya mengatakan bahawa ia adalah tanggungjawab lelaki. Jika lelaki melaksanakannya akan dapat ganjaran, malah wanita yang sama melaksanakannya, mereka juga boleh dihitung sebagai umat yang terbaik di samping mendapat ganjaran. Allah Ta’ala berfirman: (An-Nisa:125) Dan barangsiapa mengerjakan amal-amal saleh, baik lelaki atau wanita, sedang ia mukmin, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka sedikit pun tidak akan dianiaya biar sebesar lubang kecil biji kurma.

Jadi, Allah Ta’ala telah meletakkan lelaki dan wanita yang berbuat kebaikan, yang menunaikan tanggungjawab dan menghindari keburukan berada pada satu tahap. Sesiapa yang melaksanakan kewajipan mereka, maka mereka akan menjadi pewaris kurnia-kurnia Allah Ta’ala dan pewaris syurga. Dan perkara ini juga hendaklah diingat selalu bahawa jangan sampai perkara-perkara keduniaan ini boleh merosakkan keimanan. Jika keimanan teguh, maka perhatian untuk melakukan kebaikan juga akan kuat, ia juga akan terdorong untuk menghindari keburukan. Jadi, amalkan selalu berdoa untuk keselamatan iman masing-masing. Allah Ta’ala berfirman bahawa keimanan kepada Allah juga merupakan satu syarat. Maka, apabila iman dalam keadaan selamat dan apabila keimanan kepada Allah semakin kuat, pada masa yang sama keinginan untuk menghindari keburukan juga akan muncul serta terdorong untuk melakukan kebaikan-kebaikan dengan lebih banyak. Huquuqullah dan huquuqul ibad juga akan dapat dilaksanakan.

Saya telah menyatakan bahawa dewasa ini bukanlah masanya untuk berjihad dengaan senjata/pedang. Hazrat Maseeh Mau’ud as datang untuk memberitahu kepada dunia bahawa sekarang ini bukan masanya untuk berjihad dengan pedang. Jihad yang hendak kita laksanakan ini ialah jihad dengan akhlak yang tinggi. Kita hendaklah menyebarkan kebaikan-kebaikan, mencegah keburukan dan menegakkan ketauhidan Ilahi. Semua ini dipetik daripada ajaran Al-Qur’an tentang apa kebaikan yang harus dilakukan dan apa keburukan yang harus dihindari. Berdasarkan Al-Qur’an, Sunnah dan Hadis, kita semestinya menyebarkan kebaikan-kebaikan, di samping itu juga kita hendaklah menghindari diri sendiri dari keburukan dan mencegah dunia dari melakukannya. Inilah jihad yang boleh menyebarkan tabligh Islam dengan cara yang sebenarnya. Banyak perkara, banyak dalil-dalil yang boleh kamu persembahkan kepada dunia, tetapi dunia hendak melihat sejauh mana pengamalan kamu terhadap segala apa yang kamu ajarkan. Jika amalan kamu tidak sama seperti yang kamu ajarkan kepada dunia, maka segala usaha kamu tidak akan memberi kesan. Dengan mengatakan Ukhrijat Linnaas, Allah Ta’ala meletakkan satu tanggungjawab yang sangat besar di atas bahu setiap Ahmadi. Amalan kamu itu sebenarnya satu jalan tabligh di dalam masyarakat di mana kamu tinggal, dan dalam kaum mana kamu berada, ia menuntut satu amalan yang agung. Allah Ta’ala telah memberi kurnia yang besar, ada yang kukuh kewangannya. Bangsa ini telah berlaku ihsan kerana memberikan kamu peluang untuk tinggal di sini. Dan sebagai balasan atas kemurahan hati mereka hanya boleh dilakukan dengan cara kamu menyampaikan tabligh Islam dengan benar. Wanita-wanita zaman awal, para sahabat-sahabat Rasulullah saw, kita tahu bahawa sejauh mana mereka menjalinkan hubungan yang rapat dengan Zat Allah Ta’ala, di sana juga mereka meninggikan akhlak mereka. Amalan mereka juga dijaga sebaik-baiknya sehingga orang yang melihat akhlak mereka sangat terpengaruh. Mereka bukan hanya meningkat dari segi kerohanian, malah mereka juga telah memberi tarbiyat kepada anak-anak mereka sehingga mencapai tahap memberi manfaat kepada umat manusia. Mereka begitu terpaut dalam ajaran Islam dan juga giat melakukan pengorbanan.

Inilah juga pekerjaan ibu-ibu Ahmadi hari ini. Janji yang telah kamu lafazkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud as, ia menuntut bahawa kamu harus menguatkan ikatan anak keturunan kamu dengan jemaat sehingga mereka menjadi orang yang giat melakukan pengorbanan dan juga mengutamakan agama di atas dunia. Jangan menjadi orang yang hanya sekadar melafaz janji tetapi tidak ditunaikan.
Kemudian, dalam medan pendidikan juga harus mengalami kemajuan. Ini juga adalah pekerjaan seorang Ahmadi bahawa perlu meningkatkan tahap pendidikan dunia. Ini jugalah yang dilakukan oleh wanita-wanita zaman awal. Mereka kuat dari sudut dunia tetapi mereka juga telah menjadi orang yang berguna dan bersedia untuk melakukan pengorbanan apabila diperlukan.
Kenapa ini terjadi? Sebabnya ialah ibu-ibu dan wanita-wanita itu, mereka sendiri mengambil bahagian dalam medan jihad. Pada zaman itu, ketika umat Islam diserang, umat Islam juga diperintahkan untuk mengangkat senjata. Dalam mana-mana peperangan, tidak pernah Rasulullah saw atau Khulafa Rasyidin memulakan perang terlebih dahulu. Mereka yang selalu diserang dan umat Islam mempertahankan diri mereka. Dalam jihad itu, wanita-wanita juga mengambil bahagian. Dalam perang Uhud, ada wanita yang telah menitiskan darah semata-mata melindungi Rasulullah saw. Dia bersama suami dan anak melindungi Rasulullah saw, sehingga Rasulullah saw bersabda dengan penuh kesungguhan bahawa: melihat anaknya luka para dikerjakan musuh, maka dia berkata; bangunlah dan tunaikan hari ini hak untuk melindungi Rasulullah saw dan Islam.

Jadi, ada juga wanita seperti itu yang berani mengangkat senjata untuk melawan musuh seperti kaum lelaki. Dan dia sendiri sanggup mengorbankan anak dan dirinya tanpa mempedulikan apa-apa. Hal ini terjadi adalah disebabkan keimanan mereka yang membara. Dan disebabkan keimanan yang membara inilah, keberanian seperti ini boleh muncul. Hari ini bukan jihad dengan pedang, tetapi jihad dengan mempamerkan akhlak yang indah, jihad dengan mempersembahkan kebaikan-kebaikan, jihad dengan mencegah orang dari melakukan keburukan, dan jihad dengan melakukan tabligh Islam. Dan itu semua kita akan lakukan, insyaAllah. Dan di dalamnya ada tanggungjawab wanita yang besar, tidak kira dia anak-anak, remaja, dewasa ataupun yang sudah tua. Dan semangat keberanian seperti ini akan lahir hari ini di kalangan kamu semua jika ada keimanan seperti yang ada pada wanita yang dinyatakan di atas tadi. Dan dengan kurnia Allah, ramai di antara orang Ahmadi seperti itu, dan mereka yang belum melaksanakannya, sedarlah dan beri perhatian terhadap perkara ini. Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata bahawa: hari ini kamu tidak dipanggil untuk mengangkat senjata sehingga kamu ketakutan, kamu tidak diminta untuk mengalirkan darah kamu, apa yang diminta dari kamu ialah datanglah dengan segala apa yang kamu miliki untuk mempertahankan Islam, dan mempertahankan Rasulullah saw. Jika kamu lakukan ini maka kamu akan termasuk dalam golongan mukmin yang hakiki.

Allah Ta’ala telah mempermudahkan ajaran Islam kepada kita. Kita melakukan satu pekerjaan, Allah Ta’ala menyempurnakan pekerjaan kita berganda-ganda. Amanat Hazrat Maseeh Mau’ud as yang merupakan amanat Islam yang hakiki, Allah Ta’ala telah menyebarkannya di seluruh dunia, dan mereka yang berfitrat suci akan bergabung dengan jemaat ini, insyaAllah. Apa yang dituntut daripada kita ialah berusaha untuk menjadi khaira ummat dengan menyeru berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat keburukan. Hal in hanya akan dapat dicapai apabila lelaki, wanita dan anak-anak kita cenderung untuk membuat perubahan. Jangan condong ke arah dunia malah sebaliknya beri perhatian kepada agama. Utamakan agama di atas dunia.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian, beberapa orang Arab berkata bahawa: Kami pergi ke masjid, tetapi di sana pardah wanita Ahmadi tidak betul. Wanita Arab sangat menekankan tentang pardah rambut dengan menutup secara rapi kepala mereka. Sebab itu mereka terkejut melihat tentang pardah yang diamalkan oleh wanita Ahmadi kerana hanya memakai selendang yang ringkas. Jadi, perkara ini harus diberi perhatian bahawa jangan sampai disebabkan cara kamu ada orang yang susah hati.

Jadi, untuk mencapai tingkat khaira ummat, masing-masing perlu memainkan peranan. Allah Ta’ala telah membawa wanita-wanita masuk ke dalam jemaat yang kadang-kadang lebih dahulu berbanding suami mereka.

Jadi, ketahuilah tanggungjawab masing-masing walaupun sebagai seorang anak kecil, 10 hingga 15 tahun anak kecil sudah pandai berfikir. Anak-anak remaja juga hendaklah mengenal kewajipan masing-masing. Jangan hanya tenggelam dalam era berfesyen sahaja, tetapi pastikan kamu melakukan kewajipan terhadap apa yang telah diperintahkan oleh Allah. Ingatlah bahawa kamu adalah golongan yang dibangkitkan untuk memperbaiki dunia dan menyampaikan tabligh. Demikian juga wanita yang sudah meningkat dewasa, jika kamu semua bekerjasama dengan kaum lelaki untuk menyempurnakan tanggungjawab-tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kamu, maka kamu adalah golongan yang menunaikan tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud as diutus ke dunia ini.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang menyempurnakan tujuan kebangkitan beliau dan menunaikan hak terhadapnya. Amin.

---------------<<<<<>>>>>--------------

Dipetik dan diterjemahkan dari;-

CERAMAH HAZRAT KHALIFATUL MASEEH V
DALAM IJTIMA TAHUNAN LAJNAH IMAILLAH JERMAN
17 SEPTEMBER 2011                                       

1 comment:

  1. boleh kongsi tak peranan belia dalam menunangi khaira ummah. terima kasih :)

    ReplyDelete