Sunday, April 20, 2014

Siapa Itu Muslim? Jangan Mudah Menuduh Kafir



Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat 95 “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidikilah sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu, ‘engkau bukan mukmin’.

Satu arah Al-Quran mengajarkan seperti ini tetapi dalam arah yang lain ulama pula mengeluarkan fatwa kufur/kafir dan sebagainya. Cuba selidik dan renungkan dengan mendalam adakah ulama ini tidak melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan Al-Quran?

Sejak bila pula ulama diberi kuasa untuk melabelkan seseorang yang memberi salam sebagai kafir? Selanjutnya Al-Quran menegaskan lagi perkara ini dalam surah Al-Hujurat ayat 15, “Orang-orang Arab gurun berkata, ‘kami telah beriman’. Katakanlah, ‘kamu belum beriman; akan tetapi hendaknya kamu berkata, kami telah menyerahkan diri (Muslim), kerana iman belum masuk ke dalam hati kamu. Tetapi, jika kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak mengurangi sesuatu dari amal-amalmu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Ayat ini menerangkan keadaan orang Arab Badwi bahawa iman belum masuk ke dalam hati mereka. Walaubagaimanapun Allah Ta’ala memberi mereka peluang bahawa kamu boleh mengatakan diri kamu sebagai Muslim. Jadi, bagaimana seorang ulama hari ini begitu berani untuk mengatakan KAFIR terhadap orang yang menganggap dirinya sebagai Muslim sedangkan Allah Ta’ala dalam ayat ini menjelaskan bahawa walaupun tidak Mukmin, namun kamu masih boleh mengatakan diri kamu sebagai Muslim.

Dalam sebuah hadis Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda “Apabila ada seorang Muslim mengatakan kepada saudaranya yang Muslim sebagai KAFIR sedangkan tidak demikian, maka kekafiran itu kembali kepadanya.” (Abu Daud Kitabus Sunnah).

Berkenaan dengan ini Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menulis:-

“Siapa yang tidak tahu perkara ini bahawa mengatakan seseorang Muslim yang sama kiblat sebagai kafir adalah satu perkara yang sangat menyedihkan. Apalagi orang Muslim itu berkali-kali menyatakan dirinya dalam penulisan dan dalam ceramah-ceramah bahawa mereka itu Muslim dan beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada hari Kiamat dan beriman kepada Takdir Allah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan bukan setakat itu sahaja, malah ajaran-ajaran Islam yang lain seperti teratur dalam mengerjakan puasa dan solat sesuai dengan perintah Allah dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Adakah melabelkan KAFIR dan DAJJAL terhadap orang Muslim seperti itu merupakan pekerjaan orang-orang yang bertakwa dan mempunyai akhlak yang baik dan jauh daripada buruk sangka? (Ainah Kamalat Islam)

Jemaat Ahmadiyah juga dituduh melabelkan orang yang tidak menerima Hazrat Mirza Ghulam Ahmad alaihissalam sebagai KAFIR. Tuduhan ini sangat berat sekali dan perlu dijelaskan bahawa Jemaat Ahmadiyah tidak pernah mengatakan orang lain sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam. Kecuali jika ada yang menuduh Jemaat Ahmadiyah sebagai kafir, maka istilah kafir itu sendiri mereka dapatkan sesuai dengan hadis di atas.

Ini adalah masalah syariat bahawa orang yang membuat tuduhan kafir akhirnya dia sendiri yang kafir.

Friday, April 18, 2014

Kebebasan agama bukan seperti pilih Coke, Pepsi







Forum kebebasan agama dan hak asasi manusia anjuran Pemuda PAS Lembah Pantai malam tadi berlangsung 'panas' apabila wakil NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berdepan dengan kritikan oleh penalis dan penonton yang menghadirinya.
Walaupun tiada kekecohan tercetus, Timbalan Presiden ISMA Aminuddin Yahya diasak hebat dengan bidasan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, celahan hadirin yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikannya serta soalan sinis penonton.
Sebagai penalis yang pertama, Aminuddin menjelaskan Islam memberi dan mengiktiraf kebebasan dalam agama itu tetapi ia mesti terikat dengan prinsip maqasid syariah (tujuan-tujuan agama), iaitu menjaga agama, akal, keturunan, harta dan nyawa. 
Katanya, ia berbeza dengan erti kebebasan yang diperkenalkan oleh Barat bahawa keinginan manusia diberi keutamaan dan mengatasi segala-galanya, seperti dalam fahaman humanisme.
"Keinginan manusia diberi keutamaan, dihormati dan selagi tidak mengganggu orang lain. (Tetapi dalam Islam) jika seseorang itu buat maksiat, hukuman tidak mengira siapa. 
"(Jadi) istilah 'mengganggu' telah diputarbelit. Dengan maksudnya ganggu (dari sudut) fizikal," katanya dalam forum bertajuk "Perjuangan Hak Asasi Manusia: Antara Agama Tanpa Kebebasan dan Kebebasan Tanpa Agama".
Menurutnya lagi, kebebasan beragama, dengan bebas memeluk agama dan kemudiannya menukarnya, adalah berasaskan pemikiran liberal, yang dirujuknya sebagai cabang pemikiran agama baru yang cuba merosakkan Islam dan kemanusiaan.
"Ini tragedi kepada Islam," kata sambil memberi contoh “hipokrasi” Amerika Syarikat yang menerajui liberalisme dan membela demokrasi tetapi masih tidak menutup penjara Guantanamo Bay.
Tepis celahan
Mempertahankan hujah termasuk menepis celahan seorang hadirin yang bernama Siti Kassim seringkali menyampuk kerana tidak berpuas hati dengan jawapannya, Aminuddin menegaskan Islam menyuruh umatnya melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran.
Di samping itu, beliau juga mempertahankan tindakan kerajaan Malaysia yang tidak menandatangani konvensyen di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf hak untuk murtad seperti yang dikaitkan dengan Gabungan NGO Comango.
"Kena ada amar makruf nahi mungkar. Kita tidak boleh menafikan nahi mungkar untuk menjaga agama. Kenapa kita nak biarkan ia berlaku. Mungkin bala Allah akan datang. Ini keimanan yang tidak ada pada Barat," katanya. 
Sementara itu, julung-julung kali sepentas dengan wakil ISMA - selepas beberapa kali percubaan untuk mepertemukan bersama -  Dr Ahmad Farouk mengambil kesempatan itu untuk membidas "ketakutan" Isma berhubung isu kebebasan beragama dalam hak asasi manusia.
Bercakap sebagai penalis yang ketiga, beliau menyifatkan gaya pemikiran yang dilontarkan oleh Aminuddin sebagai "kepungan minda" apabila menganggap Islam berdepan dengan pelbagai serangan dan ancaman.
"Membentuk kepungan minda adalah masalah utamanya sekarang ini. Apabila ia (kebebasan beragama) dalam konteks hak asasi menjadi kalimah yang begitu kotor," kata Ahmad Farouk.
Beliau turut membidas ketakutan ISMA berkaitan kebebasan beragama atau kebebasan kesedaran yang difahami mereka bahawa umat Islam akan keluar Islam secara berbondong-bondong. 
"Kenapa ada pemikiran begini. Saya pakai komputer Macintosh dari dulu sampai sekarang dan tidak boleh guna yang lain. Begitu juga dalam hak (kebebasan) beragama, ia menjadi keyakinan kita. 
Coke dan Pepsi
"Adakah ia (kebebasan beragama) semudah memilih Coke dan Pepsi. Tidak semudah itu. Agama ada dalam diri kita dan (perlu memahaminya) dengan keadaan sedar," katanya sambil menambah keyakinan dan keimanan dalam hati "tidak boleh dipaksa-paksa" seperti cinta.
Menurutnya lagi, berdasarkan laporan media, kini ramai rakyat Eropah khususnya di Great Britain dan Australia ramai memeluk Islam dan nampak kepada keadilan Islam.
Sementara itu, ahli panel kedua Dr Zuhdi Marzuki mengambil 'jalan selamat' apabila cuba mengelak daripada mengkritik kedua-dua pihak dengan menyifatkan "memperjuangkan hak asasi adalah memperjuangkan fitrah manusia".
Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan dengan mengupas tajuk forum itu apabila menyatakan perjuangan hak asasi manusia adalah perjuangan supaya manusia kembali kepada fitrah dan aturan alam semula jadi. 
"Perjuangan hak asasi perlu kembali kepada fitrah manusia, (dan) peraturan yang sesuai dengan konteks sosial dan natural law," katanya yang juga ketua pegawai operasi Pusat Penyelidikan PAS.
"Hak asasi manusia perlu kembali kepada asas, bukan (kembali) dengan peristiwa yang memalitkan Islam dengan perkara yang tidak sesuai. Tafsiran yang lari daripada prinsip fitrah, maka kita akan lari dari prinsip Islam," katanya lagi.
Forum itu selama hampir tiga jam bermula 8.20 malam diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya dihadiri kira-kira 100 orang.

Wednesday, April 16, 2014

Jasa seorang Ahmadiyyah, Qadiani








Kelmarin seorang pelajarku bertanya begini, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?"

Soalan itu aneh sekali. Ia mungkin bertujuan memerangkap. Secara sinis aku membalas, “Jasa mereka besar. Mereka telah mengharamkan Ahmadiyyah dan menyelamatkan kita semua dari tenggelam dalam kesesatan.”

Berkerut dahi pelajarku itu, dan bertanya sopan, “Ahmadiyyah pula?”

Aku sahutkan dengan tawa dan aku menjelaskan, “Inilah jasa besar penguasa agama (dengan penekanan kepada kata besar), biar aku babarkan. Pada 1979, Abul A’la Maududi, pemuka Jamaat Islami yang menyaingi parti Liga Muslim yang mana Zafarullah Khan (kiri) pernah menjadi pengerusi parti tersebut pada tahun 1931 telah menerbitkan buku berjudul The Qadiani Problem.

“Di dalam buku tersebut, Maududi mengisytiharkan penganut fahaman Ahmadiyyah adalah ‘bukan Islam, kafir, sesat’.

“Pandangan beliau ini diterima pakai dan sehingga saat ini, kelompok Ahmadiyyah mengalami penindasan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia tanpa henti. Zulfiqar Ali Bhutto dan Zia ul Haq, yang kedua-duanya pernah memerintah Pakistan telah mengambil kesempatan oleh keadaan rapuh komuniti ini lantas turut menekan mereka menerusi pelbagai undang-undang hingga membawa kepada Blasphemy Law 1986 yang telah mengorbankan ribuan nyawa penganut fahaman ini.”

Pelajarku menggaru kepalanya yang kupasti tiada gatal. Kami sedang berbincang tentang arah kajianku untuk satu projek akademik berkaitan hak asasi manusia melibatkan Queen Belfast University di Ireland. Kami baru berbincang darihal insiden 11 April 2014 yang lalu, ketika mana 30 orang penguatkuasa agama telah mengganggu upacara ibadah masyarakat Ahmadiyyah di Dolomite Park Avenue.

“Terdapat laporan menyatakan 41 orang dari kelompok ‘minoriti agama’ ini telah ditangkap dan hak mereka untuk beribadat telah dinafikan. Tindakan tersebut berurutan dari larangan mengerjakan sembahyang Jumaat di fasiliti mereka di Batu Caves pada 24 April 2009.

“Pada tahun 2008, exco agama kerajaan Selangor waktu itu, Datuk Dr Hasan Ali telah menyatakan kerajaan negeri Selangor berhasrat untuk merampas tanah yang mana kawasan yang diperuntukkan untuk kediaman telah dijadikan tempat beribadat’.

Sebelum pelajarku bertanya, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?” dia telah kuberitahukan bahawa jumlah penganut fahaman Ahmadiyyah di negara ini adalah sangat kecil iaitu kira-kira 1500 orang.

Fahaman yang diasas oleh Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India pada tahun 1889 ini mulai masuk ke negara ini sejak 1930an, dan kini ramai penganut fahaman ini bermukim di Sabah dan Selangor.

“Apakah mereka sesat dan bukan Islam?” Tanya pelajarku lagi.

Aku menjawab, “Aku tidak tahu. Aku tidak pernah menemui salah seorang pun daripada mereka. Sebelum aku memutuskan itu dan ini, aku perlu menemui dan berdialog dahulu. Dan itu pun, jika kemudian aku memutuskan mereka itu cocok atau tidak dengan Islam yang aku kenal; aku hanya akan menyimpannya sebagai pandangan peribadi.

“Oleh kerana aku menggeluti disiplin hak asasi manusia, aku hanya akan berbicara soal manusia pertama; hak mereka kedua; dan soal sesat lurus mereka secara prinsipnya telah jatuh dan akan sentiasa jatuh di tempat ketiga.”

“Tetapi mereka sesat, kafir, tidak seperti kelompok Syiah yang ada tolak tambahnya tentang mereka; ulama Islam seluruhnya, telah secara ijma’ sepakat dan muafakat menolak mereka sesat." Pelajar itu mengujiku.

Aku memandang ke luar jendela. Ada beberapa pemuda di luar sana, berkopiah, berjalan santai dalam kumpulan. Salah seorang dalam kalangan mereka boleh jadi sahaja seorang Ahmadiyyah, atau seorang Syiah, dan menyembunyikan kepercayaan mereka.

Aku menoleh kembali kepada pelajarku, dan menjawab; “Shim, puas aku mengingat, apakah ketika iblis mendurhakai Tuhan-Nya, dan memilih untuk menyombong dan meningkah Allah; adakah iblis ditangkap, disoal-siasat, dan dihukum?

“Puas juga aku mengingat, apakah ketika iblis menentang Tuhan-Nya, dan memilih untuk bersikap angkuh; adakah iblis diregang, disembelih, lalu kepalanya ditayang-tayang di hadapan para malaikat, dan setan? Puas juga aku mengingat, apakah ketika iblis melawan Tuhan-Nya, dan memilih untuk bersikap jahat dan khianat; adakah iblis diterkam, dicantas lalu ditindas hak-haknya? Seingatku tidak.

“Malah iblis setan dibawa berdialog, dibawa berwacana, dibawa bermuzakarah dan diajak bermuqabalah, sehingga kemudian apabila jelas iblis masih mahu memilih jalan sendiri, mereka, iaitu iblis setan tetap diberi hak-haknya iaitu untuk menyesatkan manusia termasuk para agamawan dan ulama seperti mufti dan kadi.

“Demikian, Tuhan pun memberikan hak-hak asasi setan dan iblis. Ya, sehingga tiba waktunya.”

Pelajarku bersuara pantas, “Oleh kerana itu Dr sangat-sangat jengkel dan cuak jika penguasa agama bersikap sombong, angkuh dan melaksanakan kuasa dengan menangkap, dan memenjara; atau penguasa agama memilih untuk menyembelih musuhnya lalu diunjuk-unjuk kepala yang terpisah dari jasad itu di laman Youtube?”

Aku menyambung, “Tidak ada. Aku tidak mengingat sebarang insiden sedemikian tatkala iblis setan menemui Allah demi membantah penciptaan manusia iaitu Adam. Iblis setan bahkan berdialog panjang dengan Allah. Begitulah pentingnya dialog dan wacana sehingga momen tersebut dirakam dalam kitab suci al-Quran pada surah Al-A'raaf, terjemahan ayat 14 hingga 17.

“Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari Kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh kerana Engkau menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Benar, Allah menyatakan iblis setan sesat dan telah ingkar. Akan tetapi mereka juga diberikan hak dan peluang untuk berdialog. Sedemikian penting dialog itu, iblis setan juga diberi kesempatan.
“Jadi, setiap satu kesesatan setiap satu dialog?’ Pelajarku bertanya lagi, kian provokatif. Dia ketawa mengejek.

Aku pula bertanya kepadanya kini, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?”

Pelajarku menjawab yakin, “Jasa para ulama besar. Mereka telah menyelamatkan umat Islam dengan banyak cara, dengan ilmu mereka.’

Aku bertanya lagi, “Jadi menurut lojikmu seluruh ulama Islam menafikan hak asasi seluruh umat Ahmadiyyah dianggap berjasa besar dan berpahala; bagaimana pula jika seorang Ahmadiyyah, atau Qadiani (awas; kata ini berbau penghinaan dan pemomokan) menyelamatkan seluruh umat Islam, mahukah kau berterima kasih dan mengakui jasa dan sumbangannya kerana menyelamatkan kita yang Muslim sangat ini?”

“Siapakah dia? Apakah jasa besar seorang Qadiani yang telah menyelamatkan seluruh umat Islam?” Pelajarku mendesak. Seakan-akan dia tersinggung.

Sebagai ahli akademik yang suka menekuni bidang hak asasi manusia, terdapat seorang penganut fahaman Ahmadiyyah yang sangat aku sanjungi. Kalaulah ‘penguasa dan tukang gempur agama Islam’ mengenal lelaki ini, aku kira mereka yang berkemaluan pun akan berasa malu. Seisi Palestina wajar berterima kasih kepada lelaki bernama Muhammad Zafarullah Khan, seorang penganut fahaman Ahmadiyyah yang sering dirujuk sebagai pengikut Qadiani itu. Tahukah penguatkuasa agama dan ulama, apa yang telah ‘si Qadiani’ ini lakukan?

“Shim, pada 7 Oktober 1947, pukul 11 pagi di General Assembly Hall, bertempat di Flushing Meadow, New York, ‘seorang Qadiani’, Menteri Luar Pakistan ketika itu yang bernama Muhammad Zafarullah Khan telah bangkit dengan beraninya menyelar United Nations dan kuasa-kuasa besar yang ada ketika itu kerana berhasrat untuk membahagi-bahagikan Palestina; sekerat untuk yang berbangsa Arab dan sekerat untuk yang berbangsa Yahudi.

“Zafarullah mengecam Balfour Declaration yang dijadikan alasan oleh Inggeris untuk membawa masuk imigran Yahudi dari Eropah ke Palestina. Malah, ‘si Qadiani’ ini mengherdik Amerika Syarikat yang menggunakan alasan supaya bangsa Yahudi di Eropah yang mengalami trauma selepas Perang Dunia Kedua diizin masuk ke Palestina ‘kerana mereka menginginkannya begitu’; dengan bertanya apakah Amerika Syarikat juga bersedia menerima 5 juta etnik Punjabi yang mengalami ‘pengusiran terancang?”

Ketika wakil negara umat Islam hampir tidak ada di United Nations pada tahun 1947 (Malaysia masih belum wujud pada waktu itu), dan kurangnya kebolehan berbahasa Inggeris dalam kalangan wakil-wakil negara umat Islam, Zafarullah Khan telah berucap dengan jayanya, menyindir dan menolak sebarang usaha untuk memperkotak-katikkan Palestina.

“Bahkan, ketika menutup ucapannya, Zafarullah Khan telah dengan sengaja berbahasa Arab. Zafarullah Khan sekali lagi menggunakan hujah-hujah yang sama pada 28 November 1947 ketika berbahas di United Nation General Assembly.

“Jika kau menyelongkar perpustakaan United Nation di New York atau Geneva, pidato beliau ketika miting plenari yang ke-126 itu dapat dibaca dengan nombor rujukan A/PV.126.”
Mata pelajarku bundar.

“Pada 5 Mei 1948, Faisal al Saud yang masih belum menjadi Raja Arab Saudi dan menjawat jawatan Menteri Luar telah mengutus surat untuk berterima kasih kepada Zafarullah Khan. Setiausaha Liga Arab, Abdur Rahman Azzam pada 15 November 1951 turut berterima kasih kepada Zafarullah Khan atas kesungguhannya menolongi Palestina seraya mendoakan kesihatannya supaya dapat terus berkhidmat untuk Islam’.

Pelajarku berdecit. Mungkin dia kurang yakin.

“Apakah yang penguasa agama dan ulama negara ini telah lakukan untuk Jammu Kashmir? Mereka berlari mendokongi umat Islam Syria dengan alasan kita dirongrong kelompok Syiah, tetapi umat Islam di Jammu Kashmir telah menderita lebih 70 tahun, apakah yang mereka lakukan? Apakah sumbangan mereka dengan mengambil kira tangan kanan terkena api, tangan kiri terasa sakit juga?

“Pada 15 Januari 1948, Zafarullah, ‘si Qadiani’ ini terus menyuarakan nasib umat Islam yang tertindas, kali ini beliau menjuarai isu Jammu Kashmir yang mana umat Islam di wilayah itu mengalami pencabulan hak asasi manusia yang sangat buruk (sehingga hari ini).

“Ucapan agresif beliau pada hari itu telah membantu lahirnya resolusi terkenal untuk Jammu Kashmir yang diabai dan tidak pernah dihormati oleh India. Resolusi UN Resolution pada 21 April 1948 itu menegaskan the people of Kashmir to decide in a fair and impartial plebiscite if they want to accede to India or Pakistan.”

“Hening kamar kerjaku hening. Hanya suara penghawa dingin menderu. Bilik menjadi sejuk dengan suhu 18 darjah selsius.
Atas jasa besar beliau tersebut untuk Palestina dan Jammu Kashmir, pada Mac 1958 Zafarullah Khan menjadi tetamu Raja Arab Saudi ketika itu untuk mengerjakan ibadah umrah di Mekah dan kemudian mengerjakan haji pada tahun 1967. Aku meragui yang Arab Saudi jahil dan tidak tahu latar fahaman Ahmadiyyah yang dianuti oleh Zafarullah Khan.

Ini kerana pada tahun 1953, tika satu rusuhan berdarah di Lahore sekumpulan ekstrimis telah menuntut supaya Zafarullah Khan diusir dari Pakistan kerana menganut fahaman Ahmadiyyah. Rusuhan tersebut mengakibatkan terdirinya undang-undang tentera yang pertama dalam sejarah penubuhan Pakistan.

Tekanan dari kelompok keras Islam telah menyebabkan Zafarullah Khan meletak jawatan sebagai Menteri Luar pada bulan Oktober 1954. Sejak itu, Palestina-Jammu Kashmir telah kehilangan pembela yang lantang di United Nations. Itulah jasa besar kumpulan ekstrimis dalam Islam kepada umat Islam Palestina dan Jammu Kashmir, menidakkan suara mereka di peringkat antarabangsa.
“Dan pada 1958 dan 1967, Zafarullah diizin mengerjakan haji?” Tanya pelajarku.

Seakan kini ia mahu menerima. Ternyata menggunakan kata kunci Saudi-Mekah membuka akal tertutupnya kembali.

Aku mengangguk. “Jadi, jika kau mendengar khutbah tentang Palestina nanti, ingatlah juga Zafarullah Khan ‘si Qadiani’ ini. Bandingkan dengan diri.”

Dengan lurus dan naif dia bertanya kembali, “Justeru apakah Ahmadiyyah, atau Qadiani sesat? Adakah mereka penganut Islam atau tidak?”

Aku membalas sopan, “Aku tidak tahu. Bukan tugas aku dan kau menghantar orang ke neraka dan mengeluarkan mereka dari Islam. Jika benar mereka sesat, seperti mana Allah telah menunjukkan bagaimana Allah menangani kesesatan iblis setan, maka demikian jugalah aku akan bersikap.

“Tambah-tambah aku mengkaji hak asasi manusia sebagai disiplin akademik. Menurutku manusia dan kemanusiaan pertama, yang lain jatuh nombor dua atau tiga.”

Aku tahu, dalam benak pelajarku itu terakam nama Zafarullah Khan, ‘si Qadiani sesat’ juara Palestina dan Jammu Kashmir di hadapan dunia; sesuatu yang aku, kau dan penguasa agama hari ini tidak terlakukan.

“Jadi dialog?” Pelajarku seakan mendapat pencerahan. 

Sunday, April 13, 2014

Press Release: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor


Press Release ini telah dihantar ke Jabatan Perdana Menteri, Kedutaan-kedutaan di Malaysia dan juga beberapa Akhbar di Malaysia. Moga ia bermanfaat kepada pembaca dan juga bertindak sebagai respon kepada mana-mana akhbar dan juga blog-blog yang turut menyiarkan berita berkenaan dengan ini.