Sunday, December 28, 2014

Perkembangan Ahmadiyah 2013, Pengorbanan Harta & Waqfe Jadid

TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
03 Januari 2014 / 03 Sulh 1393HS
Masjid Baitul Futuh, London

----------------------------<<<>>>----------------------------

Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah.

Pertama-tama saya ingin mengucapkan mubarak untuk tahun baru kepada anda semua dan seluruh orang-orang Ahmadi yang berada di mana sahaja. Saya juga ada menerima ucapan mubarak daripada jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan Jemaat dan orang perseorangan. Untuk semua saya mengucapkan mubarak serta dengan doa bahawa hanya fadhal dari Allah Taala sahaja yang menjadikan tahun ini, tahun yang penuh rahmat, fadhal dan berkat kepada kita. Dan doa ini menjadi suatu keyakinan bagi setiap orang Ahmadi dan begitulah semestinya. Jika kita menginginkan kurnia, berkat dan rahmat daripada Allah Taala dan kita tidak berdoa, maka ucapan mubarak untuk tahun baru akan menjadi sebagai tradisi belaka, maka hal yang seperti itu tidak akan membawa apa-apa faedah dan hanya ucapan tahun baru seperti orang-orang duniawi.

Ucapan mubarak yang kita ucapkan tidak akan berguna dan doa juga tidak akan membawa apa-apa hasil jika tidak diiringi dengan kebaikan dan kebolehan yang telah Allah Taala berikan kepercayaan kepada kita dan jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah Taala. Bagi menyambut tahun baru, kita tidak hanya cukup dengan melakukan solat nafal berjamaah, jika solat nafal yang dikerjakan tidak menimbulkan kesedaran dalam diri kita, bahawa kita akan berusaha untuk mengerjakannya secara terus-menerus, bagi meningkatkan standard ibadah kita menjadi yang terbaik dan setiap amalan yang dikerjakan akan mendapat keredhaan Allah Taala.

Jika dua hari sebelum menjelangnya tahun baru, pemikiran yang seperti ini kita laksanakan dan kita saling mengucapkan mubarak antara satu dengan yang lain, maka anda akan dihitung dalam kalangan orang yang akan mendapat kurnia, rahmat dan berkat daripada-Nya. Semoga Allah Taala menjadikan pemikiran kita semua yang sedemikian hendaknya. Pemikiran yang sedemikianlah yang membuatkan kehidupan kita sebelum ini akan mendapat kurnia daripada Allah Taala.

Hanya dan hanya, kurnia Allah Taala yang memberikan keihsanan dan nikmat, yang dengan keihsanan dan nikmat tersebut menjadikan kita dapat merebahkan diri bersujud kepada-Nya. Itulah yang menjadi tujuan kehidupan kita di dunia ini, yang telah Dia beritahukan kepada kita. Oleh itu, inilah roh di sebalik penyeliaan ucapan mubarak yang harus kita berikan.

Apabila kita meninjau kembali tahun-tahun yang lalu, maka terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi oleh Jemaat. Tetapi juga, tidak terkira banyaknya kurnia yang Allah Taala telah dilimpahkan kepada kita pada tahun 2013. Sehubungan dengan itu, jika kita terus mengekalkan kurnia ini, maka kita haruslah berusaha menerapkan kurnia tersebut dengan cara merendahkan diri, bekerja keras dan berdoa, terutama bagi mereka yang banyak melibatkan diri dalam pengkhidmatan kepada Jemaat. Orang-orang ini hendaklah memerhatikan bahawa untuk dapat menyerapkan fadhal tersebut maka kita perlu banyak merendahkan diri, berdoa dan bekerja keras.

Sepertimana yang diketahui oleh setiap orang Ahmadi bahawa tujuan kita adalah untuk memajukan misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, yang tugas tersebut ialah untuk menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia, yang tugas tersebut, telah diamanatkan kepada beliau. Beliau juga ditugaskan untuk menyatukan orang-orang Muslim yang telah terpecah-belah, begitu juga beliau ditugaskan supaya dunia dapat mempercayai Tuhan Yang Esa dan menjadi orang-orang yang sujud kepada-Nya. Dengan kurnia Allah Taala tugas ini telah diselenggarakan dengan baiknya oleh Jemaat ini, yang mana Jemaat telah dapat mendirikan rumah-rumah misi, masjid-masjid, pertablighan, menyediakan litratur-litratur, mempersiapkan muballigh-muballigh dan murabbi-murabbi lalu dikirimkan ke medan tabligh. Semua tugas itu, dengan kurnia Allah Taala Jemaat sedang melaksanakannya, seperti yang telah saya katakan, menurut firman Allah Taala, tujuan kehidupan kita adalah untuk beribadah kepada-Nya dan setiap individu Muslim menjadi kewajipan bagi dirinya untuk mengerjakan solat berjamaah dan untuk solat berjamaah memerlukan masjid-masjid dan tempat-tempat yang boleh mendirikan solat berjamaah.

Jelasnya, tidak terkira banyaknya kurnia yang Allah Taala limpahkan kepada Jemaat pada tahun lalu. Ini adalah satu kurnia yang amat besar bahawa kita telah diberikan taufik untuk membina masjid-masjid di dunia ini. Walaupun Jemaat ada mendirikan masjid di Eropah, Australia, Timur Jauh dan di beberapa tempat yang lain tetapi Jemaat di Afrika dan India yang paling banyak mendapat taufik untuk mendirikan masjid di negara mereka. Di dalam khutbah ini saya akan memberikan ulasan tentang perkara tersebut.

Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, bahawa Jemaat Afrika dan India yang paling banyak mendapat taufik untuk mendirikan masjid-masjid. Daripada 158 buah masjid yang saya katakan, sebanyak 102 buah masjid yang baru telah dibina di Afrika dan di India sebanyak 22 buah pondok yang dibina sebagai masjid untuk memenuhi keperluan bagi tujuan orang-orang untuk beribadah. Dan di Afrika pula yang sedang dibangunkan sebanyak 41 buah masjid. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, bahawa pada tahun ini juga terdapat beberapa buah negara yang sedang dan akan mendirikan masjid-masjid di tempat mereka.

Begitu juga rumah-rumah misi, terdapat 121 buah rumah misi markas, daripada jumlah tersebut 77 buah rumah misi di Afrika dan 5 buah rumah misi di India. India adalah sebuah benua yang besar, begitu juga di negara Afrika. Di sebelah timur dan barat pula terdapat 6-8 buah negara yang Jemaat ini telah tersebar dan di situ perkembangan Jemaat sedang maju dengan pesatnya. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini bahawa tugas kita adalah untuk menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia. Kita harus menyampaikan kecantikan ajaran Islam ke empat penjuru dunia, supaya dunia mengetahui akan kecantikan ajaran Islam. Dan tugas itu, dengan kurnia Allah Taala muballigh-muballigh kita sedang bekerja keras untuk tujuan tersebut. Selain daripada itu, ketika saya mengadakan kunjungan ke beberapa buah negara dan melalui kunjungan tersebut saya telah dapat memperkenalkan Jemaat ini. Dengan cara yang seperti itu, ajaran Islam akan diketahui oleh dunia dan melalui muballigh-muballigh kita juga Jemaat ini dapat diperkenalkan. Dan ada beberapa negara, yang menjadi penulis kolumis di dalam akhbar dan mereka menyiarkan khutbah-khutbah saya secara rutin di dalam akhbar-akhbar di negara mereka. Dengan kurnia Allah Taala, melalui cara yang seperti ini amanat Jemaat sedang tersebar dengan meluasnya.

Tentang kunjungan saya, telah saya sampaikan sebelum ini. Kunjungan pertama telah saya sebutkan bahawa kunjungan saya ke Amerika pada tahun lalu secara keseluruhan, kira-kira 12 juta lebih, orang-orang yang mendengar amanat Jemaat ini. Di Kanada, dua buah bandar saya kunjungi dan 8.5 juta orang yang mendengar amanat Jemaat. Di kedua-dua buah negara yang saya kunjungi itu, kira-kira 20 juta orang yang mendengar amanat Jemaat. Ini semua adalah kurnia Allah Taala yang tidak terhingga banyaknya, anugerah yang dilimpahkan, untuk menyampaikan amanat Jemaat iaitu, dengan terbukanya jalan-jalan yang baru untuk kita sampaikan amanat Jemaat ini kepada dunia.

Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, dengan lawatan saya ke beberapa buah negara banyak jalan-jalan yang baru yang terbuka luas bagi menyampaikan amanat Jemaat. Dan para muballigh telah banyak memainkan peranan dalam urusan tersebut. Bagi para muballigh yang aktif dalam tugasnya, ia suatu yang istemewa, yang mana tugas yang diberikan itu, mereka mampu untuk membawa tugas itu maju ke hadapan. Dan dengan kurnia Allah Taala mereka memperolehi kejayaan yang besar. Begitu juga ketika kunjungan saya sebanyak dua kali di Jerman. Pertama, ketika meletakkan batu asas di beberapa buah masjid di Jerman dan kedua, iaitu menghadiri Jalsa Salana Jerman yang ketika itu akhbar-akhbar, radio dan siaran televisyen telah memberikan liputan meluas tentang perkembangan Jemaat ini, malah liputan itu bukan sahaja disiarkan di negara Jerman tetapi siaran itu mendapat liputan yang meluas di negara Austria dan Switzerland. Ketika kunjungan saya pada waktu itu, kira-kira 4 juta orang yang menyaksikan program Jemaat di dalam televisyen. Selain dua buah negara yang saya sebutkan di atas tadi, saya juga mengadakan kunjungan ke Singapore, Australia, New Zealand dan Jepun. Dalam kunjungan tersebut pihak media telah menyiarkan liputan tentang kunjungan saya dan kira-kira 30 juta orang yang mengikuti perkembangan Jemaat semasa lawatan saya ke negara-negara tersebut.    
  
Ini semua adalah kurnia daripada Allah Taala, jika semua urusan ini adalah usaha daripada manusia, maka ia adalah suatu yang mustahil. Jika dari manusia ia seperti berikut, iaitu ketika di Australia, Sekretari Kharijiyah kita mempunyai hubungan dengan Press Media di sana.

Beliau telah memberitahu kepada seorang wartawan akhbar yang mewakili sebuah wilayah untuk mengadakan satu sesi wawancara dan ketika waktu yang telah ditetapkan bagi sesi wawancara itu, tiba-tiba wartawan tersebut menyatakan bahawa dia tidak dapat hadir dalam program tersebut. Tetapi lihatlah bagaimana Allah Taala telah mengatur sedemikian rupa, setelah wartawan itu tidak dapat hadir, 15 minit kemudian sebuah akhbar National, memberitahu bahawa dia sudah lama menunggu bilakah saya akan ke Australia dan bilakah dia dapat datang untuk mengadakan wawancara dengan saya. Dan dalam masa 15 minit kemudian, wartawan tersebut pun tiba dan mengadakan wawancara dengan saya. Ini semua semata-mata kurnia daripada Allah Taala yang memperlihatkan sokongan dan pertolongan daripada-Nya. Sekretari Kharijiyah sedikit pun tidak menyangka bahawa secara tiba-tiba ada pula seorang wakil dari sebuah akhbar National yang datang lalu dia menyiarkan program tersebut di dalam akhbarnya.

Bagi Jemaat Jerman, pertama kali dalam sejarah, bahawa televisyen national Jerman telah menyiarkan berita tentang perkembangan Jemaat. Di Australia, televisyen national dan international telah menyiarkan berita Jemaat seperti yang telah saya katakan sebelum ini bahawa sebanyak 46 buah negara yang menerima berita tentang Jemaat. Di New Zealand, televisyen national mereka telah menyiarkan berita tentang perkembangan Jemaat, begitu juga siaran berbahasa Maori. Di Jepun sebuah akhbar, yang pembacanya kira-kira 20 juta orang telah mewawancara dan menyiarkannya di akhbar mereka, ketika lawatan saya ke Jepun. Dan bukan setakat itu sahaja, malah wartawan itu telah mewawancara Missionary In-charge kita dan sekali lagi mereka menyiarkan wawancara itu di akhbar mereka. Dengan kurnia Allah Taala masjid yang pertama kali di bina di Jepun, berita itu pun mereka siarkan di dalam akhbar. Dengan kurnia Allah Taala tempat berdirinya masjid kita, kawasannya agak luas dan mempunyai sebuah dewan. Ketika dibina masjid tersebut, kebetulan dewannya betul-betul menghadap ke kiblat, kerana itu kedudukkannya tidak perlu diubah. Dengan terbinanya masjid itu dapat memperkenalkan ajaran Islam melalui Jemaat kepada orang-orang Jepun. Seperti apa yang saya katakan, bukan hanya perasmian masjid dan lawatan saya ke Jepun yang dijadikan tumpuan oleh wartawan di sana tetapi wartawan mereka sekali lagi datang untuk mengadakan wawancara dengan missionary in-charge kita dan sekali lagi mereka menyiarkan di dalam akhbar, kerana timbul rasa senang dalam diri mereka ketika mereka mengadakan wawancara dengan kita. Inilah kurnia Allah Taala yang tidak dapat kita hitung.

Selama lawatan saya kira-kira 182 juta orang yang mengikuti perkembangan Jemaat, samada di radio dan di televisyen. Begitu juga terdapat 1088 akhbar dan melalui akhbar tersebut, kira-kira 160 juta orang yang membaca perkembangan Jemaat di dalam akhbar yang disiarkan itu. Maka lihatlah bagaimana kurnia dan ihsan Allah Taala, bagaimana Dia telah mengatur sedemikian rupa sehingga amanat Islam dan Ahmadiyyah yang hakiki dapat di sampaikan kepada dunia.

Melalui Media Massa jutaan orang yang menyaksikan amanat dan perkembangan Jemaat. Seorang pegawai atasan televisyen broadcast Ghana telah mulai mengambil program dari M.T.A. untuk disiarkan di televisyen Ghana. Ketika acara Jalsa Salana di Ghana tahun 2013 seluruh program acara Jalsa disiarkan melalui satelit dan selain negara Ghana, negara-negara yang lain pun mendapat siaran tersebut. Oleh itu, lihatlah bagaimana luar biasanya jalan yang dibuka oleh Allah Taala untuk menyampaikan amanat Islam ini. Pelbagai respon yang saya terima, yang membuatkan hati mereka tersentuh. Orang-orang bijak-pandai seperti ahli politik dan pembuat dasar negara, apabila mereka mengetahui ajaran Islam yang hakiki yang dibawa oleh Jemaat, mereka rasakan ajaran yang diperolehi itu seperti baru bagi mereka. Sedangkan ajaran tersebut bukanlah suatu ajaran yang baru. Bagi pandangan mereka perkara tersebut suatu yang sangat mengkagumkan, mereka menyatakan rupanya masihh ada lagi ajaran Islam seperti ini pada masa kini. Oleh itu, lihatlah betapa banyaknya kurnia yang dianugerahkan Allah Taala yang Jemaat perolehi dari pelbagai sudut.
Sebahagian perangai orang-orang munafik mulai menceritakan perkara yang tidak baik tentang Jemaat. Jemaat ini memperoleh kemajuan melalui seseorang atau mereka mempersoalkan kenapa wang Jemaat digunakan dengan cara yang membazir? Sebenarnya, orang-orang yang seperti ini memang wujud di dalam Jemaat tetapi sebenarnya untuk menyampaikan amanat Jemaat ini tidak memerlukan seseorang manusia pun.

Semua urusan yang dilakukan itu adalah kurnia Allah Taala dalam menyampaikan amanat Jemaat bukan untuk membazirkan wang Jemaat, bukan seperti orang-orang yang menyebarkan khabar angin tanpa usul-periksa. Jadi orang-orang yang seperti ini, anggota Jemaat perlu berhati-hati. Seperti yang saya sebutkan tadi bahawa pekerjaan ini bukanlah usaha daripada manusia tetapi pekerjaan itu adalah semata-mata kurnia daripada Allah Taala. Jika Allah Taala tidak meredhai, bagaimanapun kita berusaha untuk melakukan pekerjaan itu, maka usaha itu tidak akan pernah tercapai. Malah ketika saya mengadakan lawatan di pelbagai tempat dan saya perhatikan kebanyakkan anggota Jemaat memiliki semangat yang tinggi untuk bertemu dengan saya. Tetapi orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi mereka sedikit pun tidak mempunyai perasaan seperti itu. Dan disebabkan ada sesuatu perkara, saya menolak untuk berjumpa dengan mereka dan setelah itu orang-orang ini berkali-kali mendesak supaya saya dapat berjumpa dengan mereka. Dengan perbuatan mereka itu, orang-orang Jemaat menjadi saksi akan perkara tersebut. Oleh itu, jangan sekali-kali mempunyai anggapan bahawa melalui orang tertentu amanat Jemaat baru dapat di sampaikan, pemikiran yang seperti itu adalah pemikiran yang tidak benar sama-sekali. Semua urusan itu adalah kurnia Allah Taala yang dijanjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa ‘Aku akan sampaikan tablighmu ke seluruh pelusuk dunia’, bukannya dari seseorang yang menyampaikan amanat tersebut.

Oleh itu, setiap orang Ahmadi haruslah ingat bahawa kita tidak mengharapkan apa-apa dari orang-orang duniawi dan dari pemimpin-pemimpin dunia dan kami pun tidak memerlukan daripada mereka. Kita hanya bergantung harap dengan zat Allah Taala, Dia-lah Pelindung dan Dia-lah Penolong, yang telah memperlihatkan kemajuan yang luar biasa di hadapan kita semua.

Melihat akan kemajuan Jemaat di Afrika, para ulama dan pemimpin-pemimpin mereka mulai merasa cemburu dan kesal. Mereka mulai menunjukkan rasa tidak senang hati kerana dunia telah berkumpul di bawah bendera Allah Taala dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Malah dalam fikiran mereka, menyatakan bahawa melalui Jemaat Ahmadiyyah orang-orang mulai menjadi Muslim yang hakiki. Di Afrika, beberapa hari yang lalu, orang-orang ini, mereka berusaha untuk menghalang perkembangan Jemaat.

Mereka menyatakan, apa yang sudah terjadi, semua orang telah menjadi Muslim melalui Jemaat Ahmadiyyah. Kami inginkan supaya Islam disebarkan dengan kekerasan dan kekejaman dan orang-orang ini pula menjadi Muslim lalu mereka menjauhkan segala fitnah dan kekacauan. Inilah yang sedang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin duniawi yang banyak terdapat duri yang tajam begitu juga para ulamanya.

Seorang muballigh kita di Togo menceritakan, beliau telah berkunjung ke sebuah tempat yang bernama Ayakope dan orang-orang Nou Mubayyin berkata, sebelum ini ada sekumpulan orang-orang Muslim telah datang ke sini dan memberikan kami makanan dan barang-barang lalu mereka berkata, bahawa kami mengajak anda semua untuk menerima Islam. Lalu kami berkata kepada mereka anda datang ke sini untuk membawa kami masuk ke dalam Islam atau untuk menyogok kami? Kami sekali-kali tidak akan melakukan perkara seperti itu kerana diri kami telah menjadi Jemaat Ahmadiyyah dan Jemaat telah melakukan tabligh kepada kami dan sebelumnya lagi kami telah menerima Islam. Dan kami tidak memerlukan sogokan daripada anda. Jemaat telah mengajarkan tentang kecantikan Islam kepada kami begitu juga Jemaat telah mengajar anak-anak kami cara mendirikan solat dan mengaji Al Quran, sebab itu kami tidak memerlukan sogokan dari anda dan bawalah kembali barang-barang yang anda berikan kepada kami ini. Islam yang anda bawa, kami tidak sudi menerimanya. Kami hanya menerima Islam hakiki yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, yang tabligh itu, seperti yang pada masa kini yang dibawa oleh Jemaat Ahmadiyyah, yang membuatkan keimanan kami kepada Allah Taala menjadi semakin meningkat. Dan pada masa sekarang masjid pun telah dibina untuk Nou Mubayyin.
        
Begitu juga seorang muballigh dari Niger menceritakan, sebuah bandar di Barnikoni, terdapat sebuah kampung bernama Botoro, ketika diadakan pertablighan di kampung tersebut, dengan kurnia Allah Taala seluruh kampung di situ telah baiat dan masuk ke dalam Jemaat. Sejurus itu, Jemaat telah mengajar Yassarnal Quran kepada anak-anak di kampung tersebut dan Jemaat juga telah mengadakan refreshing course untuk para imam di situ, begitu juga Jemaat telah mengadakan kelas tarbiyyat untuk mereka. Apabila berita ini diketahui oleh seorang Maulvi Wahabi maka dia pun membawa sekumpulan Maulvi ke kampung tersebut dan mereka mulai menyebarkan fitnah dalam ceramah mereka, dengan menyatakan bahawa orang-orang Ahmadi adalah kafir, oleh itu kalian hendaklah keluar dari Jemaat Ahmadiyyah, kerana kami akan membina masjid dan masjid tersebut akan diberikan kepada kalian.

Setelah mendengar ucapan para Maulvi itu, ketua kampung di situ, dia memberitahu kepada para Maulvi yang datang ke kampungnya bahawa semenjak saya dilahirkan dalam Islam dan umur saya sekarang sudah berada di hujung usia, saya tidak pernah melihat anak-anak di kampung ini membaca Al Quran dan membicarakan tentang Islam tetapi berkat daripada Jemaat Ahmadiyyah yang datang ke sini, anak perempuan saya boleh mendengarkan kepada saya doa-doa dan membaca hadis-hadis di hadapan saya. Oleh kerana anda sekalian, kerana anda pertama kali datang ke kampung ini dengan melakukan keributan, maka kali ini saya maafkan anda semua tetapi jika sekali lagi anda datang ke kampung ini dan membuat keributan maka kaum lelaki yang berada di kampung ini akan membelasah kalian semua.

Apabila para Maulvi tadi mendengar ancaman tersebut, mereka mulai rasa ketakutan dan tanpa berlengah lagi, mereka ambil kenderaan lalu beredar dari kampung itu.

Seorang muballigh dari Burkinafaso menceritakan sebuah daerah Banfura, Jemaat Niankara, di sana anggota Jemaatnya seramai 210 orang yang baiat pada tahun ini. Di kampung itu terdapat dua buah keluarga yang mengikuti ajaran Ansari Deen. Mereka ini mendesak supaya orang-orang Jemaat meninggalkan ajaran Jemaat dan masuk ke dalam firkah Ansari Deen. Tetapi orang-orang Jemaat di situ tidak memperdulikan mereka malah orang-orang Jemaat di situ berkata, bahawa melalui pertablighan dan tarbiyyat Jemaat-lah kami merasa ketenangan dan kami tidak akan berpisah dengan Jemaat ini dan bukan menuju kepada kegelapan. Dan orang-orang Jemaat di situ, mereka juga membayar candah secara dawam.   
Begitu juga Jemaat kita di Benin, sebuah kampung  yang bernama Kodjromede. Ada seorang yang bernama Karim yang telah baiat, tetapi 2-3 bulan kemudian setelah dipengaruhi oleh para Maulvi, dia mulai melakukan penentangan terhadap Jemaat. Suatu kali mu’alim kita memberitahu kepada Amir Jemaat bahawa orang yang telah keluar daripada Jemaat tadi, dia telah mengeluarkan bahasa yang kesat lalu Amir Jemaat berkata kepada mu’alim itu, ia tidak menjadi masalah. Allah Taala telah berjanji jika ada orang yang murtad maka Allah Taala akan menggantikan dengan satu Jemaat yang lebih besar. Dan pada hari yang sama juga, mu’alim dan Amir Jemaat telah pergi ke sebuah kampung  Akonopey, di kampung itu rajanya juga sebagai sebagai ketua kampung di situ dan kami telah bertabligh dengannya dan setelah ditablighi, raja itu pun telah masuk ke dalam Jemaat. Kemudian di sebuah kampung di Waga, kebetulan kami berjumpa dengan dua orang di kampung itu dan mereka memberitahu supaya kami datang ke kampungnya dan bertabligh di sana, maka setelah solat Maghrib kira-kira 32 orang telah masuk ke dalam Jemaat setelah kami bertabligh dan menerangkan tentang Jemaat kepada mereka. Maka di kampung itu berdirilah sebuah Jemaat yang baru. Dan orang yang murtad tadi, sebenarnya atas sesuatu masalah dia dikehendaki oleh polis, maka orang itu telah pergi keluar dari kampung tersebut.

Kemudian muballigh in-charge dari Nigeria menceritakan, di daerah Cameroon  sebuah tempat yang bernama Foumban, orang-orang Muslim di situ, majoritinya adalah orang-orang kejam. Pertama kali telah diadakan Jalsa Yaumi Khilafat. Seperti biasa pada tahun-tahun yang lalu, kumpulan tabligh dari Pakistan datang ke Cameroon dan mereka menjadikan Jemaat sebagai sasaran mereka. Berita tentang Jalsa Yaumi Khilafat telah disiarkan secara langsung di televisyen dan radio dan berita itu sampai ke pengetahuan mereka, maka seramai 24 orang-orang tabligh bersama 10 orang dari Kenya, 15 dari Cameroon dan Chad telah sampai di sempadan. Di daerah itu majoriti di antara mereka adalah orang-orang Jemaat. Imam dan Naib Imam di daerah itu juga, 3 tahun yang lalu telah menerima Jemaat. Kumpulan tabligh yang datang ke daerah itu telah berhubung dengan mu’alim kita. Mu’alim inilah yang telah menanam benih Jemaat di daerah tersebut dengan menyampaikan ajaran Jemaat dari rumah ke rumah. Ketika orang-orang tabligh itu ingin berjumpa dengan mu’alim itu di rumahnya, isteri mu’alim tersebut memberitahu bahawa beliau telah keluar. Oleh itu, orang-orang tabligh tadi mereka telah pergi ke masjid pusat Jemaat dan di masjid pusat, dengan kurnia Allah Taala masjidnya sangat besar lalu orang-orang tabligh itu pun berjumpa dengan ketua Imam di situ dan mereka memberitahu bahawa kami ingin mengadakan tabligh. Lalu Imam itu berkata, masjid ini dimiliki oleh Jemaat, jika anda ingin menyampaikan tabligh tetapi kalau tabligh yang anda sampaikan bertentangan dengan ajaran Jemaat, saya tidak akan izinkan anda bertabligh di masjid ini, kerana dengan kurnia Allah Taala kami semua di sini adalah Ahmadi Muslim. Oleh itu, anda tidak diizinkan dan anda semua boleh pergi dari sini. Malah ketika itu, laporan kepada polis juga telah di buat dan mereka pun telah di usir dari daerah itu.

Begitu juga para Maulvi dari Pakistan telah berkumpul di Afrika Selatan. Seramai 20 kumpulan Maulvi telah datang ke Afrika Selatan. Begitu juga para Maulvi yang datang dari Delhi, India, Arab Saudi dan sekumpulan lagi orang-orang tempatan, atas nama Judicial Counsel, mereka mengadakan persidangan untuk menentang Jemaat.

Dari Sierra Leone juga ada laporan bahawa ramai para tabligh Mullah yang datang dari Pakistan, Mesir dan Mullah yang belajar di Universiti Al Azhar dan pelajar-pelajar dari Sierra Leone yang menuntut di Arab Saudi, yang mendapat pembiayaan dari Arab Saudi dan dari situlah ratusan orang yang datang ke Sierra Leone. Menurut laporan setiap pesawat yang tiba ke Sierra Leone pasti ramai para Mullah mereka yang datang ke Sierra Leone. Dan mereka akan pergi ke bandar-bandar dan ke kampung-kampung, menghasut orang awam supaya menentang ajaran yang di bawa oleh Jemaat dan juga ajaran Syiah. Seharusnya mereka menjalankan tabligh tetapi sebaliknya mereka hanya menyebarkan fitnah dan membuat kekacauan. Malah ketika ini ada sebuah persidangan Afrika-Arab, mereka telah menyalurkan wang yang sangat besar untuk negara Afrika, terutamanya di negara Sierra Leone, tujuanya adalah untuk pembangunan dan membuka sekolah-sekolah di Sierra Leone. Berita mengenai hal itu di siarkan di akhbar-akhbar bahawa mereka akan membangunkan sekolah-sekolah di sana tetapi sebagaimana mereka berjanji akan membangunkan sekolah-sekolah dan peruntukan untuk pembangunan yang diberikan tidak pernah sampai kepada mereka. Jika sampai pun mereka akan makan wang itu sesama mereka. Inilah Insya Allah Taala, mereka semua akan menerima balasannya nanti.

Jika diperhatikan di mana sahaja Jemaat memperoleh kemajuan, di situ pasti ada kurnia daripada Allah Taala, tapi para musuh juga dengan gencarnya melakukan penentangan terhadap Jemaat. Walaupun penentangan yang mereka lakukan, penentangan itu tidak pernah mematahkan semangat kita dan kita tidak memikirkan hal itu dan memang tidak perlu memikirkannya. Kegagalan mereka, akhirnya telah tertulis dan telah ditakdirkan. Tetapi apa yang kita fikirkan ialah bahawa di masa yang akan datang juga Allah Taala akan menjadi pewaris kurnia bagi kita dan untuk menghadapi para musuh pula keimanan kita semakin bertambah kuat. Kita akan berusaha untuk menyempurnakan misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjadi yang terbaik daripada sebelumnya, dengan lebih banyak memanjatkan doa-doa, mengirimkan salawat dan beristighfar, semoga Allah Taala sentiasa memperlihatkan rahmat-Nya kepada kita dan memperluaskan kurnia-kurnia-Nya kepada kita. Dan perbuatan makar (rencana jahat) yang dilakukan oleh para musuh akan berbalik semula, menimpa diri mereka dan setiap penentangan yang mereka lakukan, penentangan itu akan diterbangkan ke udara. Semoga Allah Taala menurunkan lebih banyak lagi kurnia kepada kita daripada sebelumnya.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda, Allah Taala memberikan kekuatan di dalam doa. Allah Taala berkali-kali memberitahu kepadaku melalui ilham bahawa apa sahaja yang berlaku adalah melalui doa. Senjata kita adalah doa selain doa tiada senjata yang dimiliki oleh diriku. [Sirat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dari Hazrat Shiekh Ya’kub Ali Irfani Sahib, Halaman 518-519]

Hari ini adalah bulan Januari bagi minggu pertama dan ia adalah tahun baru bagi perjanjian Waqfe Jadid untuk tahun 2014. Melalui Allah Taala juga Waqfe Jadid ini wujud dan sedang dilaksanakan oleh Jemaat. Saya akan dihuraikan ulasannya dan ini semua adalah kurnia Allah Taala, melalui candah ini, wangnya digunakan untuk pertablighan, membina masjid-masjid dan digunakan untuk perkara-perkara penting yang lain. Oleh itu, tentang perkara ini, saya akan menerangkan lebih lanjut lagi. Seperti yang kita ketahui gerakan Waqfe Jadid sebelumnya hanya diperuntukkan di Pakistan sahaja. Tetapi di masa Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi, beliau telah melancarkan gerakan ini ke seluruh dunia. Hazrat Khaliaftul Maseeh Rabi, melancarkan gerakan ini supaya Jemaat di Afrika dan India dapat memperluaskan tugas-tugas Jemaat. Seperti yang saya beritahu bahawa dalam masa satu tahun negara Afrika dan India telah dapat mendirikan masjid-masjid dan rumah-rumah misi, dan ada juga rumah-rumah misi yang Jemaat telah membelinya. Selain daripada itu melalui pertablighan dengan kurnia Allah Taala banyak orang-orang yang berfitrat baik telah masuk dan menerima Jemaat Ahmadiyyah, yakni Islam hakiki iaitu berkat taufik yang dianugerahkan oleh Allah Taala.

Tidak ketinggalan juga orang-orang Ahmadi yang tinggal di negara-negara Afrika dan India, mereka juga telah melakukan pengorbanan menurut kemampuan mereka masing-masing, walaupun disebabkan kemiskinan mereka tidak mampu untuk memberikan dalam jumlah yang banyak untuk memenuhi segala pengorbanan. Oleh kerana itu, dari negara-negara yang kaya sangat membantu dalam gerakan ini supaya wang yang diperolehi itu dapat dibelanjakan untuk negara-negara Afrika dan India. Tetapi seperti yang saya sebutkan sebelum ini, walaupun mereka berada di paras kemiskinan tetapi semangat pengorbanan mereka sangat luar biasa.
   
Muballigh kita dari Guinea Conakry menulis, seorang pemuda Ahmadi yang bernama Muhammad menceritakan bahawa tarikh perkahwinannya telah ditetapkan tetapi wang untuk perbelanjaan perkahwinan belum mencukupi, dari mana sumber yang boleh diperolehi. Pihak wanita pula sudah mulai menunjukkan rasa putus harapan. Dan ketika itu pula, candah sedang ditagih daripada setiap anggota dan pemuda yang akan melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi itu telah memberikan wang yang dia simpan untuk perkahwinan itu untuk membayar candah. Ketika tunangnya mengetahui hal itu, dia mulai ribut, menunjukkan rasa tidak senang. Dia menyatakan kepada pemuda itu, apa yang telah engkau lakukan? Wang yang sedikit itupun engkau telah berikan untuk candah. Lalu pemuda itu berkata kepada tunangnya, dengan kurnia Allah Taala, aku seorang yang beriman dan yakin akan keberadaan Tuhan. Engkau jangan merasa risau, Allah Taala pasti akan menolong kita. Orang yang membelanjakan hartanya di jalan-Nya, Dia tidak akan mensia-siakannya. Dia memberitahu bahawa pada hari esok, ketika dia pergi kerja, wang yang sudah lama tertunggak yang belum dia perolehi, tiba-tiba pada hari itu dia mendapat wang tunggakannya itu.

Apabila petangnya dia pulang ke rumah dengan membawa wang itu, orang-orang di rumah merasa terperanjat bagaimana Allah Taala dengan begitu cepat memberikan kurnia-Nya.

Kemudian, perhatikanlah, bagaimana orang-orang seperti ini berkorban dengan senang hati dan dengan kerelaannya.

Di Benin, muballigh kita menulis, pada tahun pertama di daerah Cotanou di kawasan Atlantik, hujan turun dengan lebatnya, membuatkan seluruh tanaman menjadi musnah dan mengakibatkan orang-orang di daerah itu kebuluran. Seluruh tanaman ditenggelami air dan mereka tidak memiliki apa-apa untuk dimakan, apalagi untuk membayar candah. Melihat keadaan yang sudah gawat itu, maka mereka menulis surat kepada saya untuk didoakan supaya keadaan dapat pulih semula. Salah seorang anggota Jemaat di situ membuat keputusan, dia menyatakan bahawa kita masih mampu membayar candah ketika tanaman kita tidak ditenggelami air tetapi sekarang semuanya sudah musnah. Tetapi kali ini, kita sediakan sebidang tanah dan tanah itu kita letakkan atas nama Jemaat lalu di atas tanah itu, tanamlah apa sahaja dan hasil daripada tanaman tersebut kita berikan candah kepada Jemaat. Maka orang-orang di situ mulailah menanam tanaman di atas tanah Jemaat tadi. Begitu berkatnya Allah Taala berikan sehingga mereka mampu membayar candah sebanyak 11,800 Francs.
Begitu juga seorang wanita dari Gambia berkata, apabila orang yang mengutip candah datang ke rumahnya, lalu dia berkali-kali masuk ke dalam rumah dan mengambil berapa sahaja wang daripada setiap anak-anaknya untuk diberikan candah lalu anak-anaknya pun ikut mengambil di kantung, yang berisi berapa sahaja duit di kantung itu, untuk dibayarkan candah. Muballigh menceritakan, wanita itu berkata, kenapa kita harus tinggal di belakang demi untuk mendapatkan pahala. Begitulah Allah Taala menanamkan dalam hati anak-anak itu tentang kepentingan candah.   

Seorang lagi wanita nou mubayyin dari Gambia, dia pergi keluar untuk mendapatkan sabun untuk mencuci pakaiannya tetapi dalam perjalanan dia mendapat tahu bahawa perjanjian untuk pembayaran candah sedang dilaksanakan dan setiap orang diminta untuk membayar berapa sahaja yang termampu. Maka setelah wanita itu mendengar pengumuman itu, maka wang yang dia mahu beli sabun untuk mencuci pakaiannya, dia berikan untuk candahnya lalu dia berkata, sabun yang dia ingin beli tadi, Tuhan yang akan memberikannya. Lihatlah, bagaimana rencana Allah Taala, selepas dua hari kemudian tiba-tiba muncul seorang tetamu yang datang ke rumahnya dan membawa satu kotak sabun sebagai hadiah.        

Begitu juga seorang wanita di Benin, dengan secara sembunyi-sembunyi memperlihatkan kebaikannya dan selalu mengambil bahagian dalam tugas agama. Beliau mempunyai kebiasaan dalam membayar candah dan pada awal tahun apabila mendengar sahaja pengumuman perjanjian candah, maka beliau akan mengingat kurnia yang Allah Taala anugerahkan kepadanya dan beliau memberikan candah sebanyak 100,000 Francs. Dan apabila pengutip candah tadi, memberitahu kepadanya bahawa kami pun sedang menunggu pembayaran candah daripada salah seorang anak perempuannya yang berjanji akan membayar candah, mendengar kata-kata orang itu, maka wanita itu langsung memberikan 30,000 Francs untuk anak perempuannya. Lihatlah, bagaimana kepribadian orang yang seperti ini, dia sanggup meninggalkan keinginan peribadinya dan menganggap membayar candah, adalah suatu yang lebih penting.

Begitu juga muballigh kita di Tanzania menulis, bagi yang belum memberikan candah apabila mereka mendengar peringatan itu, mereka langsung memberikan candah mereka, sedangkan keperluan mereka yang lain lebih banyak, tetapi mereka meletakkan keperluan yang lain itu di belakang dan mereka langsung memberikan perhatian terhadap pembayaran candah.

Amir Jemaat Mali menulis, apabila Muallim kita Abdul Kadir mengumumkan tentang gerakan candah dan memberitahu tentang kepentingan serta berkatnya, seorang imam di situ dia sangat miskin, untuk membeli basikal pun dia tidak mampu. Imam itu bertanya, berapa yang perlu saya bayar untuk candah? Lalu Muallim Sahib berkata, seberapa sahaja yang Tuhan berikan taufik kepada tuan, itulah yang tuan harus bayar. Muallim itu berkata lagi, usahakan, berapa pun yang tuan berikan daripada tidak ada. Lalu imam itu member sebanyak 1,000 Francs. Imam itu berkata kepada dirinya, jika benar dengan membayar candah akan mendapat berkat maka daripada berbasikal alangkah baiknya jika dapat motosikal? Dan setelah enam bulan berlalu, bagaimana Allah Taala memberikan taufik kepadanya untuk membeli motosikal dan daripada candahnya 1000 Francs sebelum itu dan sekarang dia telah membayar menjadi 65,000 Francs.

Begitu juga di Haryana, India, seorang Ahmadi budgetnya sebanyak 12,000 Rupees, apabila diberitahu tentang kepentingan candah, dia menyatakan bahawa gajinya sebanyak 50,000 Rupees sebulan. Oleh itu, dia menyediakan wang untuk membayar candah menurut budgetnya. Maka sejak dari itu, dia mulai membayar candah secara dawam.

Di India, Inspektor Waqfe Jadid menulis, seorang guru wanita di Jamu Kashmir, dari seluruh daerah di situ, candah Waqfe Jadid, wanita itulah yang paling besar jumlahnya. Daripada pendapatannya dia membuat satu kaedah, apabila budget baru Waqfe Jadid diterima dari Khalifah, dia akan menetapkan budget untuk pembayaran candahnya. Dan apabila perjanjian diminta daripadanya maka dia akan memberikan lebih daripada perjanjiannya, yang dia telah tetapkan sebelum itu. Dan dia adalah orang-orang yang paling awal dalam senarai pembayar candah. Dan pada tahun ini, dia telah memberikan sebanyak 20,000 Rupees bagi pihak suaminya yang telah meninggal.

Kemudian Inspektor Waqfe Jadid menulis, Jemaat di Asnoor, seorang yang bernama Khawaja Sahib, setiap kali datang untuk mengambil candah daripadanya, dia pasti akan menceritakan kisah-kisah tentang kemajuan yang dia perolehi. Kali ini ketika Inspektor Waqfe Jadid datang kepadanya, dia menceritakan bahawa saya banyak belajar daripada peniaga-peniaga yang miskin dan mereka berlumba-lumba untuk bersaing dengan saya dalam perniagaan. Dan saya berdoa semoga mereka pun mendapat kemajuan. Tetapi alangkah baiknya jika mereka pun bersaing dalam pembayaran candah. Dia memberitahu, ketika barang-barangnya tiba di bazar, walaupun harga menurun pada hari itu, maka Allah Taala sendiri yang menyediakan harga yang baik untuk saya.

Tidak terkira banyaknya para wanita dan lelaki yang telah memberikan pergorbanan harta dan yang memang memahami akan kepentingan membayar candah. Mereka bukan bergantung harap pertolongan daripada orang-orang dari luar tetapi mereka sendiri yang berkorban dan berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri. Daripada kisah ini, dapat diketahui bagaimana semangat orang-orang Ahmadi dalam pengorbanan, yang telah diajarkan dalam Al Quran tentang pengorbanan kepada kita. Dan tentang kepentingan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ada mengemukakan untuk kita pada zaman ini.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda, manusia sangat mencintai harta dunia, dengan itu menurut ta’bir rukya ada tertulis, jika seseorang melihat hatinya dikeluarkan dan diberikan kepada seseorang maka ta’birnya, dia akan diberikan harta. Kerana itu, untuk memperoleh ketakwaan yang hakiki dan iman, Allah Taala berfirman LANTANALUL BIRRA HATTA TUNFIQUU MIMMA TUHIBBUN yakni, sekali-kali kamu tidak akan mencapai kebaikan yang sempurna, sebelum kamu membelanjakan sebahagian dari apa yang kamu cintai. [Ali Imran:93] kerana dengan mempunyai rasa simpati kepada orang lain melibatkan juga pengorbanan harta, tanpa berbuat demikian maka keimananmu tidak akan sempurna. Selagi seseorang itu tidak mahu berkorban bagaimana dia dapat memberikan faedah kepada orang lain. Dan ayat LANTANALUL BIRRA HATTA TUNFIQUU MIMMA TUHIBBUN ayat inilah yang memberi pelajaran kepada kita. Dengan membelanjakan harta di jalan Allah Taala adalah suatu tanda ketakwaan seseorang itu. Ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyeru tentang pengorbanan maka Hazrat Abu Bakar r.a. segera hadir dan mempersembahkan segala harta di rumahnya di hadapan baginda. [Malfuzat Jilid 1, Halaman 367-368, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]

Semoga Allah Taala menganugerahkan berkat ke atas orang-orang yang telah memberikan pengorbanan dan memberi berkat kepada mereka yang telah memahami tentang roh pengorbanan.
Pada hari ini, saya akan kemukakan pengorbanan Waqfe Jadid tahun lalu, iaitu bagi tahun yang ke 56. Dan bagi tahun yang ke 57, iaitu tahun 2014 juga akan saya kemukakan.

Bagi tahun yang lalu, iaitu tahun yang ke 56, dengan kurnia Allah Taala jumlah yang terkumpul adalah sebanyak 5,484,000 Pounds. Dan jumlah itu melebihi sebanyak 466,000 Pounds pada tahun lalu. Dan pada tahun ini negara United Kingdom menduduki tempat yang pertama. Kedudukan United Kingdom di tempat pertama yang ingin saya katakan kerana pada tahun lalu negara Pakistan berada di tempat yang pertama.

Jadi pada tahun ini Pakistan berada di tempat yang kedua, kemudian tempat ketiga adalah Amerika, keempat Jerman, kelima Kanada, keenam India, ketujuh Australia, kelapan Indonesia, kesembilan Timur Tengah dan kesepuluh adalah Belgium.

Dengan kurnia Allah Taala, pada tahun ini United Kingdom dapat menggumpulkan jumlah yang tinggi. Semoga Allah Taala memberkati bagi mereka yang telah memberikan pengorbanan. Kali ini Amerika dan Jerman ketinggalan di belakang. Mereka perlu berusaha lebih jika mereka ingin mendapatkan tempat yang pertama dan mereka perlu berusaha untuk mengekalkannya kerana untuk mereka melompat, kelihatannya mereka harus melompat lebih tinggi lagi.

Jumlah peserta yang ikut membayar Waqfe Jadid adalah seramai 1,044,720 orang. Daripada jumlah tersebut nou mubayyin dari negara Afrika yang paling banyak mengambil bahagian dalam gerakan ini. Tetapi di masa akan datang perlu diambil perhatian terutama bagi negara Afrika, walaupun mereka memberikan sebanyak 10 Pence, nama-nama mereka perlu disenaraikan supaya kita dapat mengetahui jumlah sebenar orang-orang yang membayar candah Waqfe Jadid.

Penambahan jumlah yang terkumpul yang paling banyak, adalah dari negara Nigeria, Ghana dan Mauritius. Kedudukan tiga teratas bagi Waqfe Jadid bagi wilayah-wilayah di Pakistan, iaitu tempat pertama adalah Lahore, kedua Rabwah dan ketiga Karachi. Pembahagian bagi daerah pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi, Islamabad, Faisalabad, Sargodha, Gujranwala, Gujrat, Multan, Narowal dan Haideabad.

Daftar Athfal bagi Jemaat besar pula, tempat pertama, adalah Lahore, Karachi dan Rabwah. Daftar Athfal bagi wilayah pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi. Dan bagi yang baligh pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi, Islamabad, Faisalabad, Sargodha, Gujrat, Narowal, Multan Nankana Sahib.

Bagi keseluruhan 10 teratas Jemaat-jemaat besar di United Kingdom, tempat pertama adalah Birmingham West, Gillingham, Raynes Park, Masjid Fazal, Worcester Park, Hounslow North, Wimbledon, Bradford South, Balham dan New Malden. Bagi daerah pula, tempat pertama adalah Middlesex, South London, Midlands dan North-East. Daftar bagi Jemaat-jemaat kecil, tempat pertama adalah Spen Valley, Bromley&Lewisham, Devon&Cornwall dan Northampton.

Bagi Jemaat Amerika pula 10 teratas tempat pertama adalah Los Angeles Inland Empire, Silicon Valley, Detroit, Seattle, Los Angeles East, Central Jersey, Silver Spring, Central Virginia, Dallas dan Boston.

Bagi Lokal Jemaat Jerman 5 teratas, tempat pertama adalah Hamburg, Frankfurt, Gross Grau, Darmstad dan Wiesbaden. 10 Kutipan terbanyak bagi Jemaat Jerman, tempat pertama adalah Rotenburg, Nida, Freiburg, Mainz, Fulda, Neuss, Raven, Harpstedt, Kyllurg, Hannover dan Cologne.

Empat Jemaat terbesar teratas bagi Kanada adalah, Calgary, Peace Village, Vaughan dan Vancouver. Bagi Jemaat kecil pula adalah Edmonton, Durham, Ottawa, Saskatoon South dan Milton.

Keseluruhan bagi Jemaat India adalah Kerala, Jammu Kashmir, Andhra Pardesh, Tamil Nadu, West Bengal, Urissa, Karnatak, Qadian Punjab, Maharastra, Delhi dan Uttar Pardesh. Penerimaan terbanyak bagi negara India adalah Keralai, Calicut, Noot Town, Hyderabad, Qadian, Calcutta, Chenai, Bengardi, Bangalore, Rishi Nagar, Partarmaparam, Mihtutum dan Krinak. Semoga Allah Taala menerima pengorbanan mereka hendaknya.

Selepas solat nanti, saya akan memimpin solat jenazah, iaitu Mukarram Yusuf Lateef Sahib, dari Boston, Amerika. Beliau telah meninggal dunia pada 23 Disember 2013, berusia 93 tahun. Inna lillaahi wa inna ilaihi rajiun.

Beliau dilahirkan pada 9 Oktober 1920 di Tennessee, Boston. Setelah beliau membaca buku Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan Hazrat Muslih Mau’ud r.a. pada tahun 1948 beliau telah mendapat taufik untuk baiat. Beliau seorang Ahmadi, African-American. Beliau selalu menyatakan adalah suatu tanggungjawab bagi saya untuk baiat. Jika saya tidak berbuat demikian maka saya akan tergolong sebagai orang yang berpaling kepada Tuhan dan kebenaran. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran dan sebagai profesor yang mengajar di pelbagai Universiti. Beliau juga menulis pelbagai buah buku termasuk autobiografi beliau. Disebabkan kemasyhuran beliau, akhbar-akhbar di Amerika menyiarkan tentang kewafatannya. Ketika Presiden Clinton menjemput beliau ke White House dan walaupun beliau seorang African-American tetapi beliau datang dengan memakai Shalwar Kameez [Pakaian tradisi Pakistan]. Beliau memenangi Award dalam bidang beliau, menyerupai hadiah Nobel Prize. Disebabkan beliau seorang Ahmadi, beliau tidak ada kompromi dalam soal agama. Beliau banyak menulis mengenai muzik tetapi tempat-tempat yang ada jual alkohol beliau tidak akan hadir di situ. Beliau telah mendapat taufik mengerjakan Haji dan Umrah ke tanah suci. Sekretari Maal berkata, setiap bulan apabila beliau menerima cek, pertama sekali beliau akan membayar candah dan berkata, sebagaimana dahulu saya yakin, ketika saya baiat, begitu juga sekarang bahawa Ahmadiyyah adalah suatu jalan kebenaran. Dan inilah jalan yang dilalui oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Saya begitu yakin bahawa sesiapa yang mengikuti jalan ini maka ia tidak akan binasa dan saya yakin, dengan mengikuti jalan ini saya dan keluarga saya akan mendapat keselamatan. Dan keimanan saya menyatakan bahawa melalui Ahmadiyyat seluruh manusia diajarkan untuk bersaudara.

Beliau juga berkesempatan melawat ke Qadian dan Rabwah. Pada tahun lalu beliau berkesempatan juga datang ke Jalsa, London. Beliau sangat cinta dengan Khilafat. Beliau juga pernah berjumpa dengan Hazrat Khalifatul Maseeh Salis r.a., Khalifatul Rabi r.a. dan dengan saya juga. Ketika beliau datang ke Jalsa, London, beliau dalam keadaan sakit dan duduk di kerusi roda. Seorang yang baik dan berdisiplin. Dawam dalam mengerjakan solat Jumaat. Seorang yang merendahkan diri, menunjukkan kasih sayang dengan penuh hormat dan seorang yang mukhlis. Selain dengan orang-orang Ahmadi, beliau juga menunjukkan kerendahan diri dengan orang-orang yang bukan Jemaat. Beliau mendapat taufik memegang beberapa jawatan dalam Jemaat dalam tempoh yang panjang. Beliau sangat minat dengan Da’wat llallah. Beliau akan memberikan risalah-risalah dengan jiran-jiran, saudara-mara dan kawan-kawannya. Di poketnya sentiasa ada risalah-risalah yang boleh dibahagi-bahagikan kepada orang-orang dan di dalam kapal terbang pun beliau akan memberi risalah-risalah kepada orang-orang yang berada di dalam pesawat. Beliau menerbitkan dengan biaya sendiri buku Falsafat Ajaran Islam, buku tarbiyyat untuk anak-anak dan buku untuk orang-orang buta. Beliau seorang Musi, beliau meninggalkan seorang isteri, bernama Aisya Lateef dan seorang anak, Mukaram Yusuf Lateef Sahib. Semoga Allah Taala memberikan kesabaran dan keteguhan kepada mereka dan dapat meneruskan kebaikan yang dilakukan oleh beliau.

----------------------------<<<>>>----------------------------

Penterjemah

Abdul Latief Ahmad
Kota Kinabalu, Sabah

11 September 2014