Friday, January 30, 2015

Ringkasan Khutbah - 23 Januari 2015


Dalam khutbah yang lepas Huzur telah menjelaskan tentang bagaimana semangat kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Dengan memetik riwayat daripada Hazrat Muslih Mau’ud radhiallahu anhu beliau berkata; “Satu kali Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berada di stesen Lahore atau Amritsar dan kebetulan di situ datang Pandit Lekhram lalu memberi salam kepada beliau. Namun, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak mempedulikannya sedikitpun. Beliau akhirnya berkata dengan penuh semangat kepada para sahabat; dia tidak ada perasaan malu kah? Dia menghina Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam lalu dia datang kepada saya untuk memberi salam.” Dari kisah ini kita dapat mengambil kesimpulan betapa tingginya penghormatan beliau ke atas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Kemudian di Lahore ada satu pertemuan Arya. Atas jemputan mereka, beberapa anggota jemaat juga turut hadir. Penganjur acara itu menjanjikan bahawa tidak akan ada ucapan yang merendahkan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Namun, mereka tidak menepati janji di mana mereka telah memburuk-burukkan nama Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Apabila Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mendapat tahu tentang perkara itu, beliau berkata kepada para sahabat yang turut serta dalam majlis itu dengan penuh semangat; Kenapa kamu terus duduk di sana? Di mana semangat kecintaan kamu waktu itu untuk berbuat demikian? Kenapa kamu tidak bangkit sahaja meninggalkan majlis seperti itu?

Kemudian Huzur juga menceritakan berkenaan dengan khabar ghaib Deputy Abdullah Atham yang mana kesempurnaannya menjadi tanda yang sangat agung buat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Kemudian para muballigh Kristian juga telah cuba mempermainkan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dengan membawa orang buta, pekak dan orang cacat. Mereka mengatakan bahawa “Al-Maseeh boleh menyembuhkan penyakit-penyakit ini, jadi tuan perlihatkan kepada mereka bahawa tuan boleh menyembuhkannya”. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjawab; “saya tidak mendakwakan sedemikian rupa. Di dalam kitab kamu ada tertulis bahawa jika kamu mempunyai iman walaupun sedikit lalu kamu mengatakan kepada gunung untuk bergerak, maka ia akan bergerak, dan juga mukjizat yang aku perlihatkan kamu pun boleh melakukannya. Jadi, jangan minta dari saya perkara ini tetapi sekarang ada orang buta, pekak dan cacat di sini, jika kamu ada iman walau sebesar biji sawi, maka perlihatkanlah bahawa kamu boleh menyembuhkannya”. Mendengar ucapan beliau para muballigh itu dengan penuh rasa malu menarik-narik ketiga-tiga orang itu agar meninggalkan tempat berkenaan.

Kemudian berkenaan dengan kes di makhkamah atas masalah pos penghantaran. Dalam mengikuti perbicaraan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda; “Ini adalah satu permisalan yang sangat kecil dalam soal berpaksi atas kebenaran. Orang-orang yang sanggup meninggalkan perkataan yang benar untuk mendapatkan manfaat peribadi, mereka harus mengukur diri sendiri. Orang-orang yang mencari pelindungan dalam suatu negara (asylum seeker) atau suatu syarikat yang ingin mendapatkan insuran, mereka menggunakan jalan yang tidak betul, orang-orang seperti ini juga hendaklah muhasabah diri mereka masing-masing. Menggunakan jalan salah untuk mendapatkan manfaat duniawi tidak mencerminkan kecantikan seorang Ahmadi”.

Huzur juga menjelaskan bahawa sepanjang khutbah berlangsung, bercakap atau melarang orang lain bercakap adalah dilarang kerana khutbah adalah bahagian daripada solat Jumaat, sebab itu jangan berkata-kata semasa khutbah disampaikan. Anak-anak di rumah juga hendaklah diberi kefahaman mengenai hal ini sejak awal-awal lagi. Tarbiyat haruslah dimulakan sejak umur masih kanak-kanak.

(Roznamah Alfazl, 27 Januari 2015)


Sunday, January 25, 2015

Ringkasan Khutbah - 19 Disember 2014


Merujuk kepada serangan di Peshawar Pakistan di mana satu sekolah telah diserang dengan begitu buas dan ganas sehingga mengorbankan anak-anak yang maksum, Huzur dalam khutbahnya berkata:

            “Kejadian ini satu contoh keganasan yang sangat buruk sehingga meremang bulu roma mendengarnya. Kejadian ini boleh menjadikan manusia merintih dan ketakutan. Orang yang memiliki perikemanusiaan yang sedikitpun menzahirkan kesedihan dan kekecewaan mereka.”

“Kita sebagai Ahmadi yang memiliki perikemanusiaan yang tinggi, yang sentiasa bersedia setiap masa mengkhidmati kemanusiaan. Jika ada sahaja kejadian seperti ini berlaku, maka hati kita menjadi tidak tenteram. Kejadian ini telah memberi kesan kepada diri saya sepanjang hari dan berdoa kepada Allah Ta’ala agar membersihkan Negara ini dari orang zalim dan penjahat, malah saya berharap semua Negara-negara Islam bersih dari orang-orang seperti ini.”
           
“Kejadian ini juga telah menyegarkan kembali luka lama yang telah menimpa orang-orang Ahmadi. Pesta darah seperti telah menimpa kita empat tahun setengah yang lepas ketika Baituz Zikir di Lahore telah diserang pada tahun 2010. Kejadian seperti ini dan kezaliman yang menimpa kita, bukan sahaja kerajaan malah orang awam juga merasa ia tidak perlu diberi perhatian. Tetapi kita sebagai Ahmadi yang memiliki perikemanusiaan, apatah lagi mereka adalah bangsa kita, sudah pasti ia sangat menyentuh hati.”

            “Semoga Allah mengampunkan dan merahmati mereka dan memberikan kesabaran dan semangat kepada ibu bapa mereka.”
           
“Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga dalam peperangan sangat menekankan agar jangan mengangkat pedang ke atas wanita dan anak-anak yang bukan Islam.”

Kejadian keganasan dan kezaliman ini hampir berlaku di setiap Negara-negara Islam. Bukan sahaja Pakistan malah Iraq, Syam dan Libya serta Negara-negara lain juga menghadapinya. Mereka bukan sahaja sekadar berperang secara zahir, malah turut merosakkan generasi masa mendatang. Mereka semakin jauh dari agama.

Semua serangan-serangan seperti ini bertentangan dengan Islam. Agama yang hakiki adalah kasih sayang dan persaudaraan.

Al-Quran melarang perbuatan zalim, Islam mengajarkan keadilan, taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan berselisih sesama sendiri, ia boleh menyebabkan hati menjadi keras dan semangat menjadi hilang. Banyakkan bersabar, Allah Ta’ala bersama dengan orang-orang yang sabar.

Selagi tidak berusaha untuk berlaku adil dengan musuh, selagi tidak berusaha mengikat tali persaudaraan, selagi kerajaan tidak memperhatikan rakyatnya, dan selagi rakyat tidak patuh kepada kerajaan, dan selagi tidak ada ketakutan kepada Allah Ta’ala, selagi itulah kezaliman seperti ini tidak akan berakhir.  

Semangat perikemanusiaan telah ditanamkan dalam diri kita oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Beliau bersabda bahawa berlembutlah dengan orang-orang mukmin. Jadi, letakkan perkara ini di hadapan. Setiap orang hendaklah muhasabah diri masing-masing, sejauh mana dia berperikemanusiaan kepada saudaranya.

Kasihilah hamba-hamba-Nya, jangan berbuat zalim sama ada dengan tangan, lidah atau sebagainya, berusahalah untuk kebaikan semua makhluk, jangan sombong, jangan mencaci sesiapa, jalankan kehidupan dengan cara miskin, lemah lembut, bersangka baik, dan berperikemanusiaan agar kamu di terima di sisi Allah.

Tuhan menginginkan agar kamu berlaku adil dengan semua manusia.

Huzur berkata:
            “Kezaliman yang berlaku di Pakistan ini sesungguhnya sangat menyedihkan hati kita.  Untuk menghentikan segala kezaliman dan peperangan ini  Allah Ta’ala telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sesuai dengan janji-Nya, dan sebagai gantinya akan dilaksanakan dengan kasih sayang. Alangkah baiknya orang ramai memahami perkara ini.

Huzur berkata:
            “Doakanlah untuk Pakistan dan Negara-negara Islam yang lain. Semoga Allah mendirikan keamanan di semua Negara-negara Islam di dunia.

Wednesday, January 21, 2015

Ringkasan Khutbah – 16 Januari 2015

Petikan-petikan dari khutbah Huzur:-

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersalawat untuk nabi. Wahai orang-orang beriman, bersalawatlah untuknya dan sampaikanlah salam keselamatan kepadanya”. (Al-Ahzab:57)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah Ta’ala menurunkan begitu banyak berkat ke atas nabi-Nya. Para malaikat Tuhan juga berdoa untuknya dan memohon rahmat untuknya. Jika ini yang berlaku, sudah pasti segala usaha dan perancangan para musuh tidak akan berhasil memberikan kerugian ke atas nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Untuk mendapatkan hasil daripada matlamat pengutusan baginda, semuanya bergantung kepada kurnia Allah Ta’ala semata-mata. Penentang-penentang baginda tidak pernah berhasil sebelumnya dan tidak juga akan berhasil pada masa sekarang. Ini adalah keputusan daripada Allah Ta’ala. Justeru itu, dalam menunaikan tanggungjawab, kita hendaklah banyak bersalawat ke atas baginda yang sangat dikasihi, yang sempurna, dan nabi yang terakhir itu.

Keberhasilah itu akan dapat diperolehi dengan sempurna dengan cara banyak bersalawat ke atas baginda. Alangkah baiknya jika orang dunia dapat memahami bahawa ajaran agama yang hakiki tentang kasih sayang dan kecintaan dapat mempercepatkan dunia dipandu ke arah agama yang hakiki.

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bersalawat untuk nabi”. Satu hal yang asas bahawa segala gerakan penentangan ini tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas kedudukan Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Tugas kita ialah memperhatikan bahawa kejahilan yang dipersembahkan kepada kita jangan dijawab dengan kejahilan, sebaliknya banyakkan bersalawat ke atas baginda.

Pertama kali selepas kejadian seperti ini, pelbagai media di dunia telah bertanya kepada Jemaat Ahmadiyah berkenaan dengan respon dan pendirian kita. Banyak siaran-siaran TV di seluruh dunia dan juga akhbar-akhbar telah menjelaskan pendirian jemaat, dengan ini jutaan orang telah dapat mendengar pendirian dari agama yang hakiki dan juga ajarannya.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa pada hari kiamat, orang yang paling dekat dengan aku ialah mereka yang paling banyak bersalawat ke atasku.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda mengenai salawat bahawa salawat tidak diberikan kepada mana-mana nabi sebagai tanda keagungan mereka. Dalam ruh baginda sallallaahu alaihi wasallam penuh dengan kebenaran dan kesetiaan. Amalan-amalan baginda sallallaahu alaihi wasallam sangat disukai pada pandangan Tuhan sehingga Allah Ta’ala telah memberikan perintah bahawa pada masa akan datang, bersalawat telah dijadikan sebagai tanda kesyukuran.

Salawat adalah sarana yang sangat berkesan untuk mencapai istiqomah, sebab itu bersalawatlah sebanyak-banyaknya, tetapi bukan seperti adat atau kebiasaan yang lain, malah ia hendaklah dilakukan dengan meletakkan kebaikan-kebaikan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, untuk kemajuan darjat dan kedudukan baginda, dan juga untuk kejayaan baginda sallallaahu alaihi wasallam. Hasilnya nanti adalah kamu akan mendapat buah pengabulan doa-doa yang lazat dan nyaman.

Salawat hendaklah dibaca atas tujuan ini iaitu semoga Allah Ta’ala menurunkan berkat yang sempurna ke atas Nabi yang Mulia Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan baginda menjadi sumber berkat-berkat ke atas sekalian alam, dan semoga kemuliaan dan keagungan baginda sallallaahu alaini wasallam akan muncul di dunia dan juga di akhirat. Semua ini hendaklah dilakukan dengan penuh perhatian.

Dengan kurnia Allah Ta’ala, di kalangan kita ramai yang membaca salawat dengan penuh perasaan dan Allah Ta’ala juga telah memperlihatkan kurnia-Nya. Doakan juga semoga orang yang membaca salawat di dalam Jemaat Ahmadiyah ini semakin meningkat yang manfaatnya juga untuk kemajuan jemaat.

Hazrat Muslih Mau’ud berkata bahawa apabila kita membaca salawat, maka hasilnya ialah darjat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam akan meningkat. Pertama sekali Allah Ta’ala akan memberikan berkat ke atas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kemudian melalui baginda pula kita mendapat bahagian daripada berkat itu.

Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk bersalawat dengan cara yang hakiki.

(Roznamah Alfazl, 20 Januari 2015)