Wednesday, February 11, 2015

Ringkasan Khutbah Huzur 06.02.2015

Dalam khutbah kali ini, antara lain Huzur mengatakan:-

Orang yang membaca buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terdapat berbagai niat. Ada yang membacanya hanya bertujuan untuk mencari suatu bahan yang boleh dikritik. Mereka tidak berusaha memahami apa yang ditulis. Orang yang seperti itu juga sanggup mencari suatu bahan kritikan walaupun terhadap Kalam Allah Ta’ala. Sebab itu Allah Ta’ala menyatakan dengan tegas bahawa Al-Quran itu adalah sebagai penawar untuk orang-orang yang beriman dan sumber petunjuk manakala bagi mereka yang melampaui batas, ia akan membawa mereka ke arah kerugian sehingga semakin jauh daripada Allah Ta’ala. Walaupun ia adalah Kalam Allah Ta’ala, ia tidak akan memberi manfaat sekiranya tidak dibaca dengan hati yang suci.

Berkenaan dengan kepentingan mendirikan solat, terdapat suatu kisah dalam kehidupan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam di mana beliau terlibat dalam perbiacaan kes di mahkamah. Ketika waktu solat tiba, perbicaraan masih belum bermula, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pergi menunaikan solat. Dan semasa ketiadaan beliau, nama beliau telah dipanggil untuk menghadirkan diri. Dan dalam undang-undang mahkamah, jika satu pihak tidak hadir, maka kes itu akan berpihak kepada pihak lawan. Namun, Allah Ta’ala menyukai perlakuan beliau sehingga hakim tidak memperhatikan kehadiran beliau dan kes itu berpihak kepada beliau dan ayahnya.

Berkenaan dengan kepentingan solat berjemaah, Hazrat Muslih Mau’ud ra menjelaskan; seseorang itu harus mengumpulkan semua ahli keluarga untuk solat berjemaah. Semua ini tidak diperhatikan oleh kebanyakan orang. Kita harus hindari perbuatan mendirikan solat secara bersendirian dan beralih kepada solat secara berjemaah. Jika Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak solat di masjid, beliau akan solat di rumah bersama ahli keluarga, dan sangat jarang sekali didapati bahawa beliau solat bersendirian. Malah bukan sahaja beliau bersama isteri dan anak-anak, wanita-wanita lain juga turut solat bersama. Jadi, jika anggota jemaat tidak dapat melaksanakan hal seperti ini, sekurang-kurangnya hendaklah melibatkan isteri dan anak-anak dalam solat berjemaah.

Kita semua harus berusaha mendirikan solat berjemaah di mana pun berada. Jika suatu kampung itu besar, pengaturan harus dibuat dalam kelompok yang kecil. Dan jika tidak ada masjid, harus berusaha mendirikannya. Dengan itu, kepentingan solat berjemaah akan dapat ditanamkan dengan baik walaupun sekadar bersama isteri dan anak-anak.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat menekankan agar setiap orang dapat melaksanakan solat sesuai dengan tuntutan-tuntutannya. Hazrat Muslih Mau’ud ra berkata bahawa jika solat dapat didirikan dengan penuh perhatian, ia sangat indah. Tetapi jika lalai maka ia menjadi tidak berguna. Keindahan solat terletak pada cara ia disempurnakan. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjelaskan agar jangan mendirikan solat ibarat ayam mematuk bijian, cara seperti itu tidak memberi apa-apa manfaat, bukan sahaja setakat itu malah ia boleh mengundang kemurkaan Tuhan.

Ada yang merungut kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa anak-anak muda tidak terbiasa memberikan salam kepada orang yang lebih dewasa. Beliau menjawab bahawa; perintah menyampaikan salam adalah untuk semua, yang muda dan juga yang dewasa.

Kenapa kita tidak mahu mengamalkan ajaran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan mengambil berkat Allah Ta’ala. Jika ada yang tidak mahu mengikuti ajaran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kenapa kita tidak menjadi orang pertama dalam perkara ini? Tidak ada perintah yang mengatakan bahawa orang muda yang harus memberikan salam kepada orang yang lebih dewasa. Jika orang muda tidak memberi salam, maka orang yang lebih dewasa yang perlu memulakannya sebagai ganti dari menyampaikan apa-apa kritikan. Orang senior harus meresapkan pelajaran ini dalam diri mereka. Semua pegawai yang lebih dewasa harus menunjukkan contoh yang terbaik.

Ada juga aduan yang sampai bahawa ada beberapa orang dewasa tidak menjawab salam daripada orang lain. Ringkasnya, kebiasaan memberi salam hendaklah disematkan dalam diri semata-mata menjunjung tinggi nasihat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkenaan dengan perkara ini.

Dalam soal keimanan, ia sangat aneh dan luar biasa. Terdapat satu kisah di mana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dibicarakan atas pertuduhan sebagai musuh ke atas orang-orang Arya. Dan beberapa majistret datang ke Lahore dan menekan majistret di situ untuk memberikan hukuman ke atas beliau walaupun cuma meletakkan beliau sehari di penjara. Orang ramai pun mula menunjukkan rasa tidak suka terhadap beliau. Khawaja Kamaluddin dan beberapa yang lain sampai di sana. Mendengar hal itu, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata kepada Khawaja Kamaluddin: “Khawaja Sahib! Apa yang tuan katakan ini? Adakah orang boleh meletakkan tangan mereka di atas Singa Allah ini?”

Akhirnya, Allah Ta’ala memberi hukuman ke atas majistret itu dengan memindahkannya ke Gurdaspur dan telah diturunkan pangkat. Majistret lain telah dihantar untuk mendengar kes.

Inilah buah keimanan, memang sangat luar biasa. Tidak ada yang boleh mengukurnya. Kemasukan orang-orang baru dalam jemaat hanya akan menjadi kemajuan kepada kita sekiranya mereka maju dalam keimanan dan keyakinan. Jika di dalam sebuah rumah ada 10 liter susu, kemudian ada yang menuangkan air biasa ke dalam susu tersebut lalu kuantitinya menjadi 20 liter, adakah kita gembira dengan pertambahan kuantiti susu itu?

Jadi, kepuasan hati dan kegembiraan kita yang sebenar ialah apabila susu ditambah dengan susu. Sebab itu, ahmadi lama dan baru hendaklah berusaha meningkatkan keimanan.

Dalam setiap kes, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sentiasa terbela. Menurut Hazrat Muslih Mau’ud ra, pertambahan anggota jemaat secara besar-besaran bermula pada tahun 1903, setiap hari 500 orang dan mungkin lebih menulis surat kepada beliau untuk menyatakan bai’at.

Pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, di Delhi pernah ada seseorang yang cuba mempermainkan beliau dengan berpakaian seperti polis dan mengancam beliau sehingga ada kejadian Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dipersendakan. Dan apa yang terjadi, orang yang mempersendakan atau yang menjadikan beliau dipersendakan oleh orang ramai telah terjatuh dari atas bangunan rumah sendiri sehingga meninggal dunia. Ini kerana orang itu telah menghina orang yang dikasihi oleh Allah Ta’ala.

Hari ini, mereka yang cuba mempersendakan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kekasih Allah Ta’ala, adakah mereka akan terhindar dari kemurkaan Allah Ta’ala? Tidak, mereka akan mendapat kehinaan dari Allah Ta’ala.

Respon atau tindakbalas yang perlu diperlihatkan oleh orang Islam bukanlah sepatutnya melalui tangan atau senjata mereka, tetapi dengan doa-doa. Dan malangnya, ini hanya diketahui oleh orang-orang Ahmadi. Jadi, apa yang kita perlu buat ialah sibuk berdoa dalam hari-hari genting ini.

Berkenaan dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga ramai orang memperkatakan bahawa beliau akan dijangkiti penyakit taun, tetapi sebaliknya orang yang berkata itu sendiri menderita penyakit berkenaan.

Jadi, majukanlah diri dan perlihatkan kepada dunia suatu perubahan. Kuatkan ketakwaan, sucikan diri, perbaiki hubungan dengan Allah Ta’ala. insyaAllah orang akan cenderung kepada kita. Ingatlah bahawa Ahmadiyah hanya akan berkembang melalui orang-orang seperti itu. Sekali kamu sudah berada dalam tingkatan ini atau setidak-tidaknya sudah mendekati kedudukan ini, maka, walaupun kamu tidak melangkah ke dunia luar, walaupun kamu hanya duduk di suatu tempat yang tersembunyi, sudah pasti orang akan datang dan berkumpul di sekeliling kamu dan insyaAllah akan turut bergabung di bawah bendera Ahmadiyah.

Ada seorang sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, Hazrat Maulvi Burhanuddin Sahib. Beliau sangat mukhlis. Sebelum bai’at, beliau seorang yang terkenal dalam kelompok Wahabi kerana kedudukannya. Setelah menjadi Ahmadi, beliau telah menjadi sangat sederhana sehinggakan apabila melihatnya, orang tidak mungkin menyangka bahawa beliau ini berilmu atau seorang ulama terkenal, orang akan menganggapnya seorang buruh biasa. Pernah sekali ketika balik dari bertemu dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dalam perjalanan beliau dilempari dengan kotoran kerbau oleh para penentang sehingga pernah juga mulut beliau disumbat dengan kotoran itu. Namun, setiap kali lemparan beliau terima, beliau jawab dengan begitu gembira; “Beruntung sekali! Dari mana datangnya hari yang sangat membahagiakan ini.”

Hazrat Muslih Mau’ud ra berkata: Bekerja dengan cara pantas boleh mengubah nasib seseorang dan anak-anak juga hendaklah banyak berfikir dan bekerja pantas. Bukanlah bermakna bekerja pantas sahaja dan hasilnya tidak memuaskan. Bekerja hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati. Seseorang yang bekerja dengan pantas setelah berfikir panjang dan penuh hati-hati adalah tentera Allah Ta’ala. Kemalasan akan mengundang masalah, suatu tugas yang tidak disiapkan dalam masa yang ditetapkan akan tertangguh dan tertangguh. Ini bukan hanya di kalangan anak-anak, malah orang dewasa dan para pemegang jawatan juga harus mengembangkan kepantasan dalam membuat suatu tugasan. Ini kerana kita adalah pengikut Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang memanfaatkan setiap saat yang ada kerana Allah Ta’ala memberitahu beliau bahawa jangan sampai masa kamu terbuang begitu sahaja. Jadi kita harus merenungkan perkara ini.

Hazrat Muslih Mau’ud ra berkata: “Saya melihat beliau (Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam) bekerja sepanjang hari di rumah tetapi beliau juga berjalan keluar rumah sekurang-kurangnya sekali. Beliau sangat disiplin tentang perkara ini di samping umur dan pekerjaan. Beliau mengatakan bahawa berjalan di ruang udara yang terbuka sangat bermanfaat untuk otak”.

Hazrat Muslih Mau’ud berkata: “Jika dapat laksanakan seperti ini, maka kita akan memberi manfaat untuk dunia dengan kesihatan dan otak yang cerdas”.

Pada masa kini juga, anak-anak dan golongan remaja hendaklah didedahkan dengan perkara ini iaitu bermain di ruangan udara terbuka. Setiap hari setengah hingga satu jam hendaklah diperuntukkan dalam aktiviti ini. Zaman computer dan games kebelakangan ini menjadikan bermain di ruangan terbuka adalah satu keperluan.  

Hazrat Muslih Mau’ud ra juga menjelaskan bahawa kita tidak seharusnya memperlihatkan ketakutan terhadap para penentang. Sekiranya para musuh melihat kita dalam ketakutan, maka mereka akan segera datang kepada kita untuk menambahkan lagi ketakutan kita sehingga kita benar-benar takut terhadap kematian.

Allah Ta’ala menyatakan di dalam Al-Quran bahawa syaitan akan menjadikan orang-orang penakut itu sebagai kawan. Tetapi orang yang berani dan menganggap serangan dan kesusahan sebagai kurnia daripada Allah Ta’ala, dan merasakan Allah Ta’ala sedang memberikan kehormatan kepadanya melalui pukulan para penentang ini, maka para musuh dan penentang ini yang akan tergamam dan akhirnya mereka akan merasa malu.

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran: “Maka apabila engkau telah selesai tugas, maka berusaha keraslah mencari keredhaan Allah, Dan kepada Tuhan engkaulah hendaknya engkau mengarahkan perhatian. (Alam-Nasyrah:8-9)

Inilah kehalusan yang mesti kita selalu ingat. Tidak ada selain kamu di dunia yang melaksanakan ayat ini. Pekerjaan seorang yang beriman ialah sentiasa menjadikan diri dalam keadaan sibuk. Dan inilah rahsia kepada kejayaan peribadi dan juga kemajuan serta keberhasilan diperingkat nasional.

Semoga Allah memberkan kita semua kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Amin.