Thursday, July 30, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 3

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

Memperlihatkan tanda-tanda rahmat adalah adat kebiasaan Tuhan semenjak zaman dahulu lagi. Tetapi kamu boleh mengambil bahagian dalam kebiasaan ini hanya apabila tidak ada suatu sebab yang memisahkan kamu dari-Nya, dan apabila kesukaan kamu menjadi kesukaan-Nya, dan kehendak kamu menjadi kehendak-Nya, dan kegembiraan kamu setiap masa, dan dalam setiap keadaan sama ada berhasil atau gagal, kamu tetap setia di istana-Nya sehingga apa yang Dia inginkan, kamu melakukannya dan menyerah kepada segala kehendak-Nya.

Jika kamu berbuat sedemikian, maka di dalam diri kamu akan kelihatan Wujud Tuhan yang sudah lama menyembunyikan Wajah-Nya. Apakah ada di antara kamu sekalian yang mengamalkan ajaran ini? Yang hanya mencari keredhaan-Nya? Dan yang tidak marah atas qadha’ dan qadar-Nya?

Jadi, apabila kamu menghadapi suatu musibah, maka kamu harus melangkah terus ke hadapan kerana itu adalah sarana keberhasilan bagi kamu, dan kamu hendaklah berusaha dengan sepenuh kekuatan kamu untuk menyebarkan ketauhidan-Nya di atas muka bumi, dan kamu hendaklah berbelas-kasihan kepada hamba-hamba Allah, dan janganlah berlaku aniaya terhadap mereka sama ada dengan mulut kamu, atau tangan kamu, atau dengan cara-cara lainnya.

Berusahalah untuk terus mendatangkan kebaikan kepada umat manusia. Janganlah sombong terhadap sesiapa walaupun orang bawahan kamu. Janganlah menghina orang lain walaupun orang itu menghina kamu. Hendaklah kamu bersikap merendah diri, lemah-lembut, baik hati dan bersimpati terhadap sesama makhluk sehingga kamu diterima di sisi Allah.

Banyak orang yang memperlihatkan diri seakan-akan mereka itu mempunyai peribadi yang lemah-lembut, padahal dalam diri mereka sama seperti tabiat serigala. Banyak orang yang secara zahir kelihatan sangat bersih sedangkan dalam hati mereka itu umpama ular berbisa. Jadi, kamu tidak akan diterima di sisi Allah seandainya zahir dan batin kamu tidak sama keadaannya.

Sekiranya kamu orang besar, kasihilah mereka yang kecil, dan jangan menghina mereka. Seandainya kamu terpelajar, berilah nasihat kepada orang-orang bodoh, dan bukannya merendah-rendahkan mereka. Jika kamu seorang yang kaya, khidmatilah orang-orang miskin dan bukannya meninggi diri dan sombong atas mereka.

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 11-12)


Wednesday, July 29, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 2


Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Jelaslah bahawa melafazkan bai’at hanya melalui lidah sahaja tidak membawa erti apa-apa selagi hati tidak mengakui bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya. Jadi, orang yang benar-benar akan beramal atas ajaranku, mereka akan masuk dalam rumahku yang mana Allah Ta’ala telah berjanji kepadaku INNII UHAAFIZU KULLA MANFID DAAR yakni ‘setiap orang yang berada di dalam empat penjuru dinding rumahmu akan Aku selamatkan’. Namun, jangan disalahfahami bahawa mereka itu hanyalah orang-orang yang berada dalam rumahku, yakni yang tinggal di dalam rumahku yang diperbuat daripada tanah dan batu. Malah mereka yang dimaksudkan juga ialah orang-orang yang benar-benar mentaatiku dan tinggal di dalam rumah rohaniku.

Dalam perkara keitaatan, mereka hendaknya sedemikian rupa meyakini bahawa mereka mempunyai satu Tuhan yang Maha Qadir, Qaiyum dan Maha Mencipta segala-galanya, yang sifatnya tidak berubah-ubah. Dia bukan anak kepada sesiapa dan tidak mempunyai anak, Dia benar-benar bebas dari menanggung kesusahan, tidak dinaikkan ke atas Salib dan tidak merasai kematian. Keadaannya seperti ini iaitu walaupun jauh, namun Dia dekat, dan walaupun dekat namun Dia jauh. Walaupun Dia Esa, namun penzahiran-Nya berbagai-bagai.

Bagi manusia, apabila Tuhan muncul di hadapannya dalam bentuk baru yang berbeza maka Ia menjadi satu Tuhan baru baginya, dan Tuhan akan memperlakukannya dalam bentuk yang lain. Dan insan melihat seolah-olah ada perubahan dalam diri Tuhan sedangkan tidak terdapat perubahan apa-apa pada diri Tuhan, malah sejak azali lagi sentiasa kekal seperti itu. Tetapi, semasa perubahan seorang insan, apabila berubah ke arah kebaikan, maka Tuhan pun akan menzahirkan kewujudan-Nya dalam bentuk yang baru. Dan dalam setiap kemajuan yang muncul pada diri seorang insan, maka penzahiran Kudrat Tuhan juga akan muncul seiring dengan kemajuan itu. Dia akan memperlihatkan Kudrat yang luar biasa apabila wujud perubahan luar biasa terjadi. Inilah akar bagi perkara luar biasa dan mukjizat, inilah Tuhan yang menjadi syarat dalam silsilah kita. Berimanlah kepada-Nya dan berilah keutamaan terhadap-Nya mengatasi diri kamu, kesenangan kamu dan yang lain-lain. Dan secara amalan, perlihatkan kebenaran dan kesetiaan dengan penuh keberanian pada jalan-Nya. Orang dunia tidak memberi keutamaan kepada-Nya berbanding sarana dan kerabatnya, tetapi kamu harus memberi keutamaan kepada-Nya supaya kamu ditulis dalam jemaat-Nya di atas langit.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 10-11)

Ringkasan Khutbah 17 Julai 2015


Huzur menilawatkan Surah Al-Jum’ah ayat 10-11 bersama terjemahan.

10. Hai orang-orang yang beriman! Apabila dipanggil untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingat Allah dan tinggalkan jual beli. Hal demikian adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

11. Dan, apabila telah diselesaikan solat, maka bertebaranlah kamu di bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu mendapat kebahagiaan.

Bulan Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Ramai di antara kita yang telah mengambil manfaat daripadanya. Ada juga orang yang mendapat pengalaman baru. Jadi, apa yang perlu dilakukan selanjutnya ialah segala kurnia, berkat rohani dan pengalaman ini haruslah menjadi bahagian dalam kehidupan harian kita. Jumaat ini adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Ada orang yang memberi perhatian terhadap Jumaat terakhir ini dengan menganggap bahawa ini adalah Jum’atul Wida (Jumaat Perpisahan). Orang yang mendirikan Jumaat pada hari ini, anggapan mereka ialah kelemahan mereka yang dahulu akan dijauhkan dan hak ibadat sepanjang tahun akan dapat disempurnakan.

Orang yang seperti itu hendaklah ingat bahawa orang yang bergabung mendirikan solat Jumaat terakhir ini tidak menjanjikan bahawa kita telah menunaikan hak kehidupan kita. Menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan bukanlah sarana keselamatan bagi kita dan tidak ada dasarnya. Tetapi, sekiranya meletakkan dalam hati tekad yang bulat bahawa saya menunaikan solat Jumaat ini sebagai satu sarana untuk saya memperbaiki kelemahan-kelemahan dan akan berusaha menunaikan solat Jumaat secara teratur pada masa-masa akan datang, maka hari Jumaat berkenaan memberi berkat dan kepentingan, malah disebabkan perubahan suci itu dan iradah yang kuat untuk berubah dalam hatinya, maka hari atau saat itu menjadi Lailatul Qadar baginya.

Dalam ayat permulaan itu, ia menyatakan bahawa apabila kamu dipanggil untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka tinggalkan jual beli dan datanglah menunaikan solat. Setelah menunaikan solat, maka kembalilah bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia Allah Ta’ala. Di sini Allah Ta’ala menyeru untuk datang menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan dunia dengan meletakkan ketakwaan dalam hati. Ia bukan hanya menyeru untuk menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan, tetapi keseluruhan solat Jumaat sepanjang tahun. Syarat keimanan yang perlu ialah menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Jangan lewat datang menunaikan solat Jumaat. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa orang yang datang awal akan mendapat ganjaran. Tanpa uzur yang syar’i (dibolehkan) meninggalkan solat Jumaat kerana malas adalah dosa. Setiap mukmin wajib menunaikan solat Jumaat kecuali hamba, wanita, anak-anak dan orang sakit. Dan orang yang berhalangan diberi kelonggaran.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat dengan Jumaat akan datang, dan Ramadhan dengan Ramadhan akan datang, waktu perantaraannya akan menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya selagi insan meninggalkan dosa-dosa yang berat. Sekiranya ada orang menahan hak saudaranya, maka solatnya akan menjadi punca kehancuran baginya.

Hendaknya Jumaat kita yang akan datang menjadi saksi kepada kita bahawa kita menjalani kehidupan harian kita dengan penuh rasa takut kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada satu amalan pun dilakukan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Ta’ala.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa hari yang paling mulia ialah hari Jumaat, oleh itu banyakkan bersalawat kepadaku, salawat pada hari itu akan dipersembahkan di hadapanku.

Dengan menunaikan solat Jumaat juga akan memberikan kemajuan kepada kahidupan. Lakukan urusan pekerjaan dan carilah kurnia Allah Ta’ala, sesungguhnya berkat akan diberikan atas pekerjaan itu. Jika kamu keluarkan sedikit masa kamu untuk Allah Ta’ala, maka Dia jugalah yang akan menyempurnakan segala kerugian yang kamu alami. Dengan kata lain seorang mukmin yang mendapat kemudahan dalam urusan duniawi adalah berkat kurnia Allah Ta’ala.

Jadi, dalam melaksanakan urusan duniawi, jangan lupakan Allah Ta’ala, malah basahkan lidah kamu dengan zikir Ilahi. Jika hari ini kita anggap ia sebagai Jumaat yang penting, maka tanamkan dalam hati bahawa Jumaat yang akan datang juga adalah penting, dan segala kelemahan itu, kita hendaklah berjanji untuk menjauhkannya.

Jika ada fikiran seperti ini, maka kita akan tergolong dalam kelompok orang yang berusaha untuk menjauhi kelemahan, kekurangan, dosa-dosa dan datang ke pangkuan Allah Ta’ala. Kebaikan-kebaikan dalam Ramadhan yang telah kita buat, kekalkan. Jadi, kita hendaklah membuat renungan, adakah kita telah mendapat tingkat ketakwaan atau tidak? Adakah kita telah menuju kemajuan atau tidak?

Bacalah berulangkali akan Al-Quran dan catatlah amalan-amalan yang buruk, dan mintalah pertolongan daripada Allah Ta’ala untuk berhasil menjauhinya. Inilah langkah awal menuju ketakwaan dan takwa diperolehi melalui kebaikan-kebaikan. Agama itu ialah meninggalkan secara keseluruhan semua keburukan dan dengan penuh keikhlasan melakukan kebaikan-kebaikan.

Semoga Ramadhan dan Jumaat ini memberi kita palajaran agar cenderung memperhatikan ibadat kita masing-masing dan berusaha meningkat dalam ketakwaan.



Daras Rohani Khazain Nombor 1

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Mubarak atas kamu apabila kamu tidak pernah memperlihatkan keletihan dalam berdoa, dan ruh kamu hancur luluh dalam berdoa, dan air mata kamu mengalir, dan dada kamu membara, dan doa kamu itu mengarahkan kamu pergi bersendirian, duduk dalam pondok yang gelap gelita di dalam hutan yang sunyi sepi, dan doa kamu itu menjadikan kamu seperti orang gila, kosong fikiran dan benar-benar tidak tahu akibatnya, kerana akhirnya kamu akan mendapat kurnia.

Tuhan, yang kepada-Nya kita memohon adalah sangat Pengasih dan Penyayang, Maha Hidup, Benar, Setia, Kasih kepada hamba-hamba. Maka kamu juga hendaklah menjadi seorang yang setia, dan berdoalah dengan penuh kesetiaan dan benar, supaya kamu dikasihi. Jauhilah kebisingan dunia, janganlah cemarkan agama melalui permusuhan peribadi. Pilihlah kekalahan semata-mata untuk Tuhan kamu dan terimalah kekalahan supaya kamu diwariskan dengan kemenangan-kemenangan yang besar. Tuhan akan memperlihatkan mukjizat kepada orang yang berdoa, dan orang yang memohon kepada Allah juga akan diberikan nikmat yang luar biasa. Doa datangnya dari Tuhan dan ia akan kembali kepada Tuhan. Melalui doa, Tuhan akan begitu dekat sekali, demikian dekatnya laksana diri kamu dan nyawa kamu.”

(Lecture Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 223)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...