Friday, August 5, 2016

Khulasah Khutbah 29 Julai 2016

Khulasah Khutbah Jumaat

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMIS
Aiyadahul Laahu Ta’ala Binasrihil Aziz
29 Julai 2016, Masjid Baitul Futuh London

Keadaan dunia sekarang ini sangat laju menuju kehancuran. Malang sekali ia telah menyebabkan berpecah kepada berapa kelompok. Pemimpin-pemimpin Islam juga tidak menyedari bahawa mereka sedang diperangkap oleh musuh-musuh Islam. Dan orang yang mementingkan keuntungan mengambil peluang ini. Sebabnya ialah kerajaan tidak member perhatian kepada rakyat malah cenderung untuk mengaut keuntungan peribadi. Tidak ada semangat untuk bersabar dan tindakan daripada kerajaan juga berunsur kezaliman. Jika kezaliman ini berterusan maka tindak balas akan terjadi yang mana akan menggunakan kekuatan yang besar. Akal fikiran menuntut supaya berfikir dengan mendalam sebelum melakukan sesuatu. Dalam melalui saat-saat sekarang ini sangat memerlukan doa-doa.

Agama tidak mengajarkan untuk membunuh orang-orang yang tidakbersalah. Jika Rasulullah saw menghantar pasukan ke medan perang, baginda selalu berpesan agar jangan memberikan kesusahan kepada kaum wanita, anak-anak, orang tua, rahib-rahib dan juga paderi-paderi. Apa lagi untuk membunuh mereka.

Agama kita sendiri menolak perlakuan ganas dan zalim, malah mengajarkan agar memperjuangkan keamanan dan perdamaian. Seorang mukmin dalam solat mereka memohon kurnia dan rahmat kasih sayang Allah Ta’ala dan dihindari daripada melakukan keburukan dan kekejian. Ini kerana solat menjauhkan seseorang daripada perbuatan yang tidak disukai. Agama kita mengajarkan agar jadikan kebiasaan member salam dan menyebarkan keselamatan. Setiap perintah agama memberitahu bahawa agama kita adalah agama yang aman dan damai.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda bahawa terdapat dua bahagian dalam ajaran agama. Huququllah dan Huququl Ibad. Ini adalah cara yang tidak betul jika memberikan kesusahan terhadap mereka yang ada pertentangan agama. Agama juga mengajarkan supaya ada kesatuan di kalangan manusia.

Berusahalah untuk melahirkan di kalangan manusia kecintaan dan kasih sayang. Abaikan perkara yang selalu menjadi persoalan iaitu ‘siapa dia dan apa agamanya’. Sebagai ganti melakukan kezaliman dan membunuh orang yang tidak bersalah, adalah lebih baik jika membawa mereka kepangkuan Tuhan dengan senjata keamanan dan perdamaian. Jadikan agama itu ibarat rahmat seorang ayah dan bayangan kecintaan. Jangan berikan peluang kepada para penentang untuk membuat sebarang kritikan.

Setiap Ahmadi hendaklah ingat bahawa setiap serangan daripada mereka, kita seharusnya lebih mengetahui tanggungjawab kita. Setiap kita hendaklah memberitahu kepada dunia bahawaasas agama kita ialah aman dan keselamatan.

Pope Sahib juga telah memberikan penjelasan yang cantik bahawa peperangan antarabangsa bukanlah peperangan agama tetapi ia hanya peperangan untuk kepentingan sendiri. Kebelakangan ini melalui Twitter dan Facebook amanat ini telah dapat disampaikan kepada jutaan orang. Melihat dan memberikan jawapan adalah pekerjaan kita.

Sekarang ini banyak pekerjaan yang masih tertinggal. Jangan sekali-kali pernah berfikir bahawa pekerjaan telah dibuat dan merasa puas hati. Sangat perlu untuk melakukan khidmat dengan penuh kebijaksanaan dan bersungguh-sungguh. Berdoalah supaya kemajuan dapat kita lihat dalam kehidupan ini.

Setiap Ahmadi di mana pun berada harus cenderung ke arah ini iaitu banyak berdoa dan memberikan sedekah.  Rasulullah saw bersabda ‘atas sesiapa pintu rahmat telah dibuka, maka seolah-olah pintu syurga telah dibuka untuknya’.

Demikian juga berkata; ‘berilah sedekah untuk menghindari ujian dan api’. Jadi wajib untuk kita semua bersedekah.

Hazrat Maseeh Mau’udalaihissalam berkata: ‘musibat boleh terhindar melalui sedekah dan doa. Untuk pengabulan doa amat perlu setiap insan membuat perubahan dalam diri dan jangan melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kita hendaklah membaca doa-doa yang tersedia di dalam Al-Quran. Hazrat Maseeh Mau’udalaihissalam telah menjelaskan perkara ini bahawa doa-doa di dalam Al-Quran disediakan adalah supaya orang mukmin selalu membacanya dengan penuh keikhlasan, pasti Allah Ta’ala akan memperkenankannya.

Huzur juga menyeru supaya Ahmadi banyak membaca doa-doa tertentu di dalam Al-Quran. Semoga Allah Ta’ala menyelamatkan setiap Ahmadi daripada kejahatan para penentang dan kezaliman mereka dikembalikan atas diri mereka sendiri. Dan semoga kita semua menjadi penyebar perintah-perintah agama.



Khulasah Khutbah 22 Julai 2016

Khulasah Khutbah Jumaat

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMIS
Aiyadahul Laahu Ta’ala Binasrihil Aziz
22 Julai 2016, Masjid Baitul Futuh London

Berkenaan dengan kebiasaan Hazrat Maseeh mau’ud alaihissalam dalam memastikan kesihatan tubuh badan yang berkekalan, Hazrat Muslih Mau’ud berkata:-
“Beliau tidak malas malah sangat bekerja keras, walaupun selalu menyendiri beliau tetap disiplin. Kebanyakan perjalanan beliau dilakukan dengan berjalan kaki. Sangat kurang menaiki tunggangan. Kebiasaan ini berterusan sehingga usia beliau lanjut. Setiap hari beliau berjalan sejauh empat hingga tujuh batu.”

Berkaitan dengan ini, Huzur menasihatkan kepada Wakfe Zindegi terutama sekali para muballigh supaya menjadilkan tubuh badan yang kekal sihat dan tegap dengan banyak melakukan senaman. Melihat kepada tubuh badan seorang muballigh yang masih muda jelas menunjukkan bahawa mereka tidak bersenam. Selepas Doktor Nuri membuat pemeriksaan kesihatan kepada muballigh yang datang dari luar di Jamiah Ahmadiyah Pakistan, beliau menulis bahawa ada di kalangan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan.

Sebab itu, lakukanlah suatu senaman dan jauhi makanan yang tidak menyihatkan seperti Junk Food.

Saya tidak hanya memberi nasihat kepada kamu sekalian, saya sendiri pun bersenam. Kita memerlukan muballigh dan Wakfe Zindegi yang sihat supaya dapat melaksanakan tugas dengan sebaik yang mungkin.

Kadang-kadang pembesar suara tidak berfungsi dengan baik. Sebab itu kita mahu muballigh dan para penasihat mempunyai latihan dalam meninggikan suara. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berucap secara perlahan-lahan dalam keadaan biasa tetapi apabila waktu memerlukan untuk memberikan pelajaran agama kepada dunia maka beliau memberikan ceramah dengan suara yang begitu lantang. Hazrat Muslih Mau’ud dalam menyentuh tentang ceramah di Lahore berkata bahawa ketika Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berceramah, kelihatan seolah-olah ada suara dari langit sedang bergema.

Ada orang menzahirkan kerisauan bahawa keadaan kebaikan mereka tidak tetap. Ini satu hal yang  baik bahawa insan sentiasa membuat muhasabah dan sentiasa memikirkan cara untuk memperbaikinya. Kadang-kadang keadaan seperti ini bukan satu keburukan malah hanya berlaku keadaan di mana kebaikan bertambah atau kebaikan berkurangan. Ada seorang sahabat Nabi menzahirkan bahawa ia menggambarkan keadaan dirinya sebagai seorang munafik, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda “ini adalah tanda seorang mukmin”. Orang yang meningkat dalam kebaikan dan orang yang mengekalkan keadaan dirinya sesuai dengan perintah Tuhan adalah ibarat seorang ibu yang sentiasa risau. Sentiasa berhati-hati lebih baik daripada berbuat kelalaian.

Hubungan di antara kegembiraan dan kesedihan adalah melalui perasaan. Kita tidak merasai kegembiraan dan kesedihan orang lain berbanding perasaan sedih dan gembira atas orang terdekat kita. Jadi, di mana doa dilakukan untuk orang yang terdekat dan untuk anak-anak mereka, demikian juga kita harus merasai kegembiraan dan kesedihan anggota jemaat kerana jemaat itu satu wujud.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga membaca surat khabar secara teratur. Mereka yang bertanggungjawab atas urusan agama, mereka harus teratur dalam membaca surat khabar dan melihat berita-berita.

Berkenaan dengan keitaatan Hazrat Khalifatul Maseeh Awwal, ketika Abdul Hakim telah murtad beliau telah mengeluarkan tafsir yang telah ditulis oleh Abdul Hakim dari perpustakaan beliau dengan fikiran bahawa “jangan sampai disebabkan itu Tuhan murka atas saya”. Ini satu pelajaran kepada kita dalam soal semangat terhada agama dan juga ketakutan kepada Tuhan.

Kadang-kadang ada orang yang telah diberikan hukuman oleh Jemaat membuat kritikan. Dalam waktu musibat, kadang-kadang ada perkara kecil menjadi besar dan perkara besar adalah kecil sahaja. Sebab itu kadang-kadang perkara yang besar tidak diambil kisah dan tindakan diambil atas perkara yang kecil sahaja. Jadi, jangan masuk campur atau mahu memberikan rekomendasi.

Dari sudut tabligh, pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tabligh dilakukan melalui isytiharat (risalah). Zaman ini juga isytiharat boleh disampaikan melalui berita dan cetakan dengan lebih meluas yang mana artikel yang biasa hasilnya tidak dapat sebanyak itu. Melalui akhbar, banyak pembaca yang mendapat maklumat dalam tempoh satu hari yang mungkin tidak dapat disampaikan melalui artikel dalam tempoh dua bulan.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam memperdengarkan hikayat kepada Hazrat Muslih Mau’ud dan menasihatkan bahawa melalui ketakwaan banyak harta yang dikurniakan. Yakinlah kepada Allah dan mintalah kepada-Nya. Ini memang nasihat kepada anak kecil, namun orang dewasa juga harus yakin kepada Allah.

Mudah-mudahan ketakwaan seperti ini lahir dalam diri kita semua.



Tuesday, July 5, 2016

Jum'atul Wida'






Terjemahan Surah Al-Jum’ah ayat 10:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi untuk mengingati Allah Ta’ala dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda:-
“Untuk menghindarkan diri daripada dosa-dosa besar, solat lima waktu, dari satu Jumaat sehingga Jumaat berikutnya dan dari satu Ramadhan sehingga Ramadhan berikutnya menjadi kaffarah baginya”. (Sahih Muslim Kitabut Taharah, Baab Assalatul Khams)

Berkenaan dengan Jum’atul Wida, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pernah menjawab satu persoalan dengan berkata:-
“Solat yang telah tertinggal tidak boleh digantikan semula, tetapi puasa boleh. Orang yang sengaja meninggalkan solat sepanjang tahun dengan harapan akan mendirikan solat pada hari  Qadha Umri (Qadha Solat untuk sepanjang hayat), maka orang itu berdosa.”

Hazrat Khalifatul Maseeh II nawwarahullaahu marqadah berkata:-
“Ramadhan bukannya datang lalu kita melaluinya seperti biasa sahaja malah bagi seorang mukmin ia suatu yang harus diberi perhatian. ….. Bagi seorang mukmin setiap perkara itu menjadi lambang kesalehan baginya, hari tetap berlalu tetapi Ramadhan tidak pergi. Ramadhan adalah satu nama ibadat dan ibadat itu tidak seharusnya berlalu pergi malah sentiasa melekat di hati. Orang yang menghitung hari akan beranggapan Ramadhan telah berlalu pergi tetapi bagi orang yang menganggap Ramadhan sebagai ibadat, maka ibadat itu tidak berlalu pergi. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa apabila seseorang hamba membuat kebaikan maka satu tanda putih akan muncul di dalam hatinya. Seolah-olah apabila seorang hamba berbuat kebaikan maka akan muncul tanda putih di hatinya, kemudian dia berbuat lagi kebaikan lain, maka begitulah seterusnya sehingga keseluruhan hatinya telah menjadi putih. Kemudian, apabila seorang hamba membuat kejahatan maka muncul tanda hitam di hatinya sehinggalah jika tidak berhenti melakukan kejahatan maka keseluruhan hatinya akan menjadi hitam. Ringkasnya perbuatan baik dan jahat akan mempengaruhi hati seseorang. Memang hari akan berlalu. Benda yang dibawa oleh Allah melalui bulan Ramadhan bukanlah siang dan malam. Ini kerana siang dan malam itu juga terjadi dalam bulan Rejab, Sya’ban, Syawal dan bulan-bulan yang lain. Jadi, bukan siang dan malam yang dibawa oleh Ramadhan melainkan ibadat. Dan ibadat itu satu benda yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa pun. Allah Ta’ala membawanya dan meletakkan dalam hati manusia, tidak ada satu kekuatan dunia pun yang boleh mengeluarkannya. Bagaimana susahnya sekalipun menimpa seorang mukmin ia tidak akan ketinggalan daripada keimanan kerana perkara ini berada dalam hatinya. ….. Begitu juga Jumaat ini tidak datang sebagai perpisahan kita dengan Ramadhan tetapi ia datang untuk diambil manfaat daripadanya, dan berusaha menjadikan Ramadhan ini kekal dalam hatinya. Hari Jumaat juga telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sebagai salah satu hari raya di antara hari raya yang ada (bagi saudara seagama). Sebab itu, apabila hari ini telah ditetapkan sebagai hari pengabulan doa-doa, maka harus diambil manfaatnya.

Hari ini, seorang mukmin bukannya datang kepada Allah kerana mensyukuri bahawa musibat yang menimpa di bulan Ramadhan telah berlalu. Tetapi tujuan datang kepada Allah Ta’ala ialah untuk berdoa; “Ya Allah! Hari-hari Ramadhan telah berlalu pergi tetapi kami mohon agar sematkanlah hakikat Ramadhan dalam hati kami supaya ia tidak pernah terpisah dari kami.

Jika kita takrifkan Jumaat hari ini sesuai dengan apa yang diperkatakan ini, maka sesungguhnya kita telah menjalaninya dengan cara yang diberkati. ….. Jadi kemarilah, rebahkanlah di hadapan Allah Ta’ala hari ini bahawa kita jadikan hari ini sentiasa ada hubungan dengan kita, dan tidak ada suatu saat Ramadhan pun yang terpisah daripada kita. ….. Kita hendaklah berusaha bahawa selepas bulan Ramadhan berlalu, keadaan ini berkekalan dalam diri kita, keimanan seperti inilah yang akan menjadi sarana ketenangan kita.

Berkenaan dengan Ramadhan Allah Ta’ala berfirman bahawa Aku akan mendekatkan diri kepada hamba-Ku pada bulan ini. Sebagaimana kambing tidak selamat jika berjauhan daripada penggembalanya demikian juga selagi seorang hamba Allah tidak mendapat isyarat INNII QARIIBUN (sesungguhnya Aku dekat), dia juga belum selamat. Dan kebanyakan suara ini terjadi dalam bulan Ramadhan. Sebab itu jadikan keadaan Ramadhan itu sentiasa ada dalam diri masing-masing selamanya.

Berkenaan dengan Wida’ Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, beliau berkata:-

“Ini pun satu perkara yang lucu jika ada seseorang mendirikan solat satu waktu lalu menganggap bahawa saya telah menunaikan semua perkara yang wajib. Dan pada masa yang sama juga dia telah memisahkan diri dari Ramadhan. Di mana Wida’ Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan di mana Wida’ orang-orang ini? Orang-orang ini memisahkan Ramadhan seminggu lebih awal dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam melakukan Wida’ dengan Ramadhan selepas menunaikan puasa enam hari dalam bulan Syawal selepas Hari Raya. Wida’ Ramadhan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dilakukan selepas Ramadhan berakhir tetapi hari ini saudara seagama ini melakukan Wida Ramadhan sebelum Ramadhan berakhir lagi.

Hazrat Khalifatul Maseeh IV rahimahullaahu berkata:-

Terdapat dua cara yang dilakukan oleh orang yang beribadat di seluruh dunia apabila berkumpul untuk mengambil berkat Jumaat ini. ….. Pertama, mereka begitu sedih, takut dan risau. Adakah kita telah melalui Ramadhan kali ini dengan memenuhi tuntutannya atau tidak? Orang-orang yang berharap untuk beribadat, mereka telah mendapat taufik, namun Allah yang lebih tahu ibadat itu sempurna atau tidak? Berapa banyak kelalaian dan kelemahan, berapa banyak doa-doa yang dicampuri dengan ulat nafsu sehingga doa-doa tidak dikabulkan oleh Allah? Itu kita tidak tahu. Hari tinggal sedikit lagi. Jadi mohonlah, wahai Tuhan! Kami dengan penuh ketulusan hati sampai kepada Jumaat Wida’ ini, dan selepas ini kami akan hadir setiap Jumaat sepanjang tahun, berilah kami taufik untuk mendapatkan berkat Jumaat ini. Berilah kami kekuatan untuk menutupi kelemahan Jumaat kali ini dengan beribadat sepanjang tahun. Kami bukan datang semata-mata Jumaat Wida kali ini kerana hubungan seorang Mukmin dengan Jumaat adalah hubungan yang kekal abadi yang tidak akan terputus. Kami tidak datang ke masjid ini untuk Jumaat Wida’ tetapi kami datang untuk menguatkan janji kami. Kami datang membawa harapan ini, wahai Allah! Engkau telah memberikan rasa beribadat kepada kami dan kami mohon janganlah kenikmatan beribadat itu dirampas daripada kami. Janganlah biarkan kami memutuskan hubungan dengan Engkau, dan janganlah biarkan kami melupakan nikmat beribadat yang telah Engkau berikan, malah berikan kami kekuatan agar sentiasa kekal dengan cara ibadat seperti ini. Kami memohon kepada-Mu yang Allah akan keberkatan hari Jumaat kali ini jangan sampai ia putus hubungan dengan kami.

Jadi, kita sedang merayakan perpisahan dengan persekitaran yang suci ini, yang hanya datang setahun sekali. Tetapi, dengan rayuan yang baik, keberkatan ini akan sentiasa berkekalan dan tidak akan mengkhianati kita. Cara ibadat yang telah kita pelajari dalam bulan Ramadhan ini terutama sekali 10 malam terakhir ini, ia tidak akan mengkhianati kita. Bersama dengan doa-doa dan rintihan kita datang di hadapan Tuhan untuk merayakan perpisahan dengan persekitaran ini.

Berkata lagi:-

Ada juga beberapa orang yang telah diberikan taufik oleh Allah sehingga muncul dalam hati mereka perasaan asyik untuk melakukan perjalanan. Mereka datang untuk wida’, kemudian datang, kemudian datang, kemudian datang lagi, kemudian timbul fikiran bahawa kenapa kita tidak menjadi musafir sahaja dalam kenderaan ini? Jadi, mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya, ada juga yang lemah. Tetapi sedikit demi sedikit mereka menjadi kuat. Segala keburukan menghilang dari diri mereka dan sebagai gantinya kebaikan demi kebaikan yang muncul dalam diri mereka.

Berkata lagi:-

Seluruh umat di dunia menyambut hari ini dengan penuh keikhlasan dengan kepercayaan. Dan pada Jumaat ini banyak harapan-harapan yang mereka letakkan. Ada yang fardhu, ada yang benar, tetapi banyak harapan-harapan yang baik disertakan dengan Jumaat ini. Sehinggakan ada orang memahami bahawa selepas menolak seruan Tuhan sebanyak 51 kali, kalau kita dapat mengatakan labbaik pada satu seruan sahaja dan kita hadir pada Jumaat ini, maka segala 51 penolakan kita itu akan diampunkan. Dan satu kesetiaan itu lebih berat berbanding 51 penolakan terhadap seruan Tuhan. Ini pun satu harapan mereka. Sejauh mana kebenarannya hanya Tuhan  ALIMUL GHAIBI WAS SYAHADAT yang lebih mengetahuinya. Hanya Dia yang memutuskan segala amalan kita pada hari pembalasan lebih mengetahuinya.

Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis (aiyadahul laahu ta’ala binasrihil aziz) berkata:-

Jadi, pada zaman ini setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk memahami tingkat ibadat dan doa-doa. Bukan hanya Ramadhan dan Jumaat terakhir bulan Ramadhan, malah sebagaimana yang telah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sabdakan bahawa solat lima waktu kita, Jumaat dengan Jumaat dan Ramadhan dengan Ramadhan menjadi sarana perubahan kebaikan dalam diri kita. Semoga Allah Ta’ala memaafkan segala kesalahan kita. Dan kita juga berharap agar termasuk dalam golongan orang yang akan melihat kemenangan dan kejayaan. Jadi, hari ini, pada Jumaat ini kita harus berjanji bahawa Allah Ta’ala yang telah mengurniakan ibadat Jumaat ini bersama dengan puasa, maka kita harus mengutamakan tujuan kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam iaitu berusaha untuk mengubah segala keburukan menjadi kebaikan. Juga berusaha untuk mengubah kekotoran menjadi suci.

Jadi, dalam masa yang tinggal sedikit sahaja lagi kita berpuasa iaitu kita berada di penghujung Ramadhan dan juga berakhir pada Jumaat ini, sebab itu basahkan lidah kita dengan zikir Ilahi. Dalam masa yang sedikit ini kita hendaklah meletakkan dalam fikiran kita bahawa segala kebaikan-kebaikan yang kita usahakan dalam bulan Ramadhan, segala usaha untuk meningkatkan nilai ibadat kita, segala usaha kita untuk menyempurnakan hak-hak hamba dan juga segala usaha untuk meningkatkan pengorbanan kita. …... Ringkasnya semua amalan dan kebaikan-kebaikan yang kita buat kita mohon agar diterima oleh Allah Ta’ala.

Wahai Allah! Jadikanlah kami orang yang dapat mengekalkan segala ibadat, segala doa-doa, segala kebaikan-kebaikan dan segala usaha untuk menunaikan hak hamba-hamba. Kami mengharapkan agar segala pekerjaan dan amalan kami pada masa akan datang sentiasa mendapat keredhaan Engkau dari berkat-berkat yang Engkau sentiasa sediakan. Perlihatkan juga kepada kami pemandangan revolusi yang telah Engkau janjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Orang yang mencintai beliau, kita mengharapkan daripada Allah Ta’ala agar doa-doa yang keluar dari hati setiap Ahmadi secara beriringan pada hari ini dengan penuh rintihan, dari satu mata air menjadi jutaan mata air yang mengalir begitu deras laksana air sungai yang akan membersihkan segala kotoran-kotoran yang ada di hadapannya. Doa-doa yang dibuat saling membantu di antara satu dengan yang lain  akan menghapuskan kotoran dari dalam hati kita.

Justeru itu, jadikan doa-doa pada hari ini ibarat air bersih yang mengalir deras, aliran air suci yang dibuat untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala, dan itu semua kurnia daripada Allah Ta’ala, maka dengan kurnia Allah Ta’ala segala kotoran hati kita akan menjadi semakin bersih, kemudian cenderung dawam melakukan kebaikan-kebaikan dan semakin dekat kepada Allah Ta’ala lalu dapat melihat pemandangan pengabulan doa. Kita akan dapat melihat kesucian hati, kita akan dapat melihat kasih sayang Allah Ta’ala.

Kita juga akan berada di bawah perlindungan Allah Ta’ala daripada musuh-musuh. Kita juga akan menjadi orang yang menegakkan perintah-perintah Allah Ta’ala di dalam hati kita dan juga di dalam hati orang-orang dunia sebagai matlamat utama. Berkat daripada Jumaat ini juga kita akan dapat melihat di seluruh dunia kibaran bendera agama kekasih Allah yakni Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang mana pada zaman ini telah dipikulkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Kita akan dapat melihat janji Allah Ta’ala menjadi sempurna bahawa sekarang ini Maseeh Mau’ud alaihissalam akan mengumpulkan manusia di atas agama yang satu ini.

Oleh itu, semoga kita semua mendapat taufik untuk melihat kurnia Allah melalui Jumaat yang mengandung berkat yang kekal ini. Hal itu tidak jauh di mana kita akan dapat melihat pemandangan pengabulan doa-doa. Mudah-mudahan seperti itulah yang akan tercapai.





Monday, April 25, 2016

SOLAT MENCEGAH PERBUATAN KEJI DAN MUNGKAR


Sesungguhnya solat boleh mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut:46)
 
Rasulullah saw bersabda: “Dapatkah kamu bayangkan sekiranya di hadapan pintu rumah seseorang ada sungai mengalir dan dia mandi di dalam sungai itu lima kali sehari, adakah masih kotoran melekat pada badannya? Para sahabat berkata: Tidak ada lagi kotoranya ya Rasulullah!. Baginda saw bersabda: Inilah permisalan solat lima waktu. Ia menjadi sarana dosanya dimaafkan oleh Allah dan kelemahan-kelemahannya dijauhkan. (Bukhari Kitabul Mawaqiitus Sholaat, Baabus Sholaatul Khams Kaffarah Lil Khata)

Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata:-

Letakkan kecintaan dan keagungan Allah Ta’ala dalam hati kamu, dan untuk itu tidak ada cara yang lebih baik selain daripada solat. Ini kerana puasa hanya datang selepas setahun. Zakat hanya untuk orang-orang yang berharta. Tetapi, setiap orang mampu mendirikan solat lima waktu, sebab itu jangan sia-siakan. Dirikanlah berkali-kali dan lakukan dengan fikiran bahawa ‘aku sedang berdiri di hadapan yang Maha Kuasa, jika Dia berkehendak sekarang juga akan dikabulkan permintaanku dalam keadaan ini, pada waktu ini malah mungkin pada saat ini’. Ini kerana hakim dunia yang lain memerlukan khazanah, mereka akan berfikir jangan sampai khazanah ini akan habis. Tetapi, khazanah Tuhan itu sentiasa penuh. Untuk berdiri di hadapannya hanya keyakinan yang diperlukan. Keyakinan ini hendaklah ditanamkan bahawa ‘saya sedang berdiri di hadapan yang Maha Mendengar, yang Maha Tahu, yang Maha Kuasa, jika dia berkehendak, pasti sekarang pun akan diberikan’. Berdoalah dengan penuh kerendahan hati, jangan pernah putus harapan atau berburuk sangka. Jika keadaan seperti ini ada, maka pemandangan itu akan segera kelihatan. Dan kurnia-kurnia Allah Ta’ala yang lain juga akan turut sama, malah Tuhan pun akan dia dapatkan.

Berkata lagi:-

Kelazatan dan kegembiraan di dalam solat akan muncul hasil hubungan di antara Ubudiyat (perhambaan) dan Rububiyat (Ketuhanan). Selagi kamu tidak meletakkan dalam diri kamu perasaan ini bahawa kamu tidak ada nilai apa-apa yang merupakan tuntutan daripada Rububiyat, maka kurnia dan berkat tidak akan turun ke atas kamu. Tetapi, jika hal itu ada, maka kelazatan yang luar biasa akan dapat diperolehi, tidak ada yang lebih berharga daripada keadaan seperti itu. Dalam keadaan ini jika ruh seorang insan sudah hancur, maka rahmat dari Allah Ta’ala akan mengalir laksana air, dan hubungan dengan selain Allah akan terputus dan kecintaan Allah Ta’ala akan terpancar padanya. Dalam hubungan ini, disebabkan dua semangat sedang bersatu iaitu dari atas semangat Rububiyat dan dari bawah semangat Ubudiyat, maka akan muncul satu kaifiyat (keadaan) yang sangat luar biasa. Namanya adalah solat. Jadi, solat inilah yang akan memadamkan keburukan-keburukan dan akan menempatkan cahaya dan sinaran. Ia akan memberi faedah kepadanya ketika dalam musibat dan akan memberikan amaran berbahaya supaya dia lebih berhati-hati. Inilah keadaan yang dikatakan dalam ayat INNAS SHOLAATA TANHA ANIL FAHSYAA’I WAL MUNGKAR, ini kerana ia bukan di tangan tetapi di dalam hatinya ada pelita. Dan itu boleh diperolehi melalui perbuatan merendahkan diri, menganggap dirinya hina dan tidak ada nilai apa-apa disertai dengan ketaatan yang sempurna. Selepas itu, bagaimana mungkin fikiran untuk berbuat dosa boleh muncul kembali, dan keingkaran tidak akan lahir dalam hatinya. Pandangannya pun tidak adalagi ke arah kekejian, ringkasnya, inilah kelazatan dan kegembiraan yang diperolehinya, aku tidak faham bagaimana lagi aku jelaskan.

Hazrat Khalifatul Maseeh Sani berkata:-

Solat boleh menghindarkan seseorang daripada melakukan perbuatn keji dan mungkar.…… ini kerana di dalam solat, Allah Ta’ala telah meletakkan hikmah yang tersembunyi khas kepada orang yang mendirikannya dengan penuh perhatian dengan menyempurnakan syarat-syaratnya. Dalam diri orang berkenaan akan muncul perubahan mendadak dan tidak memerlukan masa yang lama, dia akan segera mengetahui tentang keburukan-keburukan, dan kejahatan-kejahatan yang tidak kelihatan akan dia ketahui, dan juga dia akan diberitahu tentang dosa-dosa tersembunyi yang tidak diketahui oleh orang lain, dan malaikat sentiasa memberikan amaran kepadanya tentang dosa-dosa. Dan dia diberikan kekuatan untuk memerangi syaitan kerana orang yang solat itu bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Dan Allah Ta’ala tidak menahan ihsan orang malah sentiasa memberikan ganjaran di atas segala amalan hamba-hamba-Nya.

Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi berkata:-

Sesungguhnya dalam kebaikan-kebaikan itu ada keistimewaannya iaitu menjauhkan keburukan-keburukan. Hasil daripada solat, selain daripada hubungan dengan Allah dan manfaat untuk akhirat, seorang insan juga akan mendapat manfaat yang baik di dunia ini, antaranya akan muncul kebaikan dalam masyarakat dan kejahatan dengan sendirinya akan hilang. Dan ini sudah ditentukan, tidak akan terdapat perubahan dalam perkara ini iaitu kebaikan-kebaikan akan melenyapkan keburukan-keburukan.

Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis atba berkata:-

“Apabila Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata bahawa berusahalah untuk membuat perubahan dalam diri, maka yang pertama sekali ialah beliau sangat menegaskan supaya beri perhatian terhadap solat sehingga berkata mintalah doa dalam solat. Ini kerana apabila insan dengan penuh keikhlasan tunduk di hadapan Allah, maka sebagai pengabulan atas keinginan-keinginan baik Allah Ta’ala melahirkan perubahan dalam diri mereka. Insan akan terhindar dari perbuatan sia-sia dan buruk. Dia akan cenderung ke arah kebaikan-kebaikan. Sebab itu di dalam Al-Quran Allah Ta’ala berfirman INNAS SHOLAATA TANHA ANIL FAHSYAA’I WAL MUNGKAR (Al-Ankabut:46) yakni solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Inilah pengumuman daripada Allah Ta’ala bahawa solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.  … sebab itu apabila Allah Ta’ala mengatakan bahawa solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, pertama sekali dikatakan AQIMIS SHOLAT, iaitu dirikan solat dengan penuh perhatian. Apabila solat didirikan dengan syarat-syaratnya maka sudah pasti akan terhalang daripada perbuatan keji dan mungkar. Ada banyak syarat-syarat solat. Berwuduk, bersih, untuk lelaki harus datang solat di masjid, dan berdiri di hadapan Allah dengan penuh perhatian. Pernah sekali Rasulullah saw menyeru satu perkara yang sangat penting iaitu apabila kamu berdiri untuk mengerjakan solat, maka anggaplah kamu sedang melihat Tuhan, atau sekurang-kurangnya anggaplah ‘Tuhan sedang melihat aku. Tuhan sedang melihat aku sehingga ke dasar fikiran dan hati. Apa sahaja yang belum lagi terlintas di fikiran aku, Allah Ta’ala sudah mengetahuinya’. Tuhan kita adalah Tuhan yang tidak boleh ditipu. Tuhan itu tahu solat mana yang benar-benar untuk Allah dan solat mana yang dilakukan untuk membuat perubahan dalam diri. Dan juga Allah tahu solat mana yang dibuat hanya untuk menunjuk-nunjuk. Jadi, solat didirikan semata-mata kerana Allah Ta’ala, solat itulah yang akan diterima. Solat itulah yang akan membersihkan hati kita. Solat itulah yang akan menghindarkan kita dari keburukan. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah berusaha mencari solat yang seperti itu. … Jadi, ingatlah sentiasa bahawa kita yang telah mendakwakan diri beriman kepada imam zaman dan mengaku lebih baik daripada orang lain, tidak cukup hanya dengan pengakuan sahaja. Kita harus melahirkan revolusi dalam diri kita. Kita harus mendirikan solat yang boleh menjauhkan diri kita daripada segala perbuatan yang dilarang. Kita harus mendirikan solat yang boleh mengarahkan kita ke arah melakukan kebaikan-kebaikan. Jika solat yang kita dirikan itu tidak membawa apa-apa revolusi dalam diri, maka itu satu kerisauan yang sangat besar. Jadi, tanggungjawab seorang Ahmadi Muslim yang beriman ialah pertama sekali menjaga solat. Jadikan solat sebagai tangga untuk membuat perubahan akhlak, ataupun anggaplah akhlak yang tinggi sebagai ukuran bahawa solat kita diterima oleh Allah. Jika akhlak kita tidak ada peningkatan, jika kita belum lagi berusaha menghindari keburukan pada zaman ini, maknanya kita tidak berjihad, kita tidak memelihara solat kita. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah sentiasa ingat jihad untuk melahirkan perubahan yang suci, langkah pertama sekali ialah beribadat kepada Allah dan mendirikan solat. Beri perhatian terhadap doa dan zikir Ilahi. Kemudian, sesuai dengan kemampuan berikanlah sedekah dan infaq.


Semoga kita semua mendapat taufik untuk beramal atas nasihat-nasihat ini.