Wednesday, February 1, 2017

Media Sosial dan Kesannya

Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Dan di dalam Hadis juga ada menyebutkan bahawa godaan syaitan itu boleh menyebabkan manusia melakukan kejahatan.

Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dan menjadikan amalan manusia itu menjurus kepada kerosakan, malah dalam amalan kebaikan pun syaitan akan berusaha meletakkan sesuatu sehingga kebaikan itu bertukar menjadi kejahatan.

Sebenarnya syaitan adalah musuh manusia sejak dari dahulu lagi. Syaitan hendak memusnahkan manusia secara sembunyi-sembunyi. Pada syaitan, yang paling baik ialah dapat menyesatkan manusia. Sebab itu mereka berusaha sedaya upaya ke arah tersebut sehingga manusia benar-benar jauh daripada syurga.

Memang syaitan akan bertempiaran lari apabila ada manusia membaca LAA HAULA ...  dan ayat-ayat Al-Quran yang lain, tetapi tidak semudah yang disangkakan. Ucapan sekadar di bibir sahaja tidak akan dapat menghalau syaitan. Tetapi orang yang dipelihara dan diselamatkan oleh Allah ialah mereka yang sentiasa memohon pertolongan Allah Ta├íla, dan mereka itu jugalah yang akan mendapat kejayaan.

Sebab itu dari zaman Nabi Adam as lagi beliau banyak berdoa kepada Allah setelah dipengaruhi oleh syaitan. ROBBANAA ZOLAMNAA ANFUSANAA WA ILLAM TAGHFIRLANAA WATARHAMNAA LANAKUU NANNA MINAL KHOOSIRIIN. Kemudian di akhir zaman ini pun cara untuk memerangi dajjal juga hendaklah dengan doa-doa.

Syaitan sekarang ini sudah semakin pandai dalam menggoda manusia. Tujuan mereka ialah supaya manusia tergelincir dari landasan dan menjadi rosak. Cara yang digunakan oleh syaitan begitu teliti sekali. Syaitan tidak akan menunjukkan kemusnahan yang besar sekaligus kepada manusia kerana mereka tahu manusia tidak akan mengikuti mereka. Syaitan akan menunjukkan keburukan kecil terlebih dahulu yang tidak dianggap sebagai keburukan oleh manusia. Sedikit demi sedikit sehinggalah manusia terperangkap dalam jerat syaitan.

Sebab itu orang mukmin diseru agar mendekatkan diri kepada Allah kerana hanya dengan cara itu sahaja manusia mendapat darjat ketakwaan sehingga mereka dapat mempergunakan anggota badan seperti mata, tangan, kaki, dan telinga dengan cara yang betul. Dan segala apa yang dilarang oleh Allah mereka akan tinggalkan.

Jadi, seorang mukmin bukan sahaja perlu meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah tetapi juga berusaha agar sentiasa sedar tentang serangan syaitan. Setiap saat sentiasa berfikir sama ada dia bebas daripada serangan syaitan atau tidak?

Serangan syaitan ada berbagai cara. Sekarang ini banyak ciptaan-ciptaan yang boleh menjerumuskan manusia terperangkap oleh syaitan. Sebagai ganti digunakan pada jalan yang betul, mereka menggunakannya untuk hal-hal yang dikhuatiri perangkap syaitan. Mereka semakin jauh dari ibadat, akhlak pun semakin rosak.

Kadang-kadang insan berfikir pendek. Ini hal peribadi saya, takda hubungannya dengan orang lain, kenapa orang lain sibuk memikirkan hal saya kalau saya menonton filem di internet atau TV sehingga larut malam?

Banyak perbuatan-perbuatan salah yang dilakukan oleh manusia. Dia hanya memikirkan bahawa orang lain tidak perlu ambil tahu dan tidak juga ia merugikan sesiapa kalau dia berbuat keburukan.

Jadi, perbuatan salah yang tidak diredhai oleh Allah akan menjauhkan seseorang dari ibadat dan juga tidak dapat menunaikan hak manusia. Minuman keras, perjudian, filem-filem kotor dan tidak bermanfaat, persahabatan yang terlarang. Hal ini banyak terdapat di kalangan anak muda dan mereka semakin rosak. Ia telah menjadi satu penyakit yang berkekalan. 

Ada beberapa TV channels, website yang tidak bermanfaat. Tetapi ada juga manusia yang mahu mempertikaikan "apa salahnya menonton". Tetapi ingatlah bahawa dengan selalu menontonnya akan menyebabkan keburukan terjadi, banyak rumah tangga yang hancur, dunia pun hancur dan agama pun hancur, anak-anak juga turut mengalami kehancuran.

Ingatlah sentiasa bahawa syaitan akan datang kepada manusia melalui pelbagai cara kerana ia telah berjanji untuk menyesatkan manusia sampai bila-bila.

Jadi, menggunakan ciptaan-ciptaan terbaru hari ini dengan cara yang tidak betul juga adalah satu serangan syaitan.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<< 

Penyusun:
Islah Deen - Mekah al-Mukarramah

No comments:

Post a Comment