Saturday, April 1, 2017

Solat - Mencegah Keburukan

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran:-

WA AQIIMUS SHOLAATA (An-Nuur:57)

“Dan dirikanlah solat”.

Rasulullahsaw bersabda bahawa “solat itu adalah inti daripada ibadah”. (Sunan Tarmizi, Kitabud Da’wat)

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata:-

“Salah satu ciri agung seorang muttaqi ialah WA YUQIIMUUNAS SHOLAATA (Al-Baqarah:4) yakni ‘dan mereka mendirikan solat’. Di dalam ayat ini digunakan perkataan ‘mendirikan’. Dan ini juga mengisyaratkan kepada kesulitan yang menjadi tanda agung seorang mukmin, yakni apabila dia mula mendirikan solat maka banyak gangguan yang dihadapinya yang menjadi dasar kejatuhan solat yang dia dirikan. Apabila dia mengucapkan Allaahu Akbar, maka akan muncul gangguan dalam hatinya. Gangguan itu membawanya ke mana-mana sehingga menjadi punca kerisauan. Setiap saat dia berusaha menjadikan hatinya hadir tetapi solatnya selalu jatuh, dengan begitu susah payah dia dirikan kembali. Berkali-kali melaungkan IYYAA KANA’BUDU WA IYAA KANASTA’IIN iaitu berdoa supaya dapat mendirikan solatnya. Demikian juga dia menginginkan SHIROOTAL MUSTAQIIM yang mana dengan itu solatnya dapat didirikan. Dalam berhadapan dengan situasi ini, dia laksana seorang anak kecil yang merintih di hadapan Tuhan, menangis dan berkata aku AKHLADA ILAL ARDHI (Al-A’raaf:177) ‘cenderung kepada dunia’. Jadi, inilah peperangan yang dihadapi oleh seorang muttaqi dan dia akan sentiasa mendapat ganjaran dalam perjuangan itu.”

Berkata lagi:-

“Saya melihat keadaan seorang pemabuk dan penagih, selagi dia tidak mendapat kelazatan maka dia akan terus minum tanpa henti sehinggalah dia benar-benar mabuk. Orang yang berakal boleh mendapat pelajaran daripada pengalaman itu, maknanya harus dawam dalam mendirikan solat dan terus menerus melakukannya sehingga benar-benar mendapat kelazatan sebagaimana kelazatan yang dicapai oleh seorang pemabuk, yang mana keadaan itulah yang diinginkan olehnya. Dengan cara itu maka pemikiran dan segala kekuatan dalam solat akan cenderung untuk mendapatkan kegembiraan itu. Kemudian dengan keikhlasan dan semangat sekurang-kurangnya menyamai keadaan pemabuk itu di mana dia cenderung untuk berdoa untuk mendapatkan kelazatan yang dia harapkan. Saya katakan dengan sebenar-benarnya bahawa sesungguhnya kelazatan itu pasti akan diperolehi”.

Berkata lagi:-

“Solat itu satu azimat bagi manusia. Dia mendapat peluang berdoa sebanyak lima kali. Mahu tidak mahu pasti ada doa yang akan dikabulkan. Sebab itu dirikan solat dengan sempurna dan inilah yang sangat saya sukai”.

Berkata lagi:-

“Akar keimanan juga adalah solat. Beberapa orang bodoh mengatakan bahawa untuk apa Tuhan memerlukan solat kita? Wahai orang-orang bodoh! Tuhan tidak perlukan tetapi kamu yang memerlukannya supaya Tuhan beri perhatian terhadap kamu. Dengan adanya perhatian Tuhan kepada kamu maka segala pekerjaan yang tidak betul akan menjadi lurus. Solat boleh menghapuskan banyak kesalahan-kesalahan dan ia menjadi sarana qurub (dekat) terhadap Ilahi”.

Hazrat Khalifatul Maseeh Tsanira berkata:-

“Faedah daripada ibadat itu bukanlah bertujuan supaya keagungan Allah Ta’ala itu semakin bertambah malah tujuan beribadat itu ialah mewujudkan ikatan di antara Allah Ta’ala dan hamba-Nya, hakikat itu tidak dapat diingkari di mana hamba mengambil nur daripada Allah Ta’ala. Cuma yang dirisaukan ialah semangat itu tidak dapat dilahirkan dalam diri insan yang menuntut kita untuk berusaha meleburkan diri dalam zat Allah Ta’ala. Semangat seperti itu hanya boleh lahir dengan kecintaan yang sempurna, dan kecintaan yang hakiki boleh lahir melalui penemuan sempurna ihsan-ihsan dari wujud muhsin. Inilah tujuannya solat kerana dalam solat, keagungan Allah Ta’ala yang hakiki akan dipersembahkan di hadapan. Ringkasnya, kalau seandainya ada manusia yang mahu melahirkan kecintaan kepada Allah Ta’ala, lalu dia sendirilah yang akan mengeluarkan masa untuk itu, maka untuk apa lagi ditentukan solat lima waktu kepadanya? Jawapannya ialah kritikan ini muncul secara spontan dari hati, begitulah tabiat seorang manusia, jika dia tidak diperingatkan secara teratur maka dia menjadi malas. Sebab itu Allah Ta’ala telah menetapkan solat berjemaah yang mengumpulkan orang lemah dan yang kuat supaya orang yang lemah bersama dengan orang yang kuat mendapat peluang mensucikan hati mereka. Dan pengaruh-pengaruh tersembunyi yang ada dalam hati orang yang kuat keimanan dalam suatu kaum dapat dikeluarkan untuk diserap agar penyucian hati dapat dilaksanakan.

Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamisatba berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda bahawa dirikanlah solat dengan penuh perhatian. Solat adalah akar segala kemajuan dan kecantikan. Sebab itu dikatakan bahawa solat itu tangga bagi orang mukmin. Dalam agama ini ratusan ribu wali Allah, orang suci, Qutub dan Abdal yang telah berlalu. Bagaimana mereka memperolehi darjat itu. Semuanya melalui solat ini. Rasulullahsaw sendiri menyatakan bahawa QURRATU ‘AINII FIS SHOLAATI yakni penyejuk mataku ialah solat. Jadi, hakikatnya apabila manusia sudah sampai ke tingkatan ini, maka mereka mendapat kelazatan sempurna dalam solat, dan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullahsaw. Segala kerisauan dan kesulitan di dunia ini boleh dielakkan melalui solat.

Kehidupan manusian itu sentiasa berputar di sekitar musibat dan malapetaka dan syaitan juga setiap masa bersedia untuk menyerang. Sebab itu kehidupan manusia ada berbagai keadaan. Jadi, untuk terhindar dari musibat dan malapetaka, dan agar terhindar dari serangan syaitan, Allah Ta’ala telah mewajibkan agar manusia berjumpa dengan sebanyak lima kali dalam sehari. Jadi, apabila manusia terpelihara disebabkan solat, maka seiring dengan itu kerohanian pun akan meningkat. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah teratur dalam mendirikan solat dan berikan perhatian.

Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa Allah Ta’ala berfirman solat itu boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar, dan hal ini memang benar. Kalam Allah Ta’ala tidak dusta. Orang yang mendirikan solat namun tetap saja melakukan keburukan, maka secara zahir solatnya itu hanyalah luaran sahaja, tidak disertai dengan ruh. Jadi, ini satu hal yang perlu dirisaukan, dan setiap kita hendaklah membuat muhasabah diri masing-masing. Jika kita mendapat kelazatan ataupun ada iradah yang kuat untuk melahirkan kelazatan dan kemanisan, bagaimana untuk mencapainya. Di kalangan kita mungkin ada yang tidak teratur dalam mendirikan solat, mungkin juga ada orang yang mempunyai pengalaman mendapat kelazatan dan kemanisan ketika mendirikan solat, kita dapat melihat dalam keadaan susah atau musibah, orang banyak menangis ketika mendirikan solat. Sambil berjalan pun berdoa kepada Allah. Tumpuan kepada Allah Ta’ala sangat banyak dan disebabkan itu juga perhatian terhadap ibadat semakin meningkat. Pasti ada sesuatu dalam hati yang menjadikan mereka begitu tenggelam dalam berdoa. Tetapi, apabila keinginannya telah dapat dipenuhi, apabila telah keluar dari musibat, maka ramai yang menjadi malas dalam beribadat dan lalai berdoa. Jadi, sebagaimana yang Hazrat Maseeh Mau’udas katakan bahawa kita harus memasang target di hadapan kita, dan setiap keadaan samada baik atau buruk, sempit atau selesa, berusahalah untuk mendapatkan kelazatan dan kemanisan itu sebagaimana keadaan pemabuk tadi. Dan bukan hanya untuk peribadi sahaja, tetapi untuk masyarakat persekitaran, jika ada perasaan terhadap ini maka doa pun akan muncul dari lubuk hati.

Allah Ta’ala memerlukan dari setiap kita iaitu dalam memastikan zaman kebangkitan Islam kali kedua tercapai, kita hendaklah memperbaiki amalan kita menuju tingkatan yang terbaik. Disiplin dalam solat sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah. Jadi, berusahalah melahirkan ruh solat ketika kamu mendirikan solat.

Semoga Allah memberikan kita semua taufik ke arah itu. Amin.

No comments:

Post a Comment